Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Jumaat, 21 September 2012

I 16 PERKAHWINAN ADALAH IKATAN SUCI

MUSIM cuti sekolah pendek yang baru sahaja berlalu, memberi kesempatan kepada ramai pasangan untuk melangsungkan hari bahagia. Tempias kegawatan ekonomi yang turut melanda negara kita tidak menghalang mereka untuk berbelanja bagi membuat persiapan perkahwinan, menjadi raja sehari. Walau apapun adalah dinasihatkan amalan berbelanja secara boros dapat dielakkan. Kerana yang penting bukannya majlis persandingan yang grand dan diadakan di hotel-hotel mewah tetapi rumahtangga yang dibina selepas itu adakah beroleh keberkatan ilahi sehingga mampu berkekalan hingga ke akhir hayat atau hanya setakat bertahan setahun dua. 

Perkahwinan dalam Islam adalah suatu ikatan suci yang disyariatkan agama, antara lain bertujuan untuk mewujudkan ketenangan, kasih-sayang dan saling belas kasihan diantara satu sama lain. Selain daripada itu ia juga berupaya mengembangbiakkan kelangsungan generasi manusia sehingga ke akhir zaman. Nabi SAW sendiri diriwayatkan pernah bersabda yang ertinya

“Berkahwinlah dan perbanyakkanlah zuriat, kerana aku berbangga dengan umatku yang ramai pada hari akhirat kelak.”

Bagi mencapai tujuan yang tersebut setiap pasangan lelaki dan perempuan yang akan berkahwin perlu terlebih dahulu memahami tanggungjawab dan tugas masing-masing bagi memastikan bahtera rumahtangga yang akan dibina berkekalan hingga ke akhir hayat. 

Suami sebagai ketua keluarga hendaklah bertindak membimbing isteri dan anak-anak agar mereka sentiasa taat kepada perintah Allah SWT dan tidak melakukan pelanggaran terhadap ketetapannya. Suami juga hendaklah melaksanakan tugas mengurus keluarga dengan penuh hikmah dan bijaksana. Kegagalan melaksanakan tugas ini dengan sempurna akan mengundang kemurkaan Allah SWT sehingga menghilangkan keberkatan kehidupan berumahtangga, lalu gagal mencapai matlamat perkahwinan yang diharapkan.

Suami juga perlu menjadi contoh terbaik kepada ahli keluarga dalam segala lapangan kehidupan. Sama ada dalam konteks hubungan dengan Allah SWT sebagai hamba mahupun hubungan antara sesama manusia. Ini kerana anak-anak biasanya mencontohi perilaku ibubapa. Jika ibubapa merokok misalnya, anak-anak juga kemungkinan besar akan merokok, jadi jangan letakkan seratus peratus kesalahan hanya kepada mereka.

Tanggungjawab memberi nafkah zahir dan batin kepada pasangan adalah juga dibebankan kepada suami. Dewasa ini wujud semacam trend baru apabila terdapat golongan suami yang lebih seronok tinggal di rumah, mengurus rumahtangga sedangkan isteri yang bertungkus-lumus berkerja bagi menyara kehidupan keluarga. Situasi terbalik ini jika dibiar berpanjangan akan menyebabkan maruah dan kehormatan suami dipandang rendah lagi hina disisi masyarakat.

Lebih daripada itu suami memikul beban untuk menyediakan segala keperluan asas seperti, tempat tinggal yang bersesuaian, pakaian juga makanan dan minuman. Ini kerana persekitaran tempat tinggal yang kondusif boleh mempengaruhi kebahagiaan hidup berumahtangga disamping mampu melahirkan zuriat yang bersahsiah dan berkeperibadian unggul. 

Manakala isteri pula memikul amanah, untuk menjaga kehormatan diri dan suami. Bertanggungjawab menjaga segala keperluan rumahtangga dan anak-anak. Jangan sampai akibat kesibukan bertugas di pejabat tugas utama di rumah jadi terabai. Setiap isteri perlu memahami amanah ini agar keharmonian hidup berumahtangga dapat dikecapi walaupun bekerja.


Kadang-kadang terdapat isteri bermain kayu tiga dengan suami. Mungkin mereka lupa bahawa perbuatan itu menyebabkan kedurhakaan kepada suami, disamping mengundangkan kemurkaan ilahi. Banyak kemungkinan menyumbang kepada perbuatan tidak bermoral ini. Antaranya isteri kurang mendapat belaian suami di rumah, suami terlalu sibuk berkerja sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga, dan juga pergaulan melampaui batasan di tempat kerja. 

Islam tidak menghalang wanita untuk bekerja asalkan memenuhi kriteria yang ditetapkan bagi menjamin kerukunan rumahtangga. Malahan Islam mempunyai formula khusus bagi menangani masalah ini, isteri dilarang berlebih-lebihan dalam berhias kecuali untuk suami, perbuatan ini dibimbangi mendatangkan fitnah sehingga merosakkan hubungan kekeluargaan. Selain itu isteri perlu sentiasa menjaga batasan pergaulan di antara bukan mahram, begitu pula dalam hal berpakaian yang tidak keterlaluan. Biasa di dapati isteri yang bekerja lebih cenderung untuk bersolek dan berhias secantiknya apabila keluar bekerja, tetapi ketika di rumah lain pula ceritanya. Di luar perfume yang dipakai sebatu dapat dihidu baunya tetapi di rumah perfume bawang dan belacan dihidu suami. Di rumah kain batik lusuh menjadi perhiasan di luar rumah pakaian mahal silih berganti diperagakan. Persoalannya untuk siapa semua ini?

Isteri mahupun suami dinasihatkan agar sentiasa menjaga hubungan baik dengan mertua dan keluarga masing-masing. Ini penting agar tujuan perkahwinan yang mampu memperluaskan hubungan silaturrahim sesama manusia dalam konteks yang lebih luas akan tercapai. Ibubapa mertua juga diharap tidak mencampuri urusan rumahtangga anak kecuali jika diminta untuk berbuat demikian.

Kerana tidak mengerti tanggungjawab yang perlu dipikul akhirnya perkahwinan yang dibina tidak mampu bertahan lama, sehingga menyumbang kepada pertambahan statistik perceraian di kalangan pasangan beragama Islam. Baru-baru ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, mendedahkan pada tahun 2007 dan 2008 yang lalu terdapat sejumlah 75,299 tuntutan kes cerai direkodkan di Mahkamah Syariah seluruh negara. Daripada jumlah itu sebanyak 64,631 kes direkodkan pada tahun 2007 manakala baki 10,668 kes direkod pada tahun 2008. Menurut Dr. Mashitah Ibrahim lagi, antara punca yang dikenalpasti ialah tiada persefahaman di antara pasangan suami isteri, ada hubungan sulit, poligami, campurtangan keluarga dan tekanan kerja yang tidak dapat diurus dengan baik.

Justeru itu setiap pasangan perlu mengetahui segala selok belok perkahwinan. Ia bukan semudah bercinta lalu melangsungkan perkahwinan begitu sahaja. Pasangan yang ingin berkahwin hendaklah juga bersedia dari sudut ilmu berkaitan hukum hakam perkahwinan sama ada di sisi syarak mahupun undang-undang keluarga Islam yang dikanunkan di Malaysia. Begitu pula mereka seharusnya mempunyai sumber kewangan yang mantap untuk menyara kehidupan keluarga. 

Perkahwinan dalam Islam adalah satu ikatan suci yang digalakkan oleh Nabi Muhammad SAW untuk mengekang gejala maksiat dan dosa. Ia juga merupakan amanah yang akan dipersoalkan di hari akhirat kelak. Hakikat ini perlu difahami oleh setiap pasangan yang berkahwin agar perkahwinan yang dibina mendapat keberkatan dan rahmat Tuhan Yang Maha Esa.

Tiada siapa yang sempurna dalam melakukan suatu tindakan, begitu pula tiada yang mahu bercerai-berai setelah melangsungkan perkahwinan. Apa yang penting adalah kesediaan setiap pasangan berkahwin untuk sama-sama menghadapi ujian dan cabaran berumahtangga. Perselisihan dan ketidaksefahaman dalam hal tertentu adalah asam garam kehidupan rumahtangga. Yang lebih utama bagaimana ia dapat diurus dengan baik sehingga perkara yang buruk dapat dihindari. Pepatah ada menyebut sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami-isteri.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan