SATU April setiap tahun, disambut oleh sebahagian masyarakat dunia sambil menipu orang lain dengan alasan untuk berseronok-seronok. Kebiasaan membohongi rakan dan anggota keluarga ini, dikatakan bermula di Perancis,kemudian tersebar ke England dan Scotland, lalu ke Amerika ketika berlaku perpindahan orang Eropah ke sana.
Di Perancis, ia dikenali sebagai Poisson d’avril atau ikan April. Mereka percaya ikan kecil ini mudah ditangkap atau tertipu.Di Scotland pula dikenali dengan April Gowk, bererti berkelakuan bodoh seperti burung tekukur yang meletakkan telurnya di sarang burung lain. Di sana, April Fools disambut selama dua hari yang mana hari kedua dikhususkan untuk mempersendakan orang dengan melekatkan sesuatu yang melucukan seperti "tumbuklah saya" dan disebut Taily Day. Di England, jika seseorang sering dipermain-mainkan ia disebut April Noddie. Di Indonesia pula dikenali dengan April Mop, bermaksud April yang kelakar menurut Bahasa Belanda. Di negara kita terdapat juga golongan yang mengambil kesempatan mengenakan rakan-rakan dan orang yang dikenali, apabila tiba hari ini.
Di Perancis, ia dikenali sebagai Poisson d’avril atau ikan April. Mereka percaya ikan kecil ini mudah ditangkap atau tertipu.Di Scotland pula dikenali dengan April Gowk, bererti berkelakuan bodoh seperti burung tekukur yang meletakkan telurnya di sarang burung lain. Di sana, April Fools disambut selama dua hari yang mana hari kedua dikhususkan untuk mempersendakan orang dengan melekatkan sesuatu yang melucukan seperti "tumbuklah saya" dan disebut Taily Day. Di England, jika seseorang sering dipermain-mainkan ia disebut April Noddie. Di Indonesia pula dikenali dengan April Mop, bermaksud April yang kelakar menurut Bahasa Belanda. Di negara kita terdapat juga golongan yang mengambil kesempatan mengenakan rakan-rakan dan orang yang dikenali, apabila tiba hari ini.
Menurut satu teori April Fool disambut bagi meraikan kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol. Ini berlaku apabila Kerajaan Islam Spanyol runtuh akibat serangan tentera Kristian setelah lama bertapak di Eropah. Ketika serangan berlaku penduduk Islam Moors telah menjadikan rumah sebagai tempat perlindungan. Tak lama kemudian mereka dibenarkan belayar keluar bersama barangan keperluan dengan menggunakan kapal-kapal yang berlabuh di pelabuhan. Orang Islam yang memandang serong dengan tawaran tersebut, telah pergi ke pelabuhan untuk melihat kapal-kapal yang dimaksudkan. Setelah berpuas hati, pada keesokan hari iaitu 1 April merekapun bersiap untuk berangkat.
Kesempatan ini diambil oleh tentera Kristian untuk menggeledah dan membakar rumah penduduk, begitu pula kapal-kapal di pelabuhan. Kaum muslimin yang terdiri daripada lelaki, perempuan, dan kanak-kanak dibunuh. Peristiwa berdarah yang menyedihkan ini telah diraikan oleh tentera Kristian di Spanyol dan juga diserata dunia. Malangnya umat Islam yang diperbodohkan turut meraikan hari ini kerana terikut-ikut dengan budaya luar yang jauh menyimpang daripada ajaran syariat.
Ada pendapat lain menyebutkan hari April Fools mula diperingati pada abad ke 16 di Perancis. Ketika itu tahun baru disambut pada 1 April setiap tahun dengan pesta tari-menari. Bermula tahun 1562, Pope Gregory memperkenalkan kalender baru Masihi yang bermula dengan bulan Januari. Lalu ada daripada kalangan mereka yang tidak percaya dengan perubahan ini lalu terus memperingati tahun baru pada tarikh 1 April. Orang-orang inilah yang disebut April Fools atau secara epistimologi bererti orang yang tertipu di bulan April kerana masih menyangka ia awal tahun baru.
Terdapat pula teori lain yang dinyatakan dalam The Washington Post, tradisi ini dimulakan pada zaman Rom purba, ketika orang merayakan festival Ceres di awal bulan April. Ceres adalah dewi tuaian yang puterinya diculik Pluto, dewa dunia ghaib. Ceres diceritakan mengesan dengan mengikuti gema suara teriakan anaknya, walaupun ia merupakan suatu perkara yang mustahil, kerana gema sukar dikesan. Sehingga Ceres dikatakan melaksanakan “a fools errand” atau tugas orang bodoh.
Walau dari manapun asal-usul budaya ini ia tidak begitu penting. Cukuplah selama ini kita diperbodohkan dengan pelbagai dakyah dan penipuan yang ditujukan khususnya kepada golongan muda-mudi Islam, bakal pendokong kecemerlangan ummah pada masa hadapan. Pelbagai propaganda dan penipuan yang diimport daripada luar, impak negatif era globalisasi, telah berjaya mengheret ramai remaja dan golongan muda Islam mempraktikkan amalan-amalan yang tidak sihat bahkan terkadang bercanggah dengan akidah dan pemikiran yang sihat.
Ketika penganut agama Kristian merayakan Hari Natal mereka juga sibuk bergaya mengenakan pakaian ala Santa Klaus. Tanggal 14 Februari, semasa pasangan kekasih meraikan Hari Valentine, muda-mudi Islam juga tidak ketinggalan. Kini menjelang 1 April, masing-masing sibuk berfikir tentang lawak bodoh terbaik untuk mempersendakan orang lain. Malangnya Sambutan hari kebesaran Islam seperti Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammmad SAW, sepi daripada penglibatan golongan muda yang sepatutnya menghayati sirah perjuangan Baginda SAW sebagai panduan hidup sepanjang zaman. Malah ada yang terpaksa hadir kerana takut dikenakan tindakan.
Budaya ikut-ikutan ini, yang telah menular dalam masyarakat menjadikan seseorang, tidak punya nilai dan jatidiri sendiri sehingga berjaya mengalih perhatian mereka untuk berseronok-seronok tanpa memperdulikan tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT., tanggungjawab sebagai pelajar dan tanggungjawab terhadap keluarga, masyarakat dan negara. Sikap yang sebegini bukan sahaja merosakkan individu terbabit, malah mencalarkan imej Islam di mata masyarakat lain.
Menurut perspektif Islam, setiap bulan dalam Islam adalah bulan yang mulia, malah Allah SWT melebihkan bulan-bulan tertentu kerana keutamaannya. Sebagai contoh Bulan Muharram adalah bulan pertama dalam kalendar Hijrah. Bulan Ramadan dimuliakan dengan malam Lailatulqadar yang menyamai pahala beribadah seribu bulan. Bulan Rabiulawwal, bulan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW dilahirkan sebagai pembawa rahmat kepada sekelian alam. Bulan Zulhijjah, bulan para tetamu Allah beramai-ramai mengunjungi Baitul al-Haram menyahut seruan ilahi untuk menunaikan ibadah haji. Oleh itu tidak terdapat satu bulanpun yang dikhususkan hanya untuk berbohong mahupun berkasih-sayang.
Nabi SAW diriwayatkan pernah bersabda yag ertinya “Kamu akan mengikuti perlakuan umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggakan jika mereka memasuki lubang biawakpun nescaya kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: Adakah mereka itu kaum Yahudi dan Nasrani, wahai Rasulullah? Sabda Baginda SAW: Ya, siapa lagi kalau bukan mereka?”
Pernahkah ada yang terfikir bahawa merekalah yang jahil apabila tidak mengerti adat budaya sendiri sehingga terikut-ikut dengan budaya asing tanpa mengetahui hujung pangkalnya. Malahan ramai yang terpedaya lalu terlibat dalam aktiviti pembohongan yang ditegah oleh syariat. Sedangkan amalan berbohong adalah amalan buruk yang ditegah oleh syariat.
Dalam sebuah hadith Nabi SAW pernah bersabda yang ertinya barangsiapa yang berbohong kepada kami bererti dia bukan daripada kalangan kami. Islam dengan tegas, tidak pernah membenarkan pembohongan dilakukan oleh sesiapapun dengan apa jua alasan.Lebih daripada itu perbuatan berbohong merupakan perkhabaran yang dibawa oleh orang fasik yang mesti diperhalusi sebelum diterimapakai. Allah SWT menegaskan perkara ini dalam firmanNya yang bermaksud
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."
(al-Hujurat ayat 6)
Nabi SAW juga diriwayatkan pernah bersabda "Kejujuran membawa kepada kebaikan dan kebaikan membawa ke syurga. Sesungguhnya sesorang sentiasa bersifat jujur sehingga ditulis disisi Allah SWT. sebagai orang yang jujur. Manakala pembohongan membawa kepada kemaksiatan, perbuatan maksiat pula membawa ke neraka. Sesungguhnya seseorang sentiasa berbohong lalu ditulis disisi Allah SWT sebagai pembohong.
Oleh itu tidak wajar sesiapapun dari kalangan orang Islam terikut-ikut menyambut hari ini. Dibimbangi akan mengundang berlaku gejala lain yang lebih buruk dan tidak bermoral. Pepatah ada menyebutkan "Siakap senohong, gelama ikan duri bercakap bohong lama-lama mencuri".
Adalah lebih baik jika hari tersebut diganti dengan amalan mulia seperti menziarahi orang alim, menghadiri majlis-majlis ilmu, berzikir dan memperbanyak ibadah kepada Allah SWT. Sedarlah bahawa hari yang berlalu dengan perbuatan sia-sia dan tidak bermanfaat tidak akan datang lagi untuk diperbaiki semula. Hari yang pergi itu juga bererti hilang satu hari lagi daripada umur manusia di dunia yang juga tak akan dikembalikan lagi.
Cukuplah selama ini kita sering diperbodoh-bodohkan sehingga ada yang menganggap perbuatan buruk seolah-olah baik, lantaran telah menjadi amalan biasa. Kita patut bangkit daripada terus dibuai mimpi menuju alam nyata bagi mengharungi pelbagai cabaran semasa yang lebih kompleks dan memerlukan penyelesaian secara bijaksana. Sudah tentu tidak ada jalan terbaik melainkan kembali mengamalkan ajaran al-Quran dan sunnah RasulNya dalam pelbagai lapangan kehidupan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan