PERINGATAN “Merokok Membahayakan
Kesihatan” yang tertulis pada setiap kotak rokok di Malaysia seakan bait-bait
indah syair yang begitu puitis didendangkan kepada komuniti perokok. Tak ramai
yang mengambil peduli akan peringatan itu apatah lagi membacanya. Bagi mereka,
ada atau tidak peringatan itu sama sahaja, mereka akan terus merokok walaupun
berbagai-bagai kempen kesedaran berhenti merokok di anjurkan oleh kerajaan.
Lebih mengecewakan, Kempen Tak Nak Merokok dijadikan bahan lawak oleh
sesetengah perokok, kerana rokok yang patah (merujuk gambar poster kempen)
memang tak digemari oleh mereka.
Perokok tak pernah sedar, kalau merokok menyebabkan berbagai penyakit kronik yang merosakkan masa depan umat Islam. Merokok dikalangan remaja dan muda-muda Islam yang masih mentah pula semacam trend yang semakin diminati sehingga mereka tanpa segan silu merokok ditempat awam walaupun masih di bawah umur.
Pengaruh rakan sebaya, kurang perhatian ibubapa, kesunyian, semata-mata ingin berseronok dan lain-lain menjadi punca gejala merokok dikalangan remaja semakin menular. Penguatkuasaan undang-undang yang lemah turut merangsang penjualan rokok kepada golongan bawah umur, yang mudah untuk memperolehinya di mana-mana sahaja.
Walaupun tidak ada dalil yang jelas berkaitan pengharaman rokok dalam Islam, peringatan Allah SWT. agar manusia tidak menjerumuskan diri ke lembah kehancuran cukup menjadi bukti betapa amalan merokok yang menyebabkan berbagai penyakit sama ada kepada diri, masyarakat dan negara perlu dijauhi.
Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud
“Janganlah kamu membunuh diri kamu
sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.”
(Surah An-Nisa’, ayat 29)
Dalam ayat yang lain dinyatakan pula
“Janganlah kamu mencampakkan diri kamu
kepada kebinasaan.”
(Surah Al-Baqarah, ayat 195)
Perbuatan perokok yang membazirkan wang membeli produk memudaratkan termasuk daripada larangan Allah SWT. yang menegah daripada melakukan pembaziran sepertimana dalam firmannya yang bermaksud
“Sesungguhnya orang-orang yang boros itu
adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang
sangat kufur kepada tuhannya.”
(Surah Al-Israa’ ayat 27)
Adalah lebih mulia jika wang itu
disumbangkan untuk memberi nyawa kepada kehidupan masyarakat Palestin yang
telah lama menderita akibat sekatan oleh rejim Israel ke atas mereka.
Selain daripada itu, Kerajaan Negeri Selangor pada 7hb Disember 1995 telah mewartakan fatwa bahawa rokok adalah haram, oleh yang demikian , adalah haram bagi mana-mana orang Islam menghisap apa -apa jenis rokok yang dihasilkan daripada tembakau yang digulung dengan kertas atau daun nipah atau selainnya.
Pengharaman serupa juga difatwakan di Negeri Kedah, Perlis, Sarawak dan Pulau Pinang. Malah berdasarkan fatwa Negeri Pulau Pinang pengharaman turut meliputi penjualan atau penglibatan sama ada secara langsung atau tidak dalam hal yang berkaitan dengan rokok.
Ini disebabkan ancamannya yang boleh melahirkan sikap serta tabiat yang buruk, mendatangkan kemudaratan dari sudut kesihatan dan pembaziran yang amat ditegah oleh agama.Apatah lagi dalam zaman kemelesetan ekonomi yang melanda dunia, setiap orang perlu berjimat cermat dengan membeli hanya yang perlu sahaja.
Menurut kenyataan pakar perubatan pula, di dalam sebatang rokok terdapat sejumlah 4000 jenis racun yang mendedahkan mereka kepada penyakit kanser. Bahan-bahan itu adalah hydrogen cyanide (racun yang digunakan dalam bilik gas), toluidine, ammonia (pembersih lantai), urethane, toluene (bahan pelarut), arsenic (racun anai-anai), nickel, phenol (pembersih kuman dan jangkitan), butane (cecair pemetik api), polonium (-210), d.d.t. (racun serangga), acetone (pelekang cat), tar (minyak tar jalan), naphthalene (ubat gegat), cadmium (yang digunakan dalam bateri kereta), carbon manoxide (gas beracun dari ekzos kereta), benzopyrene, vinye chloride (bahan untuk membuat pvc).
Para ulama seperti al-Habib Abdullah Al-Haddad, Al-‘Allamah Ahmad Al-Hadwan, As-Sayyid Al-‘Allamah Umar Al-Bashri turut bersetuju mengharamkan rokok. As-Syeikh Abi Bakr bin Salim pernah berkata “Aku khuatir orang yang tidak bertaubat dari merokok sebelum mati, akan mati dalam keadaan suu’ al-khatimah (mati yang berkesudahan buruk).
Antara lain kaedah yang digunakan oleh para ulama untuk menyatakan haram merokok menerusi hukum makanan yang boleh membawa mabuk atau memudaratkan akal dan tubuh badan. Oleh itu memakan benda yang memabukkan juga adalah haram, kerana ia memabukkan, dan memakan makanan yang memudaratkan akal juga haram, kerana mudaratkan.
Begitu juga jikalau seseorang membuat pengakuan bahawa dia tidak menemui apa-apa manfaat dalam makanan itu dari semua segi, maka elok makanan berkenaan diharamkan kerana mengundang pembaziran kepada harta. Maka selain daripada itu dihukumkan halal, kerana yang muktamad dari sudut hukum, asal sesuatu benda itu halal, selagi tidak ada nas yang menyatakan sebaliknya.”
Mungkin bagi perokok tegar yang telah biasa merokok perbuatan itu tidak memabukkan seperti meminum alkohol atau menghisap dadah. Namun menurut Al-Imam Al-Akbar Mahmud Syaltut, walaupun menghisap tembakau itu tidak memabukkan dan tidak merosakkan akal, namun ia mempunyai berbagai kesan yang membahayakan kepada kesihatan perokok dan juga kepada orang lain yang tidak merokok.”
Lalu setelah berbagai dalil dan hujah menunjukkan pengharaman rokok, apakah perokok masih menganggap perbuatan merokok sebagai perkara biasa yang tak perlu diheboh-hebohkan. Atau mungkin bagi yang lain, ini isu lapuk yang biasa diperkatakan. Apapun kata mereka amalan merokok terutama dikalangan remaja perlu dibenteras habis-habisan.
Golongan belia Islam adalah tonggak kemajuan bangsa di hari mendatang. Segala usaha untuk merosakkan pemikiran mereka wajib dihalang sebelum menjadi barah yang bernanah dalam masyarakat.
Untuk menjadikan umat Islam bebas rokok, semua pihak perlu memainkan peranan. Pihak-pihak berwajib disaran agar memperhebat penguatkuasaan undang-undang ke atas larangan merokok di tempat awam dengan mengenakan denda kepada yang ingkar. Sekadar meletakkan papan tanda belum memadai untuk mendidik perokok yang ingkar peraturan.
Golongan ibubapa juga perlu bertindak mengawasi perlakuan anak-anak agar tidak terjebak merokok diusia muda. Ibubapa wajib menjadi contoh kepada anak-anak dengan tidak merokok, jika tidak ia ibarat ketam mengajar anak berjalan tegak sedang dia sendiri berjalan mengereng. Perbuatan sesetengah ibubapa memberikan wang rokok kepada anak boleh diumpamakan seperti membunuh anak sendiri.
Golongan ulama dan ilmuan Islam diseru agar menimbulkan kesedaran kepada umat Islam akan bahaya rokok dengan memperbanyakkan penerangan berkenaan pengharaman rokok dalam Islam. Malah mereka yang terlibat merokok juga dinasihatkan agar berhenti merokok kerana ini menimbulkan kekeliruan dikalangan orang awam yang dahagakan ilmu dan tunjuk ajar daripada mereka.
Nabi SAW pernah bersabda “Agama itu adalah nasihat, sahabat bertanya untuk siapa?, Nabi SAW bersabda untuk Allah, para malaikat, kitab, rasul dan golongan pemimpin juga umat Islam seluruhnya.
Jangan asyik berceramah isu yang besar-besar sedangkan isu rokok pembunuh umat sering diabaikan.Apa guna berdemonstrasi boikot produk itu dan ini sedangkan kita lupa bahawa rokok juga ada sumbangannya kepada penindasan saudara Islam kita di seluruh dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan