MUNGKIN tak ramai yang sedar kedatangan
tahun baharu 1431 hijrah, menandakan bertambah satu tahun lagi umur dunia. Ini
menandakan dunia hampir kepada detik kehancuran menyeluruh sebagaimana
dijanjikan Tuhan. Kalau dahulu, semasa perjalanan Isra’ dan Mikraj Nabi
Muhammad SAW diperlihatkan dengan gambaran dunia seperti wanita tua yang
terlalu uzur, tentunya boleh dibayangkan bagaimana keadaan dunia setelah hampir
1400 tahun berlalu peristiwa bersejarah itu.
Detik mencemaskan hari kehancuran dunia, bukan imiginasi dan khayalan filem yang boleh direka-reka. Ia tidak sedahsyat filem 2012, keluaran Hollywood yang hebat diperkatakan pada masa kini. Ia juga bukan End of the day sepertimana yang dibayangkan. Hari kemusnahan itu ialah hari kiamat yang menakutkan sebagai mana dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud
Detik mencemaskan hari kehancuran dunia, bukan imiginasi dan khayalan filem yang boleh direka-reka. Ia tidak sedahsyat filem 2012, keluaran Hollywood yang hebat diperkatakan pada masa kini. Ia juga bukan End of the day sepertimana yang dibayangkan. Hari kemusnahan itu ialah hari kiamat yang menakutkan sebagai mana dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud
“Wahai manusia, hendaklah kamu bertakwa kepada Tuhan-Mu, kerana gegaran hari kiamat adalah sesuatu yang dahsyat. Pada hari itu, kamu akan saksikan wanita yang sedang menyusukan anak lupa kepada anaknya, wanita yang sedang mengandung keguguran kandungannya, manusia dalam keadaan mabuk tetapi sebenarnya mereka tidak mabuk. Akan tetapi kerana azab Allah sangat pedih.”
(Surah al-Haj:1-2)
Bibit-bibit ke arah kehancuran itu, mula dirasai ketika ini. Masalah pemanasan global yang membimbangkan dunia misalnya perlu dilihat dari kacamata yang lebih luas bukan sekadar mencari jalan untuk mengatasinya. Ini kerana, alam semulajadi ciptaan terbaik Allah SWT telah menjadi korban kerakusan manusia demi mengejar kemajuan. Malahan jika diteliti, tiada sebarang sparepart disediakan untuk mengganti lapisan ozon yang telah dimusnahkan. Kini generasi manusia berhadapan dengan impak kemusnahan alam akibat kejahatan tangan-tangan sendiri. Yang pasti segala yang telah musnah tak akan ada gantian lagi.
Ketibaan tahun baharu juga bererti umur manusia semankin meningkat, realitinya manusia hampir bertemu Tuhan-Nya. Pernah seorang wali Allah bertanya kepada seseorang tentang umurnya lalu dijawab 40 tahun. Berkata wali itu, kamu semankin dekat bertemu dengan Tuhanmu.
Persoalannya, apa persiapan yang telah dilakukan untuk pertemuan yang pasti itu. Sudah tentu agenda pelaksanaan ibadah akan menjadi asas utama indeks pencapaian kualiti di sisi Allah SWT. Ini bertepatan dengan tujuan utama penciptaan manusia bagi mengabdikan diri kepada-Nya.
Justeru, ketibaan tahun baharu hijrah mengajak masyarakat Islam untuk memperbaharui tekad dan kesungguhan bagi merealisasikan ibadah dengan sempurna. Bukan sekadar menunaikan yang wajib sahaja tetapi diperluaskan kepada ibadah umum meliputi hubungan sesama manusia dan hubungan dengan alam sekitar.
Dalam konteks hidup bermasyarakat, budaya saling hormat menghormati perlu sentiasa dipupuk dan dipelihara. Elakkan amalan keji fitnah memfitnah yang merugikan bangsa dan negara. Begitu juga budaya hidup berjiran dengan semangat kerjasama, tolong menolong perlu disemai terutama oleh generasi muda agar masyarakat terus harmoni, hidup aman damai.
Masyarakat Islam juga diseru meninggalkan amalan buruk seperti jenayah rasuah yang masih berpanjangan, setelah berbagai usaha dilakukan oleh kerajaan bagi membendung kegiatan itu. Janganlah hanya mengejar nikmat hidup dunia yang sementara, keamanan dan keselamatan negara tercinta tergadai. Terbaharu kehilangan aset keselamatan negara yang kemungkinan terdapat unsur salahguna kuasa menimbulkan persoalan kepada perkara-perkara lain yang boleh sahaja dieksport oleh petualang bangsa demi kepentingan peribadi. Rasulullah SAW pernah melaknat golongan penerima dan pemberi rasuah ini memandangkan betapa seriusnya jenayah mereka jika tidak dibendung dengan segera.
Golongan muda, pewaris bangsa juga diseru berhijrah dan berfikiran lebih matang sebelum melakukan sesuatu perkara. Kegiatan melepak dan berpeleseran di pusat membeli-belah tanpa tujuan hanya membuang masa. Adalah lebih mulia jika ia diganti dengan perkara-perkara yang lebih berfaedah seperti membaca buku yang merupakan jambatan ilmu. Semankin banyak yang dibaca semankin banyak pula ilmu yang diperolehi lalu boleh dijadikan asas pertimbangan sebelum melakukan sesuatu perkara.
Dalam konteks persekitaran hidup yang dipengaruhi oleh berbagai budaya tidak sihat, golongan muda-mudi dinasihatkan supaya menjadikan pegangan agama sebagai benteng untuk menangkis serangan yang mendatang. Tanpa kekuatan itu seseorang pasti akan tergoda dengan tipu helah dunia dan kemewahannya. Kerana ingin hidup mewah dan bergaya ada yang tak kisah kalaupun dijadikan gundik untuk memuaskan nafsu serakah manusia bertopengkan syaitan.
Untuk berhijrah secara total tidak semudah ungkapan kata-kata. Ia perlukan pengorbanan masa, tenaga dan segalanya. Lebih-lebih lagi, hijrah menurut perspektif masa kini jauh berbeza dengan apa yang pernah dilalui oleh Baginda Nabi Muhammad SAW. Ia bukan sekadar hijrah daripada Mekah ke Madinah tetapi juga hijrah perubahan sikap dan minda kepada yang lebih positif. Malah hijrah mempertahankan akidah daripada digangu-gugat sangat diperlukan oleh umat Islam kini. Masalah buang anak, bersekedudukan, hidup tanpa batasan agama merupakan kesan ketirisan akidah yang meruncing dan perlu diperbaiki segera.
Golongan haji dan hajah yang baharu pulang juga perlu menghayati erti hijrah dalam usaha untuk meneruskan kesinambungan ibadah yang biasa dilakukan ketika di Tanah Suci. Malah disinilah medan perjuangan sebenar untuk membuktikan sejauh mana pendidikan Mekah berjaya merubah nilai diri seorang yang bergelar haji dan hajah. Tentunya ia suatu tanggungjawab yang berat, hanya yang beroleh kejayaan haji mabrur sahaja mampu melakukannya.
Disebutkan di dalam kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali, antara tanda haji diterima, seseorang akan meninggalkan kebiasaan maksiat yang pernah dilakukan, suka bersahabat dengan rakan-rakan yang baik dan menjauhi perkara-perkara maksiat yang melalaikan lalu digantikan majlis-majlis ilmu yang membangkitkan kesedaran.
Walau bagaimanapun untuk berhijrah persiapan mental dan ruhani juga diperlukan sebagai persediaan menghadapi sebarang ujian yang mendatang. Ini kerana belum meningkat kedudukan hamba disisi Tuhan selagi belum diuji berdasarkan peringkat keimanannya.
Sayugianya detik 1 hijrah, menjadi titik tolak kepada perubahan diri, keluarga dan masyarakat ke arah melahirkan umat Islam yang berpegang kepada akidah yang sama dan syariat sebagai satu cara hidup yang sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan