AL ‘ADL ( العدل )
ALLAH Yaa ‘Adl bersifat Yang Maha Adil
kepada makhlukNYA. Seseorang tidak akan dirugikan dan akan dibalasi mengikut
apa yang dia kerjakan. Jalan keburukan yang dilalui oleh manusia akan dibalas
dengan adil oleh ALLAH Yaa ‘Adl. Manusia harus menerima pengadilan ALLAH
Subhanahu Wata'ala dengan penuh rasa nikmat kerana kasih sayangNYA
menyelamatkan kita daripada bencana. Keadilan ALLAH tidak mampu ditafsirkan
oleh manusia. Seringkali apa yang disukai ALLAH tidak disukai manusia dan apa
yang dibenci ALLAH Subhanahu Wata'ala disukai pula oleh manusia. Beringat
sentiasa bahawa setiap pengadilan ALLAH itulah yang paling adil dan baik untuk
manusia dan terimalah ianya dengan redha penuh rasa nikmat.
Manusia harus menghayati sifat Al ‘Adl
agar berlaku adil kepada semua orang tanpa memilih atau memihak kepada
orang-orang tertentu serta tidak mengikut hawa nafsu dalam memberi keadilan.
BICARA HATI
Allahumma Yaa ‘Adl, sesungguhnya Engkau
Maha Adil, mengadili setiap hambaMu sehingga setiap zarah kebaikan Engkau
hargai dan ganjari, setiap zarah kejahatan juga Engkau adili seadil-adilnya
sehingga tiada siapa yang teraniaya dan dizalimi olehMu. Engkau Yaa ‘Adl
mengurniakan Syurga abadi bagi hamba-hambaMu yang beriman yang menyibukkan diri
dengan amal soleh di dunia ini. Bagi yang memilih kekufuran dan kesenangan
dunia yang fana’ ini, Engkau limpahkan sebanyak-banyaknya kurniaanMu di dunia
ini sehingga mereka tidak dapat menuntut lagi di Akhirat, di sana mereka
menemui Neraka yang menyala-nyala sebagai balasan atas kekufuran mereka.
Engkau juga Yaa ‘Adl membalas dengan
penuh keadilan bagi hamba yang Engkau uji dengan kesakitan, ujian dan musibah
yang beriskap redha dan sabar dengan ganjaran pahala yang melimpah ruah.
KeadilanMu sentiasa dapat dilihat ketika Engkau memberikan rezekiMu yang mulia
kepada hamba-hambaMu yang melalui pelbagai kepayahan dan keperitan hidup.
Golongan miskin di dunia ini Engkau izin
memasuki Syurga Akhirat terlebih dahulu dari golongan kaya kerana setiap sen
kekayaanMu yang dipinjamkan kepada hambaMu akan diadili seadil-adilnya. Setiap
ibubapa akan diadili setiap anak-anaknya, apakah didikan yang diberikan, setiap
suami akan diadili akan tanggungjawab memimpin keluarganya ke syurga, setiap
majikan akan diadili tanggungjawab terhadap pekerjanya dan setiap saat
kehidupan ini akan disoal siasat dan diadili apakah yang dia lakukan di dunia
ini. Yaa Allah Yaa ‘Adl, selamatkan kami di hari keadilanMu nanti, di mana
hakim yang akan mengadili kami adalah Engkau Yaa Hakam Yaa ‘Adl, tiada siapa
yang dapat menolong kami melainkanMu Yaa Ghaffar Yaa Ghaffur Yaa Tawwab Yaa Wahhab
Yaa Karim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan