Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Selasa, 25 September 2012

I 39 PEMBUNUH BAYI SEMAKIN KEJAM

DI MANAKAH silapnya sehingga pembunuh bayi semakin berani melakukan kekejaman membunuh nyawa yang tidak berdosa tanpa sekelumit nilai peri kemanusiaan. Tindakan kejam yang dilakukan jelas menyimpang daripada mana-mana ajaran agama yang mengkhendaki penganutnya berkasih-sayang apatah lagi, terhadap darah daging sendiri. Terbaharu, kes penemuan janin perempuan yang dibuang di Sungai Kelang, cukup memberi isyarat kepada semua betapa isu ini bertambah kronik dan perlu ditangani dengan serius oleh semua pihak. 

Ia nampaknya lebih besar daripada isu kemalangan jalanraya yang heboh diperkatakan ketika ini, kerana membabitkan dosa zina dan pembunuhan yang diharamkan sekaligus. Di dalam al-Quran Allah SWT berfirman yang ertinya 

“Dan siapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahannam, kekal ia didalamnya, dan Allah murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan baginya azab siksa yang besar."
(Surah al-Nisa’:93) 

Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman berkenaan dengan perlakuan zina, yang ertinya 

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”
(Surah al-Isra’:32)

Tidak keterlaluan jika dikatakan pembunuh bayi bertuhankan syaitan yang dilaknat oleh Allah SWT. walaupun tanpa mereka sedari sebenarnya syaitan berlepas tangan terhadap perlakuan dosa-dosa mereka. Lebih mengecewakan apabila mereka sedikitpun tidak merasa bersalah setelah terbabit melakukan dosa besar yang tidak diampunkan oleh-Nya kecuali dengan taubat yang bersungguh-sungguh.

Di dalam Kitab tafsir Ibnu Kathir diceritakan kisah seorang rahib (ahli Ibadah) terkenal bernama Barshish berjaya digoda oleh syaitan walaupun setelah 60 tahun tekun dalam beribadah. Syaitan telah memperdayakannya dengan seorang wanita yang pada mulanya datang untuk berubat. Dalam proses pengubatan wanita tersebut tinggal bersama rahib sehingga suatu hari rahib tergoda dan melakukan perbuatan zina yang terkutuk. Akibatnya wanita tersebut hamil dan rahib telah membunuhnya bagi menutup malu. Ketika saudara wanita tersebut datang untuk menjemputnya rahib berasa takut dan syaitan telah sekali lagi memperdayakannya dengan menjanjikan keselamatan, jika rahib sanggup untuk sujud kepadanya. Maka rahibpun sujud kepada syaitan dan pada ketika itu syaitan berkata sesungguhnya aku berlepas diri darimu, sesungguhnya aku takut kepada Allah Tuhan semesta alam. 

Berkenaan dengan kisah ini Allah SWT berfirman yang ertinya 

“(Pujukan orang munafik itu) seperti pujukan syaitan ketika dia berkata kepada manusia; Kufurlah kamu, maka tatkala manusia itu telah kafir ia berkata; Sesungguhnya aku berlepas diri darimu, sesungguhnya aku takut kepada Allah Tuhan semesta alam.” 
(Surah al-Hasyr:16-17)

Justeru itu tidak ada cara lain bagi mengelak perbuatan zina dan dosa, kecuali setiap individu Muslim memperbaharui niat dan tekad untuk bersungguh-sungguh melaksanakan amalan ibadat seperti solat yang berupaya menjadi benteng menghalang tipu daya nafsu dan syaitan. Keengganan untuk kembali berpegang kepada ajaran agama yang merupakan peraturan asas kehidupan menyebabkan gejala buang anak tak akan ada noktahnya. Ia akan berterusan hingga hari kiamat selagi ada manusia durjana yang lalai daripada mengingati Allah SWT. 

Selain daripada itu budaya hedonisme, yang membawa kepada hiburan melampau dan pergaulan tanpa batasan, sepatutnya dibendung terutama menjelang sambutan tahun baharu. Masyarakat Islam tidak seharusnya terikut-ikut dengan budaya sambutan tahun baharu dengan pesta tari menari dan bermabuk-mabukan yang jauh menyimpang daripada kehendak syariat. 

Seolah-olah kita jadi seperti lebih sudu daripada kuah, apabila beramai-ramai menunggu di hadapan jam besar menjelang detik 12 tengah malam kemudian, terpekik terlolong hingga ke pagi, minum arak dan melakukan perbuatan yang tidak senonoh.
Adalah lebih mulia jika pesta ini diganti dengan majlis membaca doa selamat sebagai bukti kesyukuran dikurniakan nikmat tahun baharu. Ia sekaligus dapat mengelak gejala zina yang berpunca daripada pergaulan tanpa sempadan dan mendorong kepada jenayah buang bayi.

Untuk mengekang daripada kejadian ini terus berulang, jalan-jalan ke arah dosa dan maksiat hendaklah dibatasi, melalui didikan agama yang sempurna sejak daripada kecil lagi. Para ibubapa juga perlu lebih prihatin terhadap aktiviti anak-anak terutama golongan remaja. Walaupun sibuk bekerja, waktu malam elok dimanfaatkan bersama keluarga dan anak-anak. Hubungan rapat sebegini juga mampu mengelak gejala tidak bermoral kerana anak-anak merasa disayangi dan sehingga mereka berfikir dua kali sebelum bertindak melakukan sesuatu. 


Diingatkan juga kepada mereka yang sudah terlanjur melakukan dosa zina sehingga mengandung anak luar nikah,agar bertaubat dan berhenti daripada menimbun dosa. Jangan semata-mata malu janin dan bayi yang dilahirkan dibuang merata-rata. Kembalilah kepada jalan yang benar dan bersangka baik kepada Allah semoga Dia menerima taubat dan mengampunkan dosa-dosa yang pernah dilakukan.

Malahan mereka juga boleh menebus dosa dengan mendidik anak itu, memberi asuhan dan pelajaran yang sempurna supaya jadi insan yang berguna di masa hadapan. Ataupun setidak-tidaknya bertanggungjawablah dengan memberikan anak itu kepada orang lain untuk dipelihara. Ia lebih mulia daripada jenayah buang bayi yang dikutuk oleh agama dan masyarakat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan