AL BASITH ( الباسط )
ALLAH Yaa Basith Yang Maha Melapangkan
mampu melapangkan rezeki seseorang setelah disempitkanNYA. ALLAH Subhanahu
Wata'ala melapangkan rezeki seseorang mengikut keperluan dan kesesuaian. Di
sebalik kelapangan itu tersirat ujian daripada ALLAH Subhanahu Wata'ala. Setiap
kelapangan harus diiringi dengan syukur, menafkah sebahagiannya dan alat untuk
mendekatkan diri kepadaNYA. Hamba ALLAH Yaa Basith adalah orang yang yakin
diri, mempunyai harga diri dan berdikari. Mereka berusaha tanpa henti mengejar
cita-cita, cekal dan sabar. Hamba Yaa Qobidh suka melapangkan orang lain,
memberi apa yang ada padanya demi menolong orang yang memerlukan.
Kita harus mentauladani Nabi Muhammad
Shallallahu Alaihi Wasallam yang menjadikan hidup dan hartanya diabdikan untuk
kepentingan manusia, keselamatan dunia dan akhirat. Orang yang dilapangkan
pangkat dan kekuasaan menggunakannya untuk membantu orang lain menyelesaikan
masalah hidup. Ingatlah kelapangan itu adalah amanah yang akan dipersoalkan.
BICARA HATI
Allahumma Yaa Qobidh Yaa Basith,
sesungguhnya Engkau Maha Menyempitkan dan Maha Melapangkan. Engkau menyempitkan
kami kerana kasihMu kepada kami agar sentiasa ingat kepadaMu dan ketika kami
datang merintih kepadaMu, Engkau melapangkan kami. Yaa Basith, kami insaf Yaa
Allah Yaa Qobidh, nafsu ini seringkali tersasar dari jalan kebenaranMu, hanya
dengan sedikit kesempitan, ia akan tunduk dan kembali kepadaMu memohon ampun
dan taubat, Yaa Affuw Yaa Ghaffar Yaa Tawwab. Ketika kami sihat, kesihatan itu
membuat kami melupakanMu dan hari Akhirat, Engkau Yaa Qobidh menyempitkan kami
sedikit dengan kesakitan, maka sakit itu tanda Engkau akan melapangkan akhirat
bagi kami.
Ketika wang ringgit membuat kami lalai
dan membazir, Engkau Yaa Qobidh menyekat wang ringgit seketika agar kami
bermuhasabah dan insaf diri agar wang ringgit itu tidak dikalungkan ke leher
kami menjadi kalungan api Neraka nanti. Yaa Allah Yaa Qobidh, ketika Engkau
menyempitkan kami, kurniakan kami kesabaran. Yaa Sobur, kekuatan Yaa Aziz Yaa
Qowiy Yaa Matin, cahaya petunjukMu Yaa Nuur Yaa Haadi Yaa Haq dan kelapangan
Yaa Basith. Dan ketika kami dilapangkan olehMu Yaa Basith, jadikan kami hamba
yang bersyukur Yaa Syakur dan menggunakan segala kurniaanMu di jalan kebenaran
dan kebajikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan