AL ‘ALIM ( العليم )
ALLAH Yaa ‘Alim Yang Maha Mengetahui,
mengetahui setiap sesuatu yang berlaku. DIA mengetahui perkara-perkara yang
ghaib yang diluar jangkauan manusia dan DIA mengetahui setiap apa yang akan
berlaku. Tiada sehelai daun pun yang gugur tanpa pengetahuanNYA. Ilmu ALLAH Yaa
‘Alim sangat hebat. Kehebatan ilmuNYA terserlah dalam kesempurnaan penciptaan
makhlukNYA. Yaa ‘Alim memberikan ilmuNYA kepada sesiapa yang dikehendakiNYA.
Hamba ALLAH Yaa ‘Alim akan membuka fikirannya untuk dialirkan Ilmu ALLAH Yaa
‘Alim untuk digunakan bagi kesejahteraan sejagat. Hamba Yaa ‘Alim juga rela
menimba ilmu daripada ALLAH Subhanahu melalui makhluk-makhlukNYA tanpa merasa
dirinya hebat dengan sedikit ilmu yang ALLAH Subhanahu Wata'ala berikan.
IlmuNYA juga perlu disebarkan kepada
orang lain agar dapat dimanfaatkan untuk kesejahteraan manusia dunia dan
akhirat. Orang yang dikurniakan ilmu sewajarnya lebih takut kepada ALLAH
Subhanahu Wata'ala kerana mengetahui kehebatan dan sifat-sifatNYA. ALLAH Yaa
‘Alim mengarahkan kita mencari ilmuNYA bersungguh-sungguh dan tanpa henti serta
di mana sahaja. Dalam mencari ilmu, kita harus merenungi, mengkaji,
menganalisis dan mengamati serta mengambil pengajaran dari semua itu dan
seterusnya sujud kepada ALLAH apabila dapat melihat kehebatan dan keagonganNYA
melalui penciptaanNYA.
BICARA HATI
Allahumma Yaa ‘Alim Yaa ‘Alim Yaa ‘Alim,
sesungguhnya Engkaulah yang Maha Berilmu dan Maha Mengetahui. Seluruh ilmu
pengetahuan di alam buana ini dan yang ada dalam otak manusia adalah ilmuMu,
tiada satulah ilmu manusia. Kami hanya hambaMu yang jahil, tanpa ilmuMu, kami
akan terus jahil. Engkau memberi ilmuMu kepada sesiapa yang Engkau kehendaki.
IlmuMu Engkau datangkan melalui pelbagai cara, melalui Al Quran, Hadis NabiMu,
melalui ulama' Mu, ilham dalam hati manusia, melalui pengalaman kehidupan,
melalui guru-guru yang Engkau alirkan ilmuMu, melalui pemerhatian di sebalik
makhluk dan alam. IlmuMu meliputi alam ghaib dan alam zohir.
Engkau Yaa “Alim memberi ilmu dan mengambil kembali
ilmuMu dari otak manusia mengikut kehendakMu. Yaa ‘Alim, kurniakan kami ilmu
mengenalMu agar dapat mengasihiMu, mengagumiMu dan gerun kepadaMu, oleh itu
dapat kami hidup dalam redhaMu sentiasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan