SEDAR atau tidak kalau diteliti banyak sungguh perbezaan pemikiran dan pendapat dalam sesebuah masyarakat. Perbezaan pendapat dalam politik memang cukup ketara, bagai bukan erti politik jika tidak ada perbezaan. Korban perbezaan pendapat dalam politikpun cukup hebat, nyawa jadi taruhan.
Dalam keluarga kerana harta pusaka juga wujud perbezaan pendapat. Manusia yang dilahirkan sebagai kembar seiraspun akhirnya berbeza pendapat dalam menempuh kehidupan.
Sewaktu duduk dalam kuliah bulanan seorang kiyai di masjidpun terasa ada perbezaan pendapat dengannya. Kiyai ini mungkin mahu memantapkan hasil pemikirannya kepada khalayak setianya. Namun saya yang telah menempuh sejarah pendidikan yang berbeza, tentulah menemukan perbezaan dengannya. Tak mengapalah, dengar dahulu…
Tanpa diduga, Allah mentakdirkan saya menghadapi seorang warga emas di wad hospital yang dinasihati untuk bersolat. Dia menerima nasihat untuk solat namun saya berbeza pendapat pula dengannya apabila dia mengatakan cukup solat saja dalam keadaan sakit begitu tanpa wuduk atau tayamum. Dibacakan hadis nabi yang bertayamum dengan menepuk dinding, tetapi tidak diperdulikannya. Bayangkan dia memberitahu ada ustaz yang 22 hari di hospital sentiasa solat tetapi tidak berwuduk atau tayamum! Alamak…..
Kalau membicarakan antara sunah dan bidaah juga tidak kurang serunya. Silap-silap dua-dua pihak panas telinga. Semua ini perbezaan pendapat yang berlaku dalam masyarakat. Kalau orang tanya mengapa berlaku perbezaan pendapat ini sekalipun di hadapan ada Al Quran dan Sunnah, jawabnya panjang.
Soalnya bagaimana mengurus perbezaan pendapat yang begitu rencam ini. Setiap orang atau pihak ada pendirian yang diyakini betul. Pada waktu yang sama mungkin pendiriannya diyakini salah pula oleh pihak lain. Begitu jugalah sebaliknya. Maka berlakulah memberi gelaran-gelaran atau nama-nama tertentu sama ada untuk membela diri atau merendahkan kedudukan orang lain.
Sebagai muslim, mesti mengambil pendirian berteraskan Al Quran dan Sunnah. Al Quran dan Sunnah itu ajaran wahyu Allah swt dan petunjuk Rasulullah saw. Al Quran itu teras, maka Sunnah atau hadis-hadis sahih adalah pelengkapnya. Cuba tanyakan kepada mana-mana muslim, bahawa bolehkah dirinya sebagai muslim dipisahkan daripada petunjuk Al Quran dan Sunnah. Senakal-nakal atau sejahil-jahil dia, tidak akan mengatakan dirinya muslim tetapi tidak mahu menerima Al Quran dan Sunnah.
Setelah ada pendirian, masuklah ke dalam masyarakat walaupun orang-orang yang di hadapannya tidak disukai. Seperti abang dan adik yang berbalah kerana harta, tentu masih banyak ruang yang mereka boleh bersama dan hidup sebagai manusia-manusia yang berhubungan. Lagi, seperti peribadi-peribadi muslim yang baik, tentulah tetap menerima jiran-jiran dan masyarakat bukan Islam yang mengitarinya. Perbezaan akidah dan ibadah, tetapi banyak ruang kerjasama antara sesama manusia.
Oleh itu tidak mungkin seorang tua yang bersolat tanpa wuduk dipulaukan kerana perbezaan pendapat ini. Kalau pasti dia salah, wajiblah dikasihani dan didoakan. Ah…, soal menyedarkan dirinya itu petunjuk Allah, bukan tugas manusia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan