Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Khamis, 8 November 2012

J 87 LIMA Ciri Khusus Pendakwah Di Jalan Allah SWT

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa tugas dakwah memang bukan sebuah tugas yang ringan. Ia mempunyai banyak liku dan halangan yang rumit sama ada dari pihak luar ataupun dari dalaman sendiri.

Kadang-kadang tugas dakwah menjadi suatu beban berat untuk dipikul lebih-lebih lagi bagi mereka yang berkeperibadian lemah dan rapuh. Tugas itu menjadi tembok besar yang amat sukar untuk dilalui. Mereka akan merasa tertekan untuk menggalas tugas demi tugas. Terasa berat untuk menggerakkan kaki dan tangan menerima tugas tersebut. Dakwah yang berkesan dapat diukur apabila semakin lama ia dikumandangkan semakin luas pula pengaruhnya.

Manakala gerakan dakwah dikatakan efektif apabila semakin tua usianya, semakin pula ia dewasa dalam tindakbalas terhadap halangan dan tentangan yang dihadapinya sekaligus semakin ramai pula pendukungnya. Ini boleh diibaratkan dengan pohon kebaikan yang memiliki akar yang kukuh, pohonnya tinggi menjulang dan buah-buahnya mampu dinikmati oleh umat manusia.

“Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat.”
(QS Ibrahim : 24-25)

Untuk menjadi gerakan dakwah yang berkesan, diperlukan prasyarat yang tidak mudah. Di samping manhaj yang jelas dan pemimpin yang handal, ia juga memerlukan rijal-rijal pilihan. Rijal-rijal pilihan inilah yang akan berusaha secara maksima untuk  menunaikan tugas mulia itu dengan sebaik-baiknya. Bahkan rijal yang berkeperibadian ‘amal da’awi’ akan menjunjungnya dengan gembira.

Tidak ada dalam diri mereka, kamus letih dan lemah menyambut tanggungjawab kerana tanggungjawab itu akan menjadi saat-saat bahagia untuk mengukir sejarah hidupnya dengan tinta emas bagi kemenangan dakwah ini sehingga tugas demi tugas dapat ditunaikan dengan baik.

Apabila rijal dakwah tidak lengah dalam masalah ini dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan keperibadian dirinya dalam memikul amanah ini maka ia dapat menaklukkan dunia sebagaimana impian Imam Hasan Al Banna.
Beliau pernah mengungkapkan impiannya dalam ‘Risalahnya Kepada Pemuda’ bahawa ia sanggup menaklukkan dunia dengan rijal-rijal pilihan di bawah binaannya :

“Siapkan 12 ribu rijal-rijal pilihan, aku akan bina mereka dan aku akan taklukkan dunia bersama mereka.”

Mereka menjadi mulia bersama dakwah atau mati dengan keharuman sikap perilaku mereka  dalam amal Islam.

Rijal-rijal pilihan yang menjadi prasyarat ketiga ini setidak-tidaknya memiliki lima ciri khusus seperti berikut :

PERTAMA : MEMBANGUN RUH KEGHAIRAHAN

Rijal-rijal pilihan adalah mereka yang sentiasa membangun ruh keghairahan sehingga tertanam‘ghirah’ (semangat) dalam setiap aktivitinya. Mereka :

1.    Tidak pernah lemah sedikitpun dalam menghadapi rintangan.
2.    Tidak pernah layu dengan berlalunya zaman.
3.    Tidak pernah gentar terhadap tentangan dan halangan.

Bahkan mereka bagaikan batu karang di tengah lautan yang kukuh menghadapi terjangan ombak.
Maka, setiap kali memikul suatu amanah dakwah, rijal itu dengan rasa ikhlas dan penuh semangat melakukannya. Dalam setiap aktiviti tarbawi ia sentiasa :
‘menikmati’ BUKAN ‘terbeban’.
Abul ‘Ala Al Maududi pernah mengingatkan rijal-rijal didikannya :

“Apabila kamu menyambut tugas dakwah ini, janganlah ianya sebagaimana sikap kamu terhadap tugas yang menyangkut urusan peribadi kamu kerana jika begitu, maka dakwah ini akan mengalami kekalahan yang teruk. Oleh kerana itu, sambutlah tugas ini dengan ghairah.”

Beberapa tahun pertama penggabungan seseorang ke dalam putaran perjuangan dakwah bererti tahun pembinaan iaitu hari-hari di mana kita memberikan konsentrasi dalam aktiviti tarbawi, menguatkan kembali halaqah, pengajian, daurah dan sebagainya.

Di samping untuk rijal-rijal yang telah bergabung sejak sekian lama, waktu kita sekarang juga perlulah dimanfaatkan untuk melayani masyarakat sekitar dengan memberikan hak tarbiyah kepada mereka. Ini semua memerlukan ruh keghairahan rijal.Yang lebih penting lagi, di dalam menjalani paksi sosial ini, rijal-rijal dakwah perlulah lebih bersemangat dan berghairah dalam beribadah kepada Allah swt.

1.    Untuk apakah dakwah kita selama ini jika bukan untuk menggapai redhaNya?
2.    Apakah kebaikan yang akan kita dapatkan jika kita sendiri telah kehilangan ruh semangat dan keghairahan bertaqarrub kepada Allah Azza wa Jalla?

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman. Jika kamu (pada perang Uhud) mendapat luka, maka sesungguhnya kaum (kafir) itupun (pada perang Badar) mendapat luka yang serupa. Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran); dan supaya Allah membezakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) supaya sebahagian kamu dijadikanNya (gugur sebagai) syuhada.’ Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim.” 
(QS Ali Imran : 139-140)

Oleh kerana  itu, sudah sepatutnya bagi rijal dakwah untuk sentiasa berusaha meningkatkan keghairahannya melalui amalan-amalan yang disunnahkan oleh Rasulullah saw sehingga ghairahnya tidak kendur.

Selain itu ada banyak lagi cara-cara untuk memperkasakan keghairahan dalam perjuangannya  seperti :

1.    Melaksanakan ibadah-ibadah sunnah.
2.    Mengkaji sejarah kepahlawanan Islam.
3.    Membayangkan pahala dan balasan yang dijanjikan oleh Allah swt.
4.    Mencontohi kehidupan para rijal pilihan sepanjang zaman dalam menyebarluaskan dakwah ini, sehingga ianya menjadi bahan bakar agar semangatnya sentiasa bergelora.

Muhammad Ahmad Ar Rasyid mengingatkan bahawa :

“Gelorakan semangatmu wahai saudaraku dan jangan kendur sedikitpun serta marilah maju bersama kafilah dakwah ini. Siapa yang tidak lagi bersemangat maka janganlah ikut barisan kami.”

KEDUA : MEMBANGKITKAN SEMANGAT INISIATIF

Mari kita merenung kepada beberapa persoalan berikut :

1.    Tidak semua rancangan kita boleh berjalan seratus peratus.
2.    Tidak semua yang berlaku dan dilalui oleh dakwah sesuai dengan langkah-langkah yang telah diramalkan sebelumnya.
3.    Tidak semua jangkaan jamaah mampu menampung segala yang datang di masa hadapan.

Oleh yang demikian, semangat inisiatif amat diperlukan dan ianya perlu dilatih untuk mampu dimiliki oleh rijal-rijal dakwah.Ketika dakwah akan bersentuhan secara langsung dengan bidang politik, sifat dinamik iklim politik yang tidak terduga kerap berlaku di mana tidak mungkin semuanya boleh diramal secara tepat dan dipersiapkan langkah-langkah bagi menghadapinya satu persatu.

Tanpa kemampuan inisiatif, rijal-rijal dakwah akan menjadi kaku setiap kali menghadapi masalah baru dan perkara-perkara yang di luar dugaan. Inilah sebab mengapa setiap rijal dakwah  juga perlu menyediakan ruang ‘ketidakpastian’ dalam menghadapi kejutan-kejutan dalam dirinya.Inisiatif ini tidak hanya diperlukan dalam konteks gerakerja politik malah dalam setiap amanah dakwah yang dipikul oleh rijal dakwah, seringkali ada tuntutan untuk melakukan inisiatif.

Misalnya ketika seorang rijal dakwah diamanahkan sebagai jawatankuasa daurah sementara ‘muwajjih’ yang sepatutnya sampai seperti yang dijadualkan, namun belum juga tiba. Jika tidak memiliki inisiatif, peserta akan menjadi bosan kerana dibiarkan tanpa kegiatan. Ini memerlukan inisiatif rijal untuk memanfaatkan waktu tersebut atau mengganti ‘muwajjih’ tersebut jika memang ia tidak dapat hadir.

Demikian pula dalam aktiviti halaqah; jika ‘murabbi’ tidak juga datang sementara telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi, perlu ada inisiatif dari para ‘mutarabbi’untuk memulai halaqah dengan aturcara program yang telah disepakati bersama.

Inisiatif ini perlu dimiliki oleh rijal dakwah dan bukan masanya lagi rijal dakwah hanya diam menunggu ‘taklimat’ lalu waktunya berlalu begitu sahaja tanpa ada manfaat bagi umat.

Inisiatif perlulah dikembangkan selama mana tidak bertentangan dengan syariat dan‘tsawabit’ dalam jamaah serta berasaskan ‘maslahah’.

Sayid Muhammad Nuh menceritakan murabbinya, Abbas As Sissi yang sentiasa kaya dengan inisiatif dalam berdakwah.

Beliau bukan hanya kaya dengan idea dan gagasan tetapi kaya pula dengan sikap dan perbuatannya hingga ramai orang yang terpaut hatinya kepada dakwah hasil inisiatifnya yang amat tinggi.

1.    Ada pemuda yang tertarik pada dakwah kerana ia menyebut namanya yang telah ia hafal.
2.    Ada pula orang yang berjiwa kasar menjadi pengikut dakwah lantaran ia buka dengan dialog-dialog yang menarik.

Mari kita berbalik kepada sejarah Islam yang menyimpan khazanah yang luar biasa tentang kreativiti, inovasi dan inisiatif di mana kita dapat lihat betapa dakwah menuai banyak manfaat dari inisiatif rijal-rijalnya.

Rasulullah saw sentiasa berusaha mengembangkan sikap berfikir secara kritikal dan menggali idea serta pendapat para sahabat melalui mekanisma syura.
Semua ini dilakukan oleh Rasulullah saw meskipun baginda didukung secara langsung oleh wahyu Allah yang memiliki kebenaran yang hakiki.

Pendekatan tarbiyah seperti ini menjadikan para sahabat sebagai umat yang unik. Boleh dikatakan setiap sahabat memiliki keunikan tersendiri yang patut ditiru oleh kita.
Mereka memiliki komitmen dan ketaatan yang utuh kepada Allah swt dan RasulNya namun bersamaan dengan itu, mereka juga hidup dengan kreativiti, inovasi dan inisiatif dalam memikul amanah dakwah dan kehidupan.

Justeru ketaatan mereka kepada Allah dan RasulNya itulah yang menjadikan mereka memiliki pandangan yang tajam (Bashirah) hingga melahirkan idea serta kreativiti yang jitu dalam menghadapi banyak persoalan.

INISIATIF MUS’AB BIN UMAIR

Dari inisiatif bijak Mus’ab bin Umairlah akhirnya masyarakat Madinah beriman dan menerima kaum Muhajirin.
Ketika beliau diutus oleh Rasulullah saw untuk berdakwah di Madinah, Mus’ab tidak menerima perintah secara terperinci kepada siapa beliau seharusnya hubungi ketika berada di sana.
Namun, hasil dari inisiatifnya sendiri, Mush’ab telah berusaha menemui dua tokoh besar Madinah yang bernama Sa’ad bin Mu’az dan Sa’ad bin Ubadah di mana kedua orang ini adalah tokoh-tokoh yang sangat berpengaruh di Madinah ketika itu. Ketika keduanya menerima Islam, maka ramailah orang yang  mengikuti mereka.

INISIATIF SALMAN AL FARISI

Selain Mush’ab ada Salman Al-Farisi. Dalam situasi yang sangat genting dalam peperangan Ahzab, ia tidak duduk diam malah berinisiatif untuk memberi pendapat dan pandangan.
Berdasarkan pengalamannya di Parsi, ia mengusulkan agar melakukan strategi menggali parit untuk melumpuhkan kekuatan Musyrikin dan Yahudi yang siap sedia menggempur kaum Muslimin.
Melalui pertolongan Allah berkat idea Salmanlah yang menyebabkan kaum Muslimin tidak mampu ditaklukkan oleh pasukan sekutu Musyrikin dan Yahudi dan kemenangan berpihak kepada kaum muslimin.
  
INISIATIF HUBBAB BIN AL MUNDZIR

Ada lagi seorang sahabat ynag bernama Hubbab bin Al Mundzir yang mengusulkan agar Rasulullah saw beserta pasukan baginda mengambil tempat berdekatan dengan sumber mata air dalam perang Badar dan berkat inisiatif ini membawa sumbangan kepada kemenangan kaum muslimin dan sebagai akibatnya, pasukan Musyrikin dapat dikalahkan dalam perang Badar.
Inisiatif merupakan satu langkah maju ke depan dalam rangka ‘i’dadul quwwah’  iaitu menyediakan dan membangun kekuatan Islam.

“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa sahaja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya.” 
(QS Al-Anfal : 60)



KETIGA : MEMBANGUN JIWA TANGGUNGJAWAB

Rijal-rijal pilihan adalah mereka yang juga membangun jiwa tanggungjawab dalam dirinya.
Rijal sejati bukanlah mereka yang selalu mengelakkan diri dari memikul amanah; dan pada masa yang sama juga tidak bercita-cita untuk meminta amanah, tetapi ia perlu mengambil sikap pertengahan di mana ia bersedia menjalankan segala amanah dan siap melaksanakan setiap tanggungjawab yang diamanahkan oleh jamaah.
Rijal dakwah yang bertanggungjawab pada tugas yang diamanahkan kadang-kadang tidak dapat tidur nyenyak.

1.    Ia sentiasa berfikir secara serius untuk kemajuan dakwah.
2.    Ia merasa malu jika tidak dapat berbuat apa-apa.
3.    Ia merasa sedih jika dakwah tidak berkembang.
4.    Ia sangat senang kalau dakwah ini berkembang dan meraih ramai pengikut.
5.    Ia merasa tidak tenang apabila meninggalkan tugas yang masih berceceran di sana-sini.
6.    Ia akan sentiasa bersiap sedia menyongsong tugasnya.

Wajarlah apabila Imam Hasan Al Banna memandang sikap rijal yang tidak bertanggungjawab pada tugasnya sebagai perbuatan dosa. Paksi daulah yang menjadi cita-cita jamaah juga memerlukan ramai rijal-rijal dakwah yang teruji kepemimpinan dan tanggungjawabnya di segala bidang kehidupan.
Dakwah memerlukan rijal-rijal yang bersedia memikul tanggungjawab pada peringkat perundangan, eksekutif dan kehakiman. Namun dakwah juga tidak boleh kekurangan rijal yang berperanan memikul tanggungjawab pada peringkat mahasiswa dan profesional.

Semua rijal, tidak boleh tidak, mesti bersedia dan mampu mengambil tanggungjawab sesuai dengan kapasitinya tetapi semuanya perlu terlibat dalam tanggungjawab menolong agama Allah, sebagaimana para ‘hawariyyin’ yang telah mengambil tanggungjawab itu dan  mendeklarasikannya di hadapan Nabi dan pemimpin mereka iaitu Nabi Isa as :

“Maka tatkala Isa mengetahui keingkaran mereka (Bani lsrail) berkatalah dia: “Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku untuk (menegakkan agama) Allah?” Para hawariyyin (sahabat-sahabat setia) menjawab: “Kamilah penolong-penolong (agama) Allah, kami beriman kepada Allah; dan saksikanlah bahwa sesungguhnya kami adalah orang-orang yang berserah diri.” 
(QS Ali Imran : 52)

KEEMPAT : MEMBANGUN SEMANGAT PENGORBANAN

Ciri lain yang perlu ada pada rijal-rijal pilihan adalah semangat berkorban (At-Tadhiah).
Perjuangan dakwah pasti memerlukan pengorbanan kerana tidak ada perjuangan tanpa pengorbanan.
Pengorbanan itu boleh berupa pengorbanan :

1.    Waktu.
2.    Tenaga.
3.    Fikiran.
4.    Harta.
5.    Nyawa.

Sementara perjuangan yang tertinggi iaitu ‘jihad fii sabiilillah’memerlukan kombinasi pengorbanan semua perkara di atas.Jika dalam mengharungi dakwah ini kita belum berkorban, maka peranan kita dalam dakwah perlu dipersoalkan.

Bahkan, pengorbanan (At-Tadhiah) merupakan salah satu rukun bai’ah yang disyaratkan oleh Imam Hasan Al-Banna bagi rijal-rijal dakwah. Tentu sahaja, pengorbanan yang diterima oleh Allah swt adalah pengorbanan yang ikhlas, dari hamba-hambaNya yang bertakwa.

“Sesungguhnya Allah hanya menerima (kurban) dari orang-orang yang bertakwa”.
(QS Al-Maidah : 27)

Pengorbanan di jalan dakwah merupakan kemestian dalam  perjuangan Islam di mana dengan keikhlasan rijal dakwah mengorbankan diri dan hartanya, inilah urusniaga yang akan dibeli oleh Allah dengan syurgaNya.

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.”
(QS At-Taubah : 111)

Muhammad Ahmad Ar Rasyid mengingatkan bahwa dalam perjalanan dakwah ini, kita janganlah bersikap seperti umat Nabi Musa yang duduk-duduk berdiam diri sahaja menunggu datangnya kemenangan dari perjuangan Nabinya sebaliknya hendaklah berusaha kuat untuk jalan dakwah ini dengan sentiasa berkorban dan tidak pernah kendur semangatnya untuk berkorban.

Tentu sahaja semangat berkorban ini tidak akan kendur apabila sikap kepatuhan rijal kepada ajaran ini tidak berkurang sedikitpun. Mereka mematuhi ketentuan yang sudah semestinya dilaksanakan dan mengukuhkan ruh maknawiyahnya setiap saat serta berada dalam stamina kemuncak kerohanian.

Said Hawwa menegaskan bahawa pengorbanan merupakan kepatuhan dan kepatuhan adalah syarat kemenangan. Maka persiapkanlah wasilah-wasilah kemenangan dengan meningkatkan semangat berkorban terus menerus agar kemenangan menjadi kenyataan yang dekat.

KELIMA : MENINGKATKAN POTENSI DIRI

Ciri kelima bagi rijal-rijal pilihan adalah meningkatkan potensi diri.
Setiap rijal sebagaimana manusia umumnya adalah peribadi yang unik. Masing-masing memiliki potensi yang tidak seragam.
Ada yang potensinya pada bidang :

1.    Seni.
2.    Komunikasi.
3.    Teknikal.
4.    Ekonomi dan sebagainya.

Potensi-potensi ini perlu dikembangkan walaupun ketika ini baru disedari potensinya tidak sesuai dengan profesyen yang diceburinya, ia bukan menjadi halangan untuk dikembangkan.Oleh yang demikian, dalam tarbiyah sering berlaku penggiliran amanah, perubahan struktur dan sebagainya kerana selain menyegarkan semangat dan menguatkan ketaatan pada jamaah dan kepimpinan, proses itu juga diperlukan untuk mengetahui potensi yang ada di dalam diri rijal tersebut.

Kadang-kadang kita mendapati seseorang yang kurang berjaya sebagai bendahari, namun ia sangat cepat berkembang justeru setelah ia dilantik sebagai ketua. Ternyata potensinya adalah memimpin orang; bukan mengurus belanjawan!
Demikian pula ramai ahli pidato yang handal yang kita temui dalam jamaah dakwah ini ketika mereka diamanahkan secara tiba-tiba bagi menggantikan ahli pidato sediada yang terhalang oleh sesuatu sebab.

Menyedari kedudukan potensi rijal bagi kelangsungan dakwah ini amat bermakna maka para rijal dakwah perlu mengasah dan mempertajamkannya kerana walauapapun potensi yang dimilikinya, ianya sangat berguna bagi dakwah ini.
Perumpamaannya seperti butiran pasir. Memang secara fizikalnya sebutir pasir yang sangat kecil saiznya apabila dibandingkan dengan bahan lainnya dalam sebuah bangunan terasa begitu amat kecil sekali di mana nampaknya ia bukanlah unsur penentu dalam kekukuhan bangunan tersebut.

Andaian ini benar apabila hanya sebutir pasir sahaja yang berpandangan demikian tetapi jika seluruh butiran pasir beranggapan yang sama maka robohlah bangunan tersebut.Oleh kerana itu, seseorang rijal dakwah tidak boleh memandang remeh terhadap berbagai potensi yang diberikan oleh rijal lainnya. Malah ia seharusnya menghargai potensi-potensi tersebut dan memberi semangat untuk berusaha terus meningkatkannya kerana Allah swt menyukai orang-orang yang dapat ikut serta dalam barisan dakwah ini dengan potensi yang diberikanNya.

“Katakanlah: “Tiap-tiap orang berbuat menurut keadaannya masing-masing”. Maka Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang lebih benar jalannya.”
(QS Al Isra’ : 84) 

Jadi, setiap waktu yang berlalu, sedapat mungkin, potensi rijal dakwah hendaklah semakin tajam dan meningkat seperti ungkapan seorang ulama’ tatkala berjumpa dengan temannya menyatakan:

“Tidak aku temukan dalam dirinya setiap berlalunya waktu kecuali semakin meningkat kebaikan keperibadiannya.”

Apabila keadaan ini menjadi watak dan keperibadian para rijal dakwah, maka tidak mustahil kemenangan yang diimpikan itu adalah amat dekat.Semoga kita mampu menumbuhkan lima ciri-ciri rijal pilihan dalam diri kita sehingga langkah kita semakin mantap dalam mengisi paksi sosial dan paksi-paksi seterusnya dan hanya kepada Allah kita mengharapkan rahmat, taufik dan hidayahNya.

Ya Allah, berilah kemudahan kepada kami untuk meningkatkan ciri-ciri kelayakan sebagai rijal pilihan sehingga dakwah ini akan memberikan kesan yang mendalam terhadap pemikiran dan perilaku masyarakat yang akhirnya akan memenangkan DeenMu serta menjulang tinggi syariatMu di persada dunia.
Ameen Ya Rabbal Alameen

WAS
Labels: Fikrah
http://tinta-perjalananku.blogspot.com/2012/02/ciri-ciri-rijal-pilihan.html
Maklumat tentang gambar rujukan :

رجال ونساء حول الرسول صلى الله عليه وسلم
Author: Sa’d Yusuf Abu Aziz
Translator: Suleman Fulani
ISBN: 978-603-500-0338
Pages: 608
Weight: 2.01 lbs
Size: 6X9
Binding: Hardback
Click for sample pagesThe author has chosen one hundred personalities amongst the Companions. He compiled narrations, hadiths and incidences that contributed to the distinction of these individuals who have no similitude in the history of mankind after the Prophets of Allah and His Messengers. Their excellence is further clearly established from the study of these individuals, their attributes and their characters with which they were embellished. For this reason, they were from the best of people ever raised up for mankind


Tiada ulasan:

Catat Ulasan