Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Jumaat, 21 September 2012

I 13 TANGGUNGJAWAB GOLONGAN BARU BERGELAR HAJI, HAJAH

Disiarkan dalam ruangan rencana Utusan Malaysia pada 18 DIS. 2008 dan 2 JAN. 2009

Musim haji 1429 hijrah telah menutup tirainya. Lapangan terbang antarabangsa seluruh tanahair mula riuh kembali dengan rombongan sanak saudara dan sahabat handai yang menyambut kepulangan jemaah haji daripada Tanah Suci Mekah. Alhamdulillah, kita panjatkan kesyukuran yang seluas-luasnya ke hadrat ilahi kerana dengan pertolongan dan perkenanNya jua, tiada tragedi kehilangan nyawa yang menyayat hati berlaku di musim haji kali ini, walaupun menurut laporan akhbar Utusan Malaysia (16hb. 12. 2008), seramai 38 orang jamaah haji Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci pada tahun ini. Semoga ruh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan oleh Allah swt. dikalangan hamba-hambanya yang salih lagi diterima amalnya.

Ucapan tahniah dan syabas juga diucapkan kepada Jabatan Wakaf dan Haji Arab Saudi yang telah berjaya dengan cemerlang menguruskan 3 juta jemaah haji daripada seluruh pelusuk dunia. Tanpa pengurusan yang sistematik dan efisien sudah pasti huru hara dan keadaan kelam kabut akan berlaku sehingga menggagalkan usaha jutaan tetamu Allah untuk memperoleh haji yang mabrur.

Sekalung tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan juga di ucapkan kepada pihak Lembaga Tabung Haji Malaysia, di atas komitmen yang tidak berbelah-bagi dalam usaha menyediakan segala kemudahan kepada 26,000 jemaah haji Malaysia tahun ini sehingga diiktiraf sebagai badan pengurus jemaah haji yang terbaik di dunia. Ucapan syabas dan tahniah juga ditujukan kepada seluruh jemaah haji Malaysia, yang telah selesai menunaikan rukun Islam yang kelima. Diharapkan semoga kepulangan mereka ke tanahair bukan sekadar bergelar haji ataupun hajjah malah lebih daripada itu sebenarnya mereka mempunyai tanggungjawab dan komitmen agama yang lebih besar daripada setakat bergelar haji atau hajjah.

Tempoh 40-50 hari berada di Tanah Suci adalah satu tempoh yang agak panjang. Dalam jangkamasa itu jemaah haji didedahkan secara praktikal dengan perkara-perkara yang boleh dan yang dilarang untuk dilakukan, yang kesemuanya mempunyai hikmah dan rahsia yang tersembunyi, bahkan sesetengahnya perlu terus diamalkan walaupun setelah kembali ke tanahair.

Sebagai contohnya, larangan memotong, menebang, mengerat atau mencabut pokok di Tanah Haram ketika sedang berihram merupakan suatu bentuk pendidikan ilmu alam yang tinggi manfaatnya jika dapat dihayati secara mendalam, apatah lagi dalam konteks negara kita hari ini yang berdepan dengan masalah bencana alam seperti hakisan tanah, mendapan banjir lumpur dan kejadian tanah runtuh yang berlaku seperti di Bukit Antarabangsa baru-baru ini. Semuanya berlaku dek kerana kerakusan manusia melahap sumber alam tanpa mengira kesannya kepada alam sekitar dan manusia secara keseluruhannya.

Begitulah juga dengan larangan bercumbuan dan melakukan persetubuhan ketika berihram memberi pengajaran kepada umat Islam bahawa walaupun sesetengah perbuatan itu dibenarkan oleh syariat tetapi dalam keadaan tertentu ia adalah dilarang. Sebagai contohnya, hubungan kelamin, yang hanya dibenarkan oleh syariat kepada pasangan yang telah bernikah secara sah, bukan kepada yang buat-buat macam dah bernikah. Akibat kejahilan umat Islam dalam memahami peraturan ini, akhirnya mengundang pelbagai gejala maksiat dalam masyarakat sehingga menyebabkan si ibu sanggup meninggalkan anak yang baru dilahirkan dalam keadaan yang sungguh menyedihkan, kadang-kadang ada yang dimakan anjing dan tak kurang juga yang mati kesejukan.

Selain daripada itu juga, segala amalan kebajikan yang telah menjadi rutin harian semasa di Tanah Suci juga perlu diteruskan sebagai tanda penerimaan ibadah haji di sisi Allah swt. Amalan seperti berulang alik ke masjid untuk berjamaah, duduk berjam-jam beriktikaf di dalam masjid, membaca al-Quran, berzikir, bersedekah, tolong-menolong dan berkenal-kenalan antara satu sama lain adalah perkara yang biasa yang dilakukan oleh jemaah haji ketika di Tanah Suci namun ternyata tak ramai yang mampu mempraktikannya sekembali ke tanah air. Atau kalau adapun yang diteruskan mungkin budaya shopping yang tak berkesudahan. Janganlah hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam, pulang ke tanahair dengan kopiah dan jubah putih, tasbih pula tak lekang dijari, lagak macam wali tetapi hanya kekal dua tiga hari lepas itu kopiah putih jadi kuning, jubah habis dimakan pijat, tasbih berterabur entah ke mana.

Dikatakan bahawa diantara tanda haji yang diterima oleh Allah swt. adalah meninggalkan maksiat yang pernah menjadi kebiasaannya sebelum pergi menunaikan haji, mengganti rakan-rakan yang mengajak kepada dosa dan maksiat kepada yang salih dan bertakwa serta meninggalkan majlis-majlis yang tidak bermanfaat dan melalaikan kepada majlis-majlis zikir dan mengingati Allah. (Kitab Tazkiyat al-Nafs, Sa’id Hawa)

Perlu diingatkan bahawa tanda-tanda ini bukanlah bertujuan untuk menuding jari mahupun memperkecilkan sesiapa, sebaliknya ia boleh dijadikan pedoman juga panduan kepada bakal-bakal haji mahupun yang telah biasa dipanggil haji, dalam usaha menilai dan memuhasabah diri. Ini kerana ibadah haji yang dilakukan dengan sempurna merupakan tiket untuk menempah syurga yang penuh dengan segala kenikmatan ilahi. Rasulullah saw. pernah bersabda yang bermaksud

"Haji yang mabrur tiada ganjaran baginya kecuali syurga."
(Hadith riwayat al-Hakim)

Adalah diharapkan kepulangan jemaah haji yang telah berjaya mengharungi liku-liku ibadah di Tanah Suci menjadi satu motivasi dan dorongan kepada seluruh umat Islam di Malaysia yang belum menunaikan kewajipan haji, agar mempersiap diri dengan wang ringgit, ilmu juga tenaga fizikal agar pada masa hadapan akan turut dapat merasa kenikmatan menjadi tetamu Allah swt. Janganlah kita hanya sekadar berseronok-seronok menziarahi kaum-kerabat dan rakan taulan yang baru kembali daripada Tanah Suci sambil berharap dapat minum air zam-zam dalam cawan emas atau perak, makan ajwa dua tiga biji dan bawa pulang tasbih dan kopiah haji sehingga lupa bahawa kita belum berjaya melepaskan kewajipan sendiri.

Sebagai renungan kita bersama marilah kita teliti sebuah hadis daripada Rasulullah saw yang bererti

"Barangsiapa yang mempunyai bekalan dan kenderaan yang boleh menyampaikannya ke Baitullah, tetapi ia tidak menunaikan haji (hingga ia mati dengan tidak ada keuzuran baginya) maka tidak ada halangan baginya mati sebagai Yahudi atau Nasrani, (dari segi seksanya) kerana Allah swt. telah berfirman yang ertinya
"Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya."

(Hadith riwayat Imam al-Tirmizi dan Imam al-Baihaqi)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan