AL SAMII’ ( السميع )
ALLAH Yaa Samii’ Yang Maha Mendengar
mendengar dan mengabulkan permintaan hamba-hambaNYA, mendengar keluhan serta
puji-pujian kepadaNYA. ALLAH juga mendengar setiap rahsia yang disembunyikan
oleh hamba-hambaNYA. DIA mendengar suara lidah dan suara hati dan DIA
menghitungnya.
Hamba ALLAH Yaa Samii’ akan sentiasa
berhati-hati dalam bicaranya dan tindakannya kerana ALLAH mendengar semuanya,
tiada suatu pun dapat lari dari pendengaranNYA. HAMBA Yaa Samii’’ menjadi
pendengar yang baik kepada pandangan dan teguran orang disekitarnya dan juga
keluhan hati mereka.
BICARA HATI
Allahumma Yaa Sami', sesungguhnya Engkau
yang Maha Mendengar, Engkau mendengar setiap bicara hati, rintihan, tangisan,
rayuan, permintaan, harapan, cita-cita dan apa saja doa hambaMu yang merintih
kepadaMu. Yaa Allah Yaa Sami', Engkau tidak pernah membezakan antara
hamba-hambaMu yang miskin atau kaya, yang sihat atau sakit, yang muda atau tua,
semuanya Engkau beri layanan yang sama tanda kasihMu Yaa Rahman Yaa Rahim.
Yaa sami', dengarilah rintihan hambaMu
ini di pagi yang mulia ini Yaa Karim, sesungguhnya kami ingin hidup sebagai
abdi dan khadamMu yang sejati yang Engkau redhai, setiap saat kami ingin dalam
ketaatan, tak mahu terjerumus dalam dosa dan kemurkaanMu. Yaa Sami' Yaa Mujib,
dengarlah rayuan hambaMu ini, tunjuki kami jalan yang lurus Yaa Nuur Yaa Haadi
Yaa Haq, kurniakan kami ilmu mengenalMu Yaa ‘Alim Yaa Hakim Yaa Rashid, agar
daku dapat mengasihiMu, kagum kepadaMu dan gerun kepadaMu.
Yaa Sami', walau tiada siapa yang mendengar
rintihan kami, kami yakin sepenuhnya Engkau tetap sudi mendengarnya. Yaa Sami',
lepaskan kami dari tali perhambaan nafsu, manusia dan makhluk sebaliknya
ikatkan kami dengan tali perhambaan hanya kepadaMu Yaa Ahad Yaa Wahid Yaa Somad
dan kukuhkan tali ini Yaa Aziz Yaa Qowiy Yaa Matin, kekalkan ikatan yang kuat
ini Yaa Baaqi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan