Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Rabu, 19 September 2012

I 7 BERSIKAP PROFESIONAL BOIKOT PRODUK YAHUDI, AS

Disiarkan dalam Akhbar Berita Harian Ruangan Agama 19hb. Feb. 2009 

SEJAK kempen boikot barang Israel dan Amerika Syarikat dilancarkan, banyak restoran makanan segera seperti KFC dan Pizza Hut menerima kesannya. Ada kemungkinan keadaan ini berlaku impak daripada kegawatan ekonomi yang berlaku di serata dunia sehingga menyebabkan daya beli masyarakat semakin berkurangan. Atau boleh jadi juga implikasi boikot membuahkan hasil dicita-citakan. 

Tentu ramai bersorak gembira kerana kempen yang diuar-uarkan ke seluruh negara menampakkan natijahnya, namun berbaloikah tindakan itu jika ditujukan kepada syarikat milik Bumiputera yang majoriti pekerja terdiri daripada rakan seagama? Sesetengah orang menyangka tindakan ini wajar dilakukan terhadap Israel dan Amerika yang menghancurkan bumi Palestin sambil memboikot apa saja yang datang dari negara mereka. 

Namun, apabila difikirkan dengan lebih rasional, sanggupkah kita menggadaikan pekerjaan saudara seagama demi menyelamatkan maruah dan nyawa saudara seagama lain, sedangkan negara Arab yang tinggal berhampiran Palestin pun tak mampu berbuat apa-apa bagi menghalang pencerobohan Israel. Malah, lebih mengelirukan apabila syarikat dari Mesir dikatakan terbabit menyediakan bekalan makanan kepada tentera Israel ketika kempen serangan di Gaza, baru-baru ini. 

Kita dalam dilema, antara terus memboikot semua produk yang ada dan dalam keadaan yang lain rela melihat ramai saudara seagama menganggur, bagi menanggung keluarga dan persekolahan mereka. Apatah lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu masa kini. Inilah yang dikatakan 'ditelan mati emak diluah mati bapa'. 

Kelihatan tiada yang mampu dilakukan kerana seluruh dunia sudah lama termakan budi dan tidak berdaya berdiri sendiri. Lihat saja kepada jenama barang mereka yang sudah lama bertapak dan dikenali di seluruh dunia. Seolah-olah tanpa KFC dan Pizza Hut tiada alternatif untuk makanan segera tempatan yang setanding jenama terkenal itu. 

Perlu diketahui, Johor Corporation (JCorp) melalui anak syarikatnya QSR Brands Malaysia Berhad adalah pemilik rangkaian restoran Pizza Hut di Malaysia dan Singapura, yang kini berjumlah 190 cawangan. JCorp juga adalah pemegang saham terbesar KFC Holdings Malaysia Berhad yang mengendalikan 460 restoran KFC di Malaysia, Singapura dan Brunei. 

JCorp yang kini diterajui Tan Sri Muhammad Ali Hashim adalah sebuah syarikat konglomerat Bumiputera di selatan tanah air yang aktif memperjuangkan 'Jihad Melalui Bisnes'. Dalam usaha untuk berkongsi keuntungan perniagaan supaya dapat dimanfaatkan seluruh masyarakat Islam, JCorp mewakafkan saham anak syarikat miliknya di bawah konsep Wakaf Korporat. 

Melalui kaedah ini JCorp mewakafkan RM200 juta saham syarikat di bawah pengurusan Kumpulan Wakaf An-Nur Sdn Bhd. (KWANB), keuntungan atau manfaat daripada pewakafan itu diagihkan kepada golongan yang memerlukan bantuan dan pertolongan. Pada 2007, perolehan yang diterima KWANB adalah sebanyak RM3.23 juta dan RM177,360 sudah diagihkan kepada jalan fisabilillah dan kebajikan. 

Jadi, apakah kempen ini perlu diberhentikan setakat ini atau boikot masih boleh diteruskan tetapi terhad kepada produk tertentu saja, misalnya rokok dan lain-lain yang memudaratkan. Terpulang kepada kebijaksanaan individu untuk menilai kewajaran melakukan tindakan ini. Jangan sampai 'marahkan nyamuk kelambu pula dibakar'. 

Ada juga yang mencadangkan agar JCorp melakukan penjenamaan semula terhadap restoran makanan segera di bawah kelolaannya agar lebih bersifat glokal dan tidak lagi terikat dengan jenama Amerika. Kemungkinan ia boleh difikirkan walaupun sudah pasti memerlukan modal besar dan jangka masa panjang. 

Ada juga yang lain, menegaskan bahawa sebelum masyarakat Islam bertindak memboikot produk yang disahkan halal lagi suci oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah lebih baik bertindak untuk berhenti membeli produk makanan yang meragukan di pasaran. Jika tidak akan ada pihak tertentu mengambil kesempatan menangguk di air keruh, meraih keuntungan lumayan daripada ketirisan sensitiviti umat Islam.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan