SETELAH hampir sebulan berpuasa kini
umat Islam bergembira, saat tibanya hari raya. Manakala Ramadan pergi jua,
dengan meninggalkan seribu kenangan dan pengajaran buat insan yang berjaya
melalui ujian puasa dengan sempurna.
Tentunya, keriuhan ketika berbuka dan bersahur, keterujaan menanti azan Maghrib menandakan waktu berbuka akan tinggal kenangan. Malah agenda solat tarawih mahupun qiamullail juga sirna dalam diari kebanyakan orang Islam. Masjid-masjid akan kembali sunyi dengan perginya bulan mulia ini.
Namun harapan tinggi menggunung, disandarkan ke Hadrat Allah SWT agar segala kurnia berupa rahmat, pengampunan dosa, pembebasan api neraka, perkenan doa dan pahala beribadah di malam lailatulqadar diraih golongan yang menang dalam mengharungi jihad Ramadan.
Selain itu, terlalu banyak pengajaran boleh diperolehi daripada pendidikan Ramadan. Umpamanya umat Islam dididik supaya sentiasa menepati masa melalui amalan berbuka dan bersahur. Kepentingan menghargai masa ini, boleh diaplikasikan dengan sentiasa solat pada waktunya. Ramadan turut mengajar bagaimana, ibadat penting dalam kehidupan Muslim. Justeru, segala amalan mulia yang telah dipraktikan seharusnya menjadi rutin harian sepanjang tahun dengan penambahan aspek kesempurnaan ketika beribadah.
Amalan berdoa yang sinonim dengan Ramadan dan merupakan senjata Mukmin, wajar dipergiatkan lagi. Terutama, disepertiga malam sambil diringi ibadah qiamullail. Kerana di waktu itu setiap hamba boleh mengajukan permohonan dan bermunajat kepada-Nya.
Begitu pula, perbuatan buruk yang merosakkan pahala puasa seperti mengumpat, mengeji orang, banyak makan, banyak tidur dan melakukan perkara tidak berfaedah elok dihentikan. Ini kerana, jika setiap pengajaran Ramadan, boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian, bermakna individu terbabit telah beroleh sifat takwa sebagai balasan yang dijanjikan Tuhan.
Ini dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud
“Wahai orang-orang yang beriman di
fardukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana difardukan ke atas orang yang
terdahulu, semoga kamu bertakwa.”
(Surah Al-Baqarah:183)
Kini, Syawal pula kunjung tiba. Keceriaan menyambut Syawal jelas tergambar dengan persiapan kuih-muih, pakaian baharu dan perancangan untuk pulang berhari raya di kampung halaman.
Maha benar hadis Nabi Muhammad SAW yang menyatakan
“Bagi orang yang berpuasa dikurniakan 2
kegembiraan; kegembiraan ketika berhari raya dan kegembiraan ketika bertemu
Tuhannya.”
Sehubungan itu, Syawal wajib disambut dengan amalan berteraskan syariat, jauh daripada perlakuan dosa dan maksiat yang terlarang. Apatah lagi ketika itu, syaitan baharu sahaja bebas daripada dibelenggu. Tentunya ia kesempatan untuk kembali aktif, menggangu individu lemah iman dan gagal melalui Ramadan dengan cemerlang.
Bagi orang Mukmin, inilah masa untuk merealisasikan pendidikan Ramadan dalam realiti kehidupan sebenar. Perlu difahami, Syawal bukan kesempatan untuk menqada’ dosa yang berhenti dilakukan sebulan lalu. Malah perjuangan selepas ini, ternyata sukar kerana berhadapan dua musuh dalam satu masa; iaitu Iblis dan nafsu diri sendiri.
Menjelang 1 Syawal, pertolongan Allah SWT sangat diperlukan bagi membantu menjalani kehidupan dengan berpandukan syariat, melalui doa dan memohon bantuan dair-Nya.
Disamping itu bagi yang belum menunaikan kewajipan zakat, tempoh masa sehingga menjelang solat sunat hari raya masih boleh dimanfaatkan. Hulurkanlah bantuan ikhlas kepada yang memerlukan selaras dengan tuntutan melaksanakan zakat yang difardukan.
Aktiviti shopping sakan yang telah menjadi tradisi sesetengah masyarakat elok dikikis menerusi budaya berhemah ketika berbelanja. Beli yang patut dan perlu serta elakkan berhutang semata-mata untuk bergaya. Ungkapan biar papa asal bergaya tidak patut menjadi amalan kerana bersalahan dengan prinsip Islam yang menganjurkan kesederhanaan dalam semua hal. Malah yang patut difikirkan, keperluan menjelang sesi persekolahan anak-anak yang baharu dan memerlukan perbelanjaan yang besar.
Setiap individu Muslim juga perlu mempastikan, pakaian hari raya yang dibeli adalah yang patuh syariah, tidak terlalu ketat ataupun mendedahkan bahagian tubuh yang dilarang. Jangan alasan bergaya, kewajipan menutup aurat diabaikan. Hayatilah pengajaran Ramadan yang mendidik supaya sentiasa mengikut peraturan sepanjang masa. Ketahuilah, Syawal bukan bulan memperagakan berbagai fesyen pakaian, lalu mengundang sifat mazmumah seperti ego dan bangga diri. Tiada guna bersusah-payah melakukan ketaatan selama sebulan, kemudian dirosakan dalam tempoh sehari.
Sempena I Syawal pula, masyarakat Islam diseru menyemarakkan lagi budaya kunjung mengunjung yang dapat mempereratkan hubungan silaturrahim. Sifat mulia saling memaafkan dan menerima kekurangan orang lain adalah intipati daripada nilai persaudaraan Islam yang perlu dipelihara.
Allah SWT berfirman yang ertinya
“Sesungguhnya setiap orang Mukmin adalah
bersaudara maka perelokkanlah hubungan persaudaraan sesama kamu.”
(Surah al-Hujurat:10)
Dewasa ini, berlaku semacam trend di kalangan masyarakat Islam, yang lebih suka berhari raya di hadapan televisyen dengan berbagai hidangan rancangan hiburan berbanding menziarahi sanak-saudara. Dibimbangi budaya ini jika dibiarkan akan menular dalam masyarakat sehingga akhirnya amalan saling mengunjungi tidak lagi dipraktikkan terutama oleh generasi muda.
Sepatutnya kesempatan hari cuti sempena ketibaan hari raya dipenuhi dengan aktiviti ziarah untuk saling mengenali kaum-kerabat dan jiran tetangga sehingga berhasil mempertaut hubungan silaturrahim sesama manusia.
Walaupun demikian keseronokan berhari raya diharap tidak menyebabkan tanggungjawab utama seperti solat dilupakan. Kerana ia tugas utama yang tidak boleh diabaikan dalam apa jua situasi.
Selain itu, berpuasa sunat selama enam hari di bulan Syawal sangat digalakkan kepada individu Muslim. Mereka yang melaksanakannya bakal beroleh ganjaran pahala puasa setahun, sebagaimana dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabdanya
“Barangsiapa yang berpuasa di bulan
Ramadan kemudian diikuti berpuasa enam hari di bulan Syawal adalah puasanya itu
seperti puasa sepanjang setahun.”
( Hadis Riwayat Muslim).
Ketetapan ini berdasarkan perkiraan jika setiap amalan kebajikan dibalas dengan sepuluh kali ganda. Bermakna dengan berpuasa sebulan, sebanyak 300 kebajikan telah diperolehi kemudian ditambah lagi enam hari di bulan Syawal, maka genaplah seperti berpuasa 360 hari, iaitu kira-kira setahun.
Akhirnya, hayatilah pemergian Ramadan dengan ketakwaan dan sambutlah ketibaan Syawal dengan penuh kesyukuran. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin diucapkan kepada semua pengunjung yang sudi melayari blog ini.
Semoga ramadan yang pergi meninggalkan kesan dalam diri
Untuk menjadi Muslim sejati, sambil berharap kejayaan hakiki
Makan ketupat hati-hati takut tersedak merana diri
Salam lebaran dari kami mohon ampun
sepuluh jari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan