AL RAZZAQ ( الرزاق )
ALLAH Yaa Razzaq Yang Maha Pemberi
Rezeki, memberi rezekiNYA kepada setiap makhlukNYA. Setiap makhluk samada
manusia, tumbuh-tumbuhan atau binatang sudah tersedia rezeki masing-masing.
Rezeki ALLAH Subhanahu Wata'ala dalam pelbagai bentuk. Terdapat rezeki dalam
bentuk keperluan duniawi seperti makan-minum, wang ringgit, rumah, kenderaan
dan sebagainya. Terdapat juga rezeki dalam bentuk ukhrawi iaitu ilmu mengenal
ALLAH Subhanahu Wata'ala dan Syurga. Rezeki juga merupakan ujian daripada ALLAH
Subhanahu Wata'ala. ALLAH Subhanahu Wata'ala memerintahkan kita untuk
menafkahkan sebahagian daripada rezekiNYA kepada orang yang memerlukan.
Penghayatan sifat Al Razzaq akan
melahirkan manusia yang bekerja dan berdikari. Manusia yang inovatif, suka
membuat perkara-perkara baru dan perubahan dalam kehidupan tetapi semuanya
berlandaskan hukum syariat ALLAH Subhanahu Wata'ala. Sekiranya diperlukan,
keluarlah merantau mencari rezeki dari seluruh pelusuk dunia kerana kepunyaan
ALLAH Subhanahu Wata'ala perbendaharaan langit dan bumi.
Setiap rezeki yang diterima harus
disyukuri setiap masa dan setiap yang hilang harus diredhai juga. Semuanya
hanyalah pinjaman daripada ALLAH yang akan dihisab setiap satu amanah yang
diberikanNYA.
BICARA HATI
Allahumma Yaa Razzaq Yaa Razzaq Yaa
Razzaq, sesungguhnya Engkau Maha memberi Rezeki, Engkau memberi rezekiMu kepada
kami dalam pelbagai bentuk, ilmu-ilmu yang bermanfaat dan berkat, kesihatan
yang bermanfaat dan berkat, hartabenda yang bermanfaat dan berkat, wang ringgit
yang bermanfaat dan berkat, pangkat, gelaran dan kemasyuran yang bermanfaat dan
berkat, keluarga yang baik. Daku bersyukur atas kurniaan rezekiMu Yaa Wasi'
yang sangat luas dan tidak bertepi dan tidak terhitung.
Yaa Syakur Yang Maha Menghargai, jadikan
kami hamba yang sering mensyukuri nikmat-nikmatMu. Maafkan kami Yaa Affuw
kerana seringkali meminta-meminta kepadaMu, tetapi nikmat rezeki yang melimpah
ruah yang sedang kami nikmati ini seringkali kami lupa untuk mengungkapkan
terima kasih dan syukur kepadaMu. Yaa Allah Yaa Zohir, nampakkan sentiasa
rezekiMu yang mengalir pada diri kami agar kami mampu memujiMu Yaa Hamid dan
mensyukuriMu Yaa Syakur, membesar-besarkanMu Yaa Kabir Yaa Mutakabbir dan
mengagungkanMu Yaa Adzim.
Allahumma Yaa Razzaq Yaa Razzaq Yaa
Razzaq, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Memberi rezeki kepada hamba-hambaMu,
sesungguhnya tiada sezarah pun rezeki melainkan semuanya datang dariMu, manusia
hanyalah alatMu semata-mata dalam mengalirkan rezekiMu.
Sesungguhnya rezekiMu yang paling mulia
disisiMu adalah ilmu makrifatullah, dengan ilmuMu Yaa Alim Yaa Hakim Yaa
Rashid, kami mengenalMu. Apabila pancaran cahaya makrifatMu Yaa Nuur Yaa Haadi
Yaa Haq memancar dalam jiwa kami, leburlah wujud daya diri kami, terpancarlah
dengan terang nama-nama dan sifat-sifatMu pada cermin hati kami. Dengan
mengenalMu, hati kami akan kasih kepadaMu apabila mengenal kasihMu Yaa Rahman
Yaa Rahim, kagum kepada kebijaksanaanMu Yaa Alim Yaa Hakim Yaa Rashid,
kreativitiMu Yaa Khaliq Yaa Baari' Yaa Musowwir, gerun kepada azabMu Yaa
Muntaqim Yaa Dharru Yaa Hakam Yaa Adl.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan