Di dalam
kehidupan ini manusia bertarung dengan dirinya mereka sendiri. Adakalanya ia
menang dan adakalahnya ia kalah atau ia tetap dalam pertarungan yang
berterusan. Sememangnya pertarungan ini berterusan sehinggalah ajal maut
menjemputnya. Firman Allah swt:
وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَا(7)فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا
وَتَقْوَاهَا(8)قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا(9)وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا
“Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan
kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); 8- Serta mengilhamkannya (untuk
mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada
bertakwa; 9- Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia
bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), 10- Dan
sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut
dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)”.
(Surah
Asy-Syams 91: Ayat 7-10)
Maksud
inilah yang terkandung dalam sabda yang diisyaratkan oleh baginda s.a.w:
تعرض الفتن على القلوب كالحصير عودا عودا فأيما قلب
أشربها نكت فيها نكتة السوداء وأيما قلب أنكرها نكت فيها نكتة بيضاء حتى تصير على
أحد قلبين: على أبيض مثل الصفاة فلا تضره فتنة والآخر أسود مربادا لا يعرف معروفا
ولا ينكر منكرا
Fitnah akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam secara
tegak-menegak antara satu sama lain. Mana-mana hati yang dihinggapi oleh
fitnah, nescaya akan terlekat padanya bintik-bintik hitam. Begitu juga
mana-mana hati yang tidak dihinggapinya, akan terlekat padanya bintik-bintik
putih sehinggalah hati tersebut terbahagi dua: Sebahagiannya menjadi putih
bagaikan batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah, selama langit dan
bumi masih ada. Manakala sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti
bekas tembaga berkarat, tidak menyuruh kebaikan dan tidak pula melarang
kemungkaran.
Dalam
pertarungan menghadapi nafsu manusia terbahagi kepada 3 golongan:
1. Golongan
yang tunduk mengikut hawa nafsu mereka.
Mereka
hidup dengan keseronokan di atas muka bumi ini dan ingin hidup berkekalan di
dunia. Mereka adalah orang-orang kafir dan orang yang mengikuti jejak langkah
mereka. Golongan ini melupai (kebesaran dan nikmat) Allah swt, lalu Allah swt
juga membiarkan mereka. Di dalam Al-Quran, Allah swt menyifatkan mereka sebagai
orang yang mempertuhankan hawa nafsu, firman Allah swt:
أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ
وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَى عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَى سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ
عَلَى بَصَرِهِ غِشَاوَةً فَمَنْ يَهْدِيهِ مِنْ بَعْدِ اللَّهِ أَفَلَا
تَذَكَّرُونَ
“Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap
orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang dipatuhinya dan dia pula
disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa dia tetap kufur ingkar) dan
dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya serta diadakan lapisan
penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayat
petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh
itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?
(Surah
Al-Jathiyah 45: Ayat 23)
2. Golongan
yang bermujahadah dan bertarung menentang hawa nafsunya.
Dalam
menentang hawa nafsunya ada kalanya golongan ini mencapai kemenangan dan ada
kalanya mereka kecundang. Apabila terlibat dalam kesalahan mereka segera
bertaubat. Begitu juga bila mereka melakukan maksiat mereka segera sedar dan
menyesal serta memohon keampunan dari Allah swt. Allah swt berfirman:
وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا
أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ
الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ
يَعْلَمُونَ
“Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau
menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun
akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa
melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka
telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)”.
(Surah
Al-’Imran 3: Ayat 135)
Inilah
golongan yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w dalam sabdanya:
كل بني آدم خطاء وخيرا الخطاءين التوابون
“Setiap anak Adam (manusia) itu melakukan kesalahan, sebaik-baik orang
yang melakukan kesalahan (dosa) ialah mereka yang bertaubat”.
(Hadis
riwayat Ahmad dan Tirmizi)
Sehubungan
dengan pengertian inilah diriwayatkan satu kisah oleh Wahab Bin Munabbih yang
mengatakan:
“Sesungguhnya
Iblis pernah bertemu dengan Nabi Allah Yahya bin Zakaria a.s, lalu Nabi Zakaria
a.s berkata kepada Iblis: “Ceritakan kepadaku tabiat perangai manusia menurut
pandangan kamu”. Lalu Iblis menjawab:
1. Golongan pertama
dari manusia ialah seperti kamu ini.
Mereka
ini terpelihara (dari kejahatan dan dosa).
2. Golongan yang
kedua adalah mereka yang berada dalam genggaman kami sebagaimana bola berada di
tangan anak-anak kamu. Mereka menyerah diri mereka bulat-bulat kepada kami.
3. Golongan yang
ketiga ialah golongan yang sangat sukar untuk kami kuasai mereka. Kami menemui
salah seorang dari mereka dan kami berjaya memperdayakannya dan mencapai hajat
kami tetapi ia segera memohon keampunan (bila ia sedar) dan dengan istighfar
itu rosaklah apa yang kami dapati darinya. Maka kami tetap tidak berputus asa
untuk menggodanya dan kami tidak akan mendapati hajat kami tercapai.
Sendi-sendi
Kekuatan Dalam Memerangi Nafsu.
1. Hati: Hati
akan menjadi benteng yang kuat dalam memerangi nafsu sekiranya hati itu
hidup, lembut, bersih, cekal dan selalu mengingati pesanan Sayidina Ali yang
berbunyi:
“Sesungguhnya Allah s.w.t mempunyai bejana di atas buminya iaitu
hati-hati … maka hati yang paling disukai oleh Allah s.w.t ialah hati yang
lembut, bersih dan cekal. Kemudian Sayidina Ali mentafsirkan (kalimah-kalimah
tersebut dengan) katanya: Cekal dalam pegangan agama, bersih di
dalam keyakinan dan lembut terhadap saudara-saudara mukmin.
Sayidina
Ali juga berkata:
“Hati seorang mukmin itu bersih, terdapat padanya pelita yang bercahaya.
Hati seorang kafir itu hitam serta berpenyakit”.
Al-Quran
Al-Karim memberi gambaran tentang hati orang-orang mukmin menerusi firman Allah
swt:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ
اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ ءَايَاتُهُ زَادَتْهُمْ
إِيمَانًا
“Orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang
apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan
apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman
mereka”.
(Surah
Al-Anfal 8: Ayat 2)
Dalam
menggambarkan sifat-sifat hati orang kafir pula Allah swt menjelaskan:
فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ وَلَكِنْ
تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ
“Kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi
yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada”.
(Surah
Al-Hajj 22: Ayat 46)
Allah swt
juga berfirman:
أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْءَانَ أَمْ عَلَى
قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا
“(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak
berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati
mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?”
(Surah
Muhammad 47: Ayat 24)
2. Akal: Akal
adalah (ciptaan Allah swt) yang dapat melihat, mempunyai daya memahami
sesuatu, mampu membezakan dan dapat menyimpan sesuatu fahaman dari
ilmu-ilmunya di mana dengan ilmu itu kelak ia dapat menghampirkan diri dengan
Allah swt, mengetahui keagungan Allah swt serta kekuatannya. Akal seperti
inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah swt:
إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ
الْعُلَمَاءُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ
“Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah
dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya
Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun”.
(Surah
Al-Fatir 35: Ayat 28).
Rasulullah
s.a.w menyebut betapa tingginya nilai akal ini dalam sabdanya:
ما خلق الله خلقا أكرم عليه من العقل
“Allah tidaklah mencipta suatu kejadian yang lebih mulia dari akal”.
Rasulullah
s.a.w berpesan kepada Sayidina Ali Karramallahu wajhah:
إذ تقرب الناس إلى الله تعالى بأنواع البر فتقرب أنت
بعقلك
“Apabila manusia mendampingi Allah dengan melakukan berbagai amalan
kebajikan maka engkau dampingilah Allah dengan akal fikiran engkau”.
Baginda
juga bersabda:
ما اكتسب رجل مثل فضل عقل يهدي صاحبه إلى هدى ويرده
عن ردي
“Tidaklah beruntung seorang lelaki (dengan satu pemberian) dibandingkan
dengan kelebihan kurniaan akal yang dapat membimbing pemiliknya kepada petunjuk
dan menahannya dari perkara yang buruk”.
(Hadis
riwayat Al-Mujbir)
Oleh kerana
betapa tingginya nilai akal, maka Islam menganjurkan agar akal diisi dengan
ilmu dan makrifat serta mendalami segala urusan agama agar dengan ilmu-ilmu itu
akal menjadikannya sebagai sebab-akibat yang memandu segala tindakan,
membezakan di antara yang buruk dengan yang baik, di antara yang hak dengan
yang batil sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:
من يرد الله به خيرا يفقهه في الدين
“Sesiapa yang Allah inginkan kebaikan pada dirinya diberikan kefahaman
yang mendalam dalam agama”.
Sabda
baginda lagi:
فضل العالم على العابد كفضلي على أدنى رجل من أصحابي
“Kelebihan (keutamaan) seorang ‘alim atas seorang ‘abid (ahli ibadat)
adalah seperti kelebihanku atas orang yang paling rendah dari
sahabat-sahabatku”.
Semua ini
membuktikan betapa tingginya nilai dan kesan akal dalam proses membina kekuatan
insan di dalam diri manusia. Dengannya manusia dapat mengenali serta dapat
menyelami hakikat alam semesta dan rahsianya.
Oleh yang
demikian akal seorang mukmin itu adalah akal fikiran yang waras, dapat
membezakan buruk dan baik, halal dan haram, kebaikan dan kemungkaran kerana ia
melihat segala perkara dengan cahaya Allah swt yang dapat menembusi di sebalik
tutupan yang halus. Firman Allah swt:
وَمَنْ لَمْ يَجْعَلِ اللَّهُ لَهُ نُورًا فَمَا لَهُ
مِنْ نُورٍ
Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan Allah menurut undang-undang
peraturanNya mendapat cahaya (hidayat petunjuk) maka dia tidak akan beroleh
sebarang cahaya (yang akan memandunya ke jalan yang benar).
(Surah
Al-Nur 24: Ayat 40).
Cahaya
akal seseorang mukmin itu sentiasa bersinar, tidak dapat dipadamkan kecuali
oleh kerja-kerja maksiat yang berkekalan, dilakukan pula secara terang-terangan
dan tidak pula diikuti dengan taubat. Rasulullah s.a.w menjelaskan:
من قارف ذنبا فارقة عقل لا يعود إليه أبدا
“Sesiapa yang melakukan dosa maka bercerailah akalnya dari dirinya, ia
tidak akan kembali kepadanya buat selama-lamanya”.
Baginda
s.a.w juga bersabda:
لولا أن الشياطين يهمون على قلوب بني آدم لنظروا إلى
ملكوت السموات والأرض
“Kalaulah tidak kerana syaitan-syaitan itu mengelilingi hati anak-anak
Adam nescaya mereka dapat melihat (merenung) kerajaan Allah di langit dan di
bumi”.
Anas bin
Malik r.a menceritakan:
لما دخلت على عثمان رضى الله عنه وكنت قد لقيت إمرأة
في طريقي فنظرت إليها شزرا وتأملت محاسنها فقال عثمان لما دخلت: يدخل أحدكم وآثر
الزنا على عينيه أما علمت أن زنا العينين النظر؟ لتتوبن أو لأعزرنك؟ فقلت أوحى بعد
النبي؟ فقال: لا ولكن بصيرة وبرهان وفراسة صادقة
“Semasa
aku masuk menemui Othman bin Affan r.a aku bertemu seorang wanita dalam
perjalanan, lalu aku sempat mengerling memandangnya dan tertarik kepada
kecantikannya. Lalu semasa aku menemuinya Othman berkata kepadaku: “Seorang
dari kamu menemuiku sedangkan kesan zina kelihatan pada kedua matanya”. Adakah
engkau mengetahui bahawa zina mata itu ialah memandang? Hendaklah kamu
bertaubat atau aku akan mengenakan hukuman takzir. Lalu akupun bertanya? Adakah
lagi wahyu (kepadamu) selepas Nabi? Maka Othman menjawab: “Tidak, tetapi
(dengan pandangan) basirah hati burhan dan firasat yang benar”.
Tanda-tanda
Ketewasan Jiwa
Apabila
hati manusia telah mati atau menjadi keras, apabila hati manusia telah menjadi
padam dan tidak bersinar lagi atau apabila ia telah tumpas dalam pertarungannya
menghadapi syaitan maka terbukalah pintu-pintu masuk segala kejahatan terutama
ke dalam dirinya, kerana syaitan itu meresap ke dalam diri anak Adam
sebagaimana pengaliran di dalam tubuhnya.
Sebenarnya
apabila benteng pertahanan dan kekuatan manusia telah runtuh maka syaitan akan
kembali menjadi teman karibnya sebagaimana firman Allah:
اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمُ الشَّيْطَانُ فَأَنْسَاهُمْ
ذِكْرَ اللَّهِ
“Syaitan telah menguasai mereka lalu menjadikan mereka lupa kepada
Allah”.
(Surah
Al-Mujadalah 58: Ayat 19)
Inilah
kandungan maksud yang dibayangkan oleh Al-Quran Al-Karim yang menyatakan:
قَالَ فَبِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأَقْعُدَنَّ لَهُمْ
صِرَاطَكَ الْمُسْتَقِيمَ(16)ثُمَّ لَآتِيَنَّهُمْ مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ
خَلْفِهِمْ وَعَنْ أَيْمَانِهِمْ وَعَنْ شَمَائِلِهِمْ وَلَا تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ
شَاكِرِينَ
Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku
tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka
(dari menjalani) jalanMu yang lurus; 17- Kemudian aku datangi mereka, dari
hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari
kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.
(Surah
Al-A’raf 7: Ayat 16-17)
Sebenarnya
selain dari penyakit di atas terdapat satu penyakit lain yang paling berbahaya
iaitu penyakit was-was, syaitan menyebabkan mereka merasa was-was dalam setiap
urusan hidup mereka dengan tujuan memesongkan mereka dari jalan Allah. Dalam
hal ini Rasulullah bersabda:
إن الشيطان قعد لإبن آدم بطريق فقعد له بطريق الإسلام
فقال: أتسلم وتركت دينك ودين آبائك؟ فعصاه وأسلم ثم قعد له بطريق الهجرة فقال:
أتهاجر؟ أتدع أرضك وسماءك؟ فعصاه وهاجر ثم قعد له بطريق الجهاد فقال: أتجاهد وهو
تلف النفس والمال فتقاتل فتقتل فتنكح نساؤك
“Sesungguhnya syaitan itu menghasut anak Adam dengan berbagai cara. Lalu
(pertamanya) ia menghasut melalui jalan agama Islam itu sendiri dengan berkata:
Apakah kamu menganut Islam dan meninggalkan agamamu dan agama nenek-moyangmu?
Anak Adam enggan mengikutinya dan tetap berpegang dengan Islam. Kemudian dia
menghasut pula di jalan hijrah, lalu dia berkata: Adakah anda ingin berhijrah
meninggalkan tanah air dan kampung halaman? Lalu anak Adam mengingkarinya dan
tetap berhijrah. Kemudian syaitan menghasut pula di jalan jihad dengan berkata:
“Adakah engkau ingin sedangkan jihad itu membinasakan jiwa dan harta benda
engkau, kemudian engkau berperang lalu engkau dibunuh, kemudian isteri engkau
dikahwini orang dan harta kekayaan engkau dibahagi-bahagikan. Lalu anak Adam
tetap mengingkari syaitan dan terus berjihad. Kemudian Rasulullah s.a.w
bersabda: Maka sesiapa yang bersikap demikian kemudian ia mati maka adalah hak
Allah s.w.t memasukkannya ke dalam syurga”.
(Hadis
riwayat Al-Nasa’i)
Alangkah
baiknya jikalau anda dapat menatap kisah antara syaitan dan seorang Rahib Bani
Israil dalam tafsir ayat Surah Al-Hasyr 59: Ayat 16. Yang bermaksud:
كَمَثَلِ الشَّيْطَانِ إِذْ قَالَ لِلْإِنْسَانِ
اكْفُرْ فَلَمَّا كَفَرَ قَالَ إِنِّي بَرِيءٌ مِنْكَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ رَبَّ
الْعَالَمِينَ
“(Pujukan orang-orang munafik itu) samalah dengan (pujukan)
syaitan ketika dia berkata kepada manusia: Kufurlah kamu. Maka tatkala manusia
itu telah kafir dia berkata: “Sesungguhnya aku berlepas diri dari kamu kerana
sesungguhnya aku takut kepada Allah Tuhan semesta alam”.
Cara-cara
Menghalang Godaan Syaitan.
Bagi
membantu manusia bagi menghadapi hasutan syaitan dan serangan-serangan Iblis,
Islam telah menunjukkan kepada manusia berbagai perkara yang dapat membantunya
bertahan menghadapi pertarungan dengan syaitan seterusnya berjaya menewaskan
musuh ketatnya itu. Cara tersebut telah dirumuskan oleh seorang dari para
salihin dengan katanya:
“Saya
telah merenung dan memikirkan cara-cara dari pintu manakah syaitan masuk ke
dalam diri manusia, ternyata ia masuk ke dalam diri melalui sepuluh pintu:
Pertama:
Tamak dan
buruk sangka, maka aku menghadapinya dengan sifat menaruh kepercayaan dan
berpada dengan apa yang ada.
Kedua:
Cintakan
kehidupan dunia dan panjang angan-angan, lalu aku menghadapinya dengan perasaan
takut terhadap kedatangan maut yang boleh berlaku saban waktu.
Ketiga:
Cintakan
kerehatan dan kemewahan, lantas aku menghadapinya dengan keyakinan bahawa
kenikmatan itu akan hilang dan balasan buruk pasti menanti.
Keempat:
Kagum
terhadap diri sendiri (‘Ujub), lantas aku menghadapinya dengan rasa terhutang
budi kepada Allah swt dan kepada akibat yang buruk.
Kelima:
Memandang
rendah terhadap orang lain dan tidak menghormati mereka, lalu aku menghad
dengan mengenali hak-hak mereka serta menghormati mereka secara wajar.
Keenam:
Hasad
(dengki), lalu aku menghadapinya dengan sifat berpada (qana’ah) dan redha
terhadap kurniaan Allah swt kepada makhluknya.
Ketujuh:
Riak dan
sukakan pujian orang. Lalu aku menghadapinya dengan ikhlas.
Kelapan:
Bakhil
(kedekut), lalu aku menghadapinya dengan menyedari bahawa apa yang ada pada
makhluk akan binasa manakala yang kekal itu berada di sisi Allah swt.
Kesembilan:
Takbur
(membesarkan diri), lalu aku menghadapinya dengan rasa tawaduk.
Kesepuluh:
Tamak
haloba, lalu aku menghadapinya dengan mempercayai ganjaran yang disediakan di
sisi Allah swt dan tidak tamak terhadap apa yang ada di sisi manusia.
Di antara
arahan-arahan yang di anjurkan oleh Islam sebagai jalan untuk mengelak serangan
dan tipu daya syaitan ialah agar sentiasa seseorang itu mengingati Allah swt
apabila memulakan setiap pekerjaan. Satu riwayat daripada Abu Hurairah
berhubung dengan hal ini menyebutkan: “Syaitan bagi orang-orang mukmin telah
bertemu syaitan bagi orang-orang kafir, lalu di dapati syaitan bagi orang-orang
kafir dalam keadaan gemuk-montel sedangkan syaitan bagi orang-orang mukmin
dalam keadaan kurus kering bertelanjang dan kusut masai. Lalu syaitan bagi
orang-orang kafir itu bertanya kepada syaitan bagi orang-orang mukmin: Kenapa
kamu kurus kering? Lalu ia menjawab: “Aku bersama seorang lelaki yang apabila
ia makan ia menyebut nama Allah, lalu aku terus kelaparan, apabila ia minum ia
menyebut nama Allah, lalu aku terus dalam keadaan dahaga, apabila ia memakai
pakaian ia menyebut nama Allah menyebabkan aku terus bertelanjang. Apabila ia
memakai minyak rambut juga ia menyebut nama Allah menyebabkan aku terus kusut
masai”. Kemudian syaitan bagi orang-orang kafir itu berkata: “Tetapi aku
bersama lelaki yang tidak berbuat demikian sedikitpun, maka bolehlah aku
berkongsi makan, minum dan pakai dengannya”.
Di antara
cara-cara untuk dijadikan kubu pertahanan menghadapi tipu daya dan godaan
syaitan ialah dengan cara:
1.
Janganlah terlalu kenyang apabila makan meskipun menghadapi makanan yang baik
dan halal kerana Allah swt berfirman:
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا
“Makanlah dan minumlah, tetapi jangan kamu berlebihan”.
(Surah
Al-A’raf 7: Ayat 31)
Rasulullah
s.a.w juga bersabda mengingatkan, maksudnya:
“Sesungguhnya syaitan itu berjalan dalam tubuh anak Adam mengikut
perjalanan darah. Oleh itu sempitkanlah pintu masuknya dengan kelaparan”.
(Hadis
riwayat Ahmad)
2.
Membaca Al-Quran, berzikir mengingati Allah swt dan memohon keampunan
sebagaimana yang disuruh oleh Rasulullah s.a.w:
“Sesungguhnya syaitan itu meletakkan belalainya ke atas hati anak Adam,
maka jika ia mengingati Allah iapun lari daripadanya, jika sekiranya ia lupakan
Allah syaitan akan mengunyah hatinya”.
(Hadis
riwayat Ibnu Abi Dunya)
3.Tidak
tergopoh gapah dalam sebarang pekerjaan kerana mengingati pesanan Rasulullah
s.a.w:
“Bergopoh-gapah (terburu-buru) itu adalah dari syaitan dan berhati-hati
itu dari Allah”.
Sebenarnya
ruang ini adalah terbatas untuk menyebut semua sebab, amal-amal dan
pesanan-pesanan yang dianjurkan oleh Islam untuk menjaga diri dari serangan dan
godaan syaitan. Memadailah di sini kita melihat firman Allah swt:
إِنَّ الَّذِينَ اتَّقَوْا إِذَا مَسَّهُمْ طَائِفٌ
مِنَ الشَّيْطَانِ تَذَكَّرُوا فَإِذَا هُمْ مُبْصِرُونَ
Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh
sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka
dengan itu mereka nampak (jalan yang benar).
(Surah
Al-A’raf 7: Ayat 201).
Binalah
Peribadi Rasulullah dalam jiwa kita…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan