Artikel ini telah diterbitkan di ruangan
Surat, Akhbar Berita Harian bertarikh 12 Oktober 2009.
KEJADIAN ribut taufan Ketsana di Filipina, tsunami di Samoa dan gempa bumi kuat di Indonesia yang berlaku baru-baru ini bukan sekadar fenomena alam biasa. Ia patut dilihat dalam konteks yang lebih luas sekaligus membuktikan betapa kekuasaan Allah SWT bersifat mutlak dan mengatasi teknologi hasil pemikiran manusia.
KEJADIAN ribut taufan Ketsana di Filipina, tsunami di Samoa dan gempa bumi kuat di Indonesia yang berlaku baru-baru ini bukan sekadar fenomena alam biasa. Ia patut dilihat dalam konteks yang lebih luas sekaligus membuktikan betapa kekuasaan Allah SWT bersifat mutlak dan mengatasi teknologi hasil pemikiran manusia.
Segala kejadian ini mengingatkan manusia betapa dunia semakin uzur dimamah usia. Ia juga merupakan peringatan Allah SWT kepada umat manusia agar sentiasa bersedia menghadapi situasi yang lebih mengerikan ketika berlakunya hari kiamat.
Allah SWT berfirman yang ertinya
“Apabila bumi digoncangkan dengan
goncangan yang dahsyat. Dan bumi telah mengeluarkan beban-beban berat.Dan
manusia bertanya; mengapa bumi jadi begini, pada hari itu bumi menceritakan beritanya,
kerana sesungguhnya Tuhanmu telah memerintahkan (yang demikian itu) kepadanya.”
(Surah al-Zalzalah:1-5)
Tanda-tanda menunjukkan dekatnya hari itu juga telah biasa dilihat, cuma tidak ramai yang menginsafi situasi yang berlaku walaupun ia berlaku di sekeliling mereka. Nabi Muhammad SAW bersabda Sesungguhnya kiamat tidak akan berlaku sehingga kamu melihat 10tanda, (antaranya) berlaku gempa bumi di tiga wilayah; timur barat dan jazirah Arab. (Hadis Riwayat Muslim)
Walaupun demikian para ulama berpendapat gempa bumi yang dimaksudkan dalam hadis itu belum terjadi. Beberapa siri gempa bumi yang berlaku hari ini adalah termasuk tanda-tanda kecil, sebagai peringatan kepada manusia untuk kembali mengabdikan diri kepada Allah SWT dan bersedia untuk menghadapinya.
Begitu pula persoalan bila berlaku hari kiamat tidak diketahui oleh manusia dan tidak penting untuk dibahaskan. Yang lebih utama untuk direnungkan ialah persiapan untuk bertemu dengan hari dahsyat itu. Allah SWT berfirman yang ertinya
“Wahai manusia bertakwalah kamu kepada
tuhanmu. Sesungguhnya goncangan hari kiamat adalah goncangan yang sangat
dahsyat. Pada hari kamu melihat goncangan itu, lalailah semua wanita daripada
menyusukan anaknya, dan gugurlah kandungan segala wanita yang hamil, dan kamu
melihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk,
akan tetapi azab Allah itu sangat keras.”
(Surah al-Haj:1-2)
Selain itu, berbagai bencana yang menimpa dunia hari ini kemungkinan akibat daripada perlakuan dosa manusia yang mengundang kemurkaan Ilahi. Tidak juga dinafikan ia merupakan ujian kepada orang yang beriman supaya tetap sabar dan taat dalam melakukan ketaatan.
Malahan bencana yang menimpa tidak pernah mengenal usia, bangsa dan agama. Jika Dia mengkhendaki sesuatu berlaku maka tetap akan berlaku. Cuma di sisi Allah SWT terdapat perbezaan antara matinya orang beriman dan matinya orang yang bermaksiat. Allah SWT berfirman yang ertinya
"Dan peliharalah diri kamu daripada
(berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan saja akan menimpa
orang yang zalim di kalangan kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu
secara umum). Ketahulilah bahawa Allah Maha Berat azab-Nya."
(Surah Al-Anfal: 25)
Justeru itu, setiap orang beriman wajib mengambil pelajaran daripada berbagai bencana alam yang berlaku dengan kembali melaksanakan ajaran syariat dengan sempurna. Segala kejadian yang berlaku mengandungi maksud yang tersirat dan tersirat yang hanya boleh difahami oleh ulul al-bab.
Tinggalkan perbuatan dosa dan maksiat yang mengundang kemurkaan Allah SWT. Sebaliknya lakukan seberapa banyak amalan kebajikan terutama di akhir zaman di mana ramai yang lalai, terpedaya dengan kemewahan dunia yang sementara.
Dalam masa yang sama budaya suka menuding jari menyalahkan orang lain harus dikikis daripada hati sanubari orang beriman. Apa yang menimpa saudara kita di Indonesia misalnya bukan hanya disebabkan oleh penyimpangan segelintir masyarakat daripada syariat yang sebenar tetapi boleh jadi sebahagian daripada bentuk ujian Allah SWT ke atas orang yang beriman.
Hulurkanlah bantuan dan sokongan seikhlasnya bagi membantu meringankan bebanan mereka yang ditimpa musibah. Ini selaras dengan konsep 1 ummah yang sekian lama menjadi intipati kehidupan bermasyarakat dalam Islam. Adalah tidak patut membiarkan saudara seIslam menderita, tanpa makanan, pakaian dan keperluan asas yang lain. Ini kerana umat Islam diumpamakan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai satu bangunan yang saling melengkapi antara satu sama lain.
Inilah juga masanya segala perselisihan diketepikan demi untuk membantu sesama insan. Perbuatan sesetengah pihak di Indonesia yang mengejek dan membaling batu kepada sukarelawan Malaysia yang bertungkus-lumus mencurahkan bakti kepada mereka sepatutnya dihargai dan diterima dengan hati yang terbuka.
Justeru itu, umat Islam diseru untuk bermuhasabah diri dengan menerima hakikat bahawa bencana yang berlaku, sebagai peringatan untuk semua. Kalaupun dari segi saintifiknya negara kita bebas ancaman gempa bumi dan gunung berapi kerana tidak terletak di Lingkaran Api Pasifik, persediaan untuk menemui kiamat kecil (mati) wajib dilakukan.
Ini kerana mati adalah umpama hari kiamat yang mana manusia bakal diberi nikmat ataupun azab bergantung amalan yang dilakukan semasa di dunia. Nabi Muhammad SAW bersabda
“Barangsiapa yang mati maka telah
berlaku kiamat ke atas dirinya.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan