Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Selasa, 18 September 2012

I 2 SIAPKAN 5B SEBELUM BERTEMU RAMADAN

Artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan Rencana Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 17/7/2012.

BULAN Syaaban kini semakin laju memecut menghampiri penghujungnya. Ini bermakna tidak berapa lama lagi umat Islam di serata pelusuk dunia akan mula menjalani ibadah puasa wajib di Bulan Ramadan al-Mubarak. Justeru itu segala persiapan bagi menemuinya wajar dilakukan bagi merealisasikan nilai puasa tingkatan tinggi seperti yang diharap-harapkan. Adalah tidak molek jika bertahun-tahun dikurniakan nikmat bertemu Ramadan sedangkan kualiti puasanya tetap tidak berbeza. Akhirnya setelah Ramadan sekali berlalu, tiada nilai takwa mahupun ganjaran setimpal berjaya diraih setelah bersusah payah berpuasa selama sebulan. Justeru itu, umat Islam diseru melakukan persiapan bagi menemui Ramadan dengan secukup. Persiapan itu termasuklah; 

Bersihkan zahir dan batin 

Setiap Muslim disarankan untuk menyucikan diri daripada kekotoran zahir dan batin. Ini dapat dilakukan dengan berusaha menghindari diri daripada melakukan perkara keji dan mungkar selain berniat untuk memenuhkan Ramadan dengan segala amalan kebajikan. Begitu pula segala penyakit mazmumah yang boleh merosakkan ibadah hendaklah dijauhi. Sikap negatif seperti riak, sombong, takbur dan hasad dengki termasuk dalam kategori penyakit buruk yang perlu dijauhi. Selain itu amalan buruk berupa perbuatan dosa dan maksiat juga hendaklah dihindari sebagai persediaan mendidik jiwa dan rohani dengan sifat takwa kepada Allah SWT. Ia juga selari dengan pendidikan Ramadan yang terfokus kepada melawan runtunan hawa nafsu yang sentiasa mengintai peluang untuk merosakkan manusia dengan perlakuan negatif.

Bersedia untuk berbuat amal ibadah 

Seyogianya Ramadan dipenuhi dengan kerja-kerja ibadah. Amalan biasa seperti berzikir, tadarus al-Quran, solat tarawih dan qiamullail patut disemarakkan lagi. Umat Islam diseru untuk mengimarahkan surau dan masjid secara berjemaah dan berterusan sepanjang Ramadan agar beroleh ganjaran rahmat, pengampunan dosa dan pembebasan daripada api neraka. Di samping itu segala kegiatan harian hendaklah dipenuhi dengan perkara-perkara yang baik dan bermanfaat. 
Elakkan daripada membazirkan masa dengan kerja-kerja yang tidak berfaedah seperti bersembang mahupun tidur seharian. Peruntukkan juga sebahagian wang ringgit untuk bersedekah kepada golongan memerlukan dan menyediakan juadah berbuka puasa. Ini termasuk juga membayar zakat fitrah yang diwajibkan bagi semua tanggungan jika memenuhi syarat diwajibkan. Kesemua ini jika dilakukan dengan ikhlas akan dibalas dengan ganjaran yang tidak ternilai di sisi Allah SWT, apatah lagi di Bulan Ramadan yang mana segala amal kebajikan dilipat gandakan ganjarannya oleh Allah SWT tidak seperti bulan-bulan yang lain.

Berpuasa dalam erti kata yang sebenar

Segelintir umat Islam menyangka bahawa berpuasa terhasil dengan hanya menahan diri daripada makan dan minum bermula daripada terbit fajar hingga terbenam matahari serta tidak melakukan sebarang perkara yang membatalkan puasa. Namun sebenarnya pengertian puasa cukup luas dan menyeluruh. Selain makan dan minum seluruh anggota dan pancaindera juga selayaknya berpuasa yakni berhenti daripada berbuat kemungkaran. Dalam masa yang sama segala kewajipan lain seperti solat lima waktu dan perintah menutup aurat tetap dikerjakan. Masyarakat Islam juga diseru untuk mengelak daripada mengumpat, mengeji orang lain kerana dikhuatiri bakal mengurangkan pahala berpuasa di Bulan Ramadan. 

Di samping itu pekerjaan seharian hendaklah diteruskan, kerana puasa tidak sepatutnya mengurangkan produktiviti dan kesungguhan untuk bekerja. Ia juga termasuk aktiviti ibadah yang diberi pahala jika tidak melanggar ketetapan syariat. Baginda Nabi Muhammad SAW dan para sahabat sendiri sibuk berjuang menentang Musyrikin Mekah dalam Perang Badar al-Kubra di saat mereka sedang berpuasa dan beroleh kemenangan dalam peperangan tersebut. Justeru berpuasa di Bulan Ramadan tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mengelak daripada melakukan kerja tertentu seperti yang diamanahkan. 

Berjihad mencari lailatulqadar

Ramadan tiba setahun sekali, begitu pula malam lailatulqadar yang didambakan oleh setiap hamba yang beriman. Kesempatan yang sangat berharga ini tidak patut dipersiakan. Malah setiap individu Muslim perlu menanam azam dan tekad untuk berjihad dengan bersungguh-sungguh bagi mencari malam kemuliaan tersebut seraya beroleh ganjaran yang tidak ternilai harganya. Inilah masa paling sesuai untuk semua yang merasa pernah berbuat dosa memohon keampunan dan bertaubat kepada Nya. 
Inilah saat dan ketika segala doa dan permohonan sama ada bersifat duniawi dan ukhrawi akan diperkenankan lagi dimakbulkan oleh Allah SWT. Justeru itu Ramadan bukan masa untuk bersenang lenang, mencari pelbagai kuih-muih di Bazar Ramadan dan sibuk membuat persiapan Hari Raya semata-mata. Lebih daripada itu Ramadan adalah bulan untuk berjihad melawan hawa nafsu, mendidik jiwa dengan takwa dan bersabar melalui pelbagai ujian yang mendatang.

Bersegera menyelesaikan hutang puasa

Bagi yang masih belum mengqada puasa yang ditinggalkan diharap bersegera berbuat demikian sebelum berakhirnya Bulan Syaaban. Kegagalan berbuat demikian akan mendedahkan pelakunya kepada dosa yang dimurkai oleh Allah SWT. Malah mereka tetap dipertanggungjawabkan untuk mengganti puasa dan membayar fidyah jika telah menjangkaui Ramadan tahun yang baru. Kewajipan menggantikan puasa yang telah ditinggalkan sama ada dengan sebab yang diiktiraf oleh syarak mahupun dengan sengaja ditinggalkan umpama hutang dengan Allah SWT yang akan dibawa mati dan dipertanggungjawabkan pada hari kemudian. Malah ia tidak patut dilengah-lengahkan apatah lagi diabaikan begitu sahaja kerana bimbang tidak berkesempatan untuk melangsaikannya

Selain daripada itu, umat Islam turut digalakkan untuk membersihkan kawasan sekitar rumah yang kemungkinan dipenuhi lalang dan sampah sarap yang bertaburan di sana sini bagi menyambut Ramadan. Kawasan dalaman rumah juga elok dihias dan dibersihkan. Pada masa inilah sepatutnya langsir yang lama ditukar dengan yang baharu. Begitu pula pakaian yang cantik-cantik dan serba baharu disediakan dan dipakai menjelang ketibaan satu Ramadan. Amalan seperti ini sangat bertepatan dengan perintah Allah SWT supaya pintu-pintu Syurga dibuka luas dan bahagian dalamannya dihias rapi dan cantik bagi menyambut ketibaan Ramadan.

Akhirnya bergembiralah untuk bertemu Ramadan dengan niat dan semangat untuk berbakti kepada Ilahi. Peluang yang datang ini belum tentu akan dinikmati lagi pada masa hadapan kerana hanya individu terpilih sahaja diberi kesempatan tersebut. Oleh itu usah disia-siakan kurniaan ini dengan melalui Ramadan tanpa beroleh sebarang ganjaran dan kurniaan daripada Nya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan