Sebenarnya beramal untuk Islam dalam
erti kata yang sebenar ialah untuk melahirkan individu yang mencerminkan akidah
dan akhlak Islam, melainkan masyarakat yang berpegang teguh dengan pemikiran
dan cara hidup Islam sebagai syariat perundangan, peraturan dan perlembagaan
hidup, serta memikul amanah dakwah yang menjadi petunjuk dalam menegakkan
kebenaran dan keadilan di alam ini. Seluruh amal ini dan lain-lain keperluan
untuk amalan-amalan ini serta lain-lain perkara yang berkaitan yang dituntut
oleh amal-amal ini adalah satu tuntutan syariat. Kewajipan melaksanakan
tidaklah gugur kecuali setelah tertegaknya satu kuasa yang dapat mengendalikan
tanggungjawab ini dan memelihara urusan kaum muslimin.
Selagi
kekuasaan ini tidak wujud, maka seluruh kecuaian atau kecacatan para petugas
amal Islam dan kecuaian orang yang tidak turut serta dalam kerja-kerja ini,
menurut pandangan Islam adalah satu dosa yang tidak akan hilang melainkan
orang-orang Islam bersegera bangun memikul tanggungjawab melaksanakan
kerja-kerja untuk menegakkan Islam.
Di antara
bukti-bukti yang menguatkan bahawa beramal untuk Islam adalah wajib dan ianya
bersifat wajib taklifi (difardukan), bukannya tanggungjawab yang diperintahkan
melakukan secara sukarela, dapat dilihat secara yakin dari beberapa sudut:
Pertama:
Wajib Dari Sudut Prinsip (Mabda’).
Beramal
atau bekerja untuk (menegakkan seluruh ajaran) Islam pada prinsipnya adalah
wajib kerana beramal atau bekerja adalah tanggungjawab yang telah
dipertanggungjawabkan oleh Allah s.w.t kepada seluruh umat manusia, didahului
oleh para Nabi dan para Rasul kemudian ke atas umat manusia seluruhnya hingga ke
hari kiamat kelak.
Ini
adalah berdasarkan kepada firman Allah swt:
وَالْعَصْرِ. إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ.
إِلَّا الَّذِينَ ءَامَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ
وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ.
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang
yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran
serta berpesan-pesan dengan sabar.
(Surah
Al-Asr, Ayat: 1 – 3).
Dan
firman Allah swt:
يَاأَيُّهَا الرَّسُولُ بَلِّغْ مَا أُنْزِلَ
إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ وَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَمَا بَلَّغْتَ رِسَالَتَهُ
“Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari
Tuhanmu dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka
bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusanNya”.
(Surah
Al-Maaidah, Ayat: 67).
Dan
firman Allah swt:
إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَا أَنْزَلْنَا مِنَ
الْبَيِّنَاتِ وَالْهُدَى مِنْ بَعْدِ مَا بَيَّنَّاهُ لِلنَّاسِ فِي الْكِتَابِ
أُولَئِكَ يَلْعَنُهُمُ اللَّهُ وَيَلْعَنُهُمُ اللَّاعِنُونَ
Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami
turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayat, sesudah Kami
menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh
Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.
(Surah
Al-Baqarah, Ayat: 159).
Dalam
sunnah Rasulullah s.a.w yang mulia terdapat riwayat-riwayat yang mempunyai
hubungan secara khusus tentang dakwah kepada kebenaran dan menentang kebatilan.
Di antaranya ialah sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, dia hendaklah
mencegahnya dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu (mencegah dengan tangan
– kuasa), maka hendaklah dia mengubah dengan menggunakan lidahnya (teguran dan
nasihat), maka sekiranya ia tidak mampu juga hendaklah ia mengubah dengan
hatinya (iaitu tidak reda dan benci) dan demikian itu adalah selemah-lemah
iman. Tidak ada lagi iman selepas tahap itu walaupun sebesar biji sawi”.
(Hadis
riwayat Tirmizi).
Sabda
baginda yang lain:
“Wahai manusia, sesungguhnya Allah berfirman kepadamu: Perintahlah
(manusia) supaya melakukan perkara-perkara yang makruf (yang baik) dan cegahlah
mereka dari melakukan perkara-perkara yang mungkar sebelum (tiba suatu waktu di
mana) kamu meminta, lalu aku tidak lagi menerimanya dan kamu memohon
pertolongan lalu aku tidak menolong kamu lagi”.
(Hadis
riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).
Sabda
Rasulullah s.a.w lagi:
“Apabila engkau melihat umatku takut untuk berkata kepada orang yang
melakukan kezaliman: Wahai penzalim! Maka sesungguhnya dia telah mengucapkan
selamat tinggal baginya”.
(Hadis
riwayat Hakim).
Kedua:
Wajib dari Sudut Hukum.
Beramal
untuk Islam adalah wajib dilihat dari sudut hukum kerana tidak berjalannya
syariat Allah di atas muka bumi dan penguasaan sistem dan undang-undang ciptaan
manusia ke atas masyarakat manusia hari ini mewajibkan umat Islam bekerja untuk
menegakkan masyarakat Islam dan mengembalikan cara hidup Islam. Umat Islam juga
wajib bekerja supaya manusia tunduk mengabadikan diri kepada Allah di dalam
iktikad keyakinan, akhlak dan sistem hidup mereka berdasarkan dalil dari
Al-Quran yang menyebut:
فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ
فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا
قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman
sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul
di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu
keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu
dengan sepenuhnya”.
(Surah
An-Nisa’, Ayat: 65).
Dan
firman Allah swt:
وَمَا اخْتَلَفْتُمْ فِيهِ مِنْ شَيْءٍ فَحُكْمُهُ
إِلَى اللَّهِ ذَلِكُمُ اللَّهُ رَبِّي عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ
“Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua
perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah
kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku;
kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala
keadaan)”.
(Surah
Asy-Syura, Ayat: 10).
Begitu
juga firman Allah swt:
وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ
فَأُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ
“Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh
Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir”.
(Surah
Al-Maaidah, Ayat: 44).
Firman
Allah swt:
وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ
فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
“Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan
Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.
(Surah
Al-Maaidah, Ayat: 45).
Firman
Allah swt:
وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ
فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
“Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh
Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik”.
(Surah
Al-Maaidah, Ayat: 47).
Apabila
menegakkan masyarakat Islam dan melaksanakan hukum-hukum yang diturunkan oleh
Allah swt itu hukumnya wajib maka kerja-kerja yang membawa kepada kewujudan
masyarakat Islam dan terlaksananya hukum Allah swt turut menjadi wajib
berdasarkan kaedah syarak:
ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب
“Sesuatu perkara yang tidak dapat disempurnakan sesuatu yang wajib
melainkan dengannya, maka ia menjadi wajib”.
Sebahagian
besar dari negara-negara (umat) Islam, kalaupun tidak dapat dikatakan
seluruhnya diperintah oleh sistem-sistem ciptaan manusia yang merupakan campur
aduk dari sistem undang-undang Rumani, Yunan, Perancis dan sebagainya. Demikian
juga sistem ekonomi yang menguasai negara-negara tersebut adalah sistem ekonomi
Kapitalisme dan Sosialisme. Ini adalah penyebab utama yang mendesak umat Islam
supaya menyusun gerak-kerja untuk meruntuhkan sistem jahiliah dalam bentuk
seperti ini dan kewajipan mengembalikan kehidupan Islam adalah menjadi fardu
ain ke atas setiap muslim sehingga kepimpinan dan kekuasaan kembali ke pangkuan
Islam.
Selain
dari itu masih banyak kewajipan-kewajipan syariah yang perlaksanaan dan
amalannya bergantung kepada adanya khalifah atau Imam sedangkan pelantikan
Khalifah (Imam) itu sendiri sangat bergantung kepada wujudnya kekuasaan Islam.
Oleh itu seluruh undang-undang yang berkaitan dengan sistem-sistem Islam sama
ada di dalam bidang kemasyarakatan, ekonomi, politik malah kesemua
undang-undang yang berkadangan hukum, kanun keseksaan, perdamai, peperangan,
jihad, gencatan senjata, perjanjian damai, muamalat, kemasyarakatan dan
ekonomi, semuanya ini dan sebagainya adalah di antara bidang-bidang Syariat
Islam yang tidak mungkin terlaksana kecuali melalui sebuah negara yang teguh di
atas dasar-dasar Islam.
Ketiga:
Wajib Dari Sudut Tuntutan (Darurat).
Beramal
dan bekerja untuk Islam juga merupakan satu kewajipan jika dilihat dari sudut
tuntutan untuk menghadapi cabaran-cabaran zaman kini dan serangan musuh-musuh
Islam. Ianya adalah satu kewajipan kerana dengannya dapat menyekat penularan
fahaman kebendaan dan ateis (tidak percayakan tuhan) yang berusaha menggugat
kewujudan Islam.
Sekiranya
dilihat dengan pemerhatian yang teliti kepada nasib yang dialami oleh
negara-negara umat Islam hari ini maka sudah pasti ia menjadi bukti menguatkan
lagi tuntutan tersebut adalah tanggungjawab yang wajib di sisi syariat di mana
umat Islam tadi seharusnya berdiam diri dan memandang ringan.
Kita
dapati banyak negara-negara (Umat Islam) yang mengadu dan merintih dengan penuh
penderitaan kerana dikuasai oleh keserakahan orang-orang bukan Islam (kafir)
sebagaimana yang dialami oleh rakyat Palestine, Kashmir, Eitrea, Qibrash,
Bukhara, Samarkand dan lain-lain.
Manakala
beberapa negara lain pula menderita kerana cengkaman kuasa golongan minoriti
yang berniat jahat ke atas umat Islam, mereka memerintahkan Umat Islam dengan
kekuatan besi dan api.
Kita
dapati juga beberapa bahagian dari negara Umat Islam yang lain mengadu mengenai
penderitaan mereka yang disebabkan oleh kekuasaan parti-parti puak kiri (yang
terdiri dari sosialis dan komunis) atau puak kanan (yang berkefahaman
kapitalis) dalam negara mereka. Begitu juga keadaan hidup di beberapa tempat
yang lain yang berada di dalam suasana pertumpahan darah yang hebat hasil dari
perebutan kuasa di antara kekuatan puak kiri dan puak kanan.
Selain
dari hal-hal yang tersebut di atas, sebenarnya betapa perlunya amal Islami
sekalipun secara darurat, dari menyahut cabaran-cabaran dari dalam yang berupa
kuncu-kuncu, tali barut dan penyokong musuh Islam. Firman Allah swt.
وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّى لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ
وَيَكُونَ الدِّينُ كُلُّهُ لِلَّهِ
“Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga)
menjadilah agama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata”.
(Surah
Al-Anfaal, Ayat: 39).
Keempat:
Wajib Secara Individu Mahupun Jemaah.
Tanggungjawab
beramal dan bekerja untuk Islam dari sudut kewajipan syarak (taklifi) adalah
satu tanggungjawab ke atas individu (fardi) sama seperti kewajipan-kewajipan
dan tanggungjawab syariat yang lain di mana ganjaran pahala diberikan apabila
dilaksanakan tanggungjawab tersebut dan dibalas dengan dosa apabila ia
ditinggalkan.
Firman
Allah s.w.t:
وَمَا أَدْرَاكَ مَا سَقَرُ
“Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan Neraka Saqar itu?”
(Surah
Al-Muddaaththir, Ayat: 27).
Firman
Allah swt:
وَكُلُّهُمْ ءَاتِيهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَرْدًا
“Dan mereka masing-masing akan datang mengadapNya pada hari kiamat
dengan seorang diri”.
(Surah
Maryam, Ayat: 95).
Firman
Allah swt:
إِنْ أَحْسَنْتُمْ أَحْسَنْتُمْ لِأَنْفُسِكُمْ
“Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan
adalah untuk diri kamu”.
(Surah
Al-Israa’, Ayat: 7).
Firman
Allah swt:
وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى
“Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan
orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja)”.
(Surah
Al-An’aam, Ayat: 164).
Firman
Allah swt:
وَمَنْ جَاهَدَ فَإِنَّمَا يُجَاهِدُ لِنَفْسِهِ
“Dan sesiapa yang berjuang (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia
hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri”.
(Surah
Al-’Ankabuut, Ayat: 6).
Supaya
orang lain itu semuanya turut serta dalam kerja-kerjanya membina masyarakat dan
memakmurinya iaitu dengan membina kehidupan masyarakat atas dasar kebenaran
(Al-Haq) dan memakmurkan dengan kebaikan, maka Islam telah menentukan ke atas
setiap orang Islam bertanggungjawab memberikan khidmat dan pengorbanan mereka
untuk Islam mengikut batas kemampuan masing-masing, selama mana insan itu
berada dalam keadaan baligh, akal yang sihat dan ada kemampuan. Dari
pengorbanan seperti ini akan menjadikan masyarakat Islam itu sebagai sel yang
hidup dan bernyawa dalam badan. Setiap individu dalam masyarakat ini akan memberikan
sesuatu malah mereka berlumba-lumba untuk berkorban.
Dari
kenyataan di atas jelaslah bahawa kewajipan beramal dan bekerja untuk
menegakkan Islam oleh individu adalah sama seperti kewajipan-kewajipan syarak
yang lain iaitu ia adalah satu kewajipan Islam.
Oleh
kerana beramal dan bekerja untuk Islam adalah kewajipan individu (fardi) dari
sudut ini maka ia juga adalah satu kewajipan secara jama’ie (organisasi)
apabila dilihat dari sudut tanggungjawab gerakan dan dari sudut
perlaksanaannya. Kenyataan ini dibuktikan oleh realiti-realiti yang berlaku dan
keadaan-keadaan yang pada dasarnya tidak dapat dipertikaikan lagi.
Di antara
realiti-realiti tersebut ialah:
1.
Sebenarnya taklif atau tanggungjawab beramal dan bekerja untuk Islam adalah
satu tanggungjawab yang sangat berat untuk dipikul oleh orang perseorangan
kerana matlamat amal Islami adalah untuk meruntuhkan jahiliah hingga ke akar
umbinya lalu di atas runtuhan itulah ditegakkan Islam. Tugas yang berat ini menurut
pengorbanan, kemampuan dan kesanggupan yang tidak mampu dilakukan secara
perseorangan bahkan tugas ini tidak mampu dipikul sekalipun dengan memerah
seluruh tenaga, kegigihan dan kesanggupan menghadapi segala penderitaan.
Tanggungjawab ini hanya mampu dipikul oleh gerakan yang tersusun, yang memiliki
kadar kemampuan yang setimpal dari sudut kesedaran, penyusunan dan kekuatan
dalam menghadapi jahiliah yang wujud.
2.
Sesungguhnya usaha kerja Rasulullah s.a.w dalam rangka menghadapi serangan
jahiliah dan kemudiannya menegakkan masyarakat Islam serta mengembalikan
kehidupan mengikut lunas-lunas Islam merupakan dalil dan bukti bekerja secara
berjemaah untuk menegakkan Islam adalah wajib. Oleh yang demikian
Rasulullah s.a.w tidak menggunakan cara bekerja secara individu di dalam
bertindak, malah sejak dari awal-awal lagi baginda begitu mengambil berat
kepada usaha-usaha menubuhkan jemaah dengan memilih anasir-anasir pembinaannya
dangan teliti. Kemudian baginda s.a.w membentuk dan membersihkan mereka
sehingga menjadi satu kekuatan dalam proses perubahan yang baginda s.a.w
lakukan.
Inilah
yang telah dibuktikan oleh perjalanan sirah Rasulullah s.a.w dalam setiap
peringkat dan lapangan.
3. Selain
dari itu amal dan gerak kerja untuk menegakkan Islam dipenuhi dengan halangan
ranjau dan duri, ujian dan cubaan. Halangan-halangan yang menunggu di jalannya
sangatlah banyak. Kuasa-kuasa
asing yang saban waktu menunggu kesempatan memukul umatnya juga adalah banyak.
Semua cabaran-cabaran ini menuntut kewujudan sebuah tanzim haraki (penyusunan
gerakan jemaah) yang menyeluruh dari sudut kualiti dan kuantiti untuk
menghadapi segenap peringkat amal, suasana persekitaran serta
kemungkinan-kemungkinan yang mendatang.
Dari
ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w terdapat banyak dalil-dalil yang
secara nyata menunjukkan beramal secara berjemaah yang kemas tersusun untuk
menegakkan Islam adalah merupakan satu perkara penting.
Allah
s.w.t berfirman:
وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
“Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan
pencerobohan”.
(Surah
Al-Maaidah, Ayat: 2).
Kelima:
Ganjaran Jihad Adalah Untuk Mujahid Itu Sendiri.
1. Sejak
awal-awal lagi para petugas yang bekerja untuk Islam mestilah memahami secara
mendalam bahawa merekalah yang sebenarnya memerlukan Islam. Sewaktu mereka
bekerja, berjihad dan berjuang, bererti mereka bertindak membersihkan diri dan
jiwa mereka sendiri di samping menunaikan sebahagian dari hak-hak Allah swt ke
atas mereka supaya mereka memperolehi ganjaran dari sisi Allah swt di hari
kiamat kelak, hari di mana pandangan menjadi tunduk merendah dan hati menjadi
bergetar kerana dilanda ketakutan ditimpa azab.
Mereka
inilah yang beruntung sekiranya mereka mara beramal dan mereka yang rugi
sekiranya mereka berundur dan berpaling tadah.
Allah
s.w.t berfirman:
وَمَنْ جَاهَدَ فَإِنَّمَا يُجَاهِدُ لِنَفْسِهِ
إِنَّ اللَّهَ لَغَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ
“Dan sesiapa yang berjuang (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia
hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Maha Kaya
(tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk”.
(Surah
Al-Ankabuut, Ayat: 6).
Allah
s.w.t juga berfirman:
وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ
ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ
“Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertakwa dan berderma) Dia
akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan
berkeadaan seperti kamu”.
(Surah
Muhammad, Ayat: 38).
2. Mereka
juga mesti memahami bahawa nilai dan harga diri mereka sebenarnya adalah kerana
pegangan mereka kepada Islam. Mereka tidak mempunyai apa-apa nilai sekiranya
tidak bersama Islam (sama seperti binatang bahkan lebih sesat dari itu).
Kemuliaan dan ketinggian mereka yang sebenarnya tidak akan tercapai melainkan
dengan mereka menggembleng tenaga dan melibatkan diri di dalam jemaah Islam
yang memperjuangkan Islam dan terus kekal dalam jemaah yang berkenaan. Sesiapa
yang mengasingkan diri dia akan keseorangan di dalam azan neraka. Sesiapa yang
menyatukan dirinya secara benar dengan kumpulan tersebut bererti dia telah
bergabung dengan nasab keturunan yang mulia mengikat diri dengan golongan yang
mendapat petunjuk, yang terdiri daripada para Nabi dan para syuhada yang
mendapat nikmat di sisi Allah s.w.t.
3. Para
petugas amal Islami juga mesti menyedari bahawa terus kekal bersama dengan
jemaah adalah syarat bagi mendapat pendirian yang teguh sebagaimana sabda
Rasulullah s.a.w:
“Sesungguhnya serigala itu hanya akan dapat memakan kambing yang
tersisih (dari kumpulannya)”.
Masyarakat
yang dipenuhi dengan fitnah tidak ubah seperti malam yang gelap-gelita. Manusia
tidak mungkin dapat menjalani kehidupan dengan sempurna atau tidak terjejas
dengan kesan-kesan kotoran masyarakat tersebut sekiranya tidak menerima
peringatan, nasihat dan ingat memperingati.
Firman
Allah swt:
وَذَكِّرْ فَإِنَّ الذِّكْرَى تَنْفَعُ
الْمُؤْمِنِينَ
“Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya
peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman”.
(Surah
Az-Zaariyaat, Ayat: 55).
Allah
s.w.t berfirman lagi:
وَالْعَصْرِ. إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ.
إِلَّا الَّذِينَ ءَامَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ
وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ.
“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang
yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran
serta berpesan-pesan dengan sabar”.
(Surah
Al-Asr, Ayat: 1 – 3).
Oleh yang
demikian mereka mestilah hidup di bawah satu naungan keluarga yang beriman.
Mereka mestilah bersama-sama dengan pasukan Tuhan yang Maha Pengasih dan terus
hidup bersama mereka buat selama-lamanya.
Allah
s.w.t berfirman:
وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ
رَبَّهُمْ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ
عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا
قَلْبَهُ عَنْ ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ أَمْرُهُ فُرُطًا
“Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang
beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan
keredhaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu
daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan
janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada
mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta dia menurut
hawa nafsunya dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran”.
(Surah
Al-Kahfi, Ayat: 28).
4. Para
petugas amal Islami juga mestilah benar-benar memahami bahawa mereka beramal
dengan bekerja semata-mata kerana Allah swt dan berjihad pada jalannya. Mereka
juga mesti memahami bahawa jalan ini adalah jalan yang paling jauh, penuh
dengan kesukaran. Sesungguhnya syurga itu dikelilingi oleh perkara-perkara yang
tidak diingini manakala mereka pula dilingkungi oleh perkara-perkara yang
menarik syahwat.
Jalan ini
merupakan satu jalan yang tidak sanggup dilalui oleh mereka yang hidup dalam
suasana mewah, mereka yang bimbang akan kesempitan rezeki dan kemewahan hidup.
Jalan ini juga tidak akan sanggup dilalui oleh orang yang mementingkan
kerehatan dan mengikut runtunan nafsu, tidak akan sanggup dilalui oleh orang
yang sempit dada dan tidak memiliki kekuatan, tidak akan sanggup dilalui oleh
mereka yang tidak sabar menghadapi cemuhan dan cacian, apatah lagi pengorbanan
wang ringgit dan harta benda, tidak akan sanggup dilalui oleh mereka yang
berpegang dan berkeras dengan pendapat sendiri sahaja sedangkan dia sendiri
tidak mengetahui bahawa ia tidak mengerti (kedudukan yang sebenarnya) dan jalan
ini juga tidak sanggup dilalui oleh mereka yang tidak bersedia untuk tunduk
kepada keputusan jemaah dan tidak sanggup pula beriltizam dengan
pandangan-pandangan jemaah.
Sesungguhnya
jalan ini adalah jalan pembersihan jiwa, penyucian hati dan pengawalan diri,
jalan kerahmatan dan kemuliaan. Jalan kesabaran dan ketetapan, jalan kebebasan
dan kehormatan dan jalan kebenaran dan keikhlasan. Sesungguhnya jalan yang
mempunyai sifat-sifat seperti ini tidak akan sanggup dilalui melainkan oleh
orang-orang mukmin yang hati-hati mereka mempunyai ikatan yang kukuh dengan
Allah yang Maha Esa, yang menggantungkan harapan dan pertolongan kepadanya.
Allah
s.w.t berfirman:
وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ
إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا
Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka
Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya
Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun
menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
(Surah
At-Talaaq, Ayat: 126).
Allah
s.w.t berfirman lagi:
فَمَنْ نَكَثَ فَإِنَّمَا يَنْكُثُ عَلَى نَفْسِهِ
وَمَنْ أَوْفَى بِمَا عَاهَدَ عَلَيْهُ اللَّهَ فَسَيُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا
“Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya
tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya dan sesiapa yang menyempurnakan
apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya
pahala yang besar”.
(Surah
Al-Fath, Ayat: 10).
Yakinlah
Allah swt Tidak Menyeru kepada Kejahatan tetapi Syaitanlah yang mencipta
kejahatan dengan IZIN daripada Allah swt.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan