Artikel ini telah diterbitkan dalam
Ruangan Rencana Utusan Malaysia dan Ruangan Agama Berita Harian bertarikh 20hb.
Julai 2009
KINI setelah 40 tahun angkasawan Niel Amrstrong bersama Apollo 11, menjejakkan kaki ke bulan, masih banyak lagi rahsia langit yang tidak dapat diketahui oleh akal fikiran manusia. Malah akal tidak mampu untuk memikirkan sesuatu kecuali berdasarkan apa yang dapat dicapai oleh pancaindera. Justeru itu wahyu dan pertolongan Allah SWT sahaja yang boleh merungkai segala rahsia alam ini.
Sebagai contohnya peristiwa kembara agung perjalanan Rasulullah SAW ke langit menjadi bukti kepada orang yang beriman betapa Allah SWT Maha berkuasa menjemput kekasihnya Nabi Muhammad SAW menerusi suatu perjalanan menakjubkan daripada Masjidil Haram di Mekah, melalui ruang udara Madinah kemudian menuju ke Baitul Maqdis di Palestin lalu dibawa naik melepasi langit ke tujuh dalam satu malam bertemu zat Allah SWT Yang Maha Mulia.
Peristiwa menghairankan ini dirakamkan oleh Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud,
“Maha Suci Allah yang telah menjalankan
hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid
Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan
kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah
Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."
(Surah al-Isra’:1)
Sehubungan dengan itu, umat Islam diperingatkan agar tidak menjadikan peristiwa ini sebagai acara tahunan yang hanya dipenuhi dengan sesi ceramah dan juadah enak yang menyelerakan sahaja tanpa berusaha mengambil pelajaran daripada kejadian yang berlaku. Ini kerana banyak kewajipan agama sama ada yang tersurat mahupun tersirat boleh dijadikan pedoman untuk manusia memperkuat keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Antaranya ialah;
Wajib beriman dengan perkara ghaib
Peristiwa Isra Mikraj merupakan peristiwa ghaib yang pernah menyebabkan sebilangan masyarakat Arab murtad kerana tidak dapat menerima perkhabaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW. Mana tidaknya perjalanan yang mengambil masa berbulan-bulan ditempuhi oleh Baginda SAW dalam tempoh satu malam. Oleh itu setiap umat Islam wajib percaya dengan perkara-perkara ghaib yang menjadi asas tauhid kepada Allah SWT. Ia bukanlah sesuatu yang begitu sukar, kerana di dunia ini terdapat banyak perkara yang dibuktikan sains wujud tetapi tidak terlihat oleh pandangan mata kasar. Sebagainya contohnya oksigen yang dihidu oleh manusia setiap masa masih tidak diketahui hakikat sbenarnya walaupun dibuktikan ada malah sangat penting kepada manusia.
Wajib mengerjakan solat
Ibadah olat yang difardukan oleh Allah SWT pada malam Isra dan Mikraj merupakan suatu kaedah unik yang diadaptasi daripada pelakuan malaikat bagi melaksanakan tanggungjawab ibadah kepada Allah SWT. Setiap umat Islam wajib melaksanakan perintah ini, dalam apa jua situasi tanpa sebarang persoalan. Sembahyang lima waktu yang difardukan oleh Allah SWT juga merupakan tiang agama yang wajib dilaksanakan dengan penuh rasa khusyuk sambil mengharapkan keredaannya. Bahkan ia termasuk perkara pertama yang akan dihisab dihari kemudian. Berbagai-bagai hukuman disediakan Allah SWT kepada yang ingkar cukup menjadi ingatan agar orang Islam tidak melalaikannya. Gambaran azab dengan menghantuk-hantukkan kepala ke dinding hanya kerana leka dan malas mengerjakan sembahyang cukup menjadi bukti betapa ibadah sembahyang sangat penting dalam kehidupan seorang muslim.
Wajib percaya dengan Hari kiamat
Sayugia difahami bahawa kehidupan dunia hanya sementara, seluruh manusia akan dihimpunkan di Padang Mahsyar untuk diperhitungkan segala perlakuan semasa didunia. Berdasarkan gambaran dunia laksana wanita tua yang uzur dan tak berdaya yang dipertontonkan kepada Nabi Muhammad SAW di malam Isra dan Mikraj, dunia kini diambang kehancuran. Oleh itu setiap orang Islam bukan sahaja wajib percaya dengan Hari Kiamat tetapi diperintahkan untuk membuat persiapan berupa bekalan amal kebajikan bagi menghadapi hari dahsyat itu. Individu Muslim disaran agar meletakkan diri dalam realiti seorang pengembara dalam perjalanan bertemu Allah SWT dengan membawa berbagai bekalan kebajikan semasa di dunia bagi mengelak kesulitan untuk sampai ke destinasi yang dituju. Disamping itu persembahan hadiah berupa amalan ibadah kepada Allah SWT juga mesti disediakan agar beroleh kebahagiaan yang kekal lagi abadi.
Wajib percaya dengan azab Tuhan
Berbagai-bagai siksaan ditayangkan kepada Nabi Muhammad SAW dalam perjalanan Isra dan Mikraj akibat perbuatan zina, makan riba’, engkar menunaikan kewajipan sembahyang dan membayar zakat, selalu berdusta serta pecah amanah membuktikan betapa Allah SWT Maha Berkuasa menghukum hamba yang berdosa. Semua gambaran itu diharap menginsafkan umat Islam agar sentiasa menjauhi perbuatan dosa yang mengundang kemurkaan ilahi. Di sudut pandang yang lain, gambaran kurnia ilahi kepada satu kaum yang menanam tanaman dan menuai pada hari yang sama seharusnya menjadikan individu Muslim memiliki semangat juang yang tinggi terutama ketika berhadapan dengan syaitan musuh yang paling utama.
Wajib percaya dengan qadak dan qadar
Dalam mengharungi kehidupan dunia yang penuh pancaroba ini, manusia berdepan dengan dugaan dan rintangan yang mematangkan jiwa. Biasa didengar ada orang yang beroleh kenikmatan dan terdapat pula yang ditimpa musibah. Nabi Muhammad SAW sebagai insan biasa juga tak lekang daripada ujian itu. Sebelum dijemput naik ke langit, Nabi Muhammad SAW diuji dengan kehilangan 2 individu penting dalam karier dakwahnya iaitu Siti Khadijah isterinya dan Abu Talib bapa saudaranya. Tetapi baginda SAW tetap tabah menghadapi ujian itu sehingga dipertemukan dengan Kekasihnya di malam Isra dan Mikraj yang penuh keberkatan. Maka selayaknya umat Islam mencontohi perbuatan Nabi Muhammad SAW dengan menerima segala qada dan qadar ilahi tanpa terlalu bersedih apabila ditimpa musibah ataupun terlalu bergembira apabila diberi kenikmatan kerana ia suatu bentuk penilaian Allah SWT kepada hamba-hambanya.
Di sana terdapat berbagai lagi iktibar yang boleh diperolehi oleh sesiapa yang dibukakan hatinya oleh Allah SWT. Namun yang lebih utama, janganlah kita hanya berseronok merayakan berbagai hari kemuliaan Islam tanpa merenung pelajaran disebalik setiap peristiwa yang berlaku. Syukurilah segala nikmat itu dengan mempertingkat amal kebajikan guna untuk kebahagiaan hidup kita bersama di dunia dan akhirat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan