Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Khamis, 8 November 2012

J 90 LIMA Persoalan Membuktikan Allah SWT berhak Ke Atas Manusia

Cuba kita lontarkan persoalan-persoalan berikut ke dalam jiwa-jiwa kita.

1.      Mengapa kita semua tidak mahu mengisi hati-hati ini dengan rasa cinta kepada Allah swt?

2.      Mengapa kita semua tidak mahu mengagungkanNya?

3.      Mengapa kita semua tidak menaruh rasa hormat dan menghargaiNya?

4.      Apa yang telah berlaku ke atas diri kita semua?

5.      Apakah kita telah dilanda ketidaksedaran diri?

Allah swt berfirman :

“Mengapa kamu tidak percaya akan kebesaran Allah? Padahal Dia sesungguhnya telah menciptakan kamu dalam beberapa tingkatan kejadian.”
(QS Nuh 13 – 14)

Nabi Yunus as telah terperangkap di dalam tiga kegelapan iaitu :

a.       Kegelapan malam yang menakutkan.

b.      Kegelapan lautan yang bergelombang.

c.       Kegelapan perut ikan paus yang menyeramkan.

Kepada siapakah baginda memohon?

Kepada siapakah baginda meminta bantuan?

Kepada siapakah baginda mengadu?

Nabi Yunus hanya ingat kepada Allah Yang Maha Penolong, yang dapat menghilangkan kesusahan dan keadaan yang menakutkan.

Dalam rintihannya dia berdoa :

“Tiada Tuhan (yang berhak disembah) selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.”
(QS Al Anbiyaa’ : 87)

Ketika Allah mendengar doa Nabi Yunus, maka Dia menolongnya dan menyelamatkannya. Ketika seseorang itu melakukan dosa, jika dia mahu bertaubat dan memohonkan ampun kepada Allah swt, maka Allah swt tidak sampai hati untuk tidak mengampuninya. Allah Maha Pengasih yang kasih sayangNya lebih besar daripada kemarahanNya.

Allah swt berfirman :

“Katakanlah : ‘Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri , janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang.”
(QS Az Zumar : 53)

Setiap hamba akan diminta bertanggungjawab dari seluruh amalnya kerana Allah swt akan melihat isi hati setiap orang.
Dialah yang mengawasi gerak-geri orang-orang yang mahu berbuat keji. Allah swt akan menghancurkan orang-orang yang zalim dan dengan keagungannya, Allah swt akan menundukkan para kaisar.
Allah swt adalah satu-satunya zat yg kekal abadi. Maha Suci Allah dari segala kekurangan, Maha Suci Allah dari segala sekutu dan Maha Suci Allah dari segala kesusahan dan segala kesedihan.

Mengapakah kita masih tidak mahu mengakui kekuatan Allah?

Allah swt yang telah mengangkat tujuh lapis langit dan menyempurnakan penciptaannya sehingga menjadi lapisan yang kukuh dan tertutup rapi sehingga tiada celah dan lubang sedikitpun. Langit-langit itu dijadikan indah kerana dihiasi dengan bintang-bintang. Langit-langit tersebut tersusun di atas tanpa tiang. Allah telah mengikatnya sehingga langit-langit tersebut tidak jatuh ke bumi.

Allah itu Maha Pengasih dan Allah Maha Penyabar dan memberikan tempoh untuk taubat bagi orang-orang yang berbuat zalim. Sedangkan orang-orang yang berbuat baik akan diberi pahala sesuai dgn amalnya.

Dialah yang mampu memberikan hukuman kepada orang-orang yang zalim dan Dialah yang berkehendak menerima taubatnya. Jika seseorang itu bertaubat maka Allah akan menghapuskan segala dosanya.

Apabila Allah menghendaki untuk memberikan pahala kepada orang-orang yang baik maka itu akan dilakukannya tanpa hisab, kerana pahala Allah jauh berlipat kali ganda berbanding setitik kebaikan yang dilakukan seorang hamba.

Seksaan yang dijatuhkan kepada hambaNya merupakan keadilanNya dan ampunan yang diberikan kepada seseorang merupakan rasa kasihan dariNya. Sedangkan kurnia yang dianugerahkan kepada seseorang merupakan keutamaan dariNya.Sungguh Allah Maha Sabar, sekalipun seorang hamba mencercakanNya!
Padahal mereka telah diciptakan dan diberikan rezeki namun mereka mencemuh dan mengejekNya.

Allah swt berfirman dalam hadis Qudsi :

“Anak Adam (manusia) mengumpatKu dan hal itu tidak elok. Anak Adam mencemuhKu dan cemuhan itu tidak elok.”

Allah swt berfirman :

“Alangkah buruknya kata-kata yang keluar dari mulut mereka; mereka tidak mengatakan (sesuatu) kecuali dusta.”
(QS Al Kahfi : 5)

Seluruh makhluk adalah ciptaan Allah yang mana mereka tidak luput dari pemberian rezekiNya. Allah akan sentiasa mengingati orang-orang soleh yang terpilih.
Rasulullah saw bersabda kepada Ubai Bin Ka’ab yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah memerintahkan kepadaku untuk membacakan al Quran kepadamu.”
Ubay berkata : “Allah menyebut namaku di langit yang tinggi?”
Rasulullah saw menjawab : “Ya”.

Maka menangislah Ubay Bin Ka’ab (menangis kerana bahagia).Orang-orang yang beriman itu merupakan pilihan dari Allah kerana Dialah yang telah memilih mereka agar sentiasa beriman kepadanya. Allah sentiasa memberikan pertolongan ke atas mereka yang berjihad fi Sabilillah. Menghiasi hati mereka dengan iman tersebut sehingga Allah mencintai mereka. Allah telah memberikan taufik hidayah kepada kaum muslimin dan menambahnya dengan petunjuk dan ketakwaan. Hati-hati mereka dilapangkan agar terus mahu menerima agama Islam dan Allah akan menerangi hati mereka dengan keimanan serta mengangkat darjat mereka dengan agama yang suci.

Jika mereka berperang, maka mereka akan mati syahid sesuai dengan janji Allah. Maka apabila salah seorang di antara mereka gugur dalam peperangan, Kursi singgahsana Allah telah bergoncang. Di antara orang yang syahid tersebut adalah seorang mujahid yg bernama Saad Bin Mu’adz ra. Dialah yang telah meniupkan roh ke dalam tubuh seseorang sehingga tubuh itu hidup. Dialah yang telah menjadikan lidah dapat bercakap. Dialah yang memberikan petunjuk ke dalam hati seseorang.
Lalu roh itu dicabut semula untuk bertemu dengan Sang Pencipta. Akhirnya ketika roh bertemu dengan Sang Pencipta, dia akan diajak berbicara tanpa penterjemah.
Rasulullah saw bersabda kepada Jabir Bin Abdullah :

“Sesungguhnya Allah berbicara kepada ayahmu tanpa penterjemah.”
Maka dia berkata : ‘Ucapkanlah keinginanmu.’

Golongan syaitan memerangi wali-wali Allah dan melakukan pelbagai tipu daya dan muslihat untuk menyesatkan mereka, mereka datang dari berbagai penjuru tetapi Allah Yang Maha Lembut sentiasa memelihara mereka.

Allah swt berfirman :

“Kalau tidaklah kerana kurnia dan rahmat Allah kepada kamu, tentulah kamu mengikut syaitan, kecuali sebahagian kecil sahaja (di antara mu).”
(QS An Nisaa’ : 83)

Akal manusia tidak mampu mengatasi rahsia Ilahi. Akal fikiran manusia kebingungan untuk memahami keajaiban-keajaiban Allah.

Para kekasih Allah diuji dengan musuh-musuhnya. Ujian juga diberikan kepada Qarun sehingga sekelompok orang merasa berat ketika akan memikul kunci-kunci gudang kekayaan Qarun yang cukup banyak. Nabi Musa diuji oleh Allah sehingga dia tidak dapat makan kecuali makan dedaunan.

Allah memberikan harta yang berlimpah ruah kepada Umayyah Bin Khalaf sehingga beliau hidup bergelumang emas dan sutera. Sementara itu Allah menjadikan Rasulullah saw hidup dalam kemiskinan sehingga baginda terpaksa mengikatkan batu pada perutnya untuk menahan rasa lapar.

Allah memberikan petunjuk kepada Bilal yang merupakan seorang hamba abdi yang berbangsa Habsyi dan Allah menyesatkan Abu Lahab yang merupakan seorang yang dipandang mulia dan terhormat di kalangan suku Quraish. Allah memberikan petunjuk kepada Nabi Lut as dan menyesatkan isterinya. Allah memilih Ibrahim as menjadi kekasihNya dan menjadikan ayah Nabi Ibrahim sebagai orang yang celaka. Allah menyesatkan Firaun dan memberikan petunjuk kepada isterinya. Allah memilih Nabi Nuh as sebagai kekasihNya dan Allah murka kepada anak Nabi Nuh as.

