Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Rabu, 19 September 2012

I 6 RESEPI KEJAYAAN DAKWAH

Disiarkan diUtusan Malaysia Ruangan Rencana 27hb. Feb. 2009

SEMPENA Bulan Dakwah Kebangsaan yang dilancarkan oleh kerajaan baru-baru ini, golongan pendakwah diseru mengambil kesempatan untuk mempergiat aktiviti penyampaian dakwah kepada semua lapisan masyarakat selaras dengan tema untuk mewujudkan khaira ummah iaitu ummah terbaik. 

Dalam usaha untuk mencapai matlamat itu pendakwah hendaklah memantapkan diri dengan pelbagai disiplin ilmu termasuk memiliki kemahiran menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai medium penyampaian dakwah yang berkesan. Langkah ini dilihat berbaloi apabila jumlah pengguna internet di Malaysia dilaporkan mencecah 500,000 orang. 

Dalam era globalisasi maklumat tanpa sempadan, kemahiran itu boleh digunakan sebagai mekanisme untuk menjawab segala tohmahan dan kritikan tidak berasas terhadap peribadi Nabi Muhammad SAW dan syariat Islam yang mulia, yang banyak disebarkan menerusi laman web dan blog-blog. 

Golongan pendakwah juga harus sentiasa mengamalkan prinsip cakap serupa bikin. Mereka memikul amanah Allah SWT untuk sentiasa melaksanakan segala ajaran agama dalam diri sendiri sebelum menyuruh orang lain untuk melakukannya. 

Kealpaan pendakwah mempraktikkan prinsip itu bukan sahaja itu menyebabkan objektif dakwah tidak tercapai malah bakal mengundang kemurkaan Allah SWT yang berfirman, maksudnya;

“Wahai orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak kamu lakukan! Amat besar kebenciannya di sisi Allah (apabila) kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak lakukan”.
(Surah al-Saf ayat 2-3). 

Bahkan dalam situasi masa kini di mana berlaku kepincangan dalam aspek akhlak dan moral masyarakat Islam, dakwah menerusi personaliti mulia (dakwah bilhal) lebih elok dipraktikkan berbanding dakwah melalui mulut yang belum tentu mencapai hasil yang diharap-harapkan. 

Pendakwah hendaklah mempersiap diri dengan akhlak mulia, penyabar dan tidak cepat melenting apabila ditegur. Sikap terbuka dan tidak memandang rendah kepada kewibawaan orang lain adalah resipi kejayaan dakwah. 

Setiap individu harus menerima hakikat bahawa manusia dilahirkan dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing. Adalah mulia jika segala kelebihan itu dikongsi bersama bagi memantapkan misi dakwah, manakala kekurangan diperbaiki untuk faedah bersama. 

Kaedah dan cara berdakwah pula perlu seiring dengan situasi semasa agar dakwah tidak hanya tertumpu kepada segelintir masyarakat sahaja. Pendekatan dakwah secara bijaksana penting agar segenap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada aktiviti dakwah yang dijalankan. Golongan muda dan remaja Islam yang seperti hilang arah hidup sepatutnya menjadi tumpuan pendakwah kerana mereka bakal menjadi pewaris negara pada masa hadapan. 

Pendekatan dakwah yang sesuai untuk golongan ini perlu difikirkan bersama oleh semua pihak bagi menarik lebih ramai golongan muda mempraktikkan perintah agama seperti solat yang kemudiannya mampu mendidik sahsiah dan peribadi mereka. 

Lebih daripada itu, pendakwah hendaklah sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT. dengan memperbanyak melakukan ibadah dan bermunajat kepada-Nya. Pendekatan ini merupakan persediaan spiritual yang mampu menahan segala ujian dan cabaran dakwah yang bermacam ragam, kerana bukan mudah untuk membentuk akhlak dan peribadi manusia. 

Ada yang menyokong dan tidak kurang pula yang membantah dengan melakukan tindakan di luar batasan. Kekuatan dalaman dan pergantungan mutlak kepada Allah SWT diperlukan untuk menghadapi situasi getir itu. Golongan para Nabi dan Rasul utusan Allah SWT adalah golongan yang banyak menerima cabaran berat ketika berdakwah kepada kaumnya. Terdapat di kalangan mereka yang bergelar Ulul Azmi, kerana hebatnya tribulasi dakwah yang terpaksa dihadapi. Nabi Ibrahim AS pernah dibakar oleh kaumnya namun dipelihara oleh Allah SWT daripada musibah itu. Nabi Muhammad SAW juga menerima berbagai-bagai ujian berat dalam usaha untuk mengajak manusia supaya mengesakan Allah SWT. 

Sifat buruk seperti keras hati, gemar berdebat, menyangka diri yang terbaik, sombong dan mata duitan adalah sifat-sifat yang merosakkan peribadi pendakwah di mata masyarakat. Amalan buruk ini bakal mengundang malapetaka dan merosakkan matlamat dakwah yang dicita-citakan. Pendakwah perlu menghindari diri daripada sifat buruk ini jika mahu diterima oleh masyarakat. Pelbagai gerakan dakwah yang wujud di Malaysia perlu bersatu hati bagi mencapai tujuan dan matlamat dakwah yang sama. 

Jangan asyik menuding jari menyalahkan orang lain sebaliknya sama-sama mencari jalan keluar kepada permasalahan yang berlaku. Pepatah ada menyebutkan bersatu kita teguh bercerai kita roboh. 

Masyarakat Islam juga diseru agar turut bersama-sama dalam aktiviti dakwah menyeru kepada yang baik dan mencegah perkara-perkara mungkar dan tidak hanya berharap kepada golongan agama bagi memikul tanggungjawab ini.Kesedaran semua anggota masyarakat dalam melaksanakan gerak kerja dakwah amat-amat diharapkan. Malahan cabang dakwah yang luas memberi peluang kepada semua pihak untuk sama-sama bertugas sebagai agen penyampai dakwah. 

Guru berdakwah dengan menyampaikan ilmu kepada murid, peruncit berdakwah melalui sifat amanah dan jujur dalam perniagaan dan setiap individu muslim berdakwah melalui akhlak dan peribadi mulia sehingga mampu memperlihatkan kecantikan Islam di mata masyarakat lain. 

Selain pendakwah, setiap individu Muslim wajib memikul amanah bagi memelihara diri dan keluarga mereka daripada kesesatan. Perbuatan sesetengah ibu bapa yang tidak mempedulikan perlakuan buruk anak-anak adalah sikap tidak bertanggungjawab yang bakal merosakkan masa depan mereka sebagai pemuda harapan bangsa dan agama. Bahkan ibu bapa akan dipertanggungjawabkan dengan persoalan itu di hadapan Allah SWT di akhirat kelak. 

Pendakwah semestinya memahami tugas dakwah adalah tugas yang berat dan memakan masa yang panjang. Pendakwah tidak boleh berputus asa kerana yang berhak dan berkuasa memberi petunjuk hanyalah Allah SWT sebagaimana dalam firman-Nya yang bermaksud; Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya dia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayat petunjuk (kepada memeluk Islam). Surah al-Qasas ayat 56). 

Untuk itu usaha dakwah tidak hanya meriah dalam bulan dakwah sahaja. Dakwah sepanjang masa diperlukan bagi menarik lebih ramai orang Islam mengamalkan ajaran agama dalam kehidupan seharian sekali gus menyumbang kepada minat masyarakat lain untuk mengenali dan mendalami Islam sebagai agama yang benar lagi diterima oleh Allah SWT. Usaha ini juga mampu untuk menangkis tanggapan-tanggapan buruk yang dilontarkan kepada Islam dan penganutnya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan