Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Rabu, 7 November 2012

J 85 TANGGANGpun kasihkan ibunya

Tanpa ayah dan ibu, siapalah kita semua! Daripada mereka berdua, kita dilahirkan, dijaga dan dibesarkan. Kemudian lumrahnya orang mendewasa, kian jauh kembara dan cita-citanya. Namun seperti terbang bangau, ke belakang kerbau juga akhirnya. Itulah naluri yang dipilih oleh ALLAH SUBHANAHU WA TAALA kepada setiap insan, kecualilah dengan akal dan perasaannya naluri itu dihindari.


Kisah Tanggang atau Malin Kundang sudah sebati dengan budaya kehidupan Melayu. Jauh dan megah bagaimanapun Tanggang atau Malin, di sudut hatinya tetap kasih dan rindu pada ibu. Apa yang menyebabkan Tanggang atau Malin ‘berlagak sombong’ hanya dihasut oleh perasaan sahaja, sedang akal budinya tetap naluri kecintaan kepada ibu. Apa nak buat, perasaan telah mengalahkan akal budi, lalu jadilah nama-nama itu simbol kedurhakaan anak kepada orang tua.

Sekalipun naluri kecintaan kepada ayah dan ibu itu ada, namun
ALLAH SUBHANAHU WA TAALA mantapkan dalam bentuk wahyu untuk dijadikan panduan hakiki peranan anak kepada ayah dan ibunya. Perhatikan maksud ayat 23 surah al-Isra’ 

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu dan ayahmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang antara kedua-duanya atau kedua-duanya (sekali) sampai berumur lanjut janganlah kamu mengatakan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka, dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah (doa) ‘wahai Tuhanku, kasihilah mereka berdua sebagaimana mereka telah mendidik aku sewaktu kecil.”

Daripada ayat berkenaan dapat ditemui beberapa maklumat seperti:

1. Ketauhidan yang benar disandingkan dengan berbakti mulia kepada ibu dan bapa.

2. Tidak boleh sama sekali menyinggung perasaan ibu dan bapa sekalipun berbeza pendapat.

3.
ALLAH SUBHANAHU WA TAALA mengharamkan anak-anak memilih perkataan kasar dan keji ketika berbicara dengan ayah dan ibu, sebaliknya ALLAH SUBHANAHU WA TAALA mewajibkan anak-anak memilih perkataan dan ayat yang mulia ketika berbicara dengan mereka.

4. Perintah
ALLAH SUBHANAHU WA TAALA supaya anak-anak memuliakan ayah dan ibu (sebagaimana rakyat memuliakan rajanya).

5. Perintah
ALLAH SUBHANAHU WA TAALA supaya anak-anak sentiasa kasihan terhadap ayah dan ibu, langsung berdoa agar ALLAH SUBHANAHU WA TAALA mengasihi mereka berdua.


Alangkah indahnya saranan alquran untuk anak-anak meladeni kedua-dua orang tuanya. Rugi besarlah jika kesempatan untuk mendampingi kedua-dua ibu dan bapa dipersia-siakan. Kelak, setelah kedua-duanya pergi menghadap Tuhannya, barulah anak-anak menyesali telah melalaikan hal yang sebenarnya boleh saja dilakukan sama ada secara langsung atau sebaliknya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan