TADI jam 3.00 petang seorang budak lelaki berumur 12 tahun datang menemui saya meminta sedekah. Kerana saya lama berbual dengan budak lelaki ini, abangnya yang berusia 14 tahun datang pula menemui saya. Mereka berdua berjalan ke mana-mana saja untuk meminta sedekah, untuk meneruskan hidup.
Saya kutip semula apa yang diceritakannya tadi. Ibu bapanya adalah pelarian Myanmar (Rohingya) muslim. Pelarian Rohingya ini diterima oleh kerajaan Melaysia sebagai pelarian politik dan disahkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). UNHCR adalah badan dalam PBB yang mengesahkan status pelarian ini. Pelarian Rohingya ini diberi surat khas oleh UNHCR. Dengan surat itu, mereka tidak akan diusir keluar dari negara ini.
Diceritakan, budak berdua tadi ada dua lagi adiknya bawah 10 tahun. Tinggal dengan neneknya, orang Rohingya juga. Si abang mengaku tidak bersekolah sewaktu ayahnya masih hidup. Adik-adiknya juga tidak sekolah. Jadilah mereka buta huruf dan jahil.
Mengapa tidak sekolah? Jawab mereka ialah pentadbiran sekolah tidak menerimanya bersekolah kerana ibu bapanya pelarian sekalipun ada surat UNHCR. Anak-anak ini mengaku ada surat sijil lahir kerana dilahirkan di Malaysia.
Ditanya mengenai kad pengenalan atau Mykad. Jawabnya ialah dia sudah membuatnya di Pejabat Pendaftaran tetapi pegawai tidak membenarkan mengambilnya kerana ayah dan ibunya orang pelarian. Kerana kejahilannya, saya yakin dia polos, jadi jawapannya benar seperti yang diberitahu oleh pihak sekolah dan Pejabat Pendaftaran.
Orang asing yang ada surat pengesahan seperti Pemastautin Tetap (PR) atau UNHCR, mereka boleh meneruskan kehidupan di Malaysia secara sah dan dijaga hak-haknya mengikut undang-undang. Siapa bilang anak pelarian UNHCR tidak boleh sekolah? Untuk persekolahan anak-anak, mereka wajib berurusan dengan Jabatan Pelajaran Negeri, yang mungkin saja JPN perlu pengesahan daripada Kementerian Luar Negeri atau Kementerian Dalam Negeri. Jika itu syarat-syaratnya, maka beritahu dengan terang supaya anak-anak ini tidak membesar tanpa pengetahuan dan menjadi beban masyaarakat sepanjang hidup kerana buta huruf dan jahil.
Saya harap remaja Rohingya tadi tersalah jawab dengan mengatakan pegawai Pendaftaran Negara tidak membenarkan dia mengambil Mykadnya disebabkan anak pelarian UNHCR. Kalau permohonan sudah diproses, tidak ada sebab sampai dua tahun Mykad tidak diberikan. Sama ada dia bertaraf PR atau warga negara, dia wajib memiliki Mykad.
Tanpa Mykad dan buta huruf, akhirnya mereka dan yang senasib dengannya akan menjadi beban negara. Kerana terdesak, mereka akan mengganggu kehidupan kita warga biasa dengan meminta sedekah. Lebih memburukkan keadaan, mereka akan mengenakan kupiah menggambarkan anak-anak muslim, tetapi pakaiannya berbau busuk dan kotor sebagai gambaran hidup yang tidak terurus.
Sudah 14 tahun baru belajar ngaji Iqra! Mereka akan menjadi seperti ‘Tarzan’ datang dari hutan Afrika ke kota London! Sejak tahun 80-an saya sudah didatangi anak-anak Rohingya ini, dan sekarang masih ada warisnya. Tentu di luar pengetahuan saya, ada banyak lagi anak-anak malang seperti ini. Kalau ada yang terdesak, mungkin saja ada yang akan menjadi penjenayah.
Salahnya bermula dengan kita yang tidak memberi tunjuk jalan sebenar untuk persekolahannya dan (jika betul) membekukan Mykadnya dengan ada muslihat lain, mungkin wang rasuah!
Jadi begitulah, kalau kita teliti dalam-dalam. Apa yang kita perhatikan, sebenarnya mempunyai kaitan dan cerita yang panjang. Seperti air batu di tengah lautan, hanya 20 peratus yang kelihatan, bakinya yang besar ada tersembunyi dengan gagah di dalam laut. Kapal sehebat Titanicpun tenggelam kerana melanggarnya. Anak-anak Rohingya dan yang senasibnya umpama 20 peratus air batu yang muncul. Masalah mereka yang merayau-rayau meminta sedekah adalah 80 peratus yang tersembunyi, dan menyebabkan negara menanggung beban. Beban negara sebenarnya ditanggung oleh warganya. Kita adalah warganegara Malaysia pembayar cukai!
Zalimkah kita ????
Janganlah kita menjadi insan yang zalim di bumi kepunyaan Allah SWT ini. Tak mampu membantu dari segi kewangan dan harta benda, mohonlah kita kepada Allah SWT(berdoalah) semoga semua Umat Islam selamat dan tidak dizalimi. In Shaa Allah. Sesungguhnya semua muslim adalah bersaudara. Bantulah saudara-saudara kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan