Peranan
membentuk generasi Islam ialah membawa manusia supaya mengabdikan diri kepada
Allah swt sama ada secara individu atau jemaah dengan berusaha dan bekerja
untuk menegakkan masyarakat Islam yang menjadikan Kitabullah (Al-Quran) dan
Sunnah Rasulullah s.a.w sebagai sumber hukum dan pengajarannya.
Membentuk
generasi Islam memerlukan satu tanzim alami yang merangkumi para petugas dalam
arena dakwah di seluruh pelosok muka bumi. Untuk mencapai matlamat di atas,
Harakah Islamiyah menggunakan dakwah Islamiyah yang bersih lagi murni, sesuai
dengan permasalahan dan tuntutan masa kini dan akan datang. Termasuk dalam cara
ini ialah mengajak masyarakat supaya turut serta di dalam gerakan Islam dan
menyusun mereka dalam gerakan tersebut. Dalam persediaannya pula mereka
mestilah dididik supaya meyakini perjuangan ini supaya dengan keyakinan itu
mereka akan bekerja untuk Islam dan berjihad di dalamnya.
Di antara
tuntutan yang dimaksudkan ialah menghapuskan penjajahan dan saki baki pemikiran
dan falsafahnya, sama ada penjajah timur mahupun barat, sehingga umat Islam
kembali semula kepada keperibadiannya yang asal dan bebas.
Sejak
hari-hari awalnya Harakah Islamiyah telah memberi perhatian berat dalam urusan
membersihkan ajaran Islam dari saki baki bidaah dan khurafat dan mengemukakan
Islam kepada orang ramai dalam bentuknya yang murni sesuai dengan keagungannya
dan ketinggiannya.
Membentuk
generasi Islam dengan meyakini bahawa hukum-hukum Islam dan ajarannya
bersifat sempurna dan menyeluruh, mampu menyusun seluruh urusan manusia di
segala bidang.
Membentuk
generasi Islam adalah menganggap bahawa kaedah asasi yang menjadi tapak
tertegaknya Islam di sepanjang sejarah manusia ialah kaedah “Lailaha
illah”(Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah) iaitu
mengesakan Allah swt dalam uluhiyyah (ketundukan dan kepatuhan) dan hakimiyah
(kehakiman dan perundangan) dengan pengertian mengesakan Allah swt di sudut
akidah di dalam hati, di sudut ibadah terjelma di dalam syiar-syiar dan di
sudut syariat pula terjelma di dalam realiti kehidupan.
Membentuk
generasi Islam juga wajib meyakini bahawa Islam adalah kekuatan asasi untuk membangunkan
umat Islam, kekuatan asasi untuk menyelamatkan seluruh dunia, kekuatan asasi
untuk membebaskan manusia dari belenggu penindasan taghut dan para pelaku
kezaliman sehingga tidak ada lagi fitnah dan agama seluruhnya hanya untuk Allah
swt.
Membentuk
generasi Islam berpendapat bahawa menerima dan mengamalkan sistem kapitalis,
sosialisme, komunisme dan lain-lain sistem ciptaan manusia merupakan satu
kekufuran terhadap Islam yang agung, menderhakai Allah swt pemilik alam
semesta, perjalanan hidup yang tidak dipandukan oleh petunjuk Ilahi,
meraba-raba dalam keadaan yang tidak memberikan apa-apa faedah, menghabiskan
tenaga-upaya dan masa. Allah swt berfirman:
وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ
يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ
“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan
diterima daripadanya dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang
rugi”.
(Surah
Al-’Imran 3: Ayat 85)
Sebenarnya
Al-Imam Hasan Al-Banna rahimahullah (semoga Allah swt meredhainya) telah
menyimpulkan tentang peranan Harakah Islamiyah dengan berkata:
“Peranan kita secara umum ialah tegak berdiri menghadapi serangan arus
taghut yang terdiri dari tamadun kebendaan, peradaban yang mementingkan
kemewahan dan nafsu-syahwat, yang telah meratah bangsa-bangsa umat Islam.
Tamadun ini telah menjauhkan umat dengan kepimpinan Nabi s.a.w dan petunjuk
Al-Quran, ia telah menghalang alam jagat ini daripada cahaya petunjuk dan
menyebabkan umat Islam mundur terkebelakang beratus-ratus tahun. Peranan ini
mestilah berterusan sehinggalah bumi kita bebas dari belenggunya dan bangsa
kita terselamat dari balanya. Dan peranan kita bukanlah terhad di sini sahaja
malah kita akan menghadapi dan memerangi peradaban tersebut di bumi tempat kelahirannya
sehingga seluruh alam ini akan melaungkan nama Nabi Muhammad s.a.w sehingga
manusia semuanya meyakini Al-Quran dan naungan Islam akan meneduhi alam. Di
saat inilah tercapainya cita-cita seorang muslim, maka di kala itu tiada lagi
fitnah ke atas agama ini dan jadilah agama ini semata-mata bagi Allah swt. Firman Allah swt:
فِي بِضْعِ سِنِينَ لِلَّهِ الْأَمْرُ مِنْ قَبْلُ
وَمِنْ بَعْدُ وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ(4)بِنَصْرِ اللَّهِ يَنْصُرُ
مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ(5)
Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah
terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya dan pada
ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan
bergembira; 5- Dengan kemenangan yang diberi Allah. Dia memberi kemenangan
kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha
Mengasihani.
(Surah
Al-Rum 30: Ayat 4-5)
Inilah
peranan dan tanggungjawab kita secara umum. Adapun secara terperincinya maka
tanggungjawab kita kepada umat Islam ialah:
1. Sistem
Pemerintahan Dalam Negeri.
Dengan
wujudnya sistem ini akan terlaksanalah hukum-hakam sebagaimana yang dituntut
dalam firman Allah swt:
وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ
وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا
أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ
أَنْ يُصِيبَهُمْ بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ
لَفَاسِقُونَ
“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang
telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu
mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu
hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling
(enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanya sanya Allah mahu
menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka dan sesungguhnya
kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik.
(Surah
Al-Maidah 5: Ayat 49)
2. Sistem Hubungan
Antarabangsa.
Dengan
wujudnya sistem ini akan terlaksanalah bentuk perhubungan sebagaimana yang
dinyatakan dalam firman Allah swt:
وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا
لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا
“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang
lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi
adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat
manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan
menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu”.
(Surah
Al-Baqarah 2: Ayat 143)
3. Sistem Amali Dalam
Kehakiman.
Sistem
ini adalah bersumber dari firman Allah swt:
فَلَا
وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ
لَا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman
sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang
timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka
sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima
keputusan itu dengan sepenuhnya”.
(Surah
Al-Nisa’ 4: Ayat 65)
4. Sistem Pertahanan
Dan Ketenteraan.
Dengan
perlaksanaan sistem ini dapat digerakkan rakyat umum sebagaimana yang terdapat
dalam firman Allah swt:
انْفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا
بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
“Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama
ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat
(disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab) dan berjihadlah dengan harta benda
dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam)”.
(Surah
Al-Taubah 9: Ayat 41)
5. Sistem Ekonomi
(Iqtisad).
Sistem
ini bertujuan membebaskan kekayaan, harta-benda, negara dan individu-individu
berdasarkan firman Allah swt:
وَلَا تُؤْتُوا السُّفَهَاءَ أَمْوَالَكُمُ الَّتِي
جَعَلَ اللَّهُ لَكُمْ قِيَامًا
“Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum
sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang
Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kekamu”.
(Surah
Al-Nisa’ 4: Ayat 5)
6. Sistem Kebudayaan
Dan Pelajaran.
Sistem
ini adalah untuk menghapuskan kejahilan dan kebodohan selaras dengan perintah
wahyu yang pertama dari Al-Quran:
اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ
“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakan.”
(Surah
Al-’Alaq 96: Ayat 1)
7. Sistem
Kekeluargaan dan Rumahtangga.
Sistem
adalah untuk membentuk putera-puteri yang Muslim dan golongan dewasa Muslim
yang melaksanakan perintah Allah swt dalam firman:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ
وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu
dari Neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala)”.
(Surah
At-Tahrim 66: Ayat 6)
8. Sistem Hidup Perseorangan.
Sistem
ini adalah bertujuan menjadi pedoman hidup bagi individu secara khusus supaya
kehidupannya berjaya mencapai maksud firman Allah swt:
قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا
“Sesungguhnya beruntunglah (berjayalah) sesiapa yang membersihkan dirinya.”
(Surah
Asy-Syams 30: Ayat 9)
9. Menghidupkan roh
atau semangat kejiwaan secara keseluruhan dalam setiap diri individu di
kalangan ummah sama ada pemerintah ataupun rakyat kerana melaksanakan tuntutan
Allah Taala:
وَابْتَغِ فِيمَا ءَاتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ
الْآخِرَةَ وَلَا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا وَأَحْسِنْ كَمَا أَحْسَنَ
اللَّهُ إِلَيْكَ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ إِنَّ اللَّهَ لَا
يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ
“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah
kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau
melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah
(kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan
pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan
kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang
berbuat kerosakan”.
(Surah
Al-Qasas 28; Ayat 77)
10. Akhirnya
kita mahu supaya lahirnya individu muslim, rumahtangga muslim, rakyat muslim
dan pemerintahan Islam. Kita ingin membina sebuah negara (daulah) yang
mampu memimpin negara-negara Islam yang lain, sebuah negara merangkumi seluruh
umat Islam, sebuah negara yang dapat mengembalikan keagungan mereka,
mengembalikan tanah air mereka yang telah hilang dan mengembalikan tanah air
mereka yang dirampas dan ditawan. Selain dari peranan dan tanggungjawab tadi,
kita mahu supaya Daulah Islamiyah ini mengepalai pembawa panji-panji jihad dan
dakwah ke seluruh alam sehingga dunia ini dapat mengecap kebahagiaan dari
ajaran Islam.
Ciri-ciri
Prinsip Harakah Islamiah
1.
Gerakan Yang Bersifat Rabbaniyyah.
Harakah
Islamiyah adalah bersifat Rabbani kerana keseluruhan konsep, hukum-hakam,
akhlak, tata-tusila dan pemikirannya adalah bersumber dari agama Allah swt yang
kekal abadi dan risalah yang terakhir. Harakah Islamiyah adalah satu gerakan
menyeru manusia kepada Allah swt bukannya kepada kepentingan para petugas di
dalamnya atau orang-orang yang memikul tanggungjawab. Allah swt berfirman:
قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ
وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
“Katakanlah: Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku,
hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekelian alam”.
(Surah
Al-An’am 6: Ayat 162)
Harakah
Islamiyah bukanlah sebuah organisasi sebagaimana sebuah parti politik biasa
pada masa sekarang. Harakah Islamiyah juga bukanlah sebuah organisasi yang
menjadi tempat perebutan kuasa untuk menjadi pemimpin bagi mencapai
tujuan-tujuan atau kepentingan peribadi sebagaimana yang berlaku dalam
organisasi-organisasi lain pada hari ini, tetapi yang lebih penting dalam
Harakah Islamiyah ialah pemimpin atasan atau orang besar terlebih dahulu
mematuhi syariat Allah swt sebelum diikuti oleh para pengikut bawahan dan
anggota biasa.
2. Gerakan
Yang Bersifat Tersendiri.
Harakah
Islamiyah bersifat tersendiri dengan maksud kelahirannya di tengah-tengah (umat
Islam), (di atas dasar kesedaran mereka sendiri) bukan diimpot atau ditiru dari
timur mahupun dari barat sebagaimana lahirnya organisasi dan
persatuan-persatuan yang lain. Ini adalah kerana dakwah kita (yang dibawa oleh
Harakah Islamiyah) adalah dakwah kepada Allah swt manakala perasaan berhajat
kepada agama pula merupakan satu ciri yang sangat kuat bagi umat ini. Melalui
cara inilah juga umat Islam dikenali untuk jangka waktu yang amat penting. Umat
Islam di zaman akhir ini tidaklah dapat diperbaiki melainkan oleh sesuatu yang
telah memperbaiki dan memperelokkan umat Islam sebelumnya, iaitu ajaran Islam
itu sendiri.
3.
Gerakan Pembawa Kemajuan.
Dengan
segala kendungan bawaannya sama ada dari sudut akidah, syariat dan pandangannya
terhadap alam, manusia dan kehidupan menjadikan Harakah Islamiyah gerakan yang
paling cekap dan paling mampu untuk menyelesaikan masalah-masalah manusia dan
kehidupan dibandingkan dengan undang-undang ciptaan manusia yang bersifat serba
lemah dan serba kekurangan.
Namun
demikian kemajuan dalam Islam bukanlah sebagaimana yang dikehendaki dan
difahami oleh golongan yang mendakwakan diri sebagai pejuang kemajuan, kerana
kemajuan mengikut pengertian golongan ini adalah palsu lagi merosakkan,
kemajuan yang terlepas dari ikatan akhlak dan kesusilaan yang luhur. Kemajuan
dalam Islam dalam erti kata yang sebenar ialah kemajuan dalam memurnikan
perasaan manusia, pemikiran mereka dan akhlak mereka, kemajuan dalam
memperdalamkan ilmu pengetahuan dan menerokai atau menyingkap rahsia-rahsia di
sebalik kejadian alam yang agung ini, yang bukan bertujuan semata-mata untuk
menciptakan satu pencapaian baru dalam bidang ilmu, tetapi tujuan sebenar
kemajuan tersebut ialah demi untuk demi untuk menambahkan lagi makrifat manusia
terhadap kebesaran, keindahan, kekuatan dan keagungan Allah swt, Tuhan Semesta
Alam ini.
Kemajuan
dalam Islam menyuruh manusia supaya mengambil segala alat-alat ciptaan sesuai
dengan penerimaan akal-fikiran dengan syarat barang-barang tersebut hendaklah
digunakan kepada perkara-perkara yang membawa kebaikan kepada umum. Inilah yang
dimaksudkan oleh sabda Rasulullah s.a.w:
“Ambillah hikmah itu dari mana saja datangnya”.
Dan
sabdanya lagi yang bermaksud:
“Hikmat itu barang kehilangan orang Islam, di mana saja beliau
menemuinya, ialah yang lebih berhak menerimanya.”
4.
Gerakan Yang Syumul.
Harakah
Islamiyah mestilah gerakan yang syumul dengan pengertian dakwah dan usaha
kerjanya tidaklah dibataskan untuk memperbaiki satu sudut atau sudut-sudut
tertentu sahaja dari kehidupan ini dengan membiarkan sudut-sudut yang lain
kerana sifat-sifat keIslaman Harakah Islamiyah itu sendiri menunjukkan
kesempurnaan dan kesyumulannya.
Oleh yang
demikian gerakannya adalah dakwah salafiyyah kerana ia menyeru manusia supaya
kembali berpegang kepada sumber Islam yang asli iaitu Al-Quran dan Sunnah
rasulullah s.a.w.
Ia juga
adalah dakwah dan tarikat sunnah kerana ia bekerja menghidupkan sunnah yang
mulia di dalam kehidupan individu dan masyarakat.
Ia juga
adalah dakwah yang mempunyai ikatan Rabbaniah (Rabitah Rabbaniah) kerana ia
yakin bahawa asas kebaikan itu ialah kebersihan jiwa, kesucian hati dan adanya
ikatan hubungan yang mantap dengan Allah s.w.t.
Ia juga
merupakan Harakah Siasah (politik) kerana ia bekerja serta bertanggungjawab
kepada urusan umat Islam di setiap bidang.
5.
Harakah Yang Menjauhi Perselisihan Masalah Fekah.
Harakah
Islamiyah meyakini bahawa perbezaan dalam perkara-perkara cabang (furu’iyyah)
dalam bidang fekah, adalah perkara yang tidak dapat dielakkan. Oleh yang
demikian Harakah Islamiyah berusaha menyeru umat Islam supaya bersatu di atas
dasar-dasar pokok (usul) ajaran Islam serta kaedah-kaedah yang telah
disepakati.
Berhubung
dengan pendirian ini Al-Imam Hasan Al-Banna Rahimahullah merumuskan:
“Kita
bukanlah sebuah parti politik, sekalipun politik (siasah) yang berasaskan
kaedah-kaedah Islam adalah intisari fikrah kita. Kita bukanlah pertubuhan
kebajikan sekalipun amal kebajikan dan khairat adalah di antara tujuan gerakan
kita yang sangat besar. Kita juga bukan perkumpulan riadah sekalipun riadah
atau rekreasi dan riadah ruhiyyah adalah di antara wasilah-wasilah yang kita
amalkan.
Kita
bukanlah sebuah jamaah dalam pengertian seperti pertubuhan-pertubuhan tersebut
kerana kelahiran pertubuhan tersebut adalah untuk matlamat-matlamat tertentu
dan untuk jangka waktu yang tertentu pula. Boleh jadi pertubuhan-pertubuhan
berkenaan ditubuhkan semata-mata kerana ingin mengadakan persatuan dan
cita-cita inginkan gelaran dan kedudukan dalam pentadbiran dan organisasi
tersebut, tetapi perjuangan kita adalah perjuangan yang berdasarkan fikrah dan
akidah, nizam dan manhaj yang tidak membataskan tujuan dan matlamat hanya
kepada bangsa tertentu dan kawasan atau wilayah tertentu sahaja. Perjuangan
kita tidak akan berhenti dengan penyelesaian masalah tertentu malah ia akan
berterusan hingga ke hari Kiamat kerana Islam adalah sistem ciptaan Tuhan alam
semesta ini dan manhaj Rasul-Nya yang paling dipercayai.
Kita
menyatakan kepada manusia secara tidak bermegah-megah bahawa kita adalah para
pengikut angkatan sahabat Rasulullah s.a.w yang menjadi pembawa panji-panji
Islam selepas kewafatan Baginda s.a.w. Kita adalah angkatan yang menjulang
kembali bendera Rasulullah s.a.w sebagaimana para sahabat r.a telah
melakukannya. Kita akan menyiarkan dakwah baginda sebagaimana yang telah
disiarkan oleh mereka. Kita akan memelihara kandungan kitab suci Al-Quran
sebagaimana para sahabat telah memeliharanya. Kita adalah pembawa berita
gembira melalui dakwah baginda sebagaimana para sahabat telah melakukannya dan
ia akan menjadi rahmat ke seluruh alam. Anda pasti akan mengetahui
perkhabaran-perkhabarannya dalam sedikit masa lagi.
Ciri-ciri
Khusus Harakah Islamiyah
1.
Menjauhi Pengaruh Pemerintahan dan Ahli-ahli Politik.
Adalah
menjadi kebiasaan bahawa sebahagian dari anggota Harakah Islamiyah adalah
terdiri dari pegawai pemerintah dan ahli-ahli politik. Dengan keanggotaan
seperti ini mestilah dijaga supaya Harakah Islamiyah tidak diperalat dan
diperdagang oleh dua golongan di atas, agar ia kekal dengan sifat bersih, benar
dan ikhlas dalam perjuangan.
2.
Beransur-ansur Dalam Setiap gerak Langkah.
Harakah
Islamiyah mestilah beransur-ansur dalam gerak kerjanya kerana ia menyedari
bahawa jalan yang akan dilalui adalah hebat dan jauh manakala matlamatnya pula
adalah besar dan mulia. Sebenarnya beransur-ansur di dalam langkah-langkah
kerja dan memberikan tumpuan kepada kerja-kerja tertentu mengikut keperluan
akan membawa jamaah kepada matlamat sebagaimana yang dikehendaki.
Al-Imam
Hassan Al-Banna telah menetapkan bahawa dakwah ini mempunyai tiga marhalah
iaitu:
a. Marhalah
Ta’rif (Pengenalan)
Marhalah
ini dimulakan dengan menyiarkan fikrah secara umum tentang Islam kepada orang
ramai. Cara yang dijalankan diperingkat ini ialah dengan menimbulkan kesedaran,
memberi pengajaran, mendirikan institusi yang memberi faedah dan lain-lain cara
yang praktikal.
b. Marhalah
Al-Takwin (Pembentukan)
Marhalah
ini dilaksanakan dengan cara memilih anasir-anasir yang baik (dari marhalah
pertama) dan sanggup untuk memikul beban jihad dengan cara menggembleng tenaga
mereka dalam kerja-kerja dakwah.
Susunan
kerja dakwah dalam marhalah ini adalah bersifat kesufian dari sudut kerohanian
dan bersifat ketenteraan dari sudut gerak kerja. Dakwah pada peringkat ini
tidak dapat dilaksanakan kecuali oleh orang yang benar-benar mempunyai
kesediaan untuk memikul bebanan jihad yang berat dan memakan waktu yang amat
panjang. Persediaan paling awal di peringkat ini ialah “Ketaatan yang tidak
berbelah bagi” (kepada perjuangan Islam).
c. Marhalah
At-Tanfiz (Perlaksanaan)
“Dakwah
pada peringkat ini adalah jihad yang tidak mengenal penat lelah dan kerehatan
malah amal yang tidak mengenal putus asa demi mencapai matlamat yang
diperjuangkan. Ujian dan cabaran tidak dapat dihadapi melainkan oleh
orang-orang yang benar keimanannya. Kejayaan di peringkat ini tidak akan dapat
dicapai kecuali dengan cara memberi ketaatan yang sempurna dan mutlak”.
3.
Mengutamakan Kerja dan Hasil Dari Propaganda.
Sebenarnya
Harakah Islamiyah mengambil pendirian demikian adalah kerana beberapa perkara
yang di antaranya ialah:
a. Ajaran
Islam itu sendiri menyebut soal amal ini secara khusus kerana takut (khuatir)
kalau-kalau amal berkenaan diresapi oleh sifat riak yang akibatnya membawa
kepada kebinasaan kepada amal yang dilakukan.
b. Adalah
menjadi tabiat amal Islami, di mana ia tidaklah berlandaskan propaganda yang
berlebihan dan tidak pula membangkitkan semangat yang tidak dihiasi dengan
amal.
c. Seterusnya
Harakah Islamiyah tidak membuang tenaga dan masa kecuali kepada kerja-kerja
yang membawa hasil dan pembinaan.
d. Islam
juga mewajibkan supaya Harakah Islamiyah dan anggotanya melaksanakan perintah
Rasulullah s.a.w yang berbunyi:
“Mintalah pertolongan dalam melaksanakan hajat-hajat kamu dengan (cara)
rahsia”.
4. Siasah
Nafas Panjang.
Tanggungjawab
yang besar dan berat yang dibebankan ke atas bahu para petugas di medan dakwah
membuktikan betapa perjalanan dakwah ini adalah panjang dan jauh, gerak
kerjanya terlalu sukar dan jihadnya adalah sengit. Oleh itu mereka yang mengikuti
jalan ini wajib mempunyai persediaan untuk menghadapi segala bentuk kekerasan,
kesukaran dan pengorbanan. Allah swt berfirman:
أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا
ءَامَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ(2)وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ
فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya
berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? 3-
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada
mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah
tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang
diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.
(Surah
Al-’Ankabut 29: Ayat 2-3)
Orang-orang
yang menggabungkan diri dengan Harakah Islamiyah mestilah berpegang teguh
kepada siasah nafas panjang, supaya dengan cara ini dakwah ke jalan Allah swt
dapat dilakukan dengan pandangan yang jelas dan dengan niat menuntut keredhaan
Allah s.w.t. Mereka tidak akan mundur di tengah perjalanan dan tidak tergesa-gesa
hendak merasai hasil kerja sebelum tiba waktunya. Ini semua tidak akan berlaku
kecuali setelah mereka memahami bahawa kerajaan Islam adalah wasilah untuk
mencapai matlamat perjuangan. Kalaulah sekiranya mereka berjaya melaksanakan
pemerintahan Islam, mereka bersyukur kepada Allah swt. Jika mereka tidak
berjaya, tidak pula berputus asa, tidak kecewa dan tidak akan merasa takut.
Dengan usaha kerja tersebut bermakna mereka telah menunaikan amanah dan telah
melaksanakan kewajipan dakwah, firman Allah swt:
وَمَا النَّصْرُ إِلَّا مِنْ عِنْدِ اللَّهِ
“Dan kemenangan itu hanya dari Allah”.
(Surah
Al-Anfal 8: ayat 10)
Dan
Firman Allah swt lagi:
وَمَا تَشَاءُونَ إِلَّا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ
“Dan kamu tidak (mampu melakukan) apa yang kamu kehendaki kecuali apa
yang dikehendaki oleh Allah”.
(Surah
Al-Insan 76: Ayat 30)
Boleh
jadi ada orang berkata: “Bagaimanakah keadaannya dengan parti-parti politik
yang bertindak secara kotor dan menjadi talibarut penjajah telah berjaya
menubuhkan kerajaan dan mendapat kekuasaan di sana-sini dalam waktu yang begitu
singkat dengan cara yang begitu mudah? Untuk menjawab persoalan tersebut kita
mengatakan bahawa kedua-dua jalan (jalan perjuangan Islam dan jalan parti-parti
politik) itu adalah berbeza kerana Harakah Islamiyah tidak akan sampai kepada
matlamatnya kecuali dengan cara yang berbeza dan bersih. Sekiranya anda rela
ditunggangi oleh kekuatan seperti ini atau diperalat oleh penjajah atau yang
seumpamanya anda akan mencapai tujuan seperti yang mereka sampai. Ingatlah
firman Allah swt:
فَلِذَلِكَ فَادْعُ وَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَلَا
تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ
“Oleh kerana yang demikian itu, maka serulah (mereka wahai Muhammad
kepada beragama dengan betul), serta tetap teguhlah engkau menjalankannya
sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan janganlah engkau menurut kehendak
hawa nafsu mereka.”
(Surah
Al-Syura 42: Ayat 15)
5. Amal:
Terus-terang dan Tanzim Rahsia.
Seterusnya
beramal untuk Islam tidak sepatutnya dijadikan sebagai suatu rahsia yang
dijalankan oleh para pendakwah di belakang tabir, semata-mata kerana takut
mereka ditangkap atau menganggap apa yang mereka lakukan sebagai satu hikmah
atau maslahah. Ini adalah kerana seruan Islam mestilah dilakukan secara lantang
dan kalimah kebenaran mestilah diucapkan kerana orang yang berdiam diri dari
memperkatakan kebenaran adalah syaitan yang bisu. Rasulullah s.a.w
memperingatkan:
“Barangsiapa dari kalangan kamu melihat kemungkaran maka hendaklah ia
mengubahnya (mencegahnya) dengan tangan, jika ia tidak mampu maka hendaklah ia
mengubahnya dengan lidahnya, jika ia tidak mampu cegahlah dengan hatinya. Jika
demikian itu adalah selemah-lemah iman”.
Oleh yang
demikian seorang pendakwah itu mestilah memperkatakan tentang kalimah kebenaran
di mana saja ia bekerja dan di mana saja beliau berada, sama ada kebenaran itu
disuarakannya melalui perkataan yang mampu beliau ucapkan atau melalui
perkataan yang mampu beliau ucapkan atau melalui tulisan yang mampu beliau
sebarkan sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah swt:
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ
وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ
“Serulah (semua manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmat dan
pengajaran yang baik”.
(Surah
Al-Nahl 16: Ayat 125)
Namun
demikian kenyataan di atas tidaklah bermakna Harakah Islamiyah perlu
mendedahkan segala perkara seperti taktik (khittah) dan penyusunan (tanzim).
Secara mutlak dapatlah dikatakan bahawa pendedahan seperti ini tidaklah membawa
apa-apa kebaikan bahkan perbuatan demikian menunjukkan kejahilan tentang Islam
itu sendiri dan ini adalah mendedahkan harakah dan anggotanya kepada tipu daya
jahat dan penyeksaan oleh musuh-musuh Islam. Kaedah yang mesti menjadi pegangan
dalam hal ini ialah “Amal secara terus terang dan kerahsiaan tanzim”. Ini
berdasarkan amal yang ditujukan oleh Rasulullah s.a.w di dalam sabdanya:
“Mintalah pertolongan dalam memenuhi hajat kamu (dengan cara) rahsia”.
Sabdanya
lagi:
“Peperangan itu adalah tipu daya”.
6.
Pengasingan Jiwa Bukan Jasad.
Sejak
akhir-akhir ini banyak diperkatakan tentang Uzlah Syu’uriyyah (pengasingan
jiwa) yang diutarakan oleh Al-Syahid Sayyid Qutb di mana beliau berkata:
“Sesungguhnya menjadi satu kemestian supaya wujud satu barisan hadapan yang
berazam mencapai cita-cita ini, terus mara di jalan ini, mara terus dalam
menghancurkan jahiliah yang bermaharajalela di serata pelusuk bumi, mara terus
dalam usaha mengasingkan jiwa dari satu sudut di samping mengadakan hubungan
(jasadiyah) dengan jahiliah di sudut yang lain.
Pengertian
Uzlah yang dimaksudkan oleh Al-Syahid Sayyid Qutb di sini ialah ‘uzlah
syu’uriyyah’ (pengasingan jiwa) dari dikotori atau dijangkiti oleh noda-noda
masyarakat jahiliah, memisahkan jiwa dengan cara merasai ketinggian iman di
samping terus mara dalam gerak kerja menghapuskan jahiliah dengan mendedahkan
kepalsuan, mencabar kebatilan, terus berkorban dan berjihad tanpa takut kepada
celaan orang-orang yang suka mencela.
‘Uzlah di
sini adalah bermakna perbezaan, yakni perbezaan di antara golongan yang beriman
dengan golongan yang kufur, perbezaan dari sudut pemikiran dan pandangan,
perbezaan dari sudut akhlak dan tatasusila hidup, perbezaan dari sudut perasaan
dan kepekaan. Inilah bentuk ‘uzlah yang diseru oleh Islam dan inilah ajaran
yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w yang terdapat dalam banyak hadis. Antaranya
yang bermaksud:
“Jadilah kamu orang yang kuat daya ciumannya di kalangan manusia”.
Sabda
Rasulullah s.a.w lagi, maksudnya:
“Jangan seseorang dari kamu menjadi orang yang tidak punya pendirian
dengan berkata: “Aku bersama orang ramai, jika sekiranya mereka berbuat baik
akupun berbuat baik, jika mereka melakukan kejahatan akupun turut melakukan
kejahatan…tetapi hendaklah kamu menetapkan pendirian kamu, maka jika sekiranya
manusia berbuat baik, maka hendaklah kamu berbuat baik, tetapi jika mereka
berbuat jahat maka hendaklah kamu menjauhkan diri dari berbuat jahat terhadap
mereka”.
Inilah
pengertian ‘uzlah yang dimaksudkan manakala dari sudut gerak kerja, harakah,
pergaulan dan dakwah tidak ada ‘uzlah sama sekali dan tidak ada pengasingan
diri. Sekiranya berlaku pengasingan diri nescaya terhentilah gerak kerja,
harakah, pergaulan dan dakwah. Dan ingatlah para petugas amal Islami hari ini
berhadapan dengan berbagai kumpulan dan golongan manusia. Oleh itu mereka tidak
harus berpegang kepada satu hukum atau satu cara sahaja dalam pergaulan dengan
mereka.
Manusia-manusia
Yang Dihadapi Oleh Para Pendakwah.
a. Di
kalangan orang ramai terdapat orang-orang yang telah beriman dan telah
berpegang teguh dengan hukum-hakam Islam dalam kehidupan peribadi tetapi tidak
melaksanakan kewajipan-kewajipan amal haraki (dalam sebuah jamaah). Dalam hal
ini para pendakwah tidak boleh menyamakan mereka dengan orang atau golongan
lain.
b. Selain
dari golongan di atas terdapat orang-orang yang menganut agama dan berbangga
dengan Islam dalam keadaan mereka sendiri jahil. Mereka ini tidak berpegang
dengan hukum-hakam Islam dan mereka ini adalah golongan umat Islam yang
terbesar pada hari ini. Para pendakwah tidak seharusnya menyamakan kedudukan
mereka dengan kedudukan orang-orang kafir.
c.
Ada pula dari kalangan manusia yang menjadi musuh ketat kepada Islam, mereka
ini memusuhi Allah swt dan rasulNya sama ada secara peribadi atau bersama dalam
parti-parti politik atau pemimpin-pemimpin kerajaan.
