Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Isnin, 24 September 2012

I 31 BERSEDIALAH, RAMADAN MUNCUL LAGI

Beberapa hari sahaja lagi umat Islam di seluruh dunia akan mula melaksanakan salah satu daripada rukun Islam yang lima iaitu berpuasa wajib di Bulan Ramadan. Mereka yang rindukan ketibaan bulan al-mubarak ini pasti sangat bersyukur dan bergembira atas nikmat terpilih untuk meraih sebesar-besar anugerah yang hanya diberikan oleh Allah SWT di Bulan Ramadan.

Peluang keemasan ini sewajarnya dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk melaksanakan pelbagai ketaatan kerana belum tentu pada tahun hadapan seseorang akan terpilih lagi untuk bertemu dengan bulan mulia ini. Malah setiap individu Muslim perlu merasakan Ramadan kali ini adalah yang terakhir dalam hidup mereka sehingga membangkitkan motivasi untuk beramal dengan sempurna. 

Manakala bagi yang alpa dan lalai, kedatangan Ramadan pasti meresahkan dan akan disambut dengan berbagai alasan dan helah untuk tidak berpuasa. Kepada mereka diingatkan agar bertaubat dan berusaha untuk melaksanakan kewajipan ini kerana ia akan dipersoalkan di hari kemudian. Ibubapa juga digalakkan agar mendidik anak-anak berpuasa supaya apabila baligh mereka telah terbiasa melakukan kewajipan ini.

Justeru itu setiap orang Islam perlu bersedia menyambut ketibaan Ramadan. Beberapa persiapan perlu dilakukan agar Ramadan kali ini lebih bermakna daripada tahun-tahun yang lalu. Antaranya ;

Betulkan dan perelokkan niat

Menjelang tibanya 1 Ramadan setiap Muslim perlu mengikhlaskan niat semata-mata melaksanakan ibadah puasa kerana Allah SWT. Ini kerana setiap amalan akan dinilai berdasarkan niat melakukannya. Sementara itu niat yang betul kerana Allah SWT berupaya mendorong seseorang berusaha bersungguh-sungguh untuk memperoleh berbagai ganjaran di Bulan Ramadan. Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda 

“Sesungguhnya setiap amalan dinilai berdasarkan niat dan bagi setiap orang apa yang dia niatkan.” 
(Hadis riwayat Imam Bukhariy dan Muslim).

Untuk itu, janganlah hanya niat berpuasa semata-mata untuk menyambut hari raya, sehingga segala persiapan seperti pakaian, kuih muih, mengecat rumah dan lain-lain semuanya untuk hari raya yang masih jauh sedangkan Ramadan di depan mata tak dipedulikan.




Bersedia fizikal, mental dan material

Bagi meraih bonus yang tidak terhingga di Bulan Ramadan, persediaan dari sudut fizikal, mental dan material perlu diusahakan. Individu Muslim disaran menjaga kesihatan tubuh badan untuk kuat berpuasa juga bersedia mental untuk melawan nafsu tidur, makan dan keinginan lain yang boleh mengurangkan pahala ketika berpuasa. Begitu pula seseorang perlu bersedia dari aspek kewangan untuk memperbanyak amalan bersedekah dan menyediakan juadah berbuka puasa. Nabi Muhammad SAW pernah menyatakan dalam sebuah hadisnya 

“Sesiapa yang memberi ifttar (jamuan untuk berbuka puasa) nescaya akan diampunkan dosanya dan dibebaskan daripada api neraka.”

Berazam untuk tingkatkan KPI puasa

Setelah bertahun-tahun berpuasa, individu Muslim disaran berazam untuk meningkatkan kualiti puasa daripada sekadar tingkatan puasa awam kepada puasa tingkatan khusus dan khususul khusus. Ia boleh dilakukan dengan tidak membataskan puasa hanya dengan menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa. Sebaliknya ditingkatkan dengan menjaga seluruh pancaindera daripada melakukan dosa dan maksiat kepada Allah SWT. Disamping itu perkara-perkara wajib yang lain seperti solat fardu dan menutup aurat juga turut dilaksanakan. Apalah ertinya puasa jika hanya tak makan dan tak minum tetapi kewajipan agama yang lain diabaikan.

Berazam untuk beribadah di Malam Lailatul Qadar.

Lalilatul Qadar adalah malam kemuliaan yang datang sekali setahun. Malam yang pahala beribadah padanya menyamai 1000 bulan atau kira-kira 83 tahun 4 bulan itu tidak harus dibiarkan berlalu begitu sahaja. Ini kerana jika seseorang dipanjangkan usianya selama tempoh itupun belum tentu dapat beribadah sepenuhnya. Justeru itu setiap individu Muslim perlu mempersiap diri untuk menjejaki malam itu sejak daripada 1 Ramadan lagi dengan melaksanakan jihad puasa di siang hari dan solat tarawih, qiamullail di malam hari sambil berdoa kepada Allah SWT agar dipilih memperoleh kenikmatan itu. Alangkah bahagianya hidup seorang Muslim apabila setiap tahun terplih mengecapi nikmat beribadah di malam Lalilatul Qadar yang juga dianugerahkan kepada insan terpilih sahaja. 

Berharap agar ibadah puasa diterima oleh Allah SWT 

Setiap individu Muslim perlu menaruh harapan tinggi kepada Allah SWT agar puasanya kali ini akan diterima dengan sempurna. Ini kerana dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW menyatakan Setiap amalan anak Adam dilipatgandakan sebanyak 10 kali hingga 700 kali ganda. Allah SWT berfirman kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk aku dan aku yang akan membalasnya, kerana dia meninggalkan syahwat dan makanan keranaku. (Hadis riwayat Imam Ahmad) Oleh kerana itu, seseorang digalakkan memperbanyak amalan-amalan sunat seperti bersedekah, tadarus al-Quran, ‘itikaf di masjid dan lain-lain bagi menampung kecacatan dan kekurangan ketika berpuasa seterusnya di terima amalan puasa dengan sempurna.

Akhirnya diperingatkan juga agar sesiapa yang masih berhutang puasa agar segera menqadanya sebelum menjelang Ramadan yang baharu. Kegagalan melunaskan hutang lapuk itu kemungkinan menyebabkan seseorang dinafikan daripada berbagai-bagai keistimewaan yang disediakan di Bulan Ramadan.

Selain daripada itu,marilah sama-sama kita bersedia untuk menemui Ramadan dengan penuh kesyukuran, hati yang terbuka dan lapang dada. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda

“Barangsiapa yang berpuasa di Bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan keinsafan nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.”

Selamat Menyambut Ketibaan Ramadan al-Mubarak dan Selamat Memulakan Ibadah Puasa Dengan Sempurna.


Disiarkan dalam ruangan rencana Utusan Malaysia bertarikh 14Hb. Ogos 2009






Tiada ulasan:

Catat Ulasan