Allah swt berfirman :

“Dia tidak ditanya tentang apa yg diperbuatNya dan merekalah yang akan ditanya.”
(QS Al Anbiya’ : 23)

“Bacalah” adalah kalimat pertama yang diajarkan oleh Allah kepada Rasulullah saw. Alam semesta adalah sebuah buku yang boleh dibaca dan semua yang ada di alam semesta adalah ibarat huruf-hurufnya.

Sedangkan kekuasaan Allah adalah ibarat penanya dan orang yang membaca adalah seorang yang buta huruf dan tajuk yang dibaca adalah :

“Ketahuilah bahawa sesungguhnya Tiada Tuhan Melainkan Allah.”

Maha Suci Allah yg telah menunjukkan diriNya kepada kita.
Para sahabat Nabi bertanya :
Adakah Allah itu dekat sehingga boleh diminta pertolongan atau jauh sehingga boleh dipanggil?
Maka turunlah ayat berikut :

“Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu.”
 (QS Al Baqarah : 186)

Pengakuan Allah :

“Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada Tuhan (yang hak) selain Aku.”
(QS Taha : 14)

Sifat Allah :

“Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia dan Dialah Yang Maha Mendengar Lagi Maha Melihat.”
(QS As Syuraa : 11)

Ketinggian dan Keagungan Allah :

“(Iaitu) Tuhan Yang Maha Pemurah, Yang bersemayam di atas `Arasy.”
(Taha, ayat 5)

Urusan Allah :

“Setiap waktu Dia dalam kesibukan.”
(QS Ar Rahman : 29)

Para musuh Allah bermesyuarat dan mempersiapkan gerakan untuk menghancurkan agama Allah, maka Allah swt berfirman :

“Mereka memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu.”
(QS Al Anfaal : 30).

Mereka tertawa dan meremehkan orang-orang mukmin dan orang-orang soleh, maka Allah swt berfirman :


“Allah akan membalas penghinaan mereka.”
(At Taubah : 79)

Akhirnya marilah kita sama-sama merasai kewajipan mengagungkan Allah swt di setiap keadaan dan situasi di samping kita perlu juga mengetahui hak-hak Allah ke atas kita supaya kita akan merasa redha dengan apa sahaja yg berlaku kepada diri kita kerana di sana ada hikmah yang tersirat yang mungkin tidak dapat diselami oleh akal fikiran kita yang terbatas ini.


Kadang-kadang kita tidak boleh hanya melihat sesuatu berdasarkan keadaan zahiriahnya sahaja tetapi lebih daripada itu perlu mempunyai mata hati (Basyirah) untuk menilai setiap perkara yang menimpa kita atau situasi yang berlaku di depan mata kita. Walau apapun yang berlaku di dunia ini, akhirnya pembalasan yang sebenarnya menunggu kita di akhirat.
Mungkin orang yang menipu berjaya dengan tipuannya di dunia tetapi ingat bahawa semua tipudaya itu tidak akan terlepas dari pandangan Allah swt dan Allah swt akan menghitung dan menghisab amalan-amalan kita sehingga tiada seorangpun dizalimi dan setiap kezaliman yang berlaku akan dibalas oleh Allah swt dengan seadil-adilnya. Inilah hakikat keyakinan dan keimanan kita kepada Hari Kiamat iaitu Hari Perhitungan dan Pembalasan terhadap segala amalan-amalan yang dikerjakan manusia di dunia.

Kiamat kecil bermula dengan kematian kita yang merupakan pintu pertama yang perlu kita tempuh menuju Alam Barzakh dan seterusnya Alam Mahsyar di mana sidang mahkamah yang sebenarnya akan berlaku sehingga ditentukan sama ada kita akan masuk Syurga atau Neraka. Ya Allah, kurniakanlah kepada kami keyakinan terhadap hari pembalasan sehingga kami merasa takut untuk melakukan kezaliman walau sekecil manapun dan isikanlah hati kami dengan perasaan sentiasa mengagungkan Engkau dalam setiap gerakerja kami. Sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Gagah Perkasa Lagi Maha Bijaksana.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
Labels: Aqidah
http://tinta-perjalananku.blogspot.com/2012/03/hak-allah-ke-atas-manusia.html


Tiada ulasan:

Catat Ulasan