Sikap dan
pendirian para pendakwah terhadap golongan di atas semestinya berbeza di antara
satu sama lain. Perbezaan ini adalah atas perkiraan dekat atau jauhnya mereka
dengan Islam, sejajar dengan penerimaan dan penolakan mereka terhadap Islam,
yakni bergantung kepada sikap kepatuhan atau permusuhan mereka terhadap Islam.
Ada di
kalangan mereka perlu diberi bimbingan dan asuhan, ada pula yang perlu diberi
kesedaran dan ilmu pengetahuan tentang Islam, ada juga yang tidak boleh
dihadapi kecuali dengan pedang sementara golongan yang lain pula menjadi
penyakit yang sangat berbahaya. Kesemua ini menuntut para pendakwah mempunyai
hubungan yang mendalam dan meluas dengan masyarakat, kerana masyarakat adalah
bumi tempat mereka beramal dan berjihad, tetapi bentuk hubungan para pendakwah
dalam masyarakat adalah berbeza dengan cara orang biasa. Hubungan mereka adalah
dengan bentuk usaha mempengaruhi (supaya menerima Islam) bukan dipengaruhi
(oleh noda-noda jahiliah), hubungan yang membawa kepada pembersihan, bukan
hubungan yang membawa kepada kekotoran. Sesungguhnya benar apa yang diucapkan
oleh Rasulullah s.a.w di mana baginda bersabda, maksudnya:
“Sesaat kesabaran seseorang kamu di dalam medan jihad adalah lebih baik
dari ibadah (biasa) seseorang kamu yang dilakukan selama enam puluh tahun.”
7.
Matlamat Tidak Menghalalkan Cara.
Kuman-kuman
kerosakan yang dibawa oleh aliran-aliran pemikiran dan sistem-sistem yang bukan
Islam iaitu teori Micheaveli (yang berpegang kepada kaedah matlamat
menghalalkan cara) atau dengan kata lain mengutamakan diri sendiri dengan cara
melanggar prinsip-prinsip dan teori-teori yang mereka sendiri laungkan dan
serukan.
Berapa
banyak dari doktrin dan keyakinan aliran pemikiran Micheaveli ini yang telah
terkeluar dari landasannya apabila cuba dilaksanakan secara praktikal sama ada
di peringkat pemerintahan ataupun di dalam peringkat perlaksanaan sistem
parlimen.
Pada
hakikatnya aliran-aliran pemikiran ini tidak dapat menentukan untuk dirinya dan
para penganutnya satu keyakinan yang dapat memelihara mereka dari melakukan
penyelewengan dan sikap pura-pura. Mereka tidak membezakan sifat-sifat ini
dengan apa yang mengambil tempat dalam kancah pertarungan politik dan
pemikiran, mereka juga tidak dapat membezakan secara jelas dalam tindak tanduk
ahli-ahli politik tradisional dan para pemimpin akidah.
Oleh yang
demikian maslahah atau kepentingan rakyat telah berubah menjadi kepentingan
parti. Kepentingan parti pula bertukar menjadi kepentingan peribadi bagi
pemimpin-pemimpin parti. Oleh yang demikian isu-isu yang berhubung dengan
persoalan umat telah menjadi kertas kerja-kertas kerja yang membawa keuntungan,
menjadi barang yang diperdagangkan, bolah ditawar-menawar di pasaran. Musuh di
masa lampau, kini menjadi teman rapat, teman-teman rapat hari ini esoknya
menjadi musuh ketat. Beginilah keadaannya hinggalah ideologi atau
fahaman-fahaman ini tidak membawa sebarang erti lagi, yang tinggal hanyalah
nama, slogan-slogan yang dusta lagi palsu.
Inilah
keadaan yang berlaku dalam kancah perebutan kuasa dan ideologi-ideologi ciptaan
manusia dan pertarungan inilah yang menjelaskan dan mendedahkan rahsia
pergolakan yang tersembunyi dalam ideologi-ideologi tersebut dan inilah sebab
yang membolehkannya berkembang dan mendapat kekuasaan dalam masa yang singkat.
Pada hakikatnya ideologi-ideologi ini tidaklah terikat dengan akidah dan akhlak
dalam erti kata yang sebenarnya malah ia juga tidak mempunyai sikap dan
pendirian yang jelas. Yang ada pada mereka hanyalah strategi yang digunakan
untuk menindas yang lain dan pertarungan yang sengit untuk mendapat ruang
mempergunakan keadaan-keadaan tertentu dan memperniagakan persoalan-persoalan umat
walaupun dengan harga yang murah, sekalipun terpaksa mengorbankan ummah itu
sendiri atau bangsa seluruhnya, tetapi apa yang berlaku dalam Islam dan apa
yang diandaikan berlaku adalah berbeza sama-sekali dengan apa yang berlaku
dalam ideologi-ideologi tersebut kerana Harakah Islamiyah tidak memisahkan
dalam tindakan mereka di antara matlamat dan cara mencapainya, sama ada dari
kewajipan syarak, akidah mahupun akhlak.
Para
petugas yang bekerja untuk Islam pula tidak bekerja kerana kepentingan diri
atau menurut keinginan mereka sendiri, malahan mereka terikat dengan
panduan-panduan tertentu, terikat dengan tuntutan akidah dan akhlak. Mereka
sendiri tidak boleh melepaskan diri dari tuntutan-tuntutan tersebut atau
bertindak merobohnya.
Beberapa
Penegasan.
1. Bekerja
untuk menegakkan kebenaran tidak boleh menggunakan cara-cara yang batil untuk
mencapai tujuan dan matlamat perjuangan sekalipun cara yang batil itu hanya
dengan satu kalimah dan satu slogan sahaja kerana Allah swt berfirman:
وَقُلِ الْحَقُّ مِنْ رَبِّكُمْ فَمَنْ شَاءَ
فَلْيُؤْمِنْ وَمَنْ شَاءَ فَلْيَكْفُرْ
“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Kebenaran itu ialah yang datang dari
Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman dan sesiapa
yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya.”
(Surah
Al-Kahfi 18; Ayat 29)
2. Kebenaran
itu adalah satu sifat yang menyeluruh, tidak boleh dibahagi bahagikan atau
dijuzuk-juzukkan. Oleh sebab itu meninggalkan mahupun bertolak ansur
dengan satu unit dari kebenaran bererti meninggalkan atau bertolak ansur dalam
seluruh kebenaran kerana tidak ada yang wujud lagi selepas petunjuk kecuali
kesesatan. Untuk tujuan tolak ansur inilah golongan kafir Quraisy (Mekah)
menawarkan kepada Rasulullah s.a.w beberapa tawaran yang lumayan sebagai
tukaran dalam beberapa hal yang berhubung dengan akidah. Lantas baginda
menjawab secara tegas dengan membaca:
قُلْ يَاأَيُّهَا الْكَافِرُونَ(1)لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ(2)وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ(3)وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَا عَبَدْتُمْ(4)وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ(5)لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ(6
“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir! 2- Aku tidak akan
menyembah apa yang kamu sembah. 3- Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang
aku sembah. 4- Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. 5- Dan kamu
pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. 6- Bagi kamu agama kamu dan
bagiku agamaku”.
(Surah
Al-Kaafirun 109: Ayat 1-6)
3. Kebenaran
sewajarnya dipertahankan dengan kekuatan malah dikorbankan apa sahaja untuk
mempertahankannya dengan tidak tunduk kepada sebarang tawar-menawar sekalipun
dalam bentuk godaan nikmat mahupun ancaman siksaan. Kerana inilah
tukang-tukang sihir Firaun, apabila melihat kebenaran telah jelas (di hadapan
mereka), mereka tidak lagi mengendahkan ancaman Firaun sebaliknya mereka merasa
mulia dengan keimanan mereka, iman yang mengatasi segala bentuk kepentingan
diri. Mereka berkata kepada Firaun:
فَاقْضِ مَا أَنْتَ قَاضٍ إِنَّمَا تَقْضِي هَذِهِ
الْحَيَاةَ الدُّنْيَا(72)إِنَّا ءَامَنَّا بِرَبِّنَا لِيَغْفِرَ لَنَا
خَطَايَانَا وَمَا أَكْرَهْتَنَا عَلَيْهِ مِنَ السِّحْرِ وَاللَّهُ خَيْرٌ
وَأَبْقَى
“Oleh itu, hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak hukumkan, kerana
sesungguhnya engkau hanyalah dapat menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja.
73- Sesungguhnya kami telah beriman kepada Tuhan kami, supaya diampunkanNya
kesalahan-kesalahan kami dan dosa-dosa sihir yang engkau paksakan kami
melakukannya dan Allah jualah yang lebih baik dan lebih kekal balasan
pahalaNya.”
(Surah
Taha 20: Ayat 72-73)
Rasulullah
s.a.w sendiri ketika ditawarkan kepadanya kerajaan, kemegahan dan harta
kekayaan agar baginda mengurangkan dakwahnya, membalas tawaran tersebut dengan
bersabda:
“Demi Allah jika sekiranya kamu meletakkan matahari di sebelah kananku
dan bulan di sebelah kiriku (dengan harapan) agar aku meninggalkan urusan
(dakwahku ini) tidak akan aku tinggalkan sehinggalah Allah menzahirkannya atau
aku sendiri binasa kerananya.”
(Al-Hadis)
4. Para
pendukung hendaklah hidup dalam keadaan penuh sedar dan berwaspada. Mereka
mestilah berpegang teguh dengan agama Allah swt dan mengambil petunjuk dari
petunjukNya. Maka janganlah mereka tertipu dengan keadaan, atau dipaksa
menerima penyeksaan yang tidak sejajar dengan dasar-dasar akidah dan akhlak.
Allah swt memperingatkan:
وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ
وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا
أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ
أَنْ يُصِيبَهُمْ بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ
لَفَاسِقُونَ
“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang
telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu
mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu
hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling
(enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu
menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka dan sesungguhnya
kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik.”
(Surah
Al-Maidah 5: Ayat 49)
Sejarah
Rasulullah s.a.w telah menceritakan kepada kita bahawa sewaktu raja Ghassan
cuba mempengaruhi Kaab bin Malik (salah seorang dari tiga orang sahabat yang
tidak ikut serta dalam perang Tabuk bersama Rasulullah s.a.w dengan tetap
tinggal di Madinah) dengan menulis sepucuk surat kepada Kaab yang kandungannya
antara lain menyebut: “Bahawasanya telah sampai perkhabaran kepadaku bahawa
sahabatmu (yakni Rasulullah s.a.w) bersikap dingin terhadapmu, padahal Allah
tidaklah menjadikan engkau hina dan terbiar begini. Oleh itu datanglah engkau
menggabungkan diri dengan kami”. Pada waktu itu memang Rasulullah s.a.w
telahpun memutuskan hubungan dengan ketiga-tiga sahabatnya itu di mana tidak
seorangpun dari orang Islam bertegur sapa dengan mereka.
Sebaik
sahaja membaca surat itu Kaab terus berkata: “Ini juga adalah satu bala ujian yang
berpunca dari kesalahan saya mengingkari perintah (Nabi) sehingga membuatkan
seorang musyrik berani cuba menggoda saya. Kemudian beliau terus ke dapur lalu
membakar surat tersebut.
5. Akhir
sekali (mestilah difahami) bahawa kebenaran (al-Hak) adalah sesuatu yang telah
ditentukan oleh Allah swt, bukannya oleh manusia sekalipun kebenaran itu
bercanggah dengan kehendak hawa nafsu, pendapat dan pandangan mereka
seluruhnya. Ini adalah kerana Islam tidak menerima sikap tolak ansur
dan tunduk kepada kehendak-kehendak umum dalam perkara-perkara yang bercanggah
dengan ketentuan syarak sekalipun dalam masalah yang kecil. Menurut logik Islam
sifat demikian adalah di anggap nifak dan melanggar batas-batas yang ditentukan
oleh Allah s.w.t. Sesiapa yang menukarkan keredhaan manusia dengan kemurkaan
Allah swt, tidaklah Allah swt menambah kepadanya melainkan dengan kehinaan dan
barangsiapa yang menukarkan keredhaan Allah swt dengan kebencian manusia, tidaklah
Allah swt menambah kepadanya melainkan kemuliaan. Sungguh benar sabda baginda
Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Jangan seseorang dari kamu menjadi orang yang tidak punya pendirian
dengan berkata: “Aku bersama orang ramai, jika sekiranya mereka berbuat baik
akupun berbuat baik, jika mereka melakukan kejahatan akupun turut melakukan
kejahatan…tetapi hendaklah kamu menetapkan pendirian kamu, maka jika sekiranya
manusia berbuat baik, maka hendaklah kamu berbuat baik, tetapi jika mereka
berbuat jahat maka hendaklah kamu menjauhkan diri dari berbuat jahat terhadap
mereka”.
Persiapan
Harakah Islamiyah
Al-Syahid
Imam Hasan Al-Banna telah menerangkan tentang persiapan Harakah Islamiyah
dengan berkata:
“Persediaan
adalah persediaan orang-orang yang terdahulu dari kita dan senjata yang
digunakan oleh pemimpin besar kita dan ikutan kita Rasulullah s.a.w dan para
sahabatnya dalam memerangi alam ini dengan bilangan yang kecil dan harta
kekayaan yang sedikit tetapi dengan pengorbanan yang benar, itulah yang akan
menjadi senjata kita untuk memerangi alam ini sekali lagi”.
1. Iman
Adalah Persiapan Utama Kita.
Orang-orang
yang terdahulu dari kita telah beriman dengan keimanan yang mendalam, kukuh
bersih dan ampuh terhadap Allah swt, pertolongan dan bantuanNya. Firman Allah
swt:
إِنْ يَنْصُرْكُمُ اللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ
“Jika Allah menolong kamu maka tidaklah ada orang yang dapat mengalahkan
kamu”.
(Surah
Ali-Imran 3: Ayat 160)
2. Mereka
juga beriman secara mendalam dengan manhaj (sistem hidup Ilahi), keistimewaan
dan kesesuaiannya dengan kehidupan manusia. Allah swt menjelaskan:
قَدْ جَاءَكُمْ مِنَ اللَّهِ نُورٌ وَكِتَابٌ
مُبِينٌ(15)يَهْدِي بِهِ اللَّهُ مَنِ اتَّبَعَ رِضْوَانَهُ سُبُلَ السَّلَامِ وَيُخْرِجُهُمْ
مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِهِ وَيَهْدِيهِمْ إِلَى صِرَاطٍ
مُسْتَقِيمٍ
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi
Muhammad) dari Allah dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata
keterangannya. 16- Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan
keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaanNya dan
(dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya
(iman) yang terang-benderang, dengan izinNya dan (dengannya juga) Tuhan
menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.”
(Surah
Al-Maidah 5: Ayat 15-16)
3. Mereka
juga berpegang dengan kukuh kepada persaudaraan dan kesuciannya. Firman Allah
swt yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara”.
4. Mereka
juga beriman dengan benar terhadap kebesaran, kemuliaan Allah swt serta
limpahan ganjaran yang bakal dikurniakannya berdasarkan firmanNya:
مَا كَانَ لِأَهْلِ الْمَدِينَةِ وَمَنْ حَوْلَهُمْ
مِنَ الْأَعْرَابِ أَنْ يَتَخَلَّفُوا عَنْ رَسُولِ اللَّهِ وَلَا يَرْغَبُوا
بِأَنْفُسِهِمْ عَنْ نَفْسِهِ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ لَا يُصِيبُهُمْ ظَمَأٌ وَلَا
نَصَبٌ وَلَا مَخْمَصَةٌ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَطَئُونَ مَوْطِئًا يَغِيظُ
الْكُفَّارَ وَلَا يَنَالُونَ مِنْ عَدُوٍّ نَيْلًا إِلَّا كُتِبَ لَهُمْ بِهِ عَمَلٌ
صَالِحٌ إِنَّ اللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ
“Tidaklah patut bagi penduduk Madinah dan orang-orang yang di sekeliling
mereka dari orang-orang “Arab” ketinggalan daripada (turut berperang bersama)
Rasulullah; dan tidaklah patut mereka mengasihi diri mereka sendiri dengan
tidak menghiraukan Rasulullah. Yang demikian kerana sesungguhnya (tiap-tiap
kali) mereka merasai dahaga dan merasai penat lelah dan juga merasai lapar
(dalam perjuangan) pada jalan Allah dan (tiap-tiap kali) mereka menjejak sesuatu
tempat yang menimbulkan kemarahan orang-orang kafir dan juga (tiap-tiap kali)
mereka menderita sesuatu yang mencederakan dari pihak musuh melainkan semuanya
itu ditulis bagi mereka: (pahala) amal yang soleh. Sesungguhnya Allah tidak
menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”
(Surah
Al-Taubah 9: Ayat 120)
5. Mereka
adalah golongan yang percaya kepada diri mereka sendiri, kerana mereka adalah
jamaah yang dipilih oleh Allah swt untuk membebas dan menyelamatkan alam ini,
kerana tugas tersebut mereka telah ditetapkan sebagai golongan yang mendapat
keutamaan. Oleh itu mereka adalah sebaik-baik golongan yang dilahirkan di
tengah-tengah manusia.
Sesungguhnya
mereka adalah golongan yang mendengar seruan orang yang menyeru kepada keimanan
lantas merekapun beriman. Kita mengharapkan Allah swt akan menumbuhkan bibit-bibit
kecintaan terhadap iman seperti itu dan kita juga mengharapkan Allah swt
menghiasi hati-hati kita dengan iman itu sebagaimana Allah swt menumbuhkan
bibit-bibit keimanan di dalam hati-hati golongan Islam yang terdahulu. Oleh
yang demikian keimanan adalah persiapan kita yang pertama.
Jihad
Adalah Sebahagian Dari Persiapan.
Orang-orang
yang terdahulu dari kita benar-benar mengetahui dan memahami bahawa dakwah
mereka tidak akan mencapai kejayaan kecuali dengan jihad, pengorbanan,
penyerahan harta kekayaan dan jiwa raga lantas merekapun mengorbankan diri dan
harta benda mereka untuk perjuangan. Mereka berjihad pada jalan Allah swt
dengan sebenar-benarnya. Mereka mendengar seruan Allah swt yang menyeru mereka:
قُلْ إِنْ كَانَ ءَابَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ
وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا
وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ
مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ
اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ
“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan
saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum
keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu
bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika
semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan
RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah
mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi
petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).”
(Surah
Al-Taubah 9: Ayat 24)
Sebaik
sahaja mendengar seruan yang berupa ugutan itu, merekapun terus menyambutnya.
Mereka membebaskan diri mereka dari segala sesuatu yang mereka cintai dengan
penuh kerelaan hati malahan mereka bergembira dan merasa bahagia dengan janji
setia yang mereka berikan kepada Allah swt.
Ada di
kalangan mereka yang bertarung dengan maut tetapi masih menyeru: “Maralah
menuju Allah dengan tidak membawa sebarang bekalan.”
Ada juga
di kalangan mereka yang mengorbankan seluruh harta benda yang dimiliki dengan
berkata: “Aku tinggalkan untuk keluargaku Allah dan rasulNya.”
Ada juga
di antara mereka yang bermadah sedangkan mata pedang sedang berada di atas
batang tengkuknya:
“Aku tetap tidak peduli
Asalkan aku seorang Muslim
Biarpun diriku dibunuh mati
Untuk Allah kematianku pasti.”
Demikianlah
yang telah terjadi kepada mereka, mereka berjihad dengan jihad yang benar,
pengorbanannya besar, penyerahan diri yang sungguh-sungguh dan kita juga akan
melakukan demikian (dengan izin Allah).
Petikan
Bacaanku……
Tiada ulasan:
Catat Ulasan