AL ‘ADZIM ( العظيم )
ALLAH Yaa ‘Adzim Yang Maha Agong memiliki
seluruh isi langit dan bumi. KeagunganNYA mengatasi keagungan manusia kerana
manusia hanyalah hamba yang menggunakan pinjaman dan amanah ALLAH SUBHANAHU WA TA‘ALA secara sementara. ALLAHlah
pemilik yang mutlak dan DIA mampu berbuat apa sahaja kepada sesiapa sahaja
tanpa perlu keizinan hamba-hambaNYA. DIA mengurus, mengatur dan mengawal setiap
makhlukNYA tanpa bantuan dan begitu sempurna tanpa cacat-cela dan DIA juga Maha
Pengasih Penyayang, Pelindung serta mempunyai budi pekerti mulia yang
melayakkanNYA diagung-agungkan.
Menghayati sifat ALLAH Yaa ‘Adzim
menuntut seseorang itu hanya mengagungkan ALLAH SUBHANAHU WA TA‘ALA dan tidak wajar baginya
mengagungkan manusia kerana ALLAH Yang Maha Hebat sedangkan manusia hanyalah
hamba yang tidak berdaya tanpa pertolongan ALLAH Yaa ‘Adzim.
Sifat Al ‘Adzim juga mampu melahirkan
manusia berani menentukan kehidupan, berani berusaha membuat perubahan dan
mengambil risiko demi perjuangan.
BICARA HATI
Allahumma Yaa Adzim Yang Maha Agung.
Engkau layak diagung-agungkan kerana Engkaulah yang menghamparkan bumi untuk
kami memijak dan hidup, membentangkan langit untuk kami, memberikan udara dan
rezeki kepada kami dengan percuma tanpa kami perlu membayar kepadaMu Yaa Allah
Yaa Adzim. Tanda keagunganMu juga terserlah dengan penciptaan langit, matahari,
planet, bintang dan seluruh binaan langit yang berputar setiap saat bertasbih
mengagungkanMu Yaa Adzim. Atas keagunganMu Yaa Adzim jua tercipta pelbagai
ciptaan binatang dan tumbuhan untuk kesejahteraan manusia.
KeagunganMu Yaa Adzim juga terserlah
dengan ciptaan tubuh badan manusia, sistem-sistem tubuh manusia, daya dan
energi yang ada pada roh, nafsu, fikiran dan jasad manusia yang sesungguhnya
tiada lafaz yang sepadan untuk mengagungkanMu Yaa Adzim.
Hanya Engkau yang mengetahui keagunganMu
yang sebenar, kami hamba yang jahil ini mohon dibuka sedikit rahsia keagunganMu
agar dapat kami sujud dan menghina diri kepadaMu dengan penuh rasa kehambaan,
ketundukan, kedhaifan, kefakiran dengan penuh rasa keagunganMu Yaa Allah Yaa
Adzim. Walaupun apa jua ujian yang Engkau datangkan dalam hidup kami, kami akan
tetap mengagungkanMu Yaa Allah Yaa Adzim kerana tiada ujian, ketetapan dan
takdirMu melainkan semua kebaikan bagi kami di dunia dan akhirat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan