Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Isnin, 24 September 2012

I 34 LAKSANAKAN SISTEM 4 M TERHADAP AL-QURAN

Artikel ini telah diterbitkan dalam ruangan rencana Utusan Malaysia bertarikh 24hb. Sept. 2009

KEHEBATAN al-Quran tidak dapat ditandingi sejak zaman berzaman. Ia kekal sebagai mukjizat al-khalidah, panduan untuk umat manusia dunia dan akhirat. Setiap kali dibaca dan dikaji pasti akan ditemui perkara baharu yang menakjubkan. Pengajarannya pula menjangkaui sempadan masa, bangsa dan geografi negara. 

Setiap individu Muslim wajib beriman dengan al-Quran sebagai Kalam Allah yang diturunkan melalui Malaikat Jibril AS kepada Nabi Muhammad SAW secara mutawatir dan tidak boleh dipertikaikan. Sesiapa yang mengingkari walaupun satu huruf daripadanya, boleh dianggap terkeluar daripada ajaran Islam. 

Namun, kehebatan itu tiada erti jika tidak ditunaikan tanggungjawabnya. Perlu juga diingat, al-Quran bukan sekadar penghias dinding rumah, gedung perniagaan dan pejabat. Al-Quran juga bukan tangkal yang digantung di leher ataupun azimat pelaris perniagaan. Al-Quran perlu dibaca dan dipraktikkan pedomannya. Untuk itu, beberapa perkara perlu dilakukan untuk sampai kepada hakikat beriman dengan sempurna.

Memiliki Naskhah al-Quran

Mungkin ramai yang menyangka ini perkara simple yang tidak perlu dibicarakan, hakikatnya ia wajib dimiliki sebagai langkah awal melaksanakan tanggungjawab yang lain. Malahan jika dilakukan bancian, belum tentu setiap keluarga Islam memiliki minimum, senaskhah al-Quran di rumah mereka.

Terkadang ada pula, yang lebih rela berhabis melanggan majalah kegemaran setiap bulan daripada membeli naskhah al-Quran yang tak lekang dek hujan tak lapuk ditelan zaman. Tentunya ia sesuatu yang memeranjatkan dan boleh jadi, punca berlaku berbagai gejala tidak bermoral dikalangan masyarakat yang tidak berpenghujung.

Membaca al-Quran Sebagai Rutin Harian 

Benar, al-Quran kitab petunjuk kepada umat manusia, tetapi jika tidak dibaca, ia tidak mendatangkan sebarang manfaat. Oleh itu, al-Quran seharusnya dibaca sebagai rutin harian dan tidak hanya terhad di waktu tertentu seperti bulan Ramadan dan majlis khatam al-Quran ketika hari pernikahan. Ini berikutan ganjaran besar dan tidak ternilai dikurniakan kepada pembacanya. 

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bererti

“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran akan memperoleh satu kebajikan, dan satu kebajikan itu dilipatgandakan oleh Allah menjadi sepuluh kebajikan”.
(Hadis riwayat al-Tirmiziy) 

Dalam hadis yang lain pula disebutkan “Bacalah al-Quran sesungguhnya ia datang pada Hari Kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya.”

Para ibubapa juga, dinasihatkan agar menyediakan anak-anak dengan pendidikan al-Quran yang sempurna. Jangan lokek untuk mengeluarkan kos bayaran saguhati kepada guru al-Quran dan dalam masa yang sama sanggup berbelanja puluhan ringgit untuk yuran tuisyen, belajar lukisan dan muzik. Adalah menjadi amanah untuk ibubapa menyediakan pendidikan dunia dan akhirat kepada anak-anak supaya mereka beroleh kebahagiaan sejati. 

Golongan dewasa yang tidak tahu mengaji, juga dinasihatkan jangan malu untuk belajar mengaji. Ini bukan malu yang dituntut disisi agama. Malahan dengan segala kemudahan yang ada, seseorang boleh sahaja menjemput guru al-Quran di rumah dan kesempatan itu boleh dimanfaatkan oleh seisi keluarga. 

Memahami Isi Kandungan al-Quran 

Sedia diketahui, seseorang tetap diberi pahala kerana membaca al-Quran walaupun tidak mengerti apa yang dibaca. Itulah keunikan al-Quran. Walau bagaimanapun tuntutan membaca boleh diperluaskan lagi dengan memahami terjemahannya. Tidak dipertikaikan, ramai yang berjaya khatam al-Quran berulang-ulang kali, malangnya sukar ditemui yang berhasil khatam dengan maknanya walau sekali seumur hidup.
Perhatikan Surah Yassin, yang begitu sinonim dengan masyarakat Melayu. Boleh dikatakan hidup dan mati dengan Surah Yassin, tetapi tak ramai yang tahu apa yang disebut, walaupun majoriti dihafaz ayat-ayatnya kerana telah biasa dibaca. Untuk itu, membaca dengan terjemahan perlu menjadi budaya masyarakat, sehingga melahirkan generasi celik dan faham al-Quran. 

Langkah Kerajaan Negeri Johor misalnya, melaksanakan program membudayakan al-Quran di masjid-masjid dan jabatan kerajaan setiap pagi Jumaat adalah contoh terbaik yang wajar diteruskan dan dicontohi. Melalui program itu sekurang-kurangnya setiap kakitangan membaca al-Quran seminggu sekali, disamping berpeluang menambah pengetahuan tentang al-Quran melalui tazkirah yang disampaikan. 

Melestarikan Pendidikan al-Quran Dalam Kehidupan 

Ia merupakan tujuan utama penurunan al-Quran. Dengan ayat Makkiyah (yang turun di Mekah) berjumlah 4726 ayat dan ayat Madaniyah (yang turun di Madinah) berjumlah 1510 ayat , ia sarat dengan pelbagai perkara untuk memandu kehidupan manusia ke jalan yang benar. Di dalamnya terdapat ayat perintah dan larangan, pemberitaan tentang perkara ghaib, kejadian yang menimpa umat-umat terdahulu, juga perihal syurga dan neraka. Semuanya mengajak manusia untuk beriman dan beramal dengan al-Quran secara keseluruhan.

Untuk itu masyarakat Islam dinasihatkan agar tidak hanya memperingati peristiwa Nuzul al-Quran yang jatuhnya pada 17 Ramadan sebagai peringatan tahunan yang mesti diadakan. 

Yang lebih penting ialah iltizam untuk menghayati segenap isi kandungan al-Quran dan memrealisasikannya dalam setiap gerak kerja, Natijahnya umat Islam berjaya mengharungi selok-belok kehidupan dunia yang penuh pancaroba. Kealpaan melestarikan tuntutan itu, dikhuatiri mengundang malapetaka kepada agama, bangsa dan negara. 

Nabi Muhammad SAW bersabda 

“Ramai yang membaca al-Quran tetapi al-Quran pula melaknatnya.”
 

Ini terjadi kerana sikap sambil lewa, dan tidak menunaikan tanggungjawab sepatutnya terhadap isi kandungan al-Quran. 

Malah untuk menempa kejayaan, pegangan mantap terhadap al-Quran mesti disemat dalam hati sanubari orang Mukmin. Hal ini diperjelaskan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabdanya yang bererti 

“Aku tinggalkan bagi kamu 2 perkara, jika kamu berpegang dengannya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Kitab Allah dan Sunnah RasulNya.”



Sayugianya, sempena memperingati peristiwa bersejarah ini, masyarakat Islam diseru menilai semula penghayatan mereka terhadap kitab suci al-Quran, agar sentiasa terdidik dengan peraturan ilahi.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan