Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
Surah An Najm terdiri atas 62 ayat, termasuk golongan surah-surah Makkiyah, diturunkan sesudah surah al Ikhlash. Nama An Najm (bintang), diambil dari perkataan An Najm yang terdapat pada ayat pertama surat ini. Allah bersumpah dengan An Najm (bintang) adalah kerana bintang-bintang yang timbul dan tenggelam, amat besar manfaatnya bagi manusia, sebagai pedoman bagi manusia dalam melakukan pelayaran di lautan, dalam perjalanan di padang pasir, untuk menentukan peredaran musim dan sebagainya.
Pokok-pokok isinya:
1. Keimanan: Al Quran adalah wahyu Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dengan perantaraan Jibril a.s. kebatilan penyembah berhala; tak ada seseorangpun memberi syafaat tanpa izin Allah; tiap-tiap orang hanya memikul dosanya sendiri.
2. Hukum-hukum:
Kewajipan menjauhi dosa-dosa besar; kewajipan bersujud dan menyembah Allah saja;
3. Dan lain-lain:
Nabi Muhammad s.a.w. melihat malaikat Jibril 2 kali dalam bentuk aslinya, iaitu sekali waktu menerima wahyu pertama dan sekali lagi di Sidratul Muntaha; anjuran supaya manusia jangan mengatakan dirinya suci kerana Allah sendirilah yang mengetahui siapa yang takwa kepadaNya; orang-orang musyrik selalu memperolok-olokkan al Quran.
TUHAN BERSUMPAH BAHAWA WAHYU YANG DITURUNKAN KEPADA NABI MUHAMMAD S.A.W. ADALAH BENAR
1. Demi bintang ketika terbenam.
2. kawanmu (Muhammad) tidak sesat dan tidak pula keliru.
3. dan tiadalah yang diucapkannya itu (al Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya.
4. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).
5. yang diajarkan kepadanya oleh (Jibril) yang sangat kuat.
6. yang mempunyai akal yang cerdas; dan (Jibril itu) menampakkan diri dengan rupa yang asli.
7. sedang dia berada di ufuk yang tinggi.
8. Kemudian dia mendekat, lalu bertambah dekat lagi.
9. maka jadilah dia dekat (pada Muhammad sejarak) dua ujung busur panah atau lebih dekat (lagi).
10. Lalu dia menyampaikan kepada hambaNya (Muhammad) apa yang telah Allah wahyukan.
11. Hatinya tidak mendustakan apa yang telah dilihatnya[1429].
[1429]. Ayat 4-11 menggambarkan peristiwa turunnya wahyu yang pertama di gua Hira.
12. Maka apakah kaum (musyrik Mekah) hendak membantahnya tentang apa yang telah dilihatnya?
13. Dan sesungguhnya Muhammad telah melihat Jibril itu (dalam rupanya yang asli) pada waktu yang lain,
14. (iaitu) di Sidratil Muntaha[1430].
[1430]. Sidratul Muntaha adalah tempat yang paling tinggi, di atas langit ke-7, yang telah dikunjungi Nabi ketika Mikraj.
15. Didekatnya ada syurga tempat tinggal,
16. (Muhammad melihat Jibril) ketika Sidratil Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya.
17. Penglihatannya (muhammad) tidak berpaling dari yang dilihatnya itu dan tidak (pula) melampauinya.
18. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) Tuhannya yang paling besar.
19. Maka apakah patut kamu (hai orang-orang musyrik) menganggap al Lata dan al Uzza,
20. dan Manah yang ketiga, yang paling terkemudian (sebagai anak perempuan Allah)[1431]?
[1431]. Al Lata, al Uzza dan Manah adalah nama berhala-berhala yang disembah orang Arab Jahiliyah dan dianggapnya anak-anak perempuan Tuhan.
21. Apakah (patut) untuk kamu (anak) lelaki dan untuk Allah (anak) perempuan?
22. Yang demikian itu tentulah suatu pembahagian yang tidak adil.
23. Itu tidak lain hanyalah nama-nama yang kamu dan bapa-bapa kamu mengadakannya; Allah tidak menurunkan suatu keteranganpun untuk (menyembah)nya. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti sangkaan-sangkaan, dan apa yang diingini oleh hawa nafsu mereka dan sesungguhnya telah datang petunjuk kepada mereka dari Tuhan mereka.
24. Atau apakah manusia akan mendapat segala yang dicita-citakannya?
25. (Tidak), maka hanya bagi Allah kehidupan akhirat dan kehidupan dunia.
CELAAN-CELAAN ALLAH KEPADA KAUM MUSYRIKIN YANG MENGHARAPKAN SYAFAAT DARI MALAIKAT
26. Dan berapa banyaknya malaikat di langit, syafaat mereka sedikitpun tidak berguna, kecuali sesudah Allah mengizinkan bagi orang yang dikehendaki dan diredhai(Nya).
27. Sesungguhnya orang-orang yang tiada beriman kepada kehidupan akhirat, mereka benar-benar menamakan malaikat itu dengan nama perempuan.
28. Dan mereka tidak mempunyai sesuatu pengetahuanpun tentang itu. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan sedang sesungguhnya persangkaan itu tiada berfaedah sedikitpun terhadap kebenaran.
29. Maka berpalinglah (hai Muhammad) dari orang yang berpaling dari peringatan Kami, dan tidak mengingini kecuali kehidupan duniawi.
30. Itulah sejauh-jauh pengetahuan mereka. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang paling mengetahui siapa yang tersesat dari jalanNya dan Dia pulalah yang paling mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.
ORANG-ORANG YANG MENJAUHI DOSA-DOSA BESAR MENDAPAT AMPUNAN DAN PEMBALASAN YANG BAIK DARI ALLAH
31. Dan hanya kepunyaan Allah-lah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi supaya Dia memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat jahat terhadap apa yang telah mereka kerjakan dan memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik dengan pahala yang lebih baik (syurga).
32. (iaitu) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan keji yang selain dari kesalahan-kesalahan kecil. Sesungguhnya Tuhanmu maha luas ampunanNya. Dan Dia lebih mengetahui (tentang keadaan)mu ketika Dia menjadikan kamu dari tanah dan ketika kamu masih janin dalam perut ibumu; maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci. Dialah yang paling mengetahui tentang orang yang bertakwa.
KEHANCURAN ORANG YANG MENDUSTAKAN KEBENARAN DAN TANGGUNGJAWAB MASING-MASING MANUSIA ATAS PERBUATANNYA
33. Maka apakah kamu melihat orang yang berpaling (dari al Quran)?
34. serta memberi sedikit dan tidak mahu memberi lagi?
35. Apakah dia mempunyai pengetahuan tentang yang ghaib, sehingga dia mengetahui (apa yang dikatakan)?
36. Ataukah belum diberitakan kepadanya apa yang ada dalam lembaran- lembaran Musa?
37. dan lembaran-lembaran Ibrahim yang selalu menyempurnakan janji?
38. (iaitu) bahawasanya seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain,
39. dan bahawasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya,
40. dan bahawasanya usaha itu kelak akan diperlihatkan (kepadanya).
41. Kemudian akan diberi balasan kepadanya dengan balasan yang paling sempurna,
42. dan bahawasanya kepada Tuhanmulah kesudahan (segala sesuatu),
43. dan bahawasanya Dialah yang menjadikan orang tertawa dan menangis,
44. dan bahawasanya Dialah yang mematikan dan menghidupkan,
45. dan bahawasanya Dialah yang menciptakan berpasang-pasangan lelaki dan wanita.
46. dari air mani, apabila dipancarkan.
47. Dan bahawasanya Dia-lah yang menetapkan kejadian yang lain (kebangkitan sesudah mati),
48. dan bahawasanya Dia yang memberikan kekayaan dan memberikan kecukupan,
49. dan bahawasanya Dialah yang Tuhan (yang memiliki) bintang syi'ra[1432],
[1432]. Bintang Syi'ra ialah bintang yang disembah oleh orang-orang Arab pada masa Jahiliyah.
50. dan bahawasanya Dia telah membinasakan kaum Aad yang pertama,
51. dan kaum Tsamud. Maka tidak seorangpun yang ditinggalkanNya(hidup).
52. Dan kaum Nuh sebelum itu. Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang paling zalim dan paling durhaka,
53. dan negeri-negeri kaum Luth yang telah dihancurkan Allah[1433].
54. lalu Allah menimpakan atas negeri itu azab besar yang menimpanya.
55. Maka terhadap nikmat Tuhanmu yang manakah kamu ragu-ragu?
56. Ini (Muhammad) adalah seorang pemberi peringatan di antara pemberi-pemberi peringatan yang terdahulu.
57. Telah dekat terjadinya hari kiamat.
58. Tidak ada yang akan menyatakan terjadinya hari itu selain Allah.
59. Maka apakah kamu merasa hairan terhadap pemberitaan ini?
60. Dan kamu mentertawakan dan tidak menangis?
61. Sedang kamu melengahkan(nya)?
62. Maka bersujudlah kepada Allah dan sembahlah (Dia).
Surah An Najm mengandung hal-hal yang berhubungan dengan penegasan risalah Muhammad s.a.w. dan al Quran adalah wahyu dari Allah, menerangkan kebatalan berhala-berhala yang disembah orang-orang musyrik yang tidak dapat memberi manfaat dan mudarat, menerangkan sifat orang-orang yang muhsin.
Dan surah ini juga menyebutkan sebahagian hakikat Islam yang tersebut pada Suhuf-suhuf Musa dan Suhuf-suhuf Ibrahim.
HUBUNGAN SURAH AN NAJM DAN SURAH AL QAMAR
1. Pada akhir surah An Najm disebutkan hal yang mengenai hari kiamat, sedang pada awal surah al Qamar disebutkan pula hal itu.
2. Dalam surah An Najm disinggung secara sepintas lalu keadaan umat-umat yang terdahulu, sedang pada surah al Qamar disebutkan pula keadaan umat-umat yang terdahulu yang mendustakan rasul-rasul mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan