Izzati. Indah nama itu. Secantik dan semulia akhlak
insan yang menjadi pemegangnya. Hidup di IPIS (Institut Pendidikan Guru Kampus
Pendidikan Islam) memang merupakan impiannya
sejak sekian lama. Sudah hampir 3 tahun dia berdoa agar dirinya nanti dihantar ke
suatu tempat yang dia kira cukup Islamik, agar mudah untuk dia mengubah diri
serta jalan hidupnya.
Bukan selama ini dia tersesat, cuma
dia ingin menjadi seseorang yang baru, berbeza dengan dirinya yang dahulu.
Sungguh Allah itu Maha Mendengar. Mengalir air mata
suci daripada sepasang mata yang sering melemparkan pandangan bening itu.
Begitu dia bersyukur apabila doanya dijawab. Subhanallah. Allah itu Maha
Berkuasa.
6 bulan pertama berada di IPIS sudah
cukup untuk merubah segala-galanya tentang dirinya. Usahkan penampilan, cara
pergaulan dan percakapannya berubah sama sekali. Dia kini seorang yang serba
baru. Meskipun begitu, dia tidak pernah lupa asal usulnya. Siapa dia,dari mana
dirinya.
Setelah 6 bulan berada di IPIS, sudah
tibalah masanya untuk pulang ke pangkuan keluarga tercinta. Sedih juga rasanya
untuk meninggalkan IPIS yang kini sudah menjadi sebahagian daripada jiwanya.
“Assalamualaikum!! Izzati dah sampai!!
Mak, Ayah!!” Terdengar suaranya yang lantang memecah keheningan subuh…
“Wajah insan tersayang kini sudah
berada di depan mata. Apalagi, pergilah peluk!” gertak jiwa kecilnya.Tidak
tergambar rasa gembiranya hati apabila dapat mengucup pipi ibu serta
ayah tercinta.
Perubahan Izzati sedikit sebanyak
telah mempengaruhi orang di sekelilingnya. Ada yang boleh menerimanya dengan baik.
Tidak kurang juga yang memandang serong terhadapnya. Tetapi, bukan itu yang
Izzati risaukan. Kini, dia sudah ada tanggungjawab besar yang akan disoal di akhirat kelak. Tanggungjawab untuk
menyampaikan ilmu yang ada padanya. Ilmu yang masih sangat sedikit itu ingin
dia kongsikan bersama dengan harapan mereka akan turut merasakan betapa
manisnya hidup mengikut acuan Islam sejati.
Perjuangan Izzati tidak mudah. Untuk
mengubah keluarga sendiripun dia masih tertatih-tatih. Walaupun begitu dia
tidak pernah berputus asa. Hampir setiap hari, ada sahaja terdengar suaranya
memenuhi rumah dengan nasihat serta pengajaran yang penuh bermakna. Ada kalanya kaum
keluarga mendengar dengan penuh perhatian. Ada pula waktunya Izzati seperti
berbicara sendirian kerana orang-orang di sekelilingnya sudah bosan dengan
ucapan yang agak sama setiap hari. Tetapi, tidak pernah pula sikap seperti itu
merubah semangat Izzati.
Hari itu Izzati pergi menziarahi
neneknya yang kurang sihat di kampung. Alangkah gembiranya Izzati apabila dia
menemui seorang sahabat lama yang dahulunya turut bersamanya
bermain teng-teng dan meneruskan perjuangan bersama sehingga ke sekolah
menengah. Tetapi,dalam kegembiraan tersebut timbul sedikit kesedihan di hati Izzati.
Lia yang dia kenali dahulu sudah berubah sama sekali.Tudung tidak lagi menutup
rambutnya. Rambutnya kini pula sudah dihiasi dengan segala jenis macam warna
yang menyakitkan mata yang memandang. Belum lagi ditambah dengan
tindikan-tindikan di telinga yang melemaskan jiwa. Baju yang nipis dan ketat. Pergaulan
dengan lelaki??
Tidak mampu Izzati membicarakan perihal Lia yang selanjutnya.
“Lia, kenapa Lia berubah? Kenapa Lia
tak pakai tudung? Rambut Lia ni… dulu kan cantik.. Lia dah lain sangat.
Janganlah macam ni Lia. Zati rindu Lia yang dulu. Lia yang lembut, sopan,
pemalu, yang jaga aurat dan yang paling penting, jaga
pergaulan…” keluh Izzati pada suatu petang yang sunyi.
Lia hanya mendiamkan diri. Mungkin
sedikit terkesan di hatinya apabila kata-kata seperti itu diucapkan oleh
sahabat karibnya sendiri. Memang dia akui kata-kata Zati itu betul semuanya.
Tetapi, suasana di kampung memang telah banyak mempengaruhi gaya hidup Lia.
Bergaul dengan remaja sebayanya yang bermasalah telah
betul-betul menjadikan Lia insan yang berbeza. Dengan nada yang agak keras, Lia
menjawab segala persoalan yang Izzati ajukan padanya.
“Zati… Zati kena ingat. Ini kampung.
Bukan macam tempat Zati IPIS tu Islamik. Memanglah senang Zati nak kekalkan
diri Zati yang baik ni. Kampung ni. Macam-macam ada. Orang-orang yang tinggal
dalam kampung ni bukan sembahyang sangat pun. Kalau dah yang tua-tua itu pun
tak dapat nak jadi contoh, macam mana kita orang yang muda ni nak jadi baik? Zati patut ajar yang
tua-tua tu dulu, baru ajar Lia. Zati cakap senanglah. Nanti, kalau Zati dah
lama-lama kat sini, mesti Zati pun berubah. Takkan bertahannya diri Zati yang
sekarang ni. Percayalah cakap Lia. Zati janganlah nak jadi hipokrit. Buat-buat
baik kat sini untuk tunjuk kat kita orang semua. Lia tahu Zati ni siapa. Pasal
tudung dan rambut tu, tempat ni lain Zati. Kalau kat IPIS Zati wajib pakai
tudung labuh, kat sini tidak ada peraturan macam itu. Jangan pula Zati nak
wujudkan peraturan sendiri. INI BUKAN IPIS!”
“Astarghfirullahalazim! Lia! Kenapa
Lia cakap macam itu?! Islam itu ada di mana-mana Lia. Bukan dekat IPIS sahaja.
Sebagai umat Islam sejati, sudah menjadi kewajipan kita untuk mematuhi segala
suruhan dan meninggalkan segala larangan Allah walau di manapun Lia berada.
Jangan jadikan suasana kampung ini sebagai alasan untuk Lia berubah. Lia, kalau
orang di sekeliling Lia tidak mampu untuk mendidik Lia, Lia patut didik dan
kuatkan diri sendiri. Memang tidak mudah Lia. Zati pun tak rasa mudah untuk
kekal begini. Tetapi, itulah hakikatnya.
Kita takkan mampu untuk berubah sekiranya kita sendiri tidak berusaha. Ingat
Lia. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu umat itu sehingga mereka sendiri
berusaha untuk berubah..” berlinang air mata suci Izzati tatkala mengucapkan
kata-kata tersebut. Sungguh tidak disangka, sampai begitu sekali Lia berubah. Baru
6 bulan mereka berjauhan, Lia sudah jauh pergi meninggalkan agamanya.
“Ala…Janganlah Zati nak buat-buat suci
kat sini. Tempat ni lain Zati. LAIN! Zati pakai macam ni, tudung-tudung yang
macam ‘khemah bergerak’ ni, Zati ingat orang sanjung Zati ke? Budak-budak
kampung ni… hari-hari mengumpat Zati.. Zati datang je dia orang gelarkan Zati
‘khemah bergerak.’ Kelakarlah Zati. Janganlah pakai macam ini lagi Zati. Tak
sesuai kat sini. Kita dekat kampung, buatlah macam cara dekat kampung. Nanti,
kalau Zati dah balik IPIS, sesuailah Zati pakai macam ni. Memang wajib dekat
sana kan? Dekat sini takpun..” Dengan nada selamba Lia mengucapkan kata-kata
tersebut.
Zati hampir pengsan apabila mendengar
kata-kata seperti itu diucapkan oleh sahabatnya sendiri. Bertambah pilu dan
sedih hatinya. Bukan kerana gelaran ‘khemah bergerak’ itu atau umpatan orang
kampung, tetapi kerana cara hidup sahabatnya yang kini semakin jauh dari Allah.
Dalam diam Zati berdoa di dalam hati agar dosa-dosa sahabatnya itu
diampunkan oleh Allah dan dibukakan semula pintu hatinya untuk kembali pada
Islam. Sungguh kasih dia pada sahabatnya ini sehingga tidak sanggup dia untuk
melihat Lia tersiksa di akhirat kelak. Azan maghrib yang berkumandang menyedarkan
Zati. Cepat-cepat dia menyeka air matanya. Dia segera membetulkan tudungnya.
“Lia, jom balik. Dah masuk waktu
maghrib. Kita solat. Hari ini kita baca surah an-nisa’ serta tafsirannya
sekali.”
Teringat Izzati saat-saat indah dahulu
di mana dia dan Lia seringkali membaca al Quran bersama-sama dan bertadabbur di
surau berhampiran rumah neneknya. Sungguh indah waktu itu.
“Jom Lia..” Izzati menarik lembut
tangan sahabatnya itu.
“Takpe. Zati pergilah! Hati Lia sudah
tertutup untuk itu. Lia nak keluar dengan kawan-kawan Lia kejap lagi ni. Bila
Lia dah dapat SERU nanti Lia solat. Kita masih muda Zati .Masih banyak masa
untuk kita. Zati ni macam orang tua la. Sibuk beribadah macam dunia ni dah nak kiamat. Dia orang patutlah
buat macam itu. Umur pun dah tak panjang.Kita ni muda lagi.”
Astarghfirullahalazim. Pedih sekali
hati Izzati mendengarkan kata-kata sahabatnya itu. Izzati sudah tidak mampu
lagi berdiri di situ. Dia segera berlalu. Kudratnya sudah lama habis. Lemah
dirinya apabila mendengarkan kata-kata Lia. Di dalam hati Izzati banyak-banyak
berdoa dan meminta keampunan kepada Allah di atas kelemahannya yang tidak mampu
untuk membantu sahabatnya itu. Dia pergi meninggalkan
Lia dengan linangan air mata.
Setelah hampir dua bulan bercuti, kini
Izzati akan kembali semula ke IPIS untuk semester kedua. Perjuangannya kali ini
pasti lebih sukar. Azamnya kali ini lebih tinggi. Bila dia kembali lagi nanti,
dia akan buat lebih banyak lagi.
“Zati!!” Terdengar sayup-sayup suara
Lia memanggilnya dari jauh. Zati menoleh ke belakang.
“Lia…dah lama tak jumpa Lia. Zati nak
balik dah ni. Nanti Zati datang sini lagi. Ingat Lia .Islam itu ada di
mana-mana. Bukan di IPIS saja. Di sini juga.. di HATI…” ucap Zati smbil
meletakkan kedua-dua tangan sahabatnya di dadanya.
Kemudian Izzati berlalu pergi. Dengan
linangan air mata, dia berharap agar pintu taubat masih terbuka untuk
sahabatnya itu. Lia hanya terdiam dan tergamam. Masih cuba untuk memahami
kata-kata Izzati tadi.
Sumber: iluvislam.com
Rujukan
: Harian Islam.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan