Nafkah bagi kehidupan suami-isteri
(iaitu belanja-belanja keperluan hidup untuk mereka) adalah tertanggung
sepenuhnya di atas bahu suami. Ia adalah kewajipan suami yang ditetapkan
Syariat. Sabda Nabi SAW maksudnya;
Wajib
atas kamu (para suami) menyediakan untuk mereka (yakni isteri-isteri kamu) rezeki
mereka dan pakaian mereka mengikut kebiasaannya.
(Hadis Sahih Riwayat Muslim; 1218. Abu
Daud; 1905, dari Jabir bin Abdullah r.a).
Menurut ulama; maksud rezeki dalam
hadis ialah nafkah hidup merangkumi makanan, pakaian, tempat tinggal dan
sebagainya. Hukumnya adalah wajib atas suami. (Mirqaat al-Mafatih, Syeikh ‘Ali
al-Qari (5/1772). Mir’aat al-Mafatih,
al-Mubarakfuri (9/25).)
Berkata Imam an-Nawawi; terkandung
dalam hadis ini kewajipan (suami) menafkahi isteri dan menyediakan pakaian
untuk mereka. Hukum ini telah diijmakkan oleh ulamak.”
(Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi
(8/184).)
Digalakkan isteri membantu suami,
namun bukan atas dasar kewajipan , tetapi semata-mata ihsan darinya sahaja.
Para suami perlu menyedari hakikat ini. Tidak harus mereka memaksa isteri untuk
turut sama menanggung nafkah keluarga. Isteri yang engkar kepada arahan suami
dalam perkara tersebut tidak dianggap sebagai nusyuz di sisi Syariat. Dalam hal
ini suami tidak harus menggunakan kuasa vetonya, sebaliknya mengesyorkan secara
baik kepada isteri. Isteri pula jangan keberatan membantu kewangan suami selagi
termampu kerana wang/harta yang dibelanja untuk suami dan keluarga akan diberi
dua pahala/ganjaran oleh Allah; pahala sedekah dan pahala qarabah. Ini
sebagaimana sabda Nabi SAW tatkala baginda ditanya berkenaan isteri yang
membelanjai suami dan anak-anaknya;
Untuknya
dua pahala; pahala qarabah (mengeratkan ikatan keluarga) dan pahala sedekah.
(Hadis Riwayat Bukhari; 1466. Muslim;
1000).
Apabila suami mengizinkan isteri untuk keluar berkerja, pendapatan isteri adalah milik penuhnya. Tidak harus diambil suami melainkan dengan persetujuannya. Kecuali jika suami mengsyaratkan sebahagian pendapatan hendaklah digunakan untuk belanja rumah sebagai tukaran kepada keizinan yang diberinya untuk keluar berkerja, ketika itu isteri terikat dengan syarat tersebut. Nabi SAW bersabda maksudnya;
Orang
Islam terikat dengan syarat (yang dipersetujui) sesama mereka kecuali syarat
yang mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram.
(as-Sunan al-Kubra, al-Baihaqi; 11430,
dari ‘Amru bin ‘Auf al-Muzani RA).
Tanpa syarat tersebut, kewajipan
nafkah sepenuhnya atas suami.(Fatawa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid (2686).)
Wallahu a’lam.
-Ustaz Abu Basyer-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan