Iman seseorang telah disepakati oleh
para ulama boleh menaik dan menurun berdasarkan
perlakuan di dalam kehidupan sehariannya.
Jika dia memenuhkan ruang kehidupannya dengan
dosa, keimanan akan menurun, memberi kesan kepada seluruh amalan.
Solat menjadi tidak khusyuk dan berat,
demikian amalan kebaikan dirasa membosankan dan teramat menjemukan.
Perasaan kesal dan rasa bersalah atas
pelakuan dosa pula akan semakin pudar, hasilnya, keimanan di dalam hati menjadi semakin malap tanpa sinar.
Dosa dan pahala boleh bercambah dengan
mudah, tanpa kawalan dan kesedaran sebaiknya, catatan amalan seseorang mungkin
mengejutkannya di hari pembalasan kelak, sama ada disebabkan dosa yang di luar
jangkaan atau timbunan pahala yang tidak disangka.
Jika ia pahala, alhamdulillah, namun
bagaimana jika dosa yang memenuhi buku catatan amalan?
Melalui artikel ini, sekadar ingin
mengingatkan kita semua agar lebih peka terhadap salah
satu punca percambahan dosa.
Malah dosa yang kecil boleh berubah
wajah kepada ‘Kabair’ (dosa besar) akibatnya.
Tujuan tulisan ini tidak lain agar
kita semua dapat lebih berhati-hati terhadap dosa yang tidak disedari sedang
dipromosi dan disebarkan.
FILEM, DRAMA DAN DOSA
Perlu kita semua fahami, manusia selain NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WA SALLAM tidak akan dapat lari dari dosa.
Paling kurang dosa-dosa kecil.
Sebagai contoh, dosa-dosa kecil amat
mudah diperolehi apabila kita menonton televisyen sama ada melalui tontonan aurat lelaki atau wanita di dalam siri drama, filem, iklan,
hatta berita.
Isu terbaru seperti Drama Astro Prima Sahara yang menghina Islam,
Apakah nilai yang cuba disampaikan oleh penerbit, pengarah dan ASTRO PRIMA
sendiri melalui drama yang terang-terangan menghina hukum ALLAH SWT dan mengundang fitnah ke atas imej
para ummahatul mukminin.
Dosa kecil juga boleh berlaku
sekiranya seseorang itu melalaikan tanggungjawab agama yang lain dan pelbagai lagi kekurangan
kerananya.
Telah dibincang panjang lebar oleh
ulama Islam, televisyen dan filem adalah neutral, jika digunakan untuk tujuan
kebaikan, maka pahala diperolehi, jika keburukan, dosa tentunya.
Sudah menjadi norma hari ini, hampir
semua keluarga mempunyai televisyen walau setinggi manapun tahap keilmuan
agamanya.
Jika tiada televisyen, internet juga
turut memasuki kebanyakan rumah umat Islam hari ini, segala jenis filem dapat
ditontoni melaluinya.
Saya bersetuju dan tertarik dengan
seruan para ilmuan dan pendakwah agar kita memboikot Yahudi Zionis dengan
memboikot segala jenis hiburan melalaikan di televisyen atau internet, kerana
itu adalah antara agenda penting mereka dalam merosakkan umat Islam.
Namun begitu, sebahagian pendakwah ini
mungkin terlupa menyedarkan, bahawa filem-filem dan drama yang biasanya ‘box
office’ karya Hollywood juga adalah karya hedonisme Barat dan Yahudi Zionis.
Itu juga sepatutnya diboikot.
Namun, desakan nafsu dan syaitan kerap mendorong sebahagian
kita untuk terus melihat kisah-kisah paparan kreativiti
karyawan Barat ini.
Walau kita tahu ia bercampur baur
adegan dosa ( berpelukan, bercium dan sebagainya) dan pemaparan aurat tentulah
amat pasti.
Dosa kecil yang membesar dan
berganda
Benar, secara umumnya, ia mungkin
masih dianggap dosa-dosa kecil. Dosa kecil disebut oleh NABI MUHAMMAD SAW boleh
terhapus dengan solat fardhu, solat Jumaat, zikir, istighfar dan pelbagai
amalan lain.
Namun demikian, dosa kecil seperti itu
boleh berganda sehingga adakalanya amalan seseorang tidak lagi mampu memadamkan
keseluruhannya.
Bilakah itu?
Ia adalah apabila tontonan kita itu
dikongsikan kepada orang lain melalui pendedahan kita sendiri sama ada di
ketika bercerita berkenaannya, mungkin dalam ulasan kita.
Atau lebih teruk lagi dipamerkan di
Facebook sebagai filem (movies) yang diminati, drama disukai, buku didambai,
muzik dikagumi dan sebagainya.
Bagi saya, tindakan mengisi ruang itu
dengan sebarang filem yang majoritinya mendedahkan aurat dan bercampur-baur
pengajarannya adalah sama seperti mempromosikannya, memberikan iklan percuma
kepadanya, memaklumkan keredhaan kita terhadapnya.
Mungkin terkecuali jika kita
menyiarkan minat kita terhadap movie pengajaran seperti Kung Fu Panda, Toy Stories,
Cars, Omar Mukhtar atau dokumentari dan keagamaan seperti National Geographic,
Discovery Channel, Berita, Al-Kuliyyah, Tanyalah Ustaz, Halaqah, Akademi al Quran
dan sebagainya.
Memaparkan minat kita pada rancangan
televisyen atau movie yang jelas bercampur aduk dosa dalam majoriti adegannya
seperti ‘Desparate Housewives’, ‘Friends’, ‘Pretty Women’, ‘Notting Hill’,
‘Kuch Kuch Hota Hai’, ‘HEROES’ dan jutaan lagi filem sepertinya.
Walaupun seseorang itu memang meminati
dan menontonnya, namun sedarilah tontonan itu mengakibatkan banyak dosa-dosa
kecil.
Tontontan itu tanda akibat kelemahan
diri kita sehingga terjebak dalam dosa sebegitu.
Memaklumkannya kepada orang lain akan
minat kita terhadap filem itu adalah dosa gandaan yang lain.
Ia adalah sebuah promosi iklan secara
percuma. Malah mendedahkan sokongan kita terhadap movie dan drama bermaksiat.
Bukan sekadar movie sahaja malah hal
yang sama terpakai buat promosi buku, novel, muzik dan public figure atau artis
(khususnya di facebook).
Saya bimbang, keghairahan berkongsi
segala-galanya di dalam facebook, blog dan forum akan tanpa sedar
mempergandakan dosa seseorang.
Kecuali jika diyakini dengan ilmu dan
iman bahawa pengajaran BAIK dari filem yang ingin dikongsi
tersebut atau ditanda sebagai ‘like’ itu MELEBIHI UNSUR DOSA DAN BURUK.
Sebagaimana drama-drama bermesej
Islam, penuh pengajaran tetapi masih dilakonkan oleh pelakon mendedah aurat.
Jika diyakini unsur positifnya melebihi
dan negatif, tatkala itu mungkin wujudnya sedikit justifikasi untuk dipapar dan
ditonjolkan dalam senarai drama diminati.
Dengan niat agar orang lain turut
mendapat pengajarannya.
Selain berkongsi minat terhadap hal
yang disebut di atas, ada juga yang mendedahkan dosanya melalui gambar. Gambar
seperti :
·
Ketika
sedang minum arak.
·
Hadiri
parti penuh maksiat.
·
Hadiri
majlis dosa.
·
Sedang
berpelukan lelaki wanita.
·
Bersentuhan
wanita dan lelaki yang bukan mahram. (Walaupun bagi seorang doktor kerana
keperluan, tetapi gambar sedemikian PATUT disembunyikan)
Sekiranya semua yang disebut tadi
dikongsi di facebook dan blog, kita bimbang individu terbabit tergolong di
dalam kategori penyebar dosa dan pembuka aib diri sendiri.
NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WA SALLAM memberi ingatan :
Setiap
umatku (boleh) diampunkan kecuali mereka yang mendedahkan (dosanya), ada di
kalangan yang mendedahkan ini, melakukan suatu dosa di waktu malam,
berpagi-pagi sedang Allah menutup keaiban dosa itu, namun tiba-tiba dia
mendedahkan seraya berkata :” Wahai fulan, semalam aku lakukan itu dan ini..”
maka terhapuslah tutupan tuhannya dan jadilah ia membuka (rahmat) ALLAH yang
(sebelum ini) menutup keaibannya.
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Sembunyikan dan taubat
Justeru itu, jadikanlah dosa peribadi
disebabkan menonton filem bercampur maksiat, atau menyukai musik hedonisme, ata
melakukan maksiat secara fizikal seperti zina, curi, tidak solat dan
sebagainya, sama ada kecil atau besar yang dilakukan di rumah, tersembunyi
adalah antara individu terbabit dengan ALLAH SWT .
Tujuannya agar seseorang itu beroleh
rahmat ALLAH SWT dan diberi hidayah untuk bertaubat sebelum maut menjelma.
Mungkin disebabkan pendedahannya,
apabila ia ingin atau telah bertaubat, sukar untuknya untuk memaklumkan kepada
semua yang pernah mendengar atau mengetahui pendedahannya agar bertaubat sama,
malah taubatnya juga mungkin diragui orang lain atau paling kurang, membawa
masalah dalam hati seperti boleh menumbulkan riak.
Justeru, jalan terbaik atas apa jua bentuk dosa yang
telah atau pernah dilakukan adalah SENYAP
DAN SEMBUNYIKAN.
Ia bukan hipokrit! Tetapi ia dituntut
oleh ALLAH SWT dan rasulNya dan usahakan bertaubat.
Hipokrit adalah bagi mereka yang
berpura-pura baik, tetapi dalam hal ini, si pelaku dosa hanyalah menyembunyikan
dosanya.
Tidak timbul persoalan dia cuba
mengabui mata orang ramai dan berpura-pura baik.
NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WA SALLAM bersabda :
“Jauhilah
perkara-perkara keji (maksiat) yang telah dilarang oleh Allah, sesiapa yang
telah melakukannya, hendaklah dia menyembunyikannya dengan tutupan (yang
diberikan) Allah dan bertaubat kepada Allah. Jika sesiapa menampakkan perkara
keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang telah
diperintahkan oleh Allah.”
[Dikeluarkan oleh Al-Hakim dalam Al-Mustadrak, hadis no: 7615 dan beliau berkata: "Hadis ini sahih atas syarat kedua-dua syeikh (Al-Bukhari dan Muslim) dan mereka tidak mengeluarkannya." Ini dipersetujui oleh Al-Zahabi.]
[Dikeluarkan oleh Al-Hakim dalam Al-Mustadrak, hadis no: 7615 dan beliau berkata: "Hadis ini sahih atas syarat kedua-dua syeikh (Al-Bukhari dan Muslim) dan mereka tidak mengeluarkannya." Ini dipersetujui oleh Al-Zahabi.]
Pengecualiannya hanyalah apabila kes
melibatkan aib dan dosa ini diajukan di mahkamah untuk menangani sesuatu kes,
atau ketika merujuk kepada kaunselor yang diyakini untuk membantu dan ilmuan Islam untuk mengetahui hukum
dan kaedah pemulihan.
ALLAH SWT itu maha pengampun dan sentiasa
menginginkan kita untuk bertaubat dan beristighfar, maka antara ciri taubat
yang mudah diterima adalah apabila dosa tidak didedahkan.
Di dalam sebuah lagi hadis disebutkan:
NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WA SALLAM bersabda :
(Di akhirat kelak) Allah akan menghampiri seorang
hambanya yang mukmin lalu melindunginya lalu berkata : “Adakah kamu tahu dosa
kamu ini? Adakah kamu sedar dosa ini?” Lalu jawab lelaki itu: “Ya Wahai Tuhan.”
dan sehingga dia mengakui dosanya dan merasakan dia akan binasa (dihukum),
Allah berkata : “Aku telah menutupinya di dunia dahulu ( dari pengetahuan manusia),
dan hari ini aku akan mengampunkannya.”
(Riwayat Al-Bukhari)
Jelas dari hadis di atas, dosa yang
dilakukan dan tidak didedahkan berpeluang mendapat belas kasihan ALLAH SWT di
akhirat untuk diampuni. Namun bagi mereka yang telah lebih dahulu berbangga
bercerita, mengiklan, promosi dan sebagainya sejak di dunia lagi, dibimbangi
tidak cukup layak mendapat belas kasihan dan rahmat ALLAH SWT serta pengampunannya.
Kesimpulan
Segeralah memadam paparan minat dan
keterlibatan terhadap apa jua aktiviti, tayangan, muzik, bacaan selain untuk ALLAH SWT , rasul dan apa yang mendekatkan diri kepada keredhaan ALLAH SWT .
Walau sebanyak, sedalam manapun minat,
sejauh manapun keterlibatan, sembunyikan ia, bukan bertujuan untuk menipu
manusia lain, tetapi agar dia tidak tergolong dalam kalangan berbangga dengan
dosanya, mempromosi, membuka aib sendiri dan mengiklan kejahatan kepada orang
lain.
Semaklah facebook anda, blog, website,
forum dan sembangan harian agar tidak tersalah dan mempergandakan dosa.
Rujukan
: Harian Islam.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan