NEGARA kita sedang dilanda penularan
wabak selsema babi (H1N1) yang agak membimbangkan. Ini berikutan peningkatan
kes-kes jangkitan dan kematian yang dilaporkan di media massa setiap hari.
Walaupun setelah berbagai-bagai usaha pencegahan dan rawatan dilakukan oleh
pihak kerajaan, namun ternyata virus H1N1 seolah-olah memiliki ilmu kebal yang
mampu menangkis serangan bertubi-tubi daripada pihak lawan.
Sebagai orang yang beriman, wajib difahami bahawa sihat dan sakit adalah ketentuan qada dan qadar Allah SWT. Manusia sememangnya tidak punya daya dan upaya untuk menolak segala ketetapan itu. Sesiapa yang dikurniakan oleh Allah SWT dengan nikmat sihat selayaknya bersyukur dengan memperbanyak ibadah, manakala bagi yang diuji dengan penyakit haruslah reda menerima ujian yang mendatang.
Allah SWT berfirman yang ertinya
“Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan
dan kesenangan sebagai cubaan, dan kepada Kamilah kamu semua akan
dikembalikan.”
(Surah al-Anbia’ ayat 35)
Lazimnya manusia leka dengan nikmat sihat. Kesihatan yang dianugerahkan kepada mereka tidak disyukuri malah dijadikan pula mekanisme untuk melakukan pelanggaran terhadap hak-hak agama. Malangnya apabila diuji oleh Allah SWT dengan penyakit barulah mereka tersedar dan kembali untuk beramal.
Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda,
“2 nikmat yang sering dilalaikan
oleh kebanyakkan manusia, iaitu nikmat sihat dan nikmat masa lapang.”
(Hadis riwayat Imam Bukhari)
Sehubungan dengan itu, setiap individu muslim harus menginsafi diri sebelum tiba saat mereka ingin bertaubat dan mendampingkan diri kepada Allah SWT sedang mereka hanya mampu melakukannya dalam keadaan duduk atau berbaring. Sudah tentu pada ketika itu sesalan tidak berguna lagi. Benar kata pepatah sesal dahulu pendapatan sesal kemudian memang tidak berguna.
Walau bagaimanapun sesiapa yang ditimpa penyakit seperti H1N1 dan lain-lain tidak harus menyesali diri kerana terdapat berbagai hikmah dan pengajaran yang boleh diambil daripada ujian itu. Antaranya ialah
Kesempatan untuk muhasabah diri
Ujian sakit adalah kesempatan paling bermakna buat insan yang leka dan lalai dengan tipu helah dunia. Peluang yang datang, wajib dimanfaatkan dengan menginsafi diri, bertaubat daripada segala dosa dan noda yang pernah dilakukan disamping berharap rahmat dan keampunan daripadaNya. Ini kerana sakit adalah di antara balasan azab Allah SWT terhadap perlakuan dosa dan maksiat hamba kepadaNya. Diriwayatkan bahawa Saidina Abu Bakar al-Siddiq pernah bertanya kepada Rasulullah SAW “Wahai Rasulullah, bagaimanakah bentuk kebaikan itu setelah diturunkan ayat ini.
“Sesiapa yang melakukan kejahatan, dia akan dibalas dengan kejahatan itu.”
(Surah al-Nisa’ ayat 123).
Apakah setiap kejahatan yang telah kami
lakukan akan diberi balasan? Rasulullah SAW kemudiannya bersabda Semoga Allah
mengampunkan kamu wahai Abu Bakar (sebanyak 3 kali), lalu Baginda SAW bersabda,
Bukankah engkau sakit? Bukankah engkau merasa sedih? Bukankah engkau keletihan?
Bukankah engkau ditimpa musibah? Abu Bakar menjawab Ya. Baginda kemudian
bersabda lagi, Begitulah kamu diberi balasan semasa di dunia. (Hadis riwayat
al-Baihaqiy)
Sakit sebagai Kaffarah penebus dosa
Sakit adalah salah satu daripada kaedah untuk menghapus dosa yang pernah dilakukan oleh manusia. Oleh itu sesiapa yang ditimpa penyakit sepatutnya reda dan berlapang dada kerana terpilih untuk diampunkan dosa-dosanya. Ia merupakan anugerah kurniaan tuhan yang diberikan kepada golongan terpilih.
Nabi Muhamad SAW pernah bersabda “Sesungguhnya seorang Mukmin itu jika ditimpa musibah penyakit, kemudian disembuhkan oleh Allah, maka penyakit itu menjadi kaffarah bagi dosa-dosanya yang telah lalu dan menjadi peringatan kepadanya untuk masa hadapan. Sedang seorang Munafik apabila dia sakit dan disembuhkan, maka dia seperti unta yang ditambat oleh pemiliknya, kemudian dilepaskan. Orang Munafik itu tidak tahu mengapa dia ditambat dan mengapa dia dibebaskan (Hadis riwayat Abu Daud)
Sebab untuk beroleh kemuliaan ilahi
Sakit juga adalah sebab bagaimana Allah SWT meninggikan darjat kemuliaan hamba pilihanNya. Hal ini juga sangat berkait rapat dengan tahap keimanan seseorang. Malah seseorang belum sempurna imannya selagi belum diuji oleh Allah SWT. Semakin hebat ujian itu semakin tinggi pula darjatnya disisi Allah SWT.
Nabi Muhamad SAW pernah bersabda Tiadalah seseorang Mukmin yang tertusuk duri atau lebih dari itu melainkan Allah mengangkat satu darjat dengan tusukan duri itu atau menghapuskan daripadanya satu kesalahan. (Hadis riwayat Muslim). Dalam sebuah hadis Qudsi pula Allah SWT berfirman Sesiapa yang aku hilangkan kedua matanya lalu dia bersabar dan mengharapkan pahala, nescaya aku tidak suka baginya pahala selain syurga (Hadis riwayat al-Tirmiziy)
Perlu difahami segala ganjaran ini, tidaklah menjadikan individu Muslim bersifat lemah dan berharap agar diuji dengan pelbagai musibah dan penyakit. Ia lebih kepada motivasi pesakit untuk memperkuat keimanan dan kepercayaan kepada Allah SWT.
Disamping itu setiap individu Muslim diperintahkan supaya sentiasa menjaga kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat terutama menjelang Bulan Ramadan al-Mubarak dimana kekuatan fizikal sangat diperlukan untuk menjalani ibadah berpuasa di bulan itu dengan sempurna.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan