AL HALIM ( الحليم )
ALLAH Yaa Halim Yang Maha Penyantun
sentiasa bersifat santun kepada hamba-hambaNYA walaupun hamba-hambaNYA tidak
santun kepadaNYA. ALLAH Yaa Halim, santun dalam memberikan nasihat dan teguran,
santun dalam layanan, santun dalam perkataan, santun dalam tindakbalas kasar
hambaNYA. Kesantunan ALLAH dapat dilihat dengan mata hati dalam diri
wakil-wakilNYA Yaa Halim yang bersifat santun kepada sesama manusia.
Menghayati sifat Al Halim, seseorang itu
harus menunjukkan kesantunan sesama manusia bagi mengalirkan sifat kesantunan
ALLAH kerana dengan menyebarkan sifat santun Yaa Halim akan melembutkan hati
yang keras, menundukkan kesombongan orang yang sombong dan merendahkan orang
yang suka meninggi diri serta berbangga dengan kehebatan diri. Manusia dilarang
bersikap kasar kerana jiwa manusia itu inginkan dan sukakan kelembutan.
ALLAHUMMA Yaa Halim Yang Maha santun
menyantuni hamba-hambaNya dengan membuka jalan kemaafan walaupun berkali-kali
hambaNya melakukan kesilapan, walaupun hambaNya berkali-kali tersungkur dengan
dosa dan kemaksiatan, namun kerana ALLAHUMMA Yaa Halim sangat memahami akan
lemahnya dan dhaifnya hamba-hambaNya, namun Dia Yaa Syakur mengetahui akan
kesucian hati hamba-hambaNya yang sangat amat ingin bertaubat, sangat amat
ingin kembali kepada jalan kebenaran, sangat amat ingin menjadi abdi dan
khalifah yang diredhai Allah. DIA Yaa Halim Yaa Syukur Yaa Karim Yaa Rahman Yaa
Rahim terus sudi memaafkan, memberi peluang, memimpin dan membimbing di atas
jalan kebenaran. Yaa Halim menyantuni hamba-hambaNya dengan menghormati dan
menghargai walau sezarahpun kebaikan atau sumbangan, walau manusia sekeliling
tidak menghargai, tidak nampak, tidak ucap terima kasih, ALLAH Yaa Halim sangat
menghargai, sangat melihat dan sentiasa berterima kasih kepada hamba-hambaNya
setiap masa dengan mencurahkan kurniaanNya yang secukupnya di dunia dan
melimpah ruah di akhirat nanti.
BICARA HATI
Allahumma Yaa Halim, sesungguhnya Engkau
Maha Santun. KesantunanMu terhadap makhlukMu terserlah dengan pelbagai kurniaan
yang tidak pernah berhenti dan tidak bertepi walau bagaimana pun keadaan
makhlukMu, Engkau tetap terus menyantuni mereka. Engkau Yaa Halim Yaa Nuur
terus menyantuni hamba-hambaMu dengan pancaran cahaya matahari walau hambaMu
sedang membuat maksiat kepadaMu, Engkau Yaa Halim Yaa Muhyi terus mendegup
jantung hambaMu walau dia tidak pernah mahu sujud kepadaMu, Engkau terus
menerus menyantuni hamba-hambaMu dengan membalas kejahatan dan kebiadaban
hambaMu dengan kesantunan dan kelembutanMu Yaa Halim Yaa Latif.
KesantunanMu Yaa Halim, Engkau serlahkan
melalui kesantunan Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam agar baginda menjadi
contoh tauladan buat kehidupan kami. Sikap baginda yang Engkau alirkan
kesantunanMu Yaa Halim, penuh santun tak kira kepada kawan atau lawan, tak kira
kepada yang tua mahupun yang muda, tak kira kepada yang miskin atau yang kaya,
tak kira yang sakit mahupun yang sihat. Hidup baginda memberi RahmatMu Yaa
Allah Yaa Rahman Yaa Rahim Yaa Halim Yaa Latif Yaa Karim kepada seluruh alam
dan isinya sebagai pancaran sifat-sifat kebaikan dan kesantunanMu
terhadap seluruh alam. Yaa Halim, jadikan kami hamba yang sentiasa menyantuniMu
di pagi-pagi hari denggn pujian kepadaMu atas kesantunanMu kepada kami yang tak
terhingga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan