Sebenarnya
menggabungkan diri dengan harakah Islamiah bukan hanya memadai dengan membuat
permohonan menjadi ahli dan mendaftar nama sahaja, bukan juga sekadar
berulang-alik ke markas-markas gerakan atau kelab-kelabnya dan menghadiri
ijtimak-ijtimak anjuran jemaah semata-mata. Penggabungan ini mestilah membawa
kepada pengertian yang lebih jauh dari itu. Penggabungan yang tidak sekadar
dalam bentuk dan nilai-nilai tertentu sahaja tetapi ia adalah penggabungan yang
membuktikan kemantapan akidah dan kekuatan ikatan fikrah dan tanzim.
1.
Penggabungan Akidah.
Perkara
pertama yang wajib diketahui apabila kita menggabungkan diri dengan Harakah
Islamiah ialah sejauh manakah berlakunya penggabungan dari sudut akidah kerana
Harakah Islamiah menolak penggabungan yang berdasarkan kepada (kecenderungan
atau thiqah terhadap) peribadi (sahsiah) seperti yang berlaku pada
pertubuhan-pertubuhan asing yang hanya mementingkan soal-soal teraju kepimpinan
sahaja dan hubungan seperti inilah yang menjadi kuman-kuman yang menghancurkan
pertubuhan-pertubuhan tersebut.
Oleh itu
penggabungan Harakah Islamiah pertama-tamanya ialah penggabungan dengan agama
Islam sendiri. Penggabungan ini seterusnya menuntut kita mentaati segala titah
perintah Allah s.w.t, mengharapkan rahmat serta keredhaannya. Dengan cara ini
penggabungan dengan harakah Islamiah tidak terjejas sekiranya berlaku kematian
peribadi tertentu atau kehilangan mereka dari medan dakwah kerana sesuatu
sebab, kerana penggabungan akidah mengikat seseorang dan jamaah dengan Allah
s.w.t. Inilah sebenarnya yang merupakan rahsia berlakunya gerakan dakwah serta
penerusannya. (Sayidina Abu Bakar r.a berkata:) “Sesiapa yang
menyembah Muhammad sesungguhnya Muhammad telah mati dan sesiapa yang menyembah
Allah, sesungguhnya Allah tetap hidup dan tidak mati”.
Allah
s.w.t berfirman:
إِنَّ الَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا
يُبَايِعُونَ اللَّهَ يَدُ اللَّهِ فَوْقَ أَيْدِيهِمْ فَمَنْ نَكَثَ فَإِنَّمَا
يَنْكُثُ عَلَى نَفْسِهِ وَمَنْ أَوْفَى بِمَا عَاهَدَ عَلَيْهُ اللَّهَ
فَسَيُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا
Sesungguhnya orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu
(wahai Muhammad – untuk berjuang menentang musuh), mereka hanyasanya memberikan
pengakuan taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan
taat setia itu (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan
janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya dan
sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka
Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar.
(Surah
Al-Fath, Ayat: 10).
Harakah
Islamiah juga menolak penggabungan yang didorong oleh semangat dan perasaan
yang melulu kerana Islam itu sendiri adalah sistem yang ditegakkan di atas
dasar kefahaman, juga kerana matlamat bekerja untuk Islam itu sendiri adalah
untuk menegakkan manhaj hidup Islam di dalam masyarakat di mana perlaksanaannya
dilakukan dengan penuh kesedaran, penelitian dan secara lebih objektif. Oleh
yang demikian kesedaran yang timbul dari akidah, kesedaran dalam bentuk haraki
dan pegangan yang kukuh dari sudut amalan merupakan perkara yang disyariatkan
untuk penggabungan diri dengan gerakan Islam. Bahkan keteguhan pendirian
seseorang dalam melaksanakan amal-amal dakwah dan jaminan untuk terus kekal
bersama arus dakwah serta turut mengecap kejayaannya menuntut seseorang itu
memiliki kefahaman yang betul dan kesedaran yang murni terhadap makna
penggabungan ini. Ramai di kalangan mereka yang gugur tercicir dari jalan
dakwah ataupun bertindak meninggalkan perjalanan ini dengan begitu cepat adalah
terdiri dari mereka yang turut serta atas dorongan dan perasaan yang melulu
atau atas semangat dan tekanan suasana tertentu sedangkan mereka tidak memahami
gambaran sebenarnya tentang jalan perjuangan ini.
Harakah
Islamiah menolak penggabungan yang mengandungi maslahat atau tujuan tertentu
atau dalam erti kata yang lain dijadikan sebagai batu loncatan untuk mencapai
maksud dan kepentingan diri sendiri. Mereka menjadikan penggabungan diri mereka
dengan jamaah sebagai satu cara untuk mencapai keuntungan peribadi sama ada
dalam bentuk kebendaan ataupun masyarakat.
Sebenarnya
penggabungan diri ke dalam Harakah Islamiah bererti seseorang itu mestilah
mengorbankan seluruh kekuatan dan kemampuannya untuk jamaah, menyerahkan
kepentingan diri untuk kepentingan jamaah, bukan sebaliknya. Inilah yang menambatkan
amal dengan niat (seseorang). Intima’ atau penggabungan dengan Harakah Islamiah
adalah intima’ dengan seluruh ruang lingkup gerak kerjanya. Oleh yang demikian
tidak dapat tidak seseorang yang bergabung dengan Harakah Islamiah mestilah
membersihkan (menyucikan) dan memurnikan diri dan jiwa mereka dari segala
kepentingan yang rendah. Rasulullah s.a.w bersabda:
“Sesungguhnya amalan-amalan itu hanya (dikira) dengan niat. Sesungguhnya
(ganjaran) bagi setiap orang itu (diberi) berdasarkan apa yang ia niatkan.
Malah sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka (balasan)
hijrahnya (ialah pahala kerana) Allah dan Rasul-Nya dan sesiapa yang hijrahnya
untuk dunia yang diingininya atau kerana wanita yang ingin dikahwininya maka
(balasan) hijrahnya itu ialah mengikut apa yang dia niatkan”.
(Muttafaqun
Alaih).
2.
Penggabungan Untuk Masa Depan.
Satu lagi
perkara yang sepatutnya wujud di dalam penggabungan seseorang di dalam Harakah
Islamiah ialah penggabungan masa depannya bersama masa depan jamaah dengan
makna masa depannya (senang susahnya) mestilah terikat dengan jamaah dalam
bentuk dan apa keadaan sekalipun.
Penggabungan
tersebut mestilah tidak terikat atau terhenti dengan berakhirnya marhalah
tertentu atau penggabungan dalam suasana tertentu, kemudian berhenti setelah
berakhirnya suasana tersebut.
Penggabungan
dengan jamaah juga mestilah tidak terbatas kepada zaman muda belia dan bujang
sahaja, lalu berhenti setelah meningkat dewasa dan berumahtangga.
Penggabungan
ini juga mestilah tidak terbatas dalam keadaan kemiskinan, kesusahan dan
kesempitan kemudian menghilang diri setelah kaya-raya dalam kehidupan dan
kelapangan.
Penggabungan
ini juga bukanlah terbatas di waktu keadaan aman damai, kemudian menghilang
apabila ditimpa bala dan ujian.
Sebenarnya
penggabungan ini mestilah penggabungan yang bersifat kekal abadi, tidak
bercerai-berai, tidak berundur ke belakang dan tidak cabut lari sehingga ia
kembali menemui Tuhannya dalam keadaan ia menggabungkan diri dengan Harakah
Islamiah. Inilah yang dilakukan oleh para Salafussoleh bahkan inilah yang
ditegaskan oleh sebahagian ayat-ayat suci Al-Quran.
Di antaranya
firman Allah s.w.t:
وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ ءَامَنَّا بِاللَّهِ
فَإِذَا أُوذِيَ فِي اللَّهِ جَعَلَ فِتْنَةَ النَّاسِ كَعَذَابِ اللَّهِ وَلَئِنْ
جَاءَ نَصْرٌ مِنْ رَبِّكَ لَيَقُولُنَّ إِنَّا كُنَّا مَعَكُمْ أَوَلَيْسَ
اللَّهُ بِأَعْلَمَ بِمَا فِي صُدُورِ الْعَالَمِينَ. وَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ
الَّذِينَ ءَامَنُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْمُنَافِقِينَ.
“Dan ada sebahagian dari manusia yang berkata: Kami beriman kepada
Allah; kemudian apabila dia diganggu dan disakiti pada jalan Allah, dia jadikan
gangguan manusia itu seperti azab seksa Allah (lalu dia taatkan manusia) dan
jika datang pertolongan dari Tuhanmu memberi kemenangan kepadamu, mereka sudah
tentu akan berkata: Kami adalah sentiasa bersama-sama kamu. (Mengapa mereka
berdusta?) Bukankah Allah lebih mengetahui akan apa yang terpendam dalam hati
sekalian makhluk? Dan sesungguhnya Allah mengetahui akan orang-orang yang
beriman dan sesungguhnya Dia mengetahui akan orang-orang yang munafik”.
(Surah
Al-Ankabuut, Ayat: 10 – 11).
Allah
s.w.t berfirman lagi:
وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَعْبُدُ اللَّهَ عَلَى حَرْفٍ
فَإِنْ أَصَابَهُ خَيْرٌ اطْمَأَنَّ بِهِ وَإِنْ أَصَابَتْهُ فِتْنَةٌ انْقَلَبَ
عَلَى وَجْهِهِ خَسِرَ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةَ ذَلِكَ هُوَ الْخُسْرَانُ
الْمُبِينُ
“Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan
pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau dia beroleh kebaikan, senanglah hatinya
dengan keadaan itu dan kalau pula dia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah dia
semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah dia akan dunia dan
akhirat, itulah kerugian yang terang nyata”.
(Surah
Al-Hajj, Ayat: 11).
Allah
s.w.t berfirman lagi:
وَكَأَيِّنْ مِنْ نَبِيٍّ قَاتَلَ مَعَهُ رِبِّيُّونَ
كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُوا لِمَا أَصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَمَا ضَعُفُوا
وَمَا اسْتَكَانُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ. وَمَا كَانَ قَوْلَهُمْ
إِلَّا أَنْ قَالُوا رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَإِسْرَافَنَا فِي
أَمْرِنَا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ.
فَآتَاهُمُ اللَّهُ ثَوَابَ الدُّنْيَا وَحُسْنَ ثَوَابِ الْآخِرَةِ وَاللَّهُ
يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ.
“Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan
disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak
merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama)
Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada
musuh) dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengasihi orang-orang yang sabar. 147-
Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa
dengan berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami
yang melampau dalam urusan kami dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam
perjuangan) dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir.
148- Oleh itu Allah memberikan mereka pahala dunia (kemenangan dan nama yang
harum), dan pahala akhirat yang sebaik-baiknya (nikmat Syurga yang tidak ada
bandingannya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang
berbuat kebaikan”.
(Surah
Aali Imraan, Ayat: 146 – 148).
Sesungguhnya
dakwah yang benar ialah dakwah atau seruan supaya berpegang teguh kepada
kebenaran, seruan kepada iman dan amal, seruan kepada jihad, rasa keterikatan
dan kesabaran serta seruan kepada pengorbanan dan penebusan. Adalah merupakan
satu kebiasaan atau satu perkara yang bersifat tabi’ie bahawa suara-suara
kebenaran itu menjadikan pada pendokongnya terdedah kepada cabaran-cabaran dari
pada penaja kebatilan dengan sikap mereka yang melampau, makar jahat serta tipu
helah mereka. Allah s.w.t mengingatkan:
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ حَتَّى نَعْلَمَ الْمُجَاهِدِينَ
مِنْكُمْ وَالصَّابِرِينَ وَنَبْلُوَ أَخْبَارَكُمْ
“Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang
mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang
yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan
perintah Kami) dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya)
berita-berita tentang keadaan kamu”.
(Surah
Muhammad, Ayat: 31).
Orang-orang
yang menggabungkan diri dengan Harakah Islamiah mestilah berbeza dengan orang
yang lain dari sudut rupa diri, sama ada dalam akhlak, muamalat harian mahupun
syiar-syiar. Mereka mestilah menjalani kehidupan berdasarkan prinsip-perinsip mereka
sendiri dan demi untuk perinsip-prinsip tersebut walaupun dalam keadaan dan
suasana apa sekalipun. Bahkan mereka mestilah membuang sifat-sifat ananiah
(keakuan) dan sifat-sifat mementingkan diri sendiri dengan cara mengutamakan
kepentingan dakwah dan kemaslahatannya. Sifat-sifat ini dan yang seumpamanya
tidak mungkin akan memancar dalam peribadi para petugas kecuali setelah melalui
proses pembersihan yang panjang, pertarungan dan penderitaan yang perit
sebagaimana yang disebut di dalam firman Allah s.w.t:
فَأَمَّا الزَّبَدُ فَيَذْهَبُ جُفَاءً وَأَمَّا مَا
يَنْفَعُ النَّاسَ فَيَمْكُثُ فِي الْأَرْضِ
“Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala
benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi”.
(Surah
Ar-Ra’d, Ayat: 17).
Dipandang
dari sudut ini mehnah cubaan itu adalah dari Allah s.w.t supaya dengan cara itu
dapat dibezakan di antara yang buruk dengan yang baik, membersihkan dan
mengasingkan orang-orang yang layak dan berhak memikul tugas-tugas khalifah di
bumi dan amanah yang besar lagi berat yang tidak sanggup dipikul oleh langit,
bumi dan gunung-ganang. Sesungguhnya benarlah apabila Allah swt berfirman:
إِنْ يَمْسَسْكُمْ قَرْحٌ فَقَدْ مَسَّ الْقَوْمَ
قَرْحٌ مِثْلُهُ وَتِلْكَ الْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ وَلِيَعْلَمَ
اللَّهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا وَيَتَّخِذَ مِنْكُمْ شُهَدَاءَ وَاللَّهُ لَا
يُحِبُّ الظَّالِمِينَ. وَلِيُمَحِّصَ اللَّهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا وَيَمْحَقَ
الْكَافِرِينَ.
“Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka
sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga
dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar) dan demikian itulah keadaan
hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan),
kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya
nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang
sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu
orang-orang yang mati Syahid dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada
orang-orang yang zalim. Dan juga supaya Allah membersihkan orang-orang yang
beriman (dari dosa-dosa mereka) dan membinasakan orang-orang yang kafir”.
(Surah
Aali Imran, Ayat: 140 – 141).
Mehnah
ujian yang dihadapi oleh para pendakwah di arena dakwah pada asasnya terbahagi
kepada dua dan kedua-duanya berpecah pula kepada beberapa cabang ujian dan
fitnah:
Pertama:
Para pendakwah akan terdedah kepada berbagai bentuk ujian dan godaan seperti
harta kekayaan, kemegahan, kekuasaan dan kedudukan serta pangkat sebagai
tawaran yang dikemukakan agar mereka berpaling dari sebahagian atau keseluruhan
prinsip-prinsip yang mereka perjuangkan. Firman Allah swt:
زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ
النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنْطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ
وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالْأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ذَلِكَ
مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللَّهُ عِنْدَهُ حُسْنُ الْمَآبِ. قُلْ
أَؤُنَبِّئُكُمْ بِخَيْرٍ مِنْ ذَلِكُمْ لِلَّذِينَ اتَّقَوْا عِنْدَ رَبِّهِمْ
جَنَّاتٌ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَأَزْوَاجٌ
مُطَهَّرَةٌ وَرِضْوَانٌ مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ بَصِيرٌ بِالْعِبَادِ.
“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada
benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak;
harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan
yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun
tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi
Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga). Katakanlah (wahai
Muhammad): Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik
daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertakwa disediakan di sisi
Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka
kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri yang suci
bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah dan (ingatlah), Allah sentiasa
Melihat akan hamba-hambaNya”.
(Surah
Aali Imraan, Ayat: 14 – 15).
Kedua:
Para pendakwah akan menghadapi berbagai bentuk ugutan, tekanan dan penyeksaan
di mana mereka akan dipukul, dipenjara, dibunuh, diperangi atau disekat sumber
rezeki mereka. Dalam menghadapi keadaan-keadaan begini mereka wajib bersabar
serta meneguhkan pendirian sehingga Allah swt mendatangkan ketentuan-Nya. Allah s.w.t berfirman:
الَّذِينَ قَالَ لَهُمُ النَّاسُ إِنَّ النَّاسَ قَدْ
جَمَعُوا لَكُمْ فَاخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ إِيمَانًا وَقَالُوا حَسْبُنَا اللَّهُ
وَنِعْمَ الْوَكِيلُ. فَانْقَلَبُوا بِنِعْمَةٍ مِنَ اللَّهِ وَفَضْلٍ لَمْ
يَمْسَسْهُمْ سُوءٌ وَاتَّبَعُوا رِضْوَانَ اللَّهِ وَاللَّهُ ذُو فَضْلٍ عَظِيمٍ.
“Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita)
kepada mereka: Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk
memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya. Maka berita itu makin
menambahkan iman mereka lalu berkata: Cukuplah Allah untuk (menolong) kami dan
Dia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami). Setelah
(pergi mengejar musuh), mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia
dari Allah, mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun, serta mereka pula
menurut keredhaan Allah dan ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang amat
besar”.
(Surah
Aali Imraan, Ayat: 173 – 174).
Inilah
yang menjadikan mehnah dan ujian ke atas para pendakwah itu sebagai satu anasir
pembersihan, satu cara dari cara-cara yang dapat menapis dan meningkat
anggota-anggota jamaah sebagaimana api yang membakar besi berserta kotorannya
lalu menghasilkan besi yang baik. Sesungguhnya Allah s.w.t berfirman:
وَنَبْلُوكُمْ بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً
وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ
“Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan
dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan”.
(Surah
Al-Anbiyaa’, Ayat: 35).
Di dalam
risalah yang bertajuk “Bainal Amsi Wal Yaum” (Di Antara Semalam Dengan Hari
Ini) di bawah tajuk: “Ranjau-ranjau di jalan kita”, Asy-Syahid Hassan Al-Banna
menyatakan:
“Saya
suka berterus terang kepada anda sekalian, sesungguhnya dakwah kami ini mesti
belum dikenali oleh orang ramai. Pada hari mereka mengenalinya dan mengetahui
matlamat dan objektifnya nanti, kamu pasti menerima penentangan yang hebat dan
sikap permusuhan yang ketat. Kamu akan dapati di hadapan kamu berbagai
kesusahan dan halangan yang akan menghalang kamu. Pada masa itu barulah barulah
kamu mula menempuh dan mengikut jalan para pendukung dakwah. Adapun sekarang
mereka tidak mengetahui lagi, kamu di peringkat awal dakwah dan anda tentu
bersedia dengan apa jua cara yang dikehendaki oleh perjuangan dan jihad.
Kejahilan
rakyat tentang hakikat Islam akan menjadi penghalang jalan kamu. Kamu akan
dapati ahli-ahli agama dan ulama-ulama yang rasmi menjadi orang yang hairan
dengan kefahaman Islam kamu dan tidak mengakui jihad kamu. Semua pemerintah
akan bekerjasama menjadi penghalang di hadapan muka kamu dan setiap pemerintah
itu akan cuba menyekat kegiatan-kegiatan kamu dan meletakkan halangan di jalan
kamu.
Lanun-lanun
ini juga akan berganding bahu di setiap jalan untuk menentang kamu dan memadam
sinar dakwah kamu. Mereka akan meminta bantuan pemerintah-pemerintah yang lemah
dan orang-orang yang akhlaknya rendah dan tangan-tangan yang sengaja meminta
sesuatu dari mereka tetapi melakukan kejahatan dan permusuhan terhadap kamu.
Kamu akan
dimusuhi dan dibenci. Semuanya akan berusaha menimbulkan keraguan serta
melemparkan tuduhan-tuduhan yang zalim terhadap dakwah kamu dan menunjukkan
kepada manusia dengan gambaran yang paling hodoh dan kotor dengan menggunakan
kekuatan dan kekuasaan yang ada pada mereka. Mereka akan menindas dengan
harta-benda dan kuasa mereka. Allah s.w.t berfirman:
يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ
بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam)
dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun
orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)”.
(Surah
As-Saff, Ayat: 8).
Dengan
ini kamu akan memasuki tingkat percubaan dan ujian di mana kamu akan dipenjara,
ditangkap, dipindahkan, dipencilkan, dirampas harta-benda kamu, disekat
kerja-kerja kamu bahkan digeledah rumah-rumah kamu. Boleh jadi masa ujian yang
bakal kamu hadapi ini panjang. Allah s.w.t berfirman:
أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا
ءَامَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya
berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?”
(Surah
Al-Ankabuut, Ayat: 2).
Tetapi
Allah swt telah berjanji kepada kamu selepas semuanya itu, iaitu kemenangan
kepada para mujahidin dan ganjaran pahala kepada orang yang melakukan amal yang
baik. Firman Allah swt:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ
عَلَى تِجَارَةٍ تُنْجِيكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ. تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ
وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ
ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ. يَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ
وَيُدْخِلْكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ وَمَسَاكِنَ
طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ. وَأُخْرَى
تُحِبُّونَهَا نَصْرٌ مِنَ اللَّهِ وَفَتْحٌ قَرِيبٌ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ.
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُونُوا أَنْصَارَ اللَّهِ كَمَا قَالَ عِيسَى
ابْنُ مَرْيَمَ لِلْحَوَارِيِّينَ مَنْ أَنْصَارِي إِلَى اللَّهِ قَالَ
الْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنْصَارُ اللَّهِ فَآمَنَتْ طَائِفَةٌ مِنْ بَنِي
إِسْرَائِيلَ وَكَفَرَتْ طَائِفَةٌ فَأَيَّدْنَا الَّذِينَ ءَامَنُوا عَلَى
عَدُوِّهِمْ فَأَصْبَحُوا ظَاهِرِينَ
Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan
yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?
Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan
menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah
yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang
sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan
kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta
ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga “Adn”. Itulah
kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu
pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya) dan
sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.
Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama)
Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibni Mariam (ketika
ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: Siapakah penolong-penolongku
(dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)? Mereka
menjawab: Kamilah pembela-pembela (agama) Allah! (Setelah Nabi Isa tidak berada
di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman dan sepuak lagi (tetap)
kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk
mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang”.
(Surah
As-Saff, Ayat: 10 – 14).
“Setelah
memahami penjelasan demikian, apakah kamu akan tetap pendirian untuk menjadi
penolong-penolong (pejuang-pejuang menegakkan agama) Allah swt?”.
NOTA:
Lihatlah
keadilan Islam yang tiada tolak bandingnya……
Tiada ulasan:
Catat Ulasan