Di sana
terdapat tiga perkara penting yang mesti difahami oleh para petugas amal Islam
bagi memastikan kejayaan gerak kerja mereka:
1.
Matlamat perjuangan yang jelas.
2. Jalan
menuju matlamat yang jelas.
3.
Berpegang teguh (Iltizam) dengan matlamat dan jalan yang jelas.
1. Matlamat
perjuangan yang jelas.
Sebenarnya
matlamat perjuangan merupakan daya tenaga yang sangat besar bagi para petugas
yang bekerja untuk Islam. Seterusnya dengan kefahaman ini ia dapat memelihara
tenaga-tenaga ini dari dicurahkan dan disia-siakan kepada perkara sampingan dan
pertarungan yang langsung tidak mempunyai hubungan dengan matlamat asasi yang
diperjuangkan sama ada dekat mahupun jauh. Sedangkan amal Islami ini memerlukan
kepada seluruh kekuatan tenaga kemampuan dipusatkan untuk matlamat yang dituju.
Dari
pengkajian kami (pengarang) terhadap manhaj Islam dan dari pengamatan dan
renungan kami terhadap kitab Allah swt dan dari pengalaman-pengalaman
yang dilalui secara praktikal di dalam berbagai marhalah atau peringkat sejarah
Islam jelaslah kepada kita bahawa matlamat asal bagi agama (Islam) ini ialah
supaya manusia mengabdikan diri kepada Tuhanya sama ada dalam kehidupan
peribadi mahupun dalam masyarakat. Mereka mengabdikan diri kepada Allah swt di
dalam masjid semasa mendirikan solat dan mereka juga mengabdikan diri kepada
Allah swt di dalam kedai semasa berjual-beli, menjadikan mereka abdi
kepada-Nya dalam melaksanakan pemerintahan, menjadikan mereka abdi kepada
Tuhannya dalam masa memohon dia juga menjadikan sebagai abdinya semasa
menjalankan hukuman dan keadilan.
Allah
s.w.t berfirman:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا
لِيَعْبُدُونِ
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk
mereka menyembah dan beribadat kepadaKu”.
(Surah
Az-Zariyaat, Ayat: 56).
Dengan
lebih tegas lagi (tujuan asasi itu) ialah untuk menjadikan manusia mengabdikan
diri semata-mata kepada Allah swt, iaitu wala’ mereka dan seluruh urusan
hidup mereka tunduk dalam pengabdian kepada Allah swt. Bukanlah
mengabdikan diri kepada Allah swt itu hanya cukup dengan
urusan-urusan agama (yang khusus) sahaja tetapi merangkumi kedua-duanya,
urusan-urusan agama dan urusan dunia. Yang demikian adalah kerana menurut
kefahaman (ajaran) Islam yang sebenarnya tidak ada pemisahan dan pengasingan di
antara urusan-urusan agama dengan urusan-urusan keduniaan. Berdasarkan
fahaman inilah Islam menolak fahaman sekular atau Ilmaniah yang asasnya adalah
memisahkah agama dari urusan pemerintahan dengan slogan “Hak Kaisar adalah
untuk Kaisar dan hak Allah adalah untuk Allah, agama itu untuk Allah dan negara
itu adalah untuk masyarakat”.
Menurut
ajaran Islam yang sebenarnya pengabdian diri manusia kepada Allah swt bermakna
menolak seluruh sistem ciptaan manusia yang membawa manusia mengabdikan diri
kepada Taghut. Islam menolak sistem-sistem tersebut kerana:
Pertama:
Sistem-sistem ini secara jelas mencabulkan hak Allah s.w.t ke atas manusia di
dalam hal Ubudiah dan Hakimiah Allah s.w.t.
Allah
s.w.t berfirman:
إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ
“Hanya Allah jualah yang menetapkan hokum”.
(Surah
Al-An’aam, Ayat: 57).
Kedua:
Sistem-sistem tersebut gagal dan lemah, tidak mampu menegakkan sifat-sifat
keinsafan manusia dalam menghadapi pertarungan merealisasikan nilai-nilai dirinya.
Firman
Allah s.w.t:
أَفَمَنْ يَخْلُقُ كَمَنْ لَا يَخْلُقُ أَفَلَا
تَذَكَّرُونَ
“Kalau sudah demikian, adakah Allah yang menciptakan semuanya itu sama
seperti makhluk-makhluk yang tidak menciptakan sesuatu? Maka patutkah kamu
lalai sehingga kamu tidak mahu beringat serta memikirkannya?
(Surah
An-Nahl, Ayat: 17).
2. Jalan
Menuju Matlamat Yang Jelas.
Sebagaimana
pentingnya memahami matlamat yang jelas, kita juga mestilah memahami bahawa
beramal untuk Islam bererti beramal atau bekerja untuk melaksanakan Syariat
Allah swt di atas muka bumi ini dengan menggantikan tempat
undang-undang hawa nafsu dan Taghut sekarang ini dengan Syariat Allah swt kerana
manhaj dan Syariat Allah swt itu telah sempurna, tidak memerlukan
tokok-tambah lagi. Di dalamnya terdapat akidah yang agung, akhlak yang mulia,
sistem perundangan yang luas, mendalam serta mempunyai sifat keanjalan (yang
sesuai untuk semua masa dan tempat).
Berdasarkan
kefahaman ini maka jangka masa dan sejauh mana kita boleh hidup bersama dengan
sistem jahiliah itu perlu ditentukan berdasarkan kekuatan dan kemampuan sebagai
satu proses pemberontakan terhadapnya kerana yang menjadi matlamat penentangan
ini ialah untuk menggantikan jahiliah itu dengan Islam. Oleh yang demikian
setiap amal atau kerja yang tidak dapat menolong tercapainya matlamat ini atau
tidak memberi apa-apa saham ke arah tercapainya cita-cita tersebut adalah
dianggap sebagai kerja yang lebih banyak mendatangkan kelalaian dari kebaikan.
Allah swt berfirman:
فَلِذَلِكَ فَادْعُ وَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَلَا
تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ
“Oleh kerana yang demikian itu, maka serulah (mereka wahai Muhammad
kepada beragama dengan betul), serta tetap teguhlah engkau menjalankannya
sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan janganlah engkau menurut kehendak
hawa nafsu mereka”.
(Surah
Asy-Syura, Ayat: 15).
Berhubung
dengan cara bekerja atau jalan mencapai matlamat yang menjadi perselisihan di
kalangan para petugas (di medan ini) maka ia dapat ditentukan oleh matlamat
kedatangan Islam itu sendiri dan dapat disandarkan juga kepada jalan yang ditempuh
oleh Nabi s.a.w dalam mencapai matlamat ini.
Oleh yang
demikian matlamat manhaj Islami (sistem hidup Islam) dapat menentukan tabiat
cara bekerja dan bentuknya dan panduan asasi untuk (merangka) strategi ini,
mestilah menjadi pegangan kepada Harakah Islamiah di setiap masa dan tempat.
Ini bermakna cara dan jalan untuk matlamat Islam mestilah mengikut
kaedah-kaedah dan prinsip-prinsip yang menepati matlamat asasi amal Islami.
Amalan ini dipertegaskan perlaksanaannya oleh Rasulullah s.a.w yang mulia.
Apa yang
diperkatakan di atas adalah berdasarkan matlamat bagi sesuatu sistem atau
manhaj itu adalah ditentukan oleh ilmu pengetahuan (ilmiah). Oleh yang demikian
tabiat jalan atau cara yang hendak diikuti juga mestilah bersifat ilmiah sesuai
dengan matlamat itu sendiri. Demikian juga halnya dengan suatu manhaj yang
bersifat pendidikan ketenteraan, kesukanan atau kebajikan maka cara kerjanya
perlulah serasi dengan matlamat-matlamat tersebut.
Sebagaimana
yang telah sedia diketahui bahawa matlamat manhaj Islam (sistem hidup Islam)
ialah supaya manusia mengabdikan diri semata-mata kerana Allah swt di
dalam akhlak mereka, muamalat mereka, seluruh sistem hidup mereka, sistem
perundangan mereka bahkan dalam seluruh kehidupan mereka. Ini bermakna
menggantikan sistem-sistem ciptaan manusia dengan meletakkan manhaj atau sistem
Islam, merubah satu keadaan kepada keadaan yang lain, membatalkan segala
asas-asas dan nilai yang menjadi asas berdirinya masyarakat berkenaan, menolak
kemajuan kebendaan yang bertentangan dengan Islam yang didukung dan menjadi
pegangan masyarakat berkenaan. Dengan cara ini sempurnalah proses pembinaan
masyarakat Islam yang didasarkan atas kaedah-kaedah Islam serta selaras dengan
asas-asas dan nilai-nilainya.
Gerakan
Yang Bersifat Merombak dan Merubah (Taghyir).
Berdasarkan
kenyataan di atas maka pemusatan amal Islami yang dimaksudkan mestilah bersifat
merubah dan merombak (sehingga ke akar umbinya) bukan sekadar memperbaiki dan
menampung. Sifat merubah dan merombak yang dimaksudkan ialah menolak dasar
menempel dan menampung bahagian-bahagian yang rosak dalam masyarakat. Gerakan
Islam mestilah menerima penyelesaian secara insaf, menolak percampuran dengan
sistem jahiliah, malah menolak untuk hidup bersama aliran-aliran ciptaan
manusia, iaitu menolak untuk hidup bersama aliran-aliran (ciptaan) manusia.
Gerakan
Yang Bersifat Menyeluruh atau Kulli.
Seterusnya
pemusatan yang dilakukan oleh Harakah Islamiah mestilah bersifat kulli atau
menyeluruh dengan seluruh pengertian dan tuntutan yang terkandung di dalam
kalimat kulli (menyeluruh) itu. Ini bermakna ruang-lingkup amal Islami mestilah
mencakupi seluruh aspek kekuatan dan wasilah yang dapat menghadapi
cabaran-cababagi mencapai matlamat yang besar ini.
Kesedaran
dari sudut pemikiran politik dan gerakan pendidikan kejiwaan dan harakah,
tanzim, penyusunan, persediaan dari sudut kemanusiaan dan kebendaan dalam
setiap segi dan lapangan merupakan anasir yang semestinya diwujudkan secara
terkumpul. Anasir-anasir ini tidak boleh dipisahkan kerana ia saling lengkap
melengkapi di antara satu sama lain dalam usaha mengujudkan amal Islami yang
menyeluruh dan mencapai matlamat yang telah ditentukan.
Allah
s.w.t berfirman:
حَتَّى لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ
كُلُّهُ لِلَّهِ
“Sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) menjadilah agama itu
seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata”.
(Surah
Al-Anfaal, Ayat: 39).
Gerakan
Yang Bersifat Sejagat (Alamiah).
Satu lagi
persoalan yang mesti jelas kepada para petugas amal Islami ialah gerak kerja
untuk menegakkan Islam mestilah sampai ke peringkat alamiah atau sejagat sama
ada dari sudut kesedaran, penyusunan strategi mahupun organisasi. Tidak
seharusnya berlaku kerja-kerja untuk Islam itu hanya lantang dan aktif di suatu
tempat tetapi senyap tidak kedengaran di tempat yang lain.
Sebenarnya
ajaran Islam dilihat dari sudut pemikiran mahupun akidah merupakan ajaran yang
bersifat alamiah atau sejagat. Ia adalah sistem yang menyeluruh, melampaui
batas sempadan negeri, perkauman, keturunan mahupun bahasa. Islam adalah satu sistem
yang memiliki prinsip-prinsip Syariat yang luas serta memiliki sifat keanjalan
(fleksibel) sehingga ia mampu menjadi satu-satunya sistem yang ampuh menangani
setiap masalah kehidupan dalam semua lapangan.
Sifat
kesejagatan dakwah Islamiah ini dapat dilihat dari perkembangan masyarakat
Islam itu sendiri yang pesat dan meluas sehingga mencakupi melebihi separuh
dari dunia ini. Dalam masa yang lain dakwah ini masih tetap berada di bawah
kesatuan akidah di semua negara.
Sifat-sifat
kesejagatan Amal Islami merupakan satu tuntutan yang pasti, malah ia merupakan
sesuatu yang wajib berdasarkan prinsipnya sendiri. Oleh kerana kita sendiri
hidup dalam permasalahan yang bersifat sejagat, dari sudut kekuatan, haluan
pemerintahan, dari sudut pemikiran dan ideologi, masalah-masalah manusia malah
tuntutan keperluan dan politik mereka semuanya saling berkaitan dengan dunia
luar. Begitu juga kedudukan wilayah dan negara mereka yang ada kaitan dengan
dunia luar. Dengan keadaan seperti ini adalah sukar bagi umat Islam untuk
beramal dan bergerak tanpa mengambil kira setiap sudut seperti suasana
persekitaran, kekuatan yang mengelilingi mereka, hal-hal yang zahir mahupun
yang tersembunyi, masa depannya mahupun sejarah silamnya, malah pergolakan
dalamannya dan pergolakan antarabangsa.
Dengan
cara memerhatikan persoalan yang paling kecil sekalipun atau masalah tempatan,
kita akan sampai kepada kesimpulan bahawa adanya sebab-sebab atau sesuatu
perkara di belakangnya yang berpunca dari luar. Ini juga membuktikan perlunya
tindak-balas atau perlaksanaan yang bersifat alamiah untuk menyelesaikan
masalah-masalah tersebut.
Bertitik-tolak
dari keadaan inilah maka para petugas amal Islami yang menjadi perintis Harakah
Islamiah yang bersifat Alamiah mestilah keluar dari daerah pemikiran perencanaan
dan tanzim yang bersifat tempatan supaya dengan cara ini kita dapat mengelakkan
dari mencurahkan kemampuan dan kekuatan kepada kerja-kerja yang bersifat
kedaerahan dan kepentingan setempat sahaja. Dengan cara ini juga kerja-kerja
dapat ditumpukan demi memenuhi tuntutan-tuntutan atau persoalan-persoalan asasi
yang lebih besar. Dengan cara ini juga mereka akan mencapai matlamat kewujudan
mereka sendiri iaitu untuk menjadikan kalimah Allah swt itulah yang
tinggi dan kalimah orang-orang kafir itu rendah.
Peranan
Harakah Islamiah:
Tanggungjawab
Harakah Islamiah ialah menyediakan segala bentuk tenaga dan kemampuan yang
diperlukan untuk menghancurkan kerajaan Taghut, bukan tanggungjawab mencari
penyelesaian kepada masalah-masalah masyarakat jahiliah dengan cara-cara dan
hukuk-hakam yang lain dari hukum Allah swt.
Peranan
Amal Islami juga bukanlah sekadar mencari penyelesaian terhadap masalah-masalah
pelajaran, mas media, makanan, pakaian, politik, ekonomi atau masalah-masalah
lain yang ditinggalkan oleh sistem ciptaan manusia yang memusnahkan itu.
Apabila Harakah Islamiah terpaksa juga memperkatakan masalah-masalah tersebut
sama ada dari jauh atau dekat, maka pembicaraan tersebut mestilah sekadar
mendedahkan kelemahan-kelemahan sistem tersebut yang menjadi punca timbulnya
masalah tadi dalam masyarakat. Pembicaraan tersebut tidak sekali-kali dengan
tujuan membantu sistem tersebut untuk berkuasa, terus kekal atau meningkatkan
perkembangannya.
Sebagai
contoh, apabila dikemukakan masalah inflasi maka Harakah Islamiah mestilah
menjelaskan bahawa inflasi ini adalah hasil dari perlaksanaan sistem Kapitalis,
di mana ciri atau tabiat sistem ini sendiri memberi ruang untuk munculnya
perbuatan monopoli dalam ekonomi perniagaan dan melahirkan perbuatan segolongan
manusia yang berkuasa mengeksploitasi harta kekayaan negara sekehendak hati
demi kepentingan dan maslahat peribadi.
Harakah
Islamiah mestilah mengambil peranan menjelaskan bahawa Islam adalah
satu-satunya manhaj (sistem) yang tunggal dan unik. Ia dapat mewujudkan sebuah
masyarakat manusia yang bersih, yang di dalamnya terlaksana keadilan, terjamin
hak-hak kemanusiaan dan kehormatan mereka dan denda hukuman akan menanti mereka
yang melanggar hak-hak dan kehormatan manusia. Oleh itu Harakah Islamiah tidak
seharusnya bekerjasama dan membantu menyelesaikan masalah-masalah yang
ditimbulkan oleh sistem jahiliah kerana dengan sikap demikian bererti anda
memberi satu pengakuan yang membolehkan ia kekal lebih lama.
Apabila
mengemukakan masalah Palestine sebagai contoh, Harakah Islaamiah mestilah
menekankan secara bersungguh-sungguh tentang kegagalan sistem-sistem
pemerintahan yang sedia ada. Sistem tersebut telah gagal menyediakan umat Islam
dari sudut jiwa dan perasaan untuk sedia berjihad pada jalan Allah swt dalam
usaha mengembalikan bumi Islam yang telah dirampas.
Harakah
Islamiah juga mestilah menegaskan bahawa sistem-sistem itu sebenarnya berjalan
secara bergilir-gilir dalam kekuasaan beberapa boneka penjajahan blok timur
mahupun barat.
Harakah
Islamiah juga berkewajipan menegaskan dengan rasa yakin dan penuh berbangga
bahawa Islamlah satu-satunya sistem (manhaj) yang mampu menyediakan kepada umat
ini kesanggupan untuk menghadapi segala cabaran dan merupakan manhaj yang mampu
menghasilkan kejayaan di mana-mana medan sekalipun.
Sesungguhnya
kekuatan Harakah Islamiah mestilah ditumpukan untuk memukul sistem ciptaan
manusia secara berterusan, memerangi strateginya, kaedah-kaedahnya dan
titik-tolaknya.
Harakah
Islamiah mestilah berhati-hati mengawasi langkah-langkah yang menyebabkan
sistem berkenaan boleh hidup lebih lama dan supaya langkah-langkah itu tidak
menjadi pukulan maut kepada Harakah Islamiah.
Harakah
Islamiah mestilah berhati-hati mengawasi setiap langkah yang membolehkan sistem
tersebut terus kekal dan mengawasi langkah-langkah yang tidak menyebabkan ia
tumpas atau hancur.
Jalan
Yang Ditempuh Oleh Rasulullah s.a.w.
Kemudian
marilah kita berhenti sejenak memerhati dan meneliti jalan atau cara-cara yang
telah ditempuhi oleh Rasulullah s.a.w supaya dengan langkah mengamati perkara
ini, kita dapat mengetahui dengan jelas sejauh manakah keselarasan jalan
Rasulullah saw dengan matlamat dan tabiat manhaj Islami.
Pada
hakikatnya perjalanan hidup Rasulullah s.a.w dengan segala ciri pemerinciannya
merupakan asas dan dasar yang mesti dicontohi oleh setiap petugas amal Islami
di setiap masa dan tempat. Ini adalah kerana sejauh mana perjalanan hidup
Rasulullah s.a.w itu memaparkan uslub atau cara-cara dakwah yang selamat di
samping ia juga memaparkan kesenian atau teknik-teknik dakwah dan perhubungan
dengan orang lain. Seterusnya cara Rasulullah s.a.w juga mendedahkan cara bagaimana
menghadapi masyarakat jahiliah dan cara meruntuhkannya.
Di sini
diperturunkan beberapa garis panduan daripada Nabi s.a.w berdasarkan asas-asas
berikut:
Pertama:
Mengisytiharkan bahawa Ubudiah hanya kepada Allah swt sejak awal-awal dakwah
lagi, pengisytiharan yang dibuat bukan secara olok-olok atau pura-pura, supaya
matlamat dakwah itu jelas para pendakwah dan orang yang didakwahkan.
Allah
s.w.t berfirman:
لِيَمِيزَ اللَّهُ الْخَبِيثَ مِنَ الطَّيِّبِ
“Kerana Allah hendak membezakan yang jahat (golongan yang ingkar) dari
yang baik (golongan yang beriman)”.
(Surah
Al-Anfaal, Ayat: 37).
Pengisytiharan
Ubudiah ini adalah dalam berbagai bentuk namun wahyu yang diturunkan di dalam
hati Rasulullah s.a.w berpusat kepada satu pengertian sahaja iaitu pengabdian
manusia hanya kepada Allah swt dalam setiap urusan hidup mereka sama
ada dalam Ubudiah mahupun Rububuyyah.
Sesungguhnya
Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda telah menempuh berbagai bentuk ujian
penderitaan, penyeksaan dan tekanan namun mereka tidak pernah berganjak
sedikitpun dari jalan ini atau memilih jalan yang mudah dalam perjuangan
mendukung akidah dan mengajak manusia kepada akidah itu.
Allah
s.w.t berfirman:
قُلْ يَاأَيُّهَا الْكَافِرُونَ. لَا أَعْبُدُ مَا
تَعْبُدُونَ.
وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ. وَلَا أَنَا
عَابِدٌ مَا عَبَدْتُمْ.
وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ. لَكُمْ
دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ.
“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir! Aku tidak akan
menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku
sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak
mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.
(Surah
Al-Kaafiruun, Ayat: 1 – 6).
Kebenaran
inilah yang paling berhak untuk diikuti oleh orang-orang mukmin sekalipun harga
dan pengorbanan untuk mengikutinya terlalu mahal.
Allah
s.w.t berfirman:
وَقُلِ الْحَقُّ مِنْ رَبِّكُمْ فَمَنْ شَاءَ
فَلْيُؤْمِنْ وَمَنْ شَاءَ فَلْيَكْفُرْ
“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Kebenaran itu ialah yang datang dari
Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman dan sesiapa
yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya”.
(Surah
Al-Kahfi, Ayat: 29).
Kedua:
Mewujudkan satu kelompok yang bergerak.
Mewujudkan
satu kelompok bergerak yang diikat dengan ikatan akidah dan keimanan yang
tunduk serta patuh dalam corak berorganisasi mahupun gerakan di bawah seorang
pemimpin yang berwibawa serta berjalan berpandukan petunjuk dan cahaya daripada
Allah s.w.t.
Kelompok
yang bergerak ini juga mestilah tidak meraba-raba mencari jalan, tidak diganggu
oleh perkara-perkara sampingan dan masalah-masalah remeh-temeh, sehingga
menggendalakan kerja dan persiapan untuk mencapai cita-cita Islam yang lebih
besar.
Kelompok
ini juga mestilah mempunyai ikatan dengan Islam dan masa depan Islam itu
sendiri, mengatasi kepentingan yang berkaitan dengan peribadi, kebendaan
mahupun zaman.
Kelompok
yang kelahirannya disaksikan oleh rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam ketika cahaya
iman memasuki lubuk hati para sahabat baginda dan pengorbanan mereka disaksikan
oleh medan-medan peperangan seperti medan Badar, Qadisiah dan Yarmuk. Kisah
kepahlawanan generasi ini telah memenuhi kitab-kitab sejarah. Kisah generasi yang
dididik oleh Rasulullah s.a.w. Melalui daya usaha merekalah Allah s.w.t membuka
persada dunia ini kepada dakwah Islam. Mereka inilah datuk-nenekku oleh itu
jadikanlah diriku ini seperti mereka.
Ketiga:
Menentang Jahiliah.
Penentangan
terhadap Jahiliah merupakan penentangan habis-habisan tetapi dilakukan dengan
penuh kesedaran dan waspada kerana Rasulullah s.a.w sendiri telah memahami
bahawa matlamat ajaran-ajaran Islam itu memerlukan perubahan yang menyeluruh
bagi semua bidang hidup manusia, perubahan-perubahan yang merangkumi pemikiran,
kepercayaan dan akidah, akhlak, adat istiadat, sistem-sistem mahupun
undang-undang. Pertentangan seperti ini memerlukan barisan hadapan yang
benar-benar beriman, sesuai dengan beban amanah yang berat, tuntutan-tuntutan
yang hebat dan matlamat-matlamat yang tinggi lagi mulia.
Untuk
semua itu diperlukan persiapan yang menyeluruh mencakupi ibadah, tarbiah,
pemikiran, pengetahuan, organisasi, perencanaan, latihan dan persediaan jihad,
jihad nafsu dan jiwa raga. Kesemua persediaan ini dilakukan sesuai mengikut
kepentingan masing-masing dan sejauh mana persediaan ini diperlukan adalah
sejajar dengan peringkat-peringkat amal sama ada dari sudut kualiti yang
diperlukan mahupun waktu cabaran-cabaran tersebut dihadapi.
Kekuatan
Kebendaan dan Strategi Harakah.
Di sini
kita terpaksa menyatakan tentang kedudukan kekuatan kebendaan dalam strategi
amal Islami supaya seseorang itu tidak menganggap kekuatan kebendaan itulah
satu-satunya kekuatan yang diperlukan atau menganggap kekuatan kebendaan itu
langsung tidak memberi apa-apa erti.
Imam
Hassan Al-Banna rahimahullah menjelaskan kedudukan kekuatan kebendaan dalam
strategi Harakah Islamiah di mana beliau menyatakan:
“Ramai
orang yang bertanya: Adakah Harakah Islamiah berhasrat menggunakan kekuatan
dalam usaha mencapai matlamatnya? Adakah Harakah Islamiah berfikir menggunakan
cara revolusi yang menyeluruh terhadap sistem politik atau sistem sosial? Saya
tidak mahu membiarkan mereka terus-menerus dalam kebingungan, malah saya akan
menggunakan kesempatan ini untuk mendedahkan kepada mereka jawapan yang jelas
dan terang. Oleh itu siapa yang ingin tahu silalah mendengarnya …”
“Kekuatan
merupakan syiar Islam dalam semua sistem dan perundangan. Oleh sebab itu
Al-Quran menyerunya secara jelas dan lantang dalam firman Allah:
وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ
وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ
“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala
jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang
lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh
kamu”.
(Surah
Al-Anfaal, Ayat: 60).
Rasulullah
s.a.w juga bersabda:
“Orang mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih disukai oleh Allah dari
orang mukmin yang lemah”.
Bahkan
kekuatan itu adalah simbol Islam sehingga di dalam doapun dituntut sedangkan ia
adalah keadaan khusyuk dan tenang. Perhatikan juga apa yang diminta oleh Nabi
dan apa yang diajarkan kepada sahabatnya ketika bermunajat kepada Allah swt:
“Ya Allah Ya Tuhanku, aku berlindung kepada-Mu dari perasaan runsing dan
dukacita, aku berlindung kepada-Mu dari sifat penakut dan bakhil dan aku
memohon berlindung dengan-Mu dari bebanan hutang dan kekerasan orang yang
berkuasa”.
Tidaklah
dituntut dari seorang yang menganut agama ini melainkan supaya ia menjadi
seorang yang kuat dalam semua perkara kerana simbol seorang muslim itu ialah
kuat dalam semua perkara. Oleh itu saudara-saudara muslimin pendukung jamaah
mestilah menjadikan diri mereka orang-orang yang kuat, yang bekerja dengan
kekuatan dan dalam kekuatan.
Namun
demikian Harakah Islamiah adalah gerakan yang matang dalam pemikiran serta
berpandangan jauh. Mereka tidak ghairah melakukan kerja yang remeh dan
terjerumus ke dalam arus pemikiran yang cetek. Mereka tidak memberi penghargaan
kepada hasil dan tujuan kerja-kerja yang remeh itu kerana mereka mengetahui
bahawa tingkat kekuatan yang pertama dan utama ialah kekuatan akidah dan iman,
diikuti oleh tingkat kedua iaitu kekuatan kesatuan dan ikatan kejiwaan dan
persenjataan.
Sesuatu
jemaah itu tidaklah dapat dianggap kuat melainkan setelah memiliki ketiga-tiga
kekuatan tersebut. Apabila dia menggunakan kekuatan fizikal dan persenjataan
sedangkan ia berada di dalam keadaan organisasi yang retak atau akidah dari
iman yang lemah, maka lambat laun ia akan menemui kehancuran dan kemusnahan.
Ini merupakan satu pandangan.
Pandangan
yang lain (kedua) pula menyatakan: “Apakah Islam menggalakkan supaya digunakan
kekuatan di dalam setiap suasana dan keadaan? Ataupun ia membataskan penggunaannya
pada keadaan tertentu dengan syarat-syarat yang tertentu pula”.
Pandangan
yang ketiga pula menyatakan: “Adakah penggunaan kekuatan adalah merupakan cara
penyelesaian pertama ataupun menjadi ubat penawar terakhir setelah tidak ada
lagi cara yang lain.
Apakah
manusia perlu membuat pertimbangan terhadap kesan-kesan penggunaan kekuatan,
apakah kebaikan dan keburukannya? Apakah mereka sepatutnya mengkaji terlebih
dahulu suasana sebelum digunakan? Atau wajibkah mereka menggunakan kekuatan
tanpa menghiraukan akibat yang akan terjadi dari penggunaan kekuatan tersebut?
Pandangan-pandangan
seperti inilah yang difikirkan oleh Harakah Islamiah sebelum ia mengambil
langkah menggunakan kekuatan. Revolusi adalah gejala kekuatan yang
menggerunkan. Oleh yang demikian Harakah Islamiah memandangnya dengan penuh
teliti dan mendalam.
Nota:
Ingatlah
Allah swt telah memperjelaskan Islam secara terperinci kepada Nabi
Adam as semasa dalam Syurga dahulu dan Nabi Muhammad SAW semasa Israk
mikraj secara langsung dengan Allah Azzawajal.. memang Islam Jelas dan turut
menerangi agama lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan