Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Isnin, 21 April 2014

Q 68 : KEJAYAAN MENURUT ISLAM

Allah SWT berfirman maksudnya:

“Sesungguhnya mendapat kejayaan orang mukmin yang khusyuk dalam solatnya. Dan mereka yang menghindari perkara yang sia-sia. Dan mereka me­nunaikan zakat. Dan mereka yang menjaga kehormatan kecuali kepada isteri mereka dan hamba sahaya milik me­reka, maka mereka itu tidaklah dicela. Dan me­reka yang melakukan sebaliknya, mereka itu adalah melampaui ba­tas. Mereka yang menunaikan amanah dan janji-janji me­reka, mereka yang sentiasa memelihara solat me­reka, mereka itulah yang mempusakai Syurga Firdaus dan mereka akan kekal di dalamnya.”
(Al Muk­minun: 1-11)

Dalam ayat ini Allah memberitahu bahawa orang yang men­dapat kejayaan itu adalah dari kalangan orang mukmin iaitu yang mempusakai Syurga Firdaus. Tuhan tidak sebut orang Islam. Orang Islam tidak dijanjikan kejayaan dan kemenangan. Yang dijanjikan kejayaan dan kemenangan itu adalah orang mukmin. Orang mukmin sahaja yang sanggup melakukan syarat-syarat yang disebutkan dalam ayat tadi. Kemenangan umumnya di du­nia, manakala kejayaan di Akhirat. Terdapat tujuh syarat yang Tuhan tetapkan untuk orang mukmin itu mendapat kejayaan yakni:

1. Khusyuk dalam solat

Antara rasa khusyuk yang dirasai oleh orang yang khusyuk dalam solat itu ialah, rasa kebesaran Tuhan, rasa Tuhan itu hebat, rasa diperhati, didengar dan diketahui oleh Tuhan. Terasa diri hamba, rasa lemah, rasa hina dan rasa rendah diri. Kita terasa meminta bermacam-macam daripada Tuhan, mengikut ayat-ayat apa yang dibaca dalam solat itu. Setiap perkara yang diminta itu, ada rasanya yang tertentu. Terasa harap, sedih dan berbagai-bagai perasaan. Perasaan itu berubah-ubah dari satu bacaan ke satu bacaan yang lain. Itulah orang mukmin yang khusyuk dalam solat. Hingga dia tidak sempat membayangkan atau memikirkan perkara lain.
Kalau begitulah yang digambarkan, memang agak sulit. Lebih-lebih lagi bagi orang yang tidak tahu makna bacaan maka lagi susahlah hendak menghayati. Salah satu ciri mukmin yang akan diberi kejayaan di Akhirat ialah khusyuk dalam solat. Kejayaan pula umum. Ia boleh berlaku di sesetengah aspek mengikut taraf khusyuk masing-masing. Mungkin berjaya di bidang ekonomi tetapi tidak berjaya di bidang lain. Bergantung kepada khusyuknya secara umum. Kalau secara umum itu khusyuknya luar biasa, maka banyaklah pertolongan Allah. Kalau kurang khusyuk maka kuranglah bantuan Allah. Rasulullah SAW menyebut bahawa jemaah itu rahmat. Jadi khusyuk secara jemaah tentu tidak sama dengan khusyuk secara individu. Bantuan kepada jemaah tidak sama dengan bantuan kepada individu.

2. Mengelak dari perkara yang tidak memberi faedah

Perkara yang tidak memberi faedah itu ada yang lahir, ada yang batin, ada soal luaran dan ada soal dalaman. Ada yang tersirat dan tersurat. Apa sahaja yang sia-sia mesti dijauhi sama ada yang lahir mahupun yang batin. Di antara perkara lahir yang sia-sia, yang perlu dijauhi adalah:

1. Sia-sia dalam perjuangan yakni perjuangan yang tidak hak.
2. Membangunkan ekonomi yang sia-sia.
3. Membangunkan pendidikan yang sia-sia, yang melahirkan orang yang tidak kenal Tuhan dan rosak akhlaknya. Itu mesti dijauhi.
4. Membangunkan jemaah yang melalaikan.
5. Pergi musafir yang tidak memberi manfaat.
6. Berkawan yang tidak memberi manfaat.

Manakala perkara batin yang sia-sia pula ada dua iaitu:

a. Fikiran kita.

Fikiran jangan memikirkan perkara yang tidak memberi manfaat, yang sia-sia, yang tidak merasakan ke­besaran Tuhan dan mendatangkan cinta Tuhan. Atau memi­kirkan benda-benda yang boleh mendorong nafsu. Orang mukmin tidak akan lakukan yang demikian.

b. Perasaan kita.

Begitu juga perasaan perlu dijauhi daripada perkara yang melalaikan kita dari Tuhan. Lebih-lebih lagi perasaan yang boleh menjadi dosa seperti rasa hendak marah, berdendam, rasa hasad dengki, rasa-rasa hendak buat jahat, rasa-rasa yang tidak mendatangkan cinta dan takut Tuhan. Itu semua mesti dijauhi. Itu adalah antara perkara yang me­lalaikan, yang bersifat batin. Mana yang tidak disebut, kiaskan sahaja.

3. Mengeluarkan zakat

Erti zakat itu ialah murni, bersih dan suci. Zakat terbahagi dua yakni:

a. Zakat yang lahir

Zakat yang lahir itu kita bahagikan kepada asnaf yang lapan. Tidak perlu disebutkan asnaf itu di sini kerana semua sudah tahu. Sama ada zakat fitrah, zakat harta atau zakat perniagaan. Menga­pa bila kita tunaikan zakat, itu dikatakan pembersihan? Sebab hak yang lapan asnaf itu sudah tidak ada lagi pada harta kita. Tuhan sudah tentukan pada orang kaya itu ada hak lapan asnaf dalam hartanya. Jadi kalau kita keluarkan hak orang lain daripada harta kita, ertinya bersihlah harta kita. Kalau kita tidak keluarkan, ertinya hak asnaf yang lapan itu ada pada harta kita. Kalau kita makan, ertinya makan hak orang. Seolah-olah kita makan harta curi atau harta rasuah. Kalau kita beri anak isteri makan harta itu, lagilah luas kejahatan itu. Sebab itu zakat itu dalam bahasa kita dikatakan pembersihan sebab bila kita ke­luarkan zakat maka kita tidak makan lagi harta yang bukan harta kita.

b. Zakat yang batin

Zakat yang batin itu ialah:
i. Membersihkan akal kita daripada perkara yang haram, yang boleh menjadi syirik, yang boleh membawa ingkar dan mungkar kepada Tuhan.

ii. Membersihkan nafsu kita daripada tamak, dendam dan lain-lain lagi. Bersihkan hati kita daripada mazmumah nafsu. Sebab bila nafsu kotor, ia akan kotorkan hati. Bersihnya hati kita ditentukan oleh nafsu kita. Jadi hati atau roh kita ini di­ten­tukan oleh nafsu kita. Sebab itu tidak dikatakan muja­hadatur roh atau mujahadatul qalbi. Ia dikatakan mujaha­datun nafs iaitu mujahadah untuk membuang mazmumah dari nafsu kita. Bila nafsu kotor, maka jahatlah hati. Bila nafsu tidak terdidik, automatik roh tidak terdidik. Roh kita terco­rak ikut corak nafsu. Maka nafsu perlu dibersihkan dari maz­mumah.
Itu erti zakat yang batin, yang tersirat, yang bersifat rohaniah. Maka syarat ketiga untuk mendapat kemenangan ialah menge­luarkan zakat lahir dan batin. Orang hanya cakap zakat yang lahir sahaja. Yang batin tidak dipeduli. Walhal dalam ajaran Islam, hal yang tersirat itu lebih banyak.

4. Menjaga kehormatan

Kehormatan di sini banyak aspek. Ada yang besar dan ada yang kecil. Yang besar itu ialah peringkat zina. Orang berzina ertinya tidak menjaga kehormatan. Orang liwat, lesbian, termasuk zina dengan tangan, itu dikira tidak menjaga kehormatan. Bagi orang yang gunakan tangan (onani) atau alat-alat tertentu untuk keluar­kan mani, itu semua dosa besar. Kalau ia dilakukan maka dianggap tidak menjaga kehormatan yang besar. Zina, liwat, homoseks, lesbian, itu semuanya sama yakni dosa besar. Bila dilanggar, ia jadi dosa besar.
Ada pula kehormatan yang kecil seperti bergaul bebas, ber­cakap-cakap yang boleh lahirkan nafsu dan berpakaian terdedah. Itu juga dikatakan tidak jaga kehormatan. Mendedahkan aurat itu juga termasuk tidak menjaga kehormatan. Dedah aurat hanya boleh di depan suami isteri. Sesetengah orang dia hanya jaga kehormatan yang besar seperti tidak berzina, tetapi dia banyak langgar yang kecil-kecil. Akhirnya jadi dosa besar juga. Seperti ke pejabat dengan mendedah aurat, kemudian bergaul bebas, kemudian bercakap yang ada kehendak-kehendak nafsu, akhirnya jadi dosa besar. Asalnya tidak menjaga kehormatan yang kecil tetapi bila sudah banyak dan dilakukan setiap hari, ia jadi besar walaupun tidak berzina. Seolah-olah dia sudah berzina.
Jadi kehormatan atau maruah, sama ada yang besar atau kecil hendaklah dijaga. Kehormatan yang kecil, kalau tidak dijaga, ia jadi banyak dan akan jadi dosa besar juga.

5. Menjaga amanah-amanah

Di sini Tuhan menyebut amanah itu dalam kata jamak. Ertinya amanah itu banyak aspek. Amanah itu bersifat global. Jadi ertinya orang mukmin itu menjaga berbagai amanah yang dipikulkan kepadanya. Kalau kita kaji tentang amanah secara umum, amanah itu ada tiga aspek iaitu:

a. Amanah agama Islam
Ini amanah yang utama. Sewaktu di alam roh, sebelum amanah ini di­tawar­kan oleh Tuhan kepada manusia, Tuhan tanya kepada bukit, gunung dan bumi sama ada mahu terima amanah ini yakni ama­nah agama Islam untuk mengatur dunia tetapi semua tidak sang­gup. Setelah itu baru ditawarkan kepada manusia.
Kita sudah lupa tentang ini sebab roh kita sudah masuk dalam sangkar (tu­buh), lantas Tuhan beri nama insan (iaitu pelupa). Tidaklah di­kata­kan roh lagi. Insan itu dari bahasa Arab yang maksudnya pe­lupa. Masuk sahaja roh ke badan, kita terus lupa. Begitulah wa­tak manusia itu. Kalau takdirnya kita masih roh, kita akan ingat tentang amanah ini.
Jadi amanah yang besar sekali ialah amanah agama. Oleh kerana besarnya amanah itu, gunung, langit dan bumi tidak sanggup menerimanya tetapi manusia yang pelupa inilah yang menerima. Langit bukan sahaja menolak bahkan merayu me­mohon perlindungan supaya jangan diberikan amanah ini. Jadi tawaran itu dihalakan kepada manusia. Tanpa fikir panjang, kita pun terima.
Apa kata Tuhan? Tuhan pun berkata, “Dengan amanah inilah Tuhan hendak azab orang munafik lelaki dan perempuan, musy­rikin lelaki dan perempuan. Dan hendak ampunkan orang muk­min lelaki dan perempuan.”
Rupanya bila amanah ini diterima maka dihisablah manusia. Disebabkan amanah ini, manusia menjadi munafik dan kafir. Tuhan tidak sebut yang kafir dulu tetapi disebut munafik dulu sebab munafik sudah jelas lebih berat kejahatannya. Orang Islam sudah faham dan yang punya diri pun faham. Orang Islam yang tidak tunai amanah, itu munafik. Tuhan lebih marah kepada orang munafik yang tidak tunai janji daripada musyrik atau orang kafir. Walaupun ada yang mengaku Islam tetapi kebanyakannya adalah munafik. Tuhan hendak ampun orang mukmin kerana hanya orang mukmin yang patuh.
Amanah yang pertama itu ialah amanah agama Islam yang merupakan suruhan dan larangan. Perintah suruh itu pula ter­bahagi kepada berbagai kategori. Begitu juga perintah larangan. Ada yang haram, makruh, dosa besar, dosa kecil. Perintah suruh pula ada fardhu ain, fardhu kifayah, sunat dan sunat muakad. Itu statusnya. Aspeknya yang utama ada yang berkait dengan ibadah yakni rukun Islam seperti solat dan ada yang berkait dengan akidah yang bukan setakat dipercayai bahkan mesti diyakini. Ramai yang percaya tetapi tidak yakin. Contohnya Tuhan tidak dijadikan tempat rujuk dalam semua hal. Bimbang hendak tawakal dengan Tuhan. Begitu juga akhlak ataupun ihsan. Ia adalah perintah wajib. Seperti merendah diri, sabar, kasih sayang, pemaaf, tolak ansur, tawakal dan redha.
Begitulah sebaliknya, perkara yang dilarang, yakni disuruh tinggalkan seperti sombong, hasad, riak dan dengki. Jadi amanah itu ada perintah buat dan ada perintah larang. Ada yang berkait dengan akidah, Islam dan ihsan. Juga dalam hal-hal rohaniah. Itu semua amanah yang mesti dibuat. Oleh kerana amanah itu besar maka gunung, bukit, laut dan bumi tidak sanggup memi­kulnya. Mereka tidak mahu dan tidak sanggup sebab mereka tahu akibatnya. Tetapi manusia terima dengan penuh sombong.
Jadi agama Islam itu adalah amanah yang terbesar, yang di dalamnya ada akidah, Islam dan ihsan.

b. Apa yang Tuhan milikkan kepada kita
Apa yang Tuhan milikkan kepada kita merupakan amanah. Ianya ada dua peringkat iaitu:
a. Yang ada dalam diri
b. Yang di luar diri
Setiap milik kita yang ada dalam diri atau di luar diri adalah taraf amanah yang kedua selepas amanah agama Islam tadi. Dengan kata lain seluruh lahir dan batin kita adalah amanah. Tuhan suruh gunakan mata untuk melihat perkara yang Tuhan redha. Tuhan beri kaki supaya kita menghala ke sesuatu yang Tuhan redha. Tuhan beri mulut supaya kita boleh bercakap sesuatu yang Tuhan redha. Jadi semua jawarih yang ada pada kita itu ada­lah amanah yang Tuhan minta kita gunakan ke arah yang Tuhan redha. Siapa yang menggunakannya dijalan yang Tuhan tidak redha, ertinya dia khianat.
Begitu juga dengan nafsu. Kehendak-kehendak nafsu mestilah kita halakan kepada yang Tuhan kehendaki dan yang Tuhan suka. Kalau berlaku sebaliknya, ertinya kita khianat. Demikianlah juga dengan roh. Hendaklah kita berperasaan mengikut yang Tuhan suka. Jika tidak, ertinya kita khianat. Apa yang kita tahu yakni di akal, yang sudah jadi ilmu kita, kalau yang wajib, mesti dilak­sanakan, kalau sunat elok dilaksanakan dan kalau haram, jangan dilaksanakan.
Di luar diri kita juga ada amanah yang Tuhan sudah jadikan milik kita. Di antaranya anak isteri. Mereka mesti dididik seperti mana yang Tuhan redha dan mesti diajak ke arah yang Tuhan suka. Kalau dididik dengan cara yang Tuhan tidak suka, ertinya kita khianat dengan Tuhan. Kebanyakan orang gagal apabila ber­hadapan dengan anak isteri, termasuklah para pejuang Islam. Kita sendiri perlu check kerana kita pun ada yang gagal sebab ka­dang-kadang kita lebih ghairah untuk mendidik orang tetapi apabila berhadapan dengan keluarga, kita cuai.
Anak isteri ada­lah harta kita. Mereka itu adalah amanah. Selain itu, wang, ringgit dan harta kita adalah amanah. Makin banyak harta atau aset kita ertinya makin banyaklah amanah yang hendak ditunaikan. Kalau sedikit sahaja, maka sedikitlah amanah. Sebab itu, walau­pun mencari harta itu dibenarkan tetapi kerana hendak elakkan daripada harta itu menjadi amanah dan tanggungjawab maka di kalangan Sahabat Rasulullah SAW ada yang memilih untuk miskin. Jadi apa juga aset yang ada pada kita, hendaklah dihala­kan kepada keredhaan Tuhan. Kalau tidak, kita akan dianggap khianat.

c. Amanah yang aradhi (mendatang)
Amanah yang dipikulkan kepada kita sama ada oleh negara, ma­syarakat atau jemaah adalah amanah yang aradhi. Ada orang yang jadi presiden, jadi pengarah atau jadi cikgu. Asalnya amanah itu tidak ada tetapi kita yang hendakkan jawatan itu tanpa tahu bahawa itu amanah dan tanggungjawab besar. Itu amanah tam­bahan yang dipertanggungjawabkan. Kalau kita tidak melak­sanakan tanggungjawab ertinya kita khianat.
Rupanya amanah yang perlu dipikul oleh seseorang itu ada tiga aspek. Amanah agama pun tidak mampu hendak kita buat. Tidak cukup dengan itu, kita minta lagi yang lain-lain untuk kita tanggung. Bodohnya manusia sampai boleh jadi munafik kerana tidak menunaikan amanah sedangkan munafik itu lebih jahat dari orang kafir.
Itulah huraian kepada ayat bahawa orang mukmin itu sangat me­nunaikan amanah. Kalau tidak mampu, dia akan minta ampun dari Tuhan. Itulah yang dimaksudkan mereka yang menjaga ama­nah. Orang mukmin boleh melakukannya tetapi tidak bagi orang Islam. Orang Islam sudahlah tidak mampu, tidak pula minta ampun.

6. Menunaikan janji mereka

Janji itu ada dua iaitu:

a. Janji yang kita buat waktu di alam roh. Itu janji besar yang kita hendak tunaikan.

b. Ada pula janji aradhi yang kita buat sendiri. Tidak puas dengan janji yang ada, kita tambah lagi. Kalau kita janji hendak bayar hutang tetapi tidak bayar, itu khianat. Kecuali kalau kita tidak mampu, kita minta halalkan. Kalau berjanji hendak jumpa di suatu tempat tetapi tidak pergi, itu khianat. Janji hendak buat itu dan ini tetapi tidak amanah dengan janji. Itu khianat. Kalau kita sudah buat janji dengan sesiapa pun, kalau tidak dapat tunaikan, mesti jumpa dan minta maaf.

7. Mereka menjaga solat-solat mereka

Solat di sini disebut dalam jamak, bukan satu. Orang muk­min itu ialah orang yang menjaga solat-solatnya. Ia disebut banyak sebab solat itu di­lakukan banyak kali, selagi hidup. Sebab itu dikatakan solat-solat dan tidak dikatakan solat sahaja. Itulah yang susah. Orang mukmin sahaja yang mampu menjaga solat setiap kali mendirikannya.

Bagaimana yang dikatakan memelihara solat? Ia melibatkan banyak perkara seperti:

1. Jaga syarat-syaratnya. Kalau tidak jaga syarat maka tidak sah solat. Ertinya tidak solatlah. Tidak payah­lah kita terangkan lagi syaratnya sebab kita sudah belajar fardhu ain.
2. Jaga rukun (rukun di dalam solat, di luar solat adalah syarat-syaratnya).
3. Jaga bacaan-bacaan supaya sesuai dengan ilmu tajwid.
4. Faham makna bacaan.
5. Jaga penghayatannya.
6. Jaga waktu solat.
7. Kalau berjemaah, jaga barisan atau safnya.

Yang lebih berat dari itu ialah kena jaga tuntutannya di luar solat. Kalau kita sudah buat ikrar, “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku adalah kerana Allah,” maka tuntutannya sangat berat hendak dibuat di luar solat. Se­bab itu ada ulama yang kata, “Hendaklah kamu solat setiap masa.” Maksudnya tuntutan solat itu hendaklah diamalkan setiap masa. Kalau boleh setiap tarikan nafas kita mesti sesuai dengan ikrar kita bahawa hidup mati kita untuk Tuhan. Buat apa pun, mesti dalam keadaan ingat dan untuk Tuhan.
Begitulah tuntutan untuk menjaga solat. Kalau tidak dilaksanakan maka kita dianggap tidak menjaga solat.
Jadi kalau tujuh perkara ini berlaku kepada orang mukmin, selain diberi kemenangan di dunia, di hujung ayat diberitahu, akan diberi kejayaan besar di Akhirat yakni diberi Syurga Firdaus yang merupakan Syurga yang paling tinggi. Rasulullah SAW berkata kalau hendak minta Syurga, mintalah Syurga Firdaus. Maka itulah ciri orang yang akan mewarisi Syurga Firdaus, yang mana mereka kekal abadi di dalamnya.
Itulah tafsiran surah Al Mukminun dari ayat 1-11. Setelah dihurai dan ditafsirkan, terlalu banyak ilmu yang ada dalam ayat itu. Kita rasa takut kalau tidak dapat laksanakan. Belum lagi baca ayat lain. Baru ayat dalam surah Al Mukminun, sudah terasa berat. Itulah yang hendak kita faham dan hayati supaya kita benar-benar mendapat kejayaan di Akhirat. Moga-moga bertambah ke­sedaran kita.
src : http://kawansejati.ee.itb.ac.id/f-05-kejayaan-menurut-islam






Tiada ulasan:

Catat Ulasan