Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Ahad, 9 Jun 2013

Bab 193 Perintah Menjaga Solat-solat Wajib Dan larangan Keras Serta Ancaman Hebat Dalam Meninggalkannya




Allah Taala berfirman:

Yang Bermaksud : "Jagalah solat-solat wajib itu dan solat pertengahan."
(al-Baqarah: 238)

Beberapa alim-ulama mengatakan bahawa yang dimaksud dengan solat pertengahan ialah solat Asar.

Allah Taala berfirman pula:

Yang Bermaksud : "Jikalau mereka orang-orang kafir itu telah bertaubat dan sama mendirikan solat serta menunaikan zakat, maka lepaskanlah jalan mereka yakni anggaplah sebagai orang mukmin yang Iain-lain." 
(at-Taubah: 5)

1071. Daripada Ibnu Mas'ud r.a., katanya: "Saya bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: 

Yang Bermaksud : "Manakah amalan yang lebih utama?" Beliau s.a.w. menjawab: "Iaitu solat tepat pada waktunya." Saya bertanya lagi: "Kemudian amalan apakah?" Beliau s.a.w. menjawab: "Berbakti kepada kedua orangtua." Saya bertanya pula: "Kemudian apa lagi?" Beliau s.a.w. menjawab: "Iaitu berjihad fisabilillah."
(Muttafaq 'alaih)

1072. Daripada Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma, katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang Bermaksud : "Agama Islam itu didirikan atas lima perkara, iaitu menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad adalah pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berhaji ke Baitullah dan berpuasa dalam bulan Ramadan."
(Muttafaq 'alaih)

1073. Daripada Ibnu Umar r.a. pula, katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang Bermaksud : "Saya diperintah untuk memerangi para manusia, sehingga mereka itu suka menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad adalah utusan Allah, juga mendirikan solat menunaikan zakat. Jikalau mereka telah mengerjakan yang sedemikian itu, maka terpeliharalah mereka itu daripadaku mengenai darah dan harta benda mereka, melainkan dengan haknya Agama Islam, sedang hisab mereka adalah tergantung atas Allah."
(Muttafaq 'alaih)

1074. Daripada Mu'az r.a., katanya: "Saya diutus oleh Rasulullah s.a.w. ke Yaman, lalu beliau s.a.w. bersabda:

Yang Bermaksud : "Sesungguhnya engkau akan mendatangi sesuatu kaum dari golongan ahlulkitab yakni kaum Yahudi dan Nasrani, maka ajaklah mereka untuk menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya saya adalah utusan Allah. Jikalau mereka sudah taat untuk berbuat sedemikian itu, maka beritahukanlah kepada mereka bahawasanya Allah itu mewajibkan kepada mereka solat lima kali dalam sehari semalam. Jikalau mereka sudah taat untuk berbuat sedemikian itu, maka beritahukanlah pula bahawasanya Allah itu mewajibkan kepada mereka untuk mengeluarkan sedekah zakat yang diambil dari golongan mereka yang kaya-kaya dan dikembalikan kepada golongan mereka yang fakir-fakir. Jikalau mereka sudah taat berbuat sedemikian, maka takutlah engkau akan harta-harta mereka yang mulia  maksudnya jangan bertindak zalim dan menganiaya. Takutlah kepada doanya orang yang dianiaya. sebab sesungguhnya saja, antara doa itu dengan Allah tidak ada lagi tabirnya yakni doa orang yang dianiaya pasti akan dikabulkan." 
(Muttafaq 'alaih)

1075. Daripada Jabir r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang Bermaksud : "Sesungguhnya antara seseorang dengan kemusyrikan dan kekafiran itu adalah meninggalkan solat," yakni kalau sudah meninggalkan solat, maka orang itu tentu kafir. 
(Riwayat Muslim)

1076. Daripada Buraidah r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya: 

Yang Bermaksud : "Ikatan perjanjian antara kita iaitu kaum Muslimin dan mereka iaitu kaum munafikin ialah solat. Maka barangsiapa yang meninggalkan solat, sungguh-sungguh kafirlah ia."
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.

1077. Daripada Syaqiq bin Abdullah at-Tabi'i yang sudah dimufakati oleh para alim ulama tentang kebaikannya, rahimahullah, berkata: 

Yang Bermaksud : "Para sahabat Nabi Muhammad s.a.w. tidak berpendapat akan sesuatu dari sekian banyak amalan yang jikalau ditinggalkan lalu menjadikan kafir, kecuali hanya solat saja." Yakni: jadi kalau solat yang ditinggalkan maka dapat menyebabkan orang yang meninggalkannya itu menjadi kafir.
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dengan isnad shahih.

1078. Daripada Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang Bermaksud : "Sesungguhnya pertama-tama amalan yang seseorang itu dihisab dengannya ialah solatnya, maka jikalau baik solatnya itu, sungguh-sungguh berbahagialah dan beruntunglah ia dan jikalau rosak, sungguh-sungguh menyesal dan merugilah ia. jikalau seseorang itu ada kekurangan dari sesuatu amalan wajibnya, maka Tuhan Azzawajalla berfirman: "Periksalah olehmu semua hai malaikat, apakah hambaKu itu mempunyai amalan yang sunnah." Maka dengan amalan yang sunnah itulah ditutupnya kekurangan amalan wajibnya, kemudian cara memperhitungkan amalan-amalan lainnya itupun seperti cara memperhitungkan amalan solat ini."

Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan