Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Isnin, 17 September 2012

H 150 BOROS BERBELANJA AMALAN SYAITAN

BERSEDERHANA ketika berbelanja merupakan tuntutan agama Islam. Selaras dengan itu berbelanja melebihi daripada keperluan sangat dilarang. Individu yang boros dan suka membazir turut dilabelkan sebagai rakan Syaitan dek kerana memiliki sifat negatif yang memudaratkan diri sendiri, keluarga dan masyarakat amnya. 

Oleh itu, umat Islam digesa berjimat cermat dan membeli sekadar keperluan sahaja. Usah diturutkan runtunan nafsu yang secara semula jadi mengajak manusia melakukan perkara buruk lagi ditegah oleh agama. Berusahalah untuk mendidik nafsu sendiri terutama di Bulan Ramadan ketika Iblis dibelenggu oleh Allah SWT. 

Malahan, sikap buruk seperti ini kelihatan lumrah terjadi tatkala berkunjung ke bazar-bazar Ramadan sehingga segala yang dipandang terasa sedap lalu semuanya dibeli. Realitinya ketika berbuka hanya sedikit yang dimakan manakala yang lain terbiar dan terbuang begitu sahaja. 

Oleh sebab itu masyarakat Islam disunatkan berbuka dengan 3 biji kurma ataupun kuih–muih yang manis sekadarnya lalu bangkit mengerjakan solat Maghrib yang difardukan. Atau jika sudah terbiasa menikmati juadah yang berat seperti nasi dan lauk pauk yang pelbagai, nikmatilah secara sederhana sambil tidak lupa menghadiahkan juadah berbuka kepada jiran tetangga yang berhampiran. 

Dikhuatiri jika sudah kekenyangan seseorang akan terlepas peluang qiamullail di malam-malam Ramadan yang berlangsung sehingga menjelang waktu subuh. Boleh jadi dengan sebab itu juga terlepas nikmat beribadah pada malam lailatulqadar yang kekal menjadi rahsia Allah SWT sepanjang zaman. Amalan solat tarawih sebagai contohnya jika berupaya dilakukan dengan istiqamah merupakan antara ibadah qiamullail yang disyariatkan khusus sepanjang Ramadan. Lebih unik lagi amal jama’iy seperti ini tiada pada bulan yang lain sebagai sebahagian daripada kurniaan Ilahi yang sanggup berkorban masa dan tenaga mengharap keredhaan Nya. 

Apa yang lebih penting, setiap individu Muslim perlu memastikan segala yang dimakan adalah yang bersifat halalan tayyiba iaitu halal lagi berkhasiat. Untuk itu, para Muslimin diseru lebih prihatin terhadap apa yang dimakan kerana boleh jadi ia merosakkan ibadah puasa yang telah dilaksanakan sepanjang hari. Apa guna segala susah payah dan pengorbanan yang telah dilakukan ketika berpuasa termasuk menahan diri daripada lapar dan dahaga kemudian tiada nilai dan sia-sia belaka. 

Baginda Nabi Muhammad SAW diriwayatkan bersabda yang bermaksud “Betapa ramai orang yang berpuasa tetapi mereka tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya kecuali rasa lapar dan dahaga”. 

Di sudut pandang yang lain, golongan peniaga Muslim pula diharap tidak mengambil kesempatan dengan rezeki yang melimpah ruah semasa Ramadan sehingga mengabaikan aspek kebersihan dalam penyediaan makanan. Mereka juga memikul amanah untuk menunaikan hak sesama saudara se Islam bagi memastikan segala yang dimasak adalah halal, bersih dan bermanfaat. Bayangkan betapa kecewanya hati saudara Muslim saat berbuka dengan juadah yang sudah basi ataupun rosak yang dibeli daripada saudara Muslim yang lain. Tidak keterlaluan jika dikatakan penjual turut mendapat saham dosa kerana menyakiti hati saudaranya yang lain.

Dalam sebuah riwayat ada menyatakan perumpamaan orang Mukmin daripada aspek kasih sayang, belas kasihan dan saling hormat menghormati sesama mereka diibaratkan seperti satu jasad yang mana jika ada daripada anggota jasad itu sakit maka seluruh jasad turut merasakan kesakitannya. 

Pengusaha restoran dan hotel tertentu juga tidak sepatutnya menangguk di air yang keruh dengan trend 
berbuka puasa di luar yang menjadi tarikan pada masa kini menerusi penyediaan Bufet Ramadan yang tidak mendapat pengesahan sijil halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Laporan akhbar turut menyatakan ada golongan peniaga yang menaikkan harga makanan dan bufet Ramadan demi mengaut keuntungan lumayan dengan alasan kenaikan harga barangan keperluan di pasaran.

Budaya boros dan berlebih-lebihan kelihatannya semakin ketara dalam membuat persiapan untuk berhari raya sehingga segala-galanya mesti baharu. Daripada aspek pakaian, perhiasan rumah, barangan perabot, aksesori peribadi, gajet terkini dan tak kurang juga yang mengambil kesempatan bertukar kereta baharu. Ada pula yang sanggup papa asal bergaya dengan membeli barangan berjenama dan mewah secara berhutang.

Dalam hal ini penggunaan kad kredit tanpa keperluan yang mendesak amat dilarang kerana umat Islam tidak digalakkan berhutang kecuali dalam kondisi yang sangat memerlukan. Begitu pula amalan meminjam wang untuk pulang ke kampung berhari raya secara umumnya juga tidak patut diteruskan. Ini kerana boleh jadi hutang persiapan hari raya tahun yang sudah masih belum terbayar dan kini terpaksa pula berhutang lagi. Akhirnya hidup merana kerana dihimpit masalah hutang yang tidak berkesudahan.

Seyogianya umat Islam bersifat qana’ah dengan mengguna apa yang sedia ada tanpa boros berbelanja melebihi kemampuan. Jika tidak pelbagai keburukan lain bakal menimpa termasuk diisytiharkan muflis jika gagal melunaskan hutang pada tempoh yang ditetapkan, terlibat dengan pinjaman berasakan riba yang diharamkan dan kemungkinan membahayakan diri dan keluarga apabila membuat pinjaman dengan ceti haram. Atau kalaupun mampu mengadakan segala-galanya perlu diingat di sana ada hak golongan memerlukan sama ada melalui infaq wajib seperti agihan zakat mahupun sedekah sunat daripada orang kaya kepada golongan fakir dan miskin. 

Sifat positif berhemah ketika berbelanja termasuk tanggungjawab pemilik harta yang memikul amanah untuk membelanjakan harta kurniaan Allah SWT kepada jalan yang diredai oleh Nya. Justeru itu setiap insan akan ditanya berkaitan pengurusan hartanya lebih tepat lagi daripada mana ia diperoleh dan ke mana akhirnya dibelanjakan. 





Tiada ulasan:

Catat Ulasan