AL HAKAM ( الحكم )
ALLAH Yaa Hakam Yang Maha Menghukum
mempunyai ketetapan hukum terhadap manusia. ALLAH menetapkan hukum untuk
kebaikan manusia dan agar manusia mengikut jalan yang benar. Tiada siapa yang
boleh menghalang dan mengingkari hukuman ALLAH Subhanahu Wata'ala. Manusia
harus menerima apa sahaja hukum ALLAH Subhanahu Wata'ala sebagai anugerah dan
nikmat, bukan bencana. Manusia harus membaca keputusan hukuman ALLAH sebagai
satu ujian, satu proses pembersihan dosa-dosa manusia dan menerima penderitaan
sebagai pengubatan, serta redha di atas segala ketentuan ALLAH Subhanahu
Wata'ala.
Penghayatan kepada sifat ALLAH Al Hakam
akan melahirkan manusia yang redha, tenang dan berusaha tanpa putus asa bagi
mengatasi segala kesulitan dan bencana yang dikurniakan oleh ALLAH Yaa Hakam.
BICARA HATI
Allahumma Yaa Hakam Yang Maha Menetapkan
Peraturan dan Menetapkan hukuman, Engkau menetapkan peraturan dan landasan
iman, Islam dan ihsan sebagai peraturan hidup hambaMu. Sekiranya hidup mengikut
peraturan lain, maka hukuman akan dikenakan. Sekiranya hati tidak beriman dan
tidak yakin kepada Allah Yaa Razzaq telah menjamin rezeki dunia, sebaliknya
leka dan terus bermati-matian bersungguh-sungguh mengejar rezeki dunia kerana
lebih yakin kepada ikhtiar sendiri, maka hukuman Yaa Hakam adalah kekecewaan
dunia dan akhirat.
Sekiranya hati tidak beriman kepada
Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam iaitu dengan meninggalkan cara dan
peraturan hidup sederhana yang telah ditunjuki oleh Baginda, hukuman Yaa Hakam
adalah kesibukan dunia yang memenatkan dan tiada kesempatan untuk ibadah kepada
Allah, terjebak dalam riak dan ujub, menjadi muflis apabila segala amalan
menjadi debu yang berterbangan. Allahumma Yaa Hakam yang menetapkan peraturan
iman, Islam dan ihsan untuk hidup kami sebagai abdi dan khalifahMu, tundukkan
kami kepada peraturanMu Yaa Qohhar, pimpin kami atas landasan iman, Islam dan ihsan
Allahumma Yaa Haadi, perhatikan kami dan awasi kami serta cegahlah kami agar
kami tidak tergelincir dari ketiga-tiga landasan ini Allahumma Yaa Bashir Yaa
Khobir Yaa Raqib. Sekiranya kami tersasar dan Engkau Yaa Hakam Yaa Latif Yaa
Halim menghukum kami di dunia ini dengan hukuman yang penuh kelembutan dan
kesantunan, kami redha Yaa Allah, asalkan saja kami terselamat dari hukuman
NerakaMu Yaa Muntaqim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan