SAYA hendak beri contoh lagi mengenai
akidah sebahagian muslim Melayu kita yang mudah diterobos oleh adat atau
kepercayaan lama. Emm, baru-baru ini seorang ahli keluarga menyampaikan nasihat
orang kepada saya supaya menerima kaedah ‘mandi bunga’ sebagai satu ikhtiar.
Mandi bunga ini satu upacara ritual yang memang adat kuno dan dilakukan untuk
membuang sial di badan. Jadi, apa bezanya dengan ‘mandi safar’ yang dengan
mudah dikelaskan sebagai khurafat dan haram? Mandi Safar yang popular dahulupun
bertujuan membenteng diri daripada mala petaka!
Beberapa waktu yang lalu, saya pernah berpatah balik ke rumah setelah 20 minit memulakan perjalanan kerana tertinggal satu barang penting. Kes ini bukanlah kali pertama, entah kali ke berapa dalam hidup. Yang patut diceritakan di sini ialah pandangan ‘orang tua-tua’ apabila berpatah balik, yang meminta kita masuk semula ke rumah dan duduk semula. Kenapa?
Saya diberitahu oleh ‘orang tua-tua’ ini bahawa tidak elok (mungkin ada musibah) jika terus sahaja ambil barang itu dan bergegas meneruskan perjalanan. Oh, ertinya ‘duduk semula’ di rumah seketika dipercayai ada kuasa untuk menghindar hal-hal buruk pada masa perjalanan kelak!
Itulah dua contoh minda Melayu yang masih mewarisi kepercayaan lama, yang merosakkan akidah dan pengakuan ‘Tiada Tuhan melainkan Allah’. Kalau memang sudah diyakini bahawa kuasa menjadikan nasib baik dan buruk itu memang daripada Allah, mengapa mewajibkan diri menerima kaedah atau upacara lain sebagai mempunyai kuasa lain?
Semua pemikiran dan kepercayaan ini sudah disuratkan dalam Al Quran sebagai salah, haram dan berdosa kerana syirik. Maksud ayat 30 surah as-Syura,
“Dan apa juga yang
menimpa kamu dari sesuatu kesusahan maka ia adalah disebabkan apa yang kamu
lakukan, dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar disa-dosa kamu.”
Ayat 11 Surah ar-Rad pula bermaksud,
“Sesungguhnya Allah
tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa
yang ada pada diri mereka sendiri.”
Ayat-ayat ini sangat jelas bahawa perbuatan manusia itu sendiri yang akan menyebabkan terjadinya sesuatu, bukan suatu kuasa mistik yang didakwa.
Soalnya mengapa perkara ini masih berlaku sedangkan orang-orang yang menyampaikan kepada saya mengenai adat dan upacara ini adalah mereka yang dikira taat beragama. Saya kenal mereka sebagai pencinta agama dan menggabungkan diri dalam perjuangan mendaulatkan Islam. Malah organisasi yang disertainya itu meletakkan Al Quran dan hadis sebagai tonggak perjuangan.
Saya mengesan punca masalah ini kerana ada guru agama yang dijadikan sumber ilmu tidak benar-benar memilih Al Quran dan Sunnah sebagai sandaran. Dalam satu kuliah bulanan seorang guru yang saya ikuti, dia mengajar bahawa ‘ciri baik’ sebagai diterima dalam agama. Saya turunkan contoh pengajarannya mengenai bacaan ketika sujud dalam solat. Guru ini mengatakan boleh membaca seberapa banyak tasbih dalam sujud hingga 100 kali. Alasannya yang diberi ialah bacaan tasbih adalah baik. Inilah hujah akal tanpa diberikan dalil hadis sahih. Kemudian beliau memberikan ‘fatwa’ mengenai solat tarawih yang dikira pantas sebagai boleh kerana mengejar masa dan disesuaikan dengan keadaan zaman. Ini hujah akalnya semata-mata, yang berlawanan dengan Sunnah Nabi.
Daripada situlah orang awam menerima akal juga sebagai keperluan dalam ibadah dan kepercayaan. Maka adat jahiliah kepercayaan mistik masih dipegang sekalipun mulutnya melafazkan zikir ‘Tiada Tuhan melainkan Allah.’ Orang Arab dahulu percaya arah terbang burung sebagai penentu nasib baik atau buruk. Orang Melayu kinipun percaya malam Jumaat Keliwon, rumah usang dan pokok rendang sebagai ‘keras’! Akalnya masih tidak ditundukkan oleh Al Quran dan Sunnah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan