Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Selasa, 31 Disember 2019

U 61 : MAKSUD TAKWA SERTA CIRI-CIRI MEREKA YANG BERTAKWA MENGIKUT FALSAFAH AL QURAN

Allah SWT jadikan manusia lelaki dan perempuan, berbeza bangsa serta kaum untuk saling kenal mengenali serta bekerjasama antara satu sama lain dan mereka yang terbaik dalam kalangan mereka itu adalah mereka-mereka yang bertakwa. Besarnya nilai takwa di sisi Allah SWT.
Apakah maksud 'Takwa' sebenarnya yang dikehendaki oleh Al Quran. Perihal Takwa ini banyak sekali Allah SWT nyatakan di dalam Al Quran. Orang yang bertakwa adalah orang yang paling dikasihi oleh Allah SWT dan dicintai oleh makhluk-makhluk ciptaan Allah SWT yang lain. Erti 'TAKWA' dari sudut bahasa memang diketahui umum yang mana 'TAKWA' itu membawa maksud 'takut kepada Allah SWT' yakni perasaan takut seorang hamba kepada si Pencipta mereka yakni Allah SWT. Tetapi erti 'takwa' mengikut istilah Al Quran adalah sesuatu yang masih tersembunyi dan perlukan huraian.
Syeikh Abdul Qadir Al Jailani yang terkenal dengan gelaran Ketua Para Wali Allah, telah mentafsirkan maksud kalimah 'takwa' yang terdapat dalam AL Quran melalui kitabnya yang mashyur "Ghaniat Al Talibi" adalah berdasarkan firman Allah SWT dalam surah An Nahl ayat 90 iaitu :

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berbuat adil dan ihsan dan menolong mereka yang memperjuangkan keadilan kepada kaum kerabat dan melarang dari perkara keji dan mungkar dan kezaliman. Ia nasihati kamu supaya kamu ingat."
(Surah An Nahl 16: ayat 90 )

Inilah maksud sebenar kalimah 'takwa' mengikut falsafah yang wujud dalam Al Quran. Erti 'takwa' dari sudut terjemahan bahasa yang membawa maksud 'takut kepada Allah SWT' adalah sesuai untnk golongan ahli ketuhanan sahaja. Erti 'takwa' untuk kesemua manusia faham mengikut falsafah Al Quran adalah mereka yang sentiasa melakukan keadilan, mereka yang sentiasa menabur 'ihsan', mereka yang sentiasa menolong kepada golongan yang memperjuangkan keadilan serta mereka itu sentiasa melarang dan menasihati manusia supaya tidak melakukan perkara keji(fashya), perkara mungkar serta perkara yang melahirkan kezaliman( al bagya). Inilah maksud 'takwa' yang sebenarnya mengikut falsafah tafsir AL Quran.
Ciri pertama orang-orang yang bertakwa mengikut falsafah Al Quran berdasarkan ayat di atas ialah mereka yang sentiasa melakukan keadilan dalam kehidupan mereka sehari-hari. Orang-orang yang sentiasa mengamalkan konsep keadilan dalam setiap tindak tanduk mereka adalah mereka yang mempunyai hati nurani serta jiwa yang tersuci. Mereka dalam golongan ini adalah mereka yang sentiasa zikir ( kenang/ingat ) kepada Allah SWT di dalam hati dan pemikiran mereka setiap masa.
Mereka yang mengamalkan konsep adil ini adalah mereka yang tidak mementingkan diri sendiri dan keluarga mereka sahaja dalam apa jua tindakan dan perbuatan dalam hidup mereka. Mereka yang mengamalkan keadilan dalam hidup mereka adalah mereka yang tidak suka mengambil kesempatan di atas kelemahan orang lain. Mereka ini adalah mereka yang sentiasa jujur serta amanah apabila diberi satu-satu tanggungjawab. Mereka yang mempunyai ciri-ciri ini adalah mereka yang bertakwa mengikut acuan yang dikehendaki oleh Allah SWT dan Al Quran.
Ciri kedua bagi seseorang yang mengamalkan Sifat Takwa di dalam kehidupan mereka adalah mereka yang sentiasa menabur ihsan kepada manusia lain di dalam kehidupan mereka sehari-hari. Menabur ihsan membawa maksud mereka yang sentiasa memberi manfaat kepada manusia lain atau kepada orang ramai. Menabur ihsan atau mengamalkan ihsan juga adalah mereka yang sentiasa membuat kebajikan kepada orang ramai serta membuat kebaikan kepada orang yang berada di sekeliling mereka.
Setiap mereka yang mencapai darjah 'ihsan' ini sebenarnya adalah mereka yang telah sampai ke peringkat kasih yang menjulang-julang di lubuk hati mereka yang dalam terhadap Allah SWT yang mendidiknya. Sifat Mahabbah atau nilai kasih inilah, yang membuatkan mereka sentiasa melakukan kebajikan, manfaat serta kebaikan kepada masyarakat sekeliling mereka. Melalui perasaan kasih yg membuak-buak di dalam hati sanubari mereka itulah telah melahirkan iradat atau kehendak yang tinggi untuk mereka mengamalkan dan melaksanakan kebaikan dalam tindak tanduk perbuatan mereka dalam kehidupan sehari-hari.
Mereka yang mencapai darjah ihsan ini juga adalah mereka yang sentiasa mengeratkan hubungan silaturahim antara sesama manusia, melangkaui kaum serta agama yang berbeza. Mereka ini adalah termasuk dalam golongan mereka yang bertakwa.
Ciri ketiga bagi mereka yang dikatakan bertakwa mengikut falsafah Al Quran adalah mereka yang sentiasa mengamalkan 'zilqurba' dalam hidup mereka. zilqurba atau semangat cinta bangsa atau kelompok manusia yang memperjuangkan keadilan serta hak-hak asasi dalam kehidupan bagi bangsa, kaum serta negeri dan negara mereka.
Golongan manusia yang bertakwa di sisi Allah SWT ini adalah mereka yang sentiasa membantu dan menolong kepada kumpulan-kumpulan manusia yang memperjuangkan keadilan dan kebenaran bagi kepetingan umum untuk bangsa dan negara mereka.
Mereka membantu dengan pelbagai cara seperti memberi zakat dan sumbangan berbentuk wang ringgit atau barangan kepada kumpulan-kumpulan tersebut. Mereka juga menolong dengan memberi semangat serta menyumbang tenaga seberapa banyak yang boleh demi satu perjuangan bagi menegakkan keadilan dan kebenaran dalam kehidupan mereka supaya berlaku perubahan ke arah yang lebih baik dalam kehidupan mereka nanti. Inilah juga ciri-ciri mereka yang bertakwa di sisi Allah.
Bagi mereka yang telah melengkapkan ketiga-tiga ciri ini di dalam kehidupan mereka, maka mereka adalah manusia yang sempurna atau 'Insan Kamil' di sisi Allah SWT. Melalui amalan ketiga-tiga ciri ini di dalam kehidupan lah yang membuatkan mereka terselamat dari perkara-perkara 'Fahsya' yakni perkara-perkara keji, terselamat dari perkara-perkara 'mungkar' dan terselamat dari perkara-perkara 'Baghya' iaitu perkara-perkara yang melahirkan kezaliman yang akan membuatkan seseorang itu jatuh ke lembah yang hina lagi menjijikan.
Erti perkara 'fashya' atau keji ialah segala perbuatan yang dilakukan oleh manusia yang bercanggah dengan fitrah kemanusiaan. Fitrah kemanusiaan bagi makhluk bernama manusia adalah perkara-perkara atau perbuatan-perbutan yang dapat melahirkan kebahagian, kasih sayang, serta kegembiraan di dalam kehidupan manusia secara bersama. Maka perbuatan 'fashya' adalah perbuatan-perbuatan yang dapat melahirkan permusuhan, pecah belah, kebencian, kemarahan dan melahirkan kerosakkan dalam kehidupan manusia.
Manakala erti perkara 'mungkar' ialah perkara atau perbuatan yang bercanggah dengan akal dan pemikiran yang siuman bagi manusia. Manusia hendaklah menjauhi daripada melakukan kemungkaran serta perlu berpesan-pesan serta nasihat menasihati antara sesama manusia supaya tidak melakukan kemungkaran dalam segala aktiviti kehidupan mereka.
Istilah 'Al Baghya' atau 'kezaliman' pula adalah segala perbuatan atau perlakuan yang bercanggah dengan kebaikan yang dikehendaki dalam satu-satu masyarakat atau jemaah mengikut acuan yang dikehendaki oleh Agama. Mereka yang zalim adalah mereka yang telah mengambil kesempatan apabila mereka telah diberi amanah oleh orang ramai untuk menjaga kepentingan mereka, tetapi mereka telah mengambil kesempatan di atas amanah yang telah diberikan oleh orang ramai dengan perlakuan serta perbuatan yang merugikan orang ramai tetapi dapat menguntungkan, mengkayakan dan memewahkan kehidupan mereka dan keluarga mereka sahaja. Inilah perlakuan atau definasi perbuatan 'Al Bagya' atau perkara yang zalim mengikut definasi Al Quran.
Maka dapat disimpulkan di sini bahawa, tidak cukup bagi manusia untuk mengerti dan memahami akan maksud 'takwa' dengan terjemahan "takut kepada Allah SWT" semata-mata, tetapi perlu dijelaskan dengan sejelas-jelasnya kepada seluruh masyarakat manusia kerana matlamat hidup bagi seluruh umat Islam dan seluruh umat manusia di dunia ini adalah untuk mencapai tahap manusia yang bertakwa.
Manusia yang bertakwalah yang dijamin oleh Allah SWT untuk mendapat kebahagian dalam kehidupan mereka di dunia ini dan akan dapat mengecapi nikmat syurga di akhirat kelak nanti. Marilah sama-sama kita ingat mengingati serta nasihat menasihati antara sesama kita agar kita sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT dan sentiasa berada di dalam kelompok mereka yang bertakwa dan bukanya berada di dalam kelompok mereka yang keji, mungkar dan zalim. Hanya Allah SWT yang mengetahui segala-galanya dan hanya kepada Allah SWT kita berserah.
Alangkah baiknya kalau tuan puan, saudara saudari yang budiman untuk sama-sama share di fb/whatsapp, blog dan lain-lain tulisan ini sebagai satu cara untuk sama-sama menyebarkan ilmu yang bermanfaat ini. Terima kasih di atas jasa baik kalian semua, Moga Allah SWT memberi rahmat dan keberkatan yang mencurah-curah kepada kalian semua. Aamiin…


Tiada ulasan:

Catat Ulasan