Penggabungan
saya dalam gerakan Islam mewajibkan saya mengetahui mengapakah saya berada di
dalam Harakah Islamiah (gerakan Islam) dan tidak bersama organisasi lain?
Apakah sebab-sebab yang menjadikan saya berada di dalamnya? Mengapa saya tidak
berada di dalam organisasi lain? Apakah sebab-sebab yang menjadikan saya berada
di dalamnya? Mengapa saya tidak berada di dalam organisasi lain? Apakah ini
satu kebetulan (sedangkan kebetulan adalah tertolak oleh logik Syariat Islam)
atau ia adalah hasil dari penelitian dan pilihan saya sendiri?
Saya
mesti memahami cara-cara atau jalan pergerakan dalam Harakah Islamiah supaya
penggabungan saya dengan Harakah Islamiah adalah penyertaan yang dibuat atas
dasar kesedaran dan pemikiran yang sihat, bukan penyertaan secara membuta-tuli
atau kerana sesuatu keinginan.
Apabila
saya menggabungkan diri dengan Harakah Islamiah saya mestilah mengetahui bahawa
cara bergerak dalam gerakan-gerakan lain dan organisasi yang berbagai bentuk
tidaklah mencerminkan garis dasar Islam sebenarnya. Tidak ada satupun dari organisasi-organisasi
itu sendiri terdapat perbezaan yang besar dari sudut iltizam sama ada dalam
soal prinsip mahupun soal cabang.
Pada
hakikatnya orang yang memerhatikan seluruh alam Islami akan melihat wujudnya
pertubuhan Islam berbagai bentuk dan aliran.
1.
Kelompok Yang Menjurus Kepada Kerohanian.
Kita
dapati wujud badan-badan yang kegiatan-kegiatannya menjuruskan kepada soal-soal
kerohanian semata-mata di mana mereka menitikberatkan pendidikan kerohanian
sahaja. Manakala bidang-bidang yang lain tidak langsung mendapat perhatian
sedangkan bidang-bidang itu dipandang penting oleh Islam seperti bidang
pemikiran, siasah (politik), jihad, organisasi, perencanaan, perancangan dan
seumpamanya. Pendekatan dan fahaman demikian menyebabkan mereka terpisah jauh
dari realiti kehidupan, tidak memahami keadaan persekitaran tempat mereka hidup
dan tidak mungkin (diadakan sesuatu usaha) yang memberikan kesan dan mengubah
suasana tersebut.
2.
Kelompok Yang Menjurus Kepada Kebudayaan dan Ilmu.
Kita juga
dapat wujudnya badan-badan yang kegiatannya menjuruskan kepada kebudayaan dan
ilmu pengetahuan semata-mata, yang pada asalnya muncul dari sikap ingin
bertindak-balas atau keinginan berlumba-lumba dengan pertubuhan-pertubuhan lain
(seperti pertubuhan Kristian dan Yahudi). Antara lain pertubuhan yang mengikut
aliran-aliran ini ialah Syubbanul Muslimin. Kemunculan cara ini menyebabkan
mereka turut bertitik-tolak di atas pertubuhan-pertubuhan tersebut kerana
tekanan dan terpengaruh dengan tradisi pertubuhan-pertubuhan berkenaan. Bahkan
terdapat kelompok-kelompok Islam di dalam aliran ini dalam banyak keadaan
memberikan kerugian kepada Islam kerana gerak-kerjanya adalah selari dengan
pertubuhan-pertubuhan yang terang-terang menentang Islam dan penganutnya.
Pertubuhan-pertubuhan seperti ini sudah tentu tidak diterima oleh Syariat Islam
yang bersifat tersendiri dan berbeza dengan pertubuhan-pertubuhan yang lain.
3.
Kelompok Yang Menjuruskan Kepada Kebajikan Semata-mata.
Kita juga
dapat wujud kelompok yang bergiat dalam bidang kebajikan kerana terasa tekanan
perlunya memberi bantuan kepada golongan yang menderita dan memberi bantuan
perubatan kepada para pesakit dan golongan yang melarat sebagaimana yang
dilakukan oleh “Jamaah Makarimul Akhlak” yang bergiat
memperbaiki akhlak, persatuan pertolongan cemas, mendirikan rumah anak-anak
yatim dan seumpamanya. Jamaah-jamaah ini sekalipun telah melakukan kerja-kerja
yang dituntut oleh Islam dan patut disanjung namun jamaah ini terus kekal dalam
lengkungan kerja-kerja asal penubuhannya sahaja, tidak lebih dari itu. Oleh itu
ia tidak mungkin dianggap sebagai sebuah harakah yang berusaha membawa
perubahan yang bermatlamatkan menegakkan masyarakat Islam dalam mengembalikan
cara hidup Islam.
4.
Parti-parti Yang Menumpukan Kepada Kegiatan Politik Semata-mata.
Terdapat
juga juga parti-parti politik Islam yang menjuruskan kegiatan-kegiatan mereka
kepada politik semata-mata. Pertubuhan-pertubuhan ini bergiat dengan
kegiatan-kegiatan tertentu sahaja, tidak mempelbagaikannya atau melewatinya.
Mereka bergerak atas nama Islam tetapi tidak menjadikan ciri-ciri akidah
sebagai asas jamaah (organisasi) mahupun sebagai pegangan individu anggotanya.
Pertubuhan-pertubuhan ini ada kalanya tidak segan silu melanggar
prinsip-prinsip Islam atau keluar dari perkara-perkara pokok dengan alasan
mengambil jalah rukhsah (felxibility) atau keanjalan dan keterbukaan ajaran
Islam atau dengan memberi alasan langkah demikian adalah untuk maslahah atau
untuk kepentingan umat Islam. Di antara contoh amalan-amalan di atas ialah
turut serta di dalam gerak kerja kerajaan yang mengamalkan sistem ciptaan
manusia yang kafir atau mengutamakan masalah-masalah cabang dan ranting dengan
amal kerja secara habis-habisan manakala tuntutan-tuntutan asasi yang menjadi
suruhan Islam diabaikan.
Sesungguhnya
badan-badan, pertubuhan-pertubuhan dan parti-parti politik Islam yang disebut
di atas, semuanya tidak mengamalkan amal Islami yang tulin, sempurna lagi
menyempurnakan, iaitu amal-amal yang mampu membawa perubahan dari alam jahiliah
kepada alam Islam, amal yang dapat menyelamatkan dunia Islam dari cengkaman dan
belenggu peradaban barat yang zalim dan pemerintahan barat yang melampau,
amal-amal yang mampu membentuk peribadi-peribadi muslim, keluarga muslim,
masyarakat muslim dan akhirnya menegakkan sebuah negara yang memerintahkan
dengan hukum-hukum yang diturunkan oleh Allah s.w.t.
Oleh yang
demikian segala kerja-kerja yang dijalankan oleh pertubuhan-pertubuhan tersebut
tetap berada di dalam keadaan yang cacat dan tempang. Malah lebih dari itu
sebahagian kerja-kerja mereka di atas nama Islam itu merosakkan Islam. Kegiatan
dan kerja-kerja yang bersifat juz’ie, sempit dan tidak syumul yang dijalankan
oleh pertubuhan-pertubuhan seperti pertubuhan-pertubuhan tersebut memberikan
gambaran bahawa Islam itu bersifat juz’ie, sempit dan tidak syumul sedangkan
ajaran Islam tidaklah bersifat sedemikian. Amalan secara sedemikian juga boleh
memberikan gambaran yang undang-undang ciptaan manusia itu tidak berbahaya
sehingga dengan demikian padamlah rasa marah yang meluap-luap umat Islam
terhadap sistem dan undang-undang tersebut. Sikap sedemikian membantu sistem
tersebut untuk terus berjalan dan tetap kekal (mencengkam masyarakat umat
Islam).
Sebenarnya
amal Islam yang ditegakkan di atas dasar untuk membawa perubahan yang
menyeluruh, yang membuat persediaan-persediaan untuk melakukan perubahan yang
menyeluruh, yang membawa keseluruhan ajaran Islam dan berusaha menegakkan Islam
secara keseluruhan pula meskipun ianya tidak berjaya sepenuhnya pada suatu
peringkat dan mengalami kesulitan pada suatu peringkat yang lain, ia tetap
merupakan amal yang betul dan selaras dengan garis-garis asal ajaran Islam,
walau apapun nama yang diberikan kepada pertubuhan-pertubuhan tersebut kerana
seluruh amal-amal tersebut bertemu kerana suatu fahaman, satu uslub (cara),
satu jalan, satu matlamat sekalipun pertubuhan-pertubuhan tersebut berada dalam
wilayah yang berlainan dan berjauhan.
Imam
Hassan Al-Banna telah menerangkan secara jelas ciri-ciri golongan tersebut.
“Saudara-saudara sekelian! Kamu bukanlah sebuah pertubuhan kebajikan, bukanlah
sebuah pertubuhan politik, bukanlah satu pertubuhan yang diasaskan dengan
tujuan yang terbatas, tetapi kamu adalah satu roh baru yang mengalir di dalam
urat nadi umat ini, lalu kamu menghidupkan mereka dengan Al-Quran. Kamu adalah
satu cahaya baru yang memancar, yang dapat menghilangkan kegelapan fahaman
kebendaan dengan makrifat kepada Allah swt dan kamu adalah suara-suara lantang
yang akan menghidupkan kembali dakwah Rasulullah saw”.
Nota:
Carilah
jemaah yang tidak agresif kepada memusnahkan dunia tetapi carilah jemaah yang
mementingkan ilmu dan kerohanian yang dapat mencuci kerohanian kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan