Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Rabu, 20 Januari 2021

V 111 : ASMAUL HUSNA ( 18. AL FATTAH)

 AL FATTAH ( الفتاح )

 ALLAH Yaa Fattah Yang Maha Membuka, membuka setiap yang tertutup. DIA membuka pintu rezeki, pintu penyelesaian segala masalah hidup, membuka pintu kasih sayang untuk yang hati tertutup, membuka minda dan pemikiran yang buntu dan tertutup dan membuka setiap sesuatu yang tertutup yang diperlukan oleh manusia. DIA juga mampu membuka jalan ke arahNYA dengan membuka pintu misteri dan keajaiban untuk manusia lebih dekat denganNYA dengan membuka pintu hati dan akal.

 Kekuatan Al Fattah yang ada dalam diri manusia mampu menjadikan manusia sentiasa berusaha memecah pelbagai kesulitan yang dihadapi. Hamba kepada Yaa Fattah mempunyai hati dan fikiran yang jernih yang mampu menerima pandangan orang lain, sentiasa positif kerana yakin Yaa Fattah akan sentiasa membuka jalan bagi hamba-hambaNYA yang menyerah diri dan bersandar kepadaNYA, tidak pernah mengenal erti putus asa.

 ALLAH Yaa Fattah bersifat Maha Membuka sentiasa membuka ruang pengampunan dan taubat kepada hamba yang beriman. Keterbukaan ini dapat dilihat apabila ALLAH Subhanahu Wata'ala detikkan manusia beriman untuk bermunajat di malam hari memohon keampunan dan membuka pintu berdampingan denganNya di malam hari. ALLAH Yaa Fattah lah yang merungkaikan kesulitan yang manusia alami, membuka kesempitan dan keresahan. ALLAH Yaa Fattah sentiasa membiarkan pintu ke jalan yang benar terbuka luas kerana ALLAH YAA WAASI' YAA BASITH Maha Luas Maha Melapangkan.

 Hamba yang beriman kepada ALLAH  Yaa Fattah akan menzahirkan fitrah keterbukaan ini, mewujudkan suasana 'welcoming' kepada manusia sekeliling. Hubungan sesama manusia terutama yang mempunyai matlamat sama iaitu memperjuangkan agama dan membantu ummah sentiasa dipandang positif. Bukakan persepsi matahati supaya tiada rendah-merendah, benci-membenci timbul. Bersifat terbukalah kepada semua orang yang didatangkan ALLAH Subhanahu Wata'ala kepada kita, pasti ada agenda ALLAH Subhanahu Wata'ala yang tersirat di situ samada berbentuk tugasan atau ujian. Bersifat terbuka merupakan sunnah Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam hatta kepada orang buta yang membenci Baginda.

 BICARA HATI

 Allahumma Yaa Fattah Yaa Fattah Yaa Fatah, sesungguhnya Engkau Yang Maha Membuka, Engkau yang membuka langit yang terbuka luas, 7 lapisan langit yang mempunyai rahsia keagunganMu Yaa Adzim yang hanya Engkau yang mengetahui Yaa Alim. Engkau juga Yaa Fattah membuka pintu Syurga kepada hamba-hamba yang Engkau Yaa Rahman Yaa Rahim redhai, membuka pintu Neraka bagi hamba yang engkar kepadaMu yang Engkau murkai.

 Engkaulah Yaa Fattah yang membuka laluan yang luas di atas titian sirat kepada para Nabi dan Rasul serta pengikutnya yang taat, Engkau juga membuka laluan yang sempit yang nipisnya lebih nipis dari rambut dibelah tujuh dan lebih tajam dari mata pedang yang paling tajam.

 Yaa Allah Yaa Fattah Yaa Haq, bukalah jalan kebenaran bagi kami di dunia ini, Yaa Fattah Yaa Mukmin, bukalah jalan keimanan kepada kami, Yaa Fattah Yaa Barr, bukalah jalan kebaikan kepada kami, Yaa Fattah Yaa Rahman Yaa Rahim, bukalah jalan kasih sayangMu kepada kami. Yaa Fattah, bukalah hijab yang menghijab antara kami denganMu selama ini. Yaa Fattah Yaa Wasi’, bukalah minda kami seluas langit dan bumi untuk menerima ilmuMu Yaa Alim Yaa Hakim Yaa Rashid sederas tsunami. Yaa Fattah, buka lah pintu hati suami/isteri kami untuk bangun di pagi-pagi hari sujud rukuk kepadaMu sebagaimana Engkau buka pintu hati kami. Yaa Fattah Yaa Wadud, bukalah jalan kekasih dan pencintaMu kepada kami agar kami dapat mencintai dan merinduiMu Yaa Allah.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan