AL BASHIR ( البصير )
ALLAH Yaa Bashir Yang Maha Melihat. DIA
melihat setiap perbuatan manusia dan menghitung setiap perbuatan tersebut.
Tiada sesuatupun yang boleh lari daripada pandangan dan perhatian ALLAH.
Manusia yang mengenali ALLAH Yaa Bashir
akan sentiasa berwaspada atas apa sahaja tindakan dan aktiviti yang ingin
dilakukan kerana sudah pasti ALLAH melihat walaupun manusia lain tidak melihat.
Manusia yang mengamalkan sifat Al Bashir akan sentiasa melihat nasib dan
masalah orang lain dan membantu manusia menyelesaikan masalah hidup.
BICARA HATI
Allahumma Yaa Bashir Yang Maha Melihat,
Engkau melihat hambaMu setiap saat apa yang kami perlukan dalam hidup ini,
Engkau Yaa Rahman Yaa Rahim Yaa Wahhab Yaa Karim terus memberi, seringkali
tanpa perlu kami meminta-minta kepadaMu. Engkau melihat segala ibadah kami
kepadaMu, segala akhlak kami zahir dan batin, Engkau melihat segala perbuatan
kebaikan kami dan Engkau Yaa Muhshi Yaa Hasib terus mencatat dan menghisab
untuk diganjari dengan ganjaran berlipatganda di Syurga nanti.
Engkau juga Yaa Bashir sentiasa
melihatku, ketika kami nyaris terjebak dengan dosa dan kejahatan, Engkau terus
mewaspadakan kami Yaa Khobir dan sentiasa mengawasiku Yaa Roqib dari tipudaya
syaitan dan nafsu. Yaa Bashir, Engkau sentiasa ada di sisi kami ketika kami
kesunyian, keseorangan dan kesakitan, sudi menemani kami setiap saat. Yaa
Aziz Yaa Qowiy Yaa Matin, Engkau sentiasa memberi kami kekuatan ketika Engkau
melihat kami lemah, Engkau Yaa Salam memberi kami ketenangan ketika Engkau
melihat kami kerisauan, Engkau Yaa Fattah memberi kami jalan keluar ketika
Engkau melihat kami kebuntuan. Yaa Allah Yaa Baaqi Yaa Bashir kekalkan penglihatanMu
terhadap kami yang lemah lagi hina ini, ketika kami tersasar, bimbinglah kami
Yaa Nuur yaa Haadi Yaa Haq.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan