WAKTU siang atau malam, di mana juga
kita berada, patut ditanamkan dalam hati rasa takut kepada ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA. Dengan kata lain, sepanjang masa kita hendaklah sentiasa berasa takut
kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA yang Maha Berkuasa.
Berlakunya kemungkaran dan maksiat di
sekeliling kita hari ini disebabkan rasa takut akan azab dan seksaan maha pedih
daripada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA tidak ada dalam hati mereka yang melakukannya
dan ini menunjukkan mereka tidak takut sama sekali dengan ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA.
Takut adalah
sifat terpuji dan patut ada dalam hati setiap mukmin yang ingin mendapatkan
takwa. Dengan adanya perasaan takut membuatkan seseorang itu menjauhkan diri
daripada melakukan kemungkaran yang mendatangkan dosa hingga menjerumuskan ke
api neraka di akhirat kelak.
Jika kita ada
rasa takut kepada ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA, sudah pasti kita
tidak akan berani melanggar perintahNya. Rasa takut akan mendorong seseorang
itu benar-benar menghambakan dirinya kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Semua perintah ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA akan dipatuhinya dan larangan
ditinggalkannya.
Seorang ulama telah berkata:
“Cucilah empat perkara dengan empat
perkara. Cucilah wajahmu dengan air matamu, cucilah lidahmu dengan zikir kepada
Penciptamu, cucilah hatimu dengan rasa takut kepada Tuhanmu dan cucilah dosamu
dengan bertaubat kepada Penguasamu.”
Walaupun Rasulullah SAW bersih daripada
melakukan sebarang dosa dan dijamin ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dengan syurga, di
hati Baginda tertanam rasa takut kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.
NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda yang
bermaksud:
“Akulah manusia yang paling takut kepada
ALLAH di antara kamu semua itu.”
(Hadis riwayat Bukhari)
ALLAH SUBHANAHU WA TAALA berfirman yang
maksudnya:
“Hanya orang Mukmin yang sebenar itu
apabila disebut saja nama ALLAH, gementarlah hati mereka dan apabila dibaca
ayat al Quran, bertambahlah keimanan mereka dan hanya kepada ALLAH sajalah
mereka menyerah diri.”
(Surah al-Anfal, ayat 2)
Orang yang
betul-betul kenal dan takut kepada ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA hanya lahir di hati
mereka yang mempunyai sikap tawakal atau penyerahan pada ALLAH SUBHANAHU
WA TAALA. Dengan kata lain, hanya orang
beriman saja yang akan dapat merasai rasa takut itu.
Ibn Abbas meriwayatkan, NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda yang
bermaksud:
“Ada dua mata yang tidak disentuh api
neraka, iaitu mata yang menangis di tengah malam kerana takut kepada ALLAH dan
mata yang celik kerana terjaga dalam peperangan di jalan ALLAH.”
Sabda NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM yang bermaksud:
“Jika berasa gentar hati seorang mukmin
kerana takut kepada ALLAH, maka runtuh dosanya bagaikan daun kering yang runtuh
dari pohonnya.”
(Dari kitab Tanbihul Ghafilin II)
Sebenarnya
rasa takut kepada ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA ini bergantung
kepada tingkat keimanan seseorang. Jika sekadar percaya adanya ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA tetapi tidak dapat
berasakan takut kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, maka iman orang itu amat tipis dan lemah kerana tidak dapat berasa
gerun kepada neraka serta azab ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.
Dengan kata
lain, tidak ada rasa takut dan gerun kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA menandakan hati seseorang itu telah mati. Al Quran mengingatkan mengenai
seksaan pedih bakal diterima orang yang derhaka (tidak takut) dan balasan
nikmat bagi mereka yang melakukan kebaikan (takut).
Lukman Al-Hakim berpesan kepada anaknya: “Berharaplah kepada ALLAH dengan
sesungguhnya sehingga kamu berasa aman dari tipu daya dan takutlah kepadaNya
supaya kamu tidak terputus dari rahmat dan kasih sayangNya.”
Secara umum
kita dapat mengenal orang yang memiliki rasa takut kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA melalui tanda seperti banyak membaca
al-Quran, rajin mengerjakan solat wajib dan sunat, selalu membelanjakan
hartanya di jalan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, mengeratkan silaturahim dan menjauhkan daripada perkara mungkar.
ALLAH SUBHANAHU WA TAALA berfirman yang
maksudnya:
“Dan adapun orang yang takut kepada
kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya. Maka
sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya.”
(Surah 79 AN NAAZI´AAT, ayat 40-41)
Rujukan:
http://www.islamituindah.my/tahap-keimanan-penentu-rasa-takut-kepada-allah#comment-3942
Tiada ulasan:
Catat Ulasan