Pada suatu hari, nabi Ibrahim as
datang ke Mekah bertujuan untuk menziarahi anaknya Ismail. Ketika baginda tiba,
nabi Ismail tiada di rumah sebaliknya ada seorang perempuan yang tidak
dikenalinya dalam rumah itu. Perempuan itu merupakan menantunya sendiri tetapi
baginda memang tidak mengenalinya dan perempuan itupun tidak mengenali bapa
mertuanya iaitu nabi Ibrahim. Tanpa berlengah baginda bertanya kepada perempuan
itu tentang nabi Ismail. Perempuan itu memberitahu bahawa nabi Ismail keluar
memburu.
Apabila disoal tentang suasana
kehidupan mereka maka perempuan itu menjawab : ”Kami hidup susah dan kesempitan.”
Nabi Ibrahim bertanya lagi : ”Adakah kamu mempunyai tetamu? Adakah kamu
mempunyai bekalan makanan dan minuman?” Jawab perempuan tadi : ”Kami tidak
mempunyai tetamu dan kami juga tidak mempunyai bekalan makanan dan minuman.”
Melihat dan memerhati kepada tingkah
laku serta jawapan yang diberikan oleh perempuan itu maka nabi Ibrahim
mendapati bahawa perempuan itu merupakan seorang tidak berakhlak mulia serta
selama ini tidak pernah senang hati hidup bersama nabi Ismail. Dia juga bersifat bakhil dan tidak
menghormati tetamu. Sebelum bertolak pulang maka nabi Ibrahim berpesan kepada
perempuan tadi yang juga merupakan menantunya : ”Sampaikan salamku kepada
suamimu dan pesanlah kepadanya agar menukar bingkai pintu rumahnya.”
Sebaik sahaja nabi Ibrahim meninggal
rumah itu maka pulanglah nabi Ismail dalam keadaan seperti orang yang merasakan
sesuatu telah berlaku sepanjang sepeninggalannya pergi memburu. Lalu baginda
bertanya kepada isterinya : ”Adakah ada seseorang datang menziarahimu?” Jawab
isterinya : ”Ya! ada iaitu seorang tua begini sifatnya telah datang menziarahi
dan telah menyoalku tentang dirimu. Aku telah menerangkan segala apa yang
berlaku kepadanya.”
Baginda bertanya lagi : ”Adakah dia
meninggalkan sebarang pesanan kepadamu?” Jawab isterinya : “Ya! dia telah
berkirim salam kepadamu dan meminta aku memberitahumu agar engkau menukar
bingkai pintu rumahmu.” Mendengar jawapan daripada isterinya lantas nabi Ismail
menjelaskan kepadanya :” Itulah dia bapaku dan dia telah memerintahkan aku
supaya berpisah denganmu dan pulanglah kepada
keluargamu semula.” Nabi Ismail terus menceraikan isterinya dan mengahwini
perempuan yang lain.
Setelah berlalu beberapa lama masa
maka nabi Ibrahim datang semula ke Mekah untuk menziarahi anaknya Ismail. Kali
ini sebagaimana yang pernah berlaku ketika penziarahannya yang dulu yang mana
nabi Ismail tiada di rumah. Baginda mendapati ada seorang perempuan yang baru
dalam rumah anaknya. Perempuan itu menyambut kedatangannya dengan penuh hormat
dan diberi layanan yang baik.
Nabi Ibrahim bertanya perempuan itu
yang juga merupakan menantunya yang baru : ”Adakah kamu mempunyai tetamu?”
Jawab perempuan itu : ”Ya! iaitu engkau.” Kemudian baginda bertanya mengenai
kehidupan mereka berdua lalu perempuan itu menjawab : ”Kami berada dalam
keadaan baik dan bahagia.” Sambil itu dia memuji-muji Allah.
Sebelum pulang nabi Ibrahim berpesan
kepada perempuan itu : ”Apabila suamimu pulang maka sampaikan salamku kepadanya
dan beritahunya supaya terus kekalkan bingkai pintu rumahnya.” Kemudian nabi
Ibrahim berlalu pergi.
Setelah nabi Ismail tiba di rumahnya
maka isterinya telah menceritakan bahawa ada seorang tua yang datang menziarahinya
sepanjang ketiadaannya. Dia memberithu tentang rupa bentuk dan sifat lelaki tua itu serta menyampaikan salam dan
pesanan daripada lelaki tua itu kepada nabi Ismail.
Mendengar penjelasan yang diberikan
oleh isterinya lalu nabi Ismail dengan gembira memberitahu : ”Dia merupakan
bapaku dan dia berpesan agar menjagamu dan jangan menceraikanmu.” Nabi Ismail
terus hidup bersama isterinya itu sehinggalah beranak cucu.
Rujukan
: Harian Islam.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan