AL KHALIQ ( الخالق )
ALLAH Yaa Khaliq Yang Maha Pencipta
menciptakan alam semesta ini serta seluruh isi langit dan bumi tanpa bantuan
sesiapa. DIA pencipta dan pemilik mutlak ke atas segalaNYA. PenciptaanNYA
sangat sempurna, indah dan harmoni. Manusia adalah ciptaan ALLAH Subhanahu
Wata'ala dan sebagai pencipta, ALLAH Subhanahu mengetahui keperluan manusia, DIA
mengatur segala keperluan manusia di atas muka bumi ini. Untuk mencapai
kesempurnaan penciptaan Yaa Khaliq, manusia harus kembali kepada fitrah
kesempurnaan ciptaan yang dialirkan dengan sifat-sifat ALLAH Yang Maha Hebat.
Penghayatan kepada sifat Al Khaliq akan
menjadikan manusia suka mencipta perkara dan idea baru, sentiasa membuat
perubahan ke arah kebaikan dan memikirkan teknik dan kaedah baru yang tidak
pernah difikirkan oleh orang lain. Mereka tidak mengenal putus asa dan kecewa
kerana bergantung penuh dengan Yaa Khaliq.
BICARA HATI
Allahumma Yaa Khaliq Yaa Khaliq Yaa
Khaliq, sesungguhnya Engkau Maha Pencipta, Engkau mencipta seluruh alam dan
isinya kerana cinta kepada manusia. Bulan, bintang, matahari dan planet-planet
adalah ciptaanMu. Engkau mencipta semua ini agar manusia mengkaji kebesaran dan
keagongan serta kebijaksanaanMu, memuji memujaMu Yaa Allah Yaa Hamid Yaa Khaliq
Yaa Baari' Yaa Musowwir.
Yaa Khaliq Engkau mencipta manusia,
seluruh anggota tubuh manusia dan sistem tubuh manusia dengan penuh kasih dan
cintaMu. Yaa Rahman Yaa Rahim Yaa Wadud. Engkau juga pencipta
peristiwa-peristiwa hidup manusia agar manusia mengenalMu dan merasa kasih
kepadaMu Yaa Rahman Yaa Rahim, merasa kagum kepadaMu Yaa Alim Yaa Hakim Yaa
Rashid, merasa berharap denganMu Yaa Qobidh, Yaa Khafidh, Yaa Muzill, merasa
gerun kepadaMu Yaa Muntaqim Yaa Dharru Yaa Hakam.
Yaa Allah seluruh ciptaanMu ini Engkau
ciptakan agar kami mengingatMu, merasa dekat denganMu dan mencintaiMu, oleh itu
ciptakanlah rasa kasih dan cinta kepadaMu dalam hati kami, ciptakanlah rasa
rindu dalam hati ini kepadaMu, ciptakanlah peristiwa-peristiwa yang membawa
kami menghampirkan diri kepadaMu, walau kami terpaksa melalui sedikit
kesempitan, kejatuhan, kehinaan di dunia ini, kami redha asalkan kami dapat
berada di sisiMu memuji memujaMu setiap saat hidup kami.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan