KATA-KATA ALUAN
Segala puji-pujian untuk Allah S.W.T. yang menguruskan segala perkara dengan tadbiranNya serta menghiaskan manusia dengan ilmuNya supaya dengan itu berbezalah antara manusia dengan makhluk lain yang diciptakan Allah di alam ini.
Akhlak
merupakan satu pancaran daripada kemurnian akidah yang dianuti oleh seseorang
insan. Akhlak yang baik adalah gambaran daripada akidah yang benar yang jauh
daripada unsur-unsur penyelewengan. Akhlak yang buruk pula merupakan racun yang
membunuh manusia, yang merosakkan akal fikiran, keaipan yang terbuka serta
kehinaan yang jelas menjauhkan seseorang itu dari berhampiran dengan Allah,
Tuhan semesta alam.
Justeru
itu kedua-dua sifat akhlak ini memerlukan kita mengenainya, bermujahadah untuk
mendapatkan akhlak yang baik serta bermuhasabah pula untuk menghindarkan akhlak
yang buruk.
Saya
berdoa semoga buku kecil ini memberi manfaat kepada para pembaca dalam usaha
mengenal akan hati masing-masing, mengenal penyakit-penyakitnya dan terus pula
merawatnya demi kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
Kepada
penulis buku ini saya juga berdoa kepada Allah S.W.T. agar diberkati usaha
beliau dan menerimanya sebagai amalan yang baik lagi mulia.
(BRIG.JEN.DATO’ABDUL
HAMID BIN HJ. ZAINALABIDIN)
Ketua
Pengarah
Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia
AL QURAN PEMBINA AKHLAK MULIA
AKHLAK ialah tingkahlaku yang dipengaruhi oleh nilai-nilai yang diyakini oleh seseorang dan sikap yang menjadi sebahagian daripada keperibadiannya. Nilai-nilai dan sikap itu pula terpancar daripada konsepsi dan gambarannya terhadap hidup. Dengan perkataan lain, nilai-nilai dan sikap itu terpancar daripada aqidahnya iaitu gambaran tentang kehidupan yang dipegang dan diyakininya.
Akidah
yang benar dan gambaran tentang kehidupan yang tepat dan tidak dipengaruhi oleh
kepalsuan, khurafat dan falsafah-falsafah serta ajaran yang palsu, akan
memancarkan nilai-nilai benar yang murni di dalam hati. Nilai-nilai ini akan
mempengaruhi pembentukan sistem akhlak yang mulia. Sebaliknya, jika akidah yang
dianuti dibina di atas kepalsuan dan gambarannya mengenai hidup bercelaru dan
dipengaruhi oleh berbagai-bagai fahaman palsu, ia akan memancarkan nilai-nilai
buruk di dalam diri dan mempengaruhi pembentukan akhlak yang buruk.
Akhlak
yang baik dan akhlak yang buruk, merupakan dua jenis tingkahlaku yang
berlawanan dan terpancar daripada dua sistem nilai yang berbeza. Kedua-duanya
memberi kesan secara langsung kepada kualiti individu dan masyarakat. lndividu
dan masyarakat yang dikuasai dan dianggotai oleh nilai-nilai dan akhlak yang
baik akan melahirkan individu dan masyarakat yang sejahtera. Begitulah
sebaliknya jika individu dan masyarakat yang dikuasai oleh nilai-nilai dan
tingkahlaku yang buruk, akan porak peranda dan kacau-bilau. Masyarakat kacau-bilau,
tidak mungkin dapat membantu tamadun yang murni dan luhur.
Sejarah
membuktikan bahawa sesebuah masyarakat itu yang inginkan kejayaan bermula
daripada pembinaan sistem nilai yahg kukuh yang dipengaruhi oleh unsur-unsur
kebaikan yang terpancar daripada akidah yang benar. Masyarakat itu runtuh dan
tamadunnya hancur disebabkan keruntuhan nilai-nilai dan akhlak yang terbentuk
daripadanya. Justeru itu, akhlak mempunyai peranan yang penting di dalam
kehidupan dan dalam memelihara kemuliaan insan serta keluhurannya. Martabat
manusia akan menurun setaraf haiwan sekiranya akhlak runtuh dan nilai-nilai
murni tidak dihormati dan dihayati.
Oleh
kerana itu Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya aku diutus untuk melengkapkan akhlak yang mulia.”
(Riwayat
al-Baihaqi)
Para
sarjana dan ahli fikir turut mengakui pentingnya akhlak di dalam membina
keluhuran peribadi dan tamadun manusia. Akhlak yang mulia menjadi penggerak
kepada kemajuan dan kesempurnaan hidup. Sebaliknya, akhlak yang buruk menjadi
pemusnah yang berkesan dan perosak yang meruntuhkan kemanusiaan serta ketinggian
hidup manusia di bumi ini.
Kepentingan
akhlak dalam kehidupan dinyatakan dengan jelas dalam al Quran menerusi
berbagai-bagai pendekatan yang meletakkan al Quran sebagai sumber pengetahuan
mengenai nilai dan akhlak yang paling terang dan jelas. Pendekatan al Quran
dalam menerangkan akhlak yang mulia, bukan pendekatan teoritikal tetapi dalam
bentuk konseptual dan penghayatan. Akhlak yang mulia dan akhlak yang buruk
digambarkan dalam perwatakan manusia, dalam sejarah dan dalam realiti kehidupan
manusia semasa, al Quran diturunkan.
Al Quran
menggambarkan bagaimana akidah orang-orang beriman, kelakuan mereka yang mulia
dan gambaran kehidupan mereka yang penuh tertib, adil, luhur dan mulia. Berbanding
dengan perwatakan orang-orang kafir dan munafik yang buruk dan merosakkan. Gambaran
mengenai akhlak mulia dan akhlak keji begitu jelas dalam perilaku manusia sepanjang
sejarah. Al Quran juga menggambarkan bagaimana perjuangan para rasul untuk
menegakkan nilai-niiai mulia dan murni di dalam kehidupan dan bagaimana mereka
ditentang oleh kefasikan, kekufuran dan kemunafikan yang cuba menggagalkan
tertegaknya dengan kukuh akhlak yang mulia sebagai teras kehidupan yang luhur
dan murni itu.
Akidah Mencorakkan Akhlak
Sebagaimana yang disebutkan sebelum ini, nilai-nilai akhlak yang dipegang oleh seseorang dan sesuatu kebudayaan itu adalah hasil daripada akidah dan gambaran tentang kehidupan itu. Pembentukan nilai-nilai akhlak itu bergantung kepada bagaimana manusia memberikan jawapan kepada pertanyaan-pertanyaan yang asasi dalam hidup. Siapakah yang mencipta alam ini dan apakah tujuannya? Apakah tujuan manusia ditempatkan di bumi dan apakah tujuan dan matlamatnya yang sebenar? Jawapan-jawapan kepada persoalan asas mengenai kehidupan ini akan menentu dan mencorak nilai-nilai akhlak yang dimiliki oleh seseorang atau sesuatu kebudayaan. Oleh kerana terdapat berbagai-bagai jawapan kepada persoalan tersebut, maka terdapat berbagai sistem nilai di dalam masyarakat manusia yang mencorakkan berbagai sikap dan tingkahlaku yang membentuk berbagai-bagai kebudayaan.
Al Quran
telah memaparkan berbagai golongan yang memberi jawapan berbeza kepada
persoalan-persoalan asasi kehidupan yang membentuk konsepsi dan akidah mengenai
kehidupan ini.Terdapat akidah orang-orang beriman, akidah orang-orang kafir, akidah
orang-orang fasik dan akidah orang-orang munafikin.
Akidah
orang-orang beriman dinyatakan dalam al Quran sebagai orang-orang yang beriman
kepada Allah S.W.T, kepada RasulNya, kepada keagungan Allah yang mencipta dan
memiliki alam ini. Mereka yakin kepada hari akhirat, yakin bahawa kejadian
Allah tidak terbatas kepada alam lahir sahaja dan kejadian Allah itu tidak
terbatas dalam lingkungan yang dapat diketahui oleh manusia. Kerana itu mereka
percaya kepada kejadian Allah yang ghaib, seperti malaikat, syurga, neraka dan
adanya makhluk-makhiuk Allah yang lain yang tidak diketahui oleh manusia dan
pengetahuan manusia tidak menjadi syarat bagi menentukan sesuatu kejadian Allah
harus ada atau tidak ada. Allah S.W.T bebas mengikut kehendakNya, untuk
mencipta atau tidak mencipta sesuatu yang ada di dalam ilmuNya.
Akidah
ini menyebabkan orang-orang beriman sentiasa bergantung harap kepada Allah
S.W.T dan tidak bergantung harap kepada yang lain daripadaNya. Tujuan hidup manusia di dunia ini ialah untuk beribadah
kepada Allah S.W.T. dan setiap tindak tanduk dan kelakuan serta tindakannya
adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah S.W.T. Keredhaan Allah
dan beribadat kepada Allah S.W.T. menjadi tumpuan dan pemusatan setiap aspek
kegiatannya.
Pergantungan
semata-mata kepada Allah memberikan kepada seorang mukmin itu kebebasan dan
tidak terikat kepada mana-mana kuasa lain daripada Allah S.W.T. Daripada
perasaan inilah tercetusnya pengakuan seorang muslim bahawa ‘Tiada Tuhan yang
disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah S.W.T.’
Manusia
beriman yang sebenarnya, tidak mungkin menyembah kepada yang lain daripada
Allah S.W.T, tidak memperduakan sesuatu yang dicipta oleh mana-mana kuasa
selain daripada yang ditentukan di dalam agama Allah S.W.T. Allah S.W.T. bagi
mereka adalah Tuhan Yang Maha Sempuma, Maha berkuasa dan kepada Dialah tumpuan
segala ibadah dan segala yang baik sama ada niat dan amalan. Lihatlah bagaimana
pendirian yang bebas, tegas dan berani yang ditunjukkan oleh seorang mukmin
yang sejati Rab’i bin Amir ketika berhadapan dengan Raja Rom, yang bermaksud:
‘Allah
sesungguhnya mengutus kami untuk membebaskan sesiapa yang dikehendakiNya
daripada menyembah sesama hamba kepada menyembah hanya kepada Allah, daripada
kesempitan dunia kepada keluasannya dan keluasan akhirat daripada kezaliman
agama-agama kepada keadilan Islam.’
Seorang
mukmin berjiwa bebas, tetapi bukan sebagai debu berterbangan di udara. Kebebasan
seorang mukmin sentiasa mendapat panduan dan bimbangan. Justeru itu ia tidak
berkelana dan hidup tanpa tujuan. la sentiasa bergerak bebas dengan memiliki
peta yang menunjukkan haluan pergerakan dan perjalanannya. la sentiasa
bertindak mengikut petunjuk Allah dan berpandu kepadanya.
Seorang
mukmin berperasaan halus dan berhati lembut kerana keyakinannya bahawa ia
adalah hamba kepada Allah S.W.T. Segala perbuatannya akan dinilai dan dihitung
serta diberikan balasan atau ganjaran dengan adil dan saksama. Wawasannya,
tidak semata-mata untuk mendapatkan habuan dan ganjaran di dunia, tetapi juga
di akhirat. Tentunya, ganjaran di akhirat adalah lebih baik dahapda di dunia.
Kerana itu, ia sanggup mengorbankan kurniaan Allah di dunia, untuk mendapatkan
kurniaan Allah di akhirat.
Akidah
dan pandangan hidup yang asas ini, memancarkan nilai-nilai yang murni dalam
jiwa orang-orang beriman. Nilai-nilai ikhlas untuk Allah S.W.T. dan tidak
tunduk beribadah melainkan kepada Allah S.W.T adalah merupakan nilai yang agung
yang membentuk akhlak yang murni dan jiwa yang luhur dalam kehidupan
orang-orang beriman. Ia membentuk akhlak terhadap Allah S.W.T. dan akhlak
terhadap sesama manusia.
Hubungan
manusia dengan Allah S.W.T dan kelakuannya terhadap Allah S.W.T. ditentukan
mengikut nilai-nilai akidah yang ditetapkan. Begitu juga akhlak terhadap
manusia dicorakkan oleh nilai-nilai akidah seorang muslim, sepertimana yang
ditetapkan di dalam al Quran yang merupakan ajaran dan wahyu daripada Allah
S.W.T Pergaulan manusia dengan manusia tidak boleh disamakan dengan perhubungan
manusia dengan Allah S.W.T.
Akidah
dan pegangan seorang beriman berbeza dengan akidah dan pegangan seorang kafir. Justeru
itu nilai-nilai dan akhlak juga berbeza. Al Quran memaparkan akidah dan
pegangan orang-orang kafir dalam berbagai kategori, justeru terdapat berbagai
bentuk kekufuran yang berlaku di kalangan umat manusia. Antara kekufuran yang
beriaku disebabkan mereka menolak ajaran yang benar yang dibawa oleh utusan
Allah S.W.T. dan mereka menafikan kerasulan utusan itu. Allah S.W.T berfirman
yang bermaksud:
“Maka berkata pembesar-pembesar yang kafir itu dari kalangan
bangsanya, ini tidak lain daripada manusia seperti kamu. Ia hendak menonjolkan
diri supaya lebih daripada kamu. Jika Allah hendak turunkan utusan, Dia akan
turunkan malaikat. Kita tidak mendengar daripada bapa-bapa kita yang terdahulu
mengenai ini (utusan Allah dari kalangan manusia).”
(al-Mu’minun:
24)
Kekufuran
juga berlaku kerana tidak percayakan hari akhirat. Kerana percaya bahawa tidak
ada kehidupan selepas mati, mereka hidup berfoya-foya(bebas) di dunia ini tanpa
memikirkan seksaan di akhirat. Bagi mereka seperti yang dinyatakan oleh al Quran
‘kehidupan ini cuma di dunia.’ Manusia dilahirkan dan kemudian mati, mereka
tidak dibangkitkan kembali, seperti kata mereka yang bermaksud:
‘Kehidupan
kita tidak yang lain daripada kehidupan di dunia. Daripada tiada kita ada dan
hidup. Apabila mati kita tidak dibangkitkan lagi.
Maksudnya:
‘Dan
berkata pembesar-pembesar dari bangsanya yang kafir dan mendustakan kehidupan
akhirat dan kami jadikan berfoya-foya dalam kehidupan mereka di dunia, orang
ini, hanyalah seorang manusia seperti kamu.
“Makan dari apa yang kamu makan dan minum dari apa yang kamu
minum.”
(al-Mukminun:
33)
Kekufuran
juga beriaku disebabkan sifat bongkak dan sombong serta ingkar kepada perintah
Allah dan angkuh terhadapnya. Allah berfirman mengenai kekufuran Iblis yang
bermaksud:
“Dan ketika kami berkata kepada malaikat sujudlah kepada Adam.
Mereka pun sujud, kecuali lblis. la ingkar dan takbur dan ia daripada
orang-orang kafir.”
(al-Baqarah:
34)
Akidah
orang-orang kafir yang sombong terhadap Allah S.W.T, yang tidak percaya kepada
para rasul yang diutus oleh Allah dan ajaran-ajaran yang mereka bawa, yang
tidak percaya kepada hari akhirat dan tidak patuh kepada hukum-hukum Allah
dengan ingkar kepada hukum-hukum itu, membentuk nilai-nilai kelakuan dan cara
hidup yang menjurus ke arah kehidupan yang tidak berakhlak mulia dan luhur.
Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta
mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang
nerakalah menjadi tempat tinggal mereka.”
(Muhammad:
12)
Mereka
tidak mempunyai matlamat yang murni dan abadi dalam kehidupan mereka. Kehidupan
ini bagi mereka mencari makan, mencari harta dan berfoya-foya semata-mata untuk
di atas dunia ini. ltulah sahaja kehidupan mereka. Selain daripada itu, tiada
matiamat yang jauh yang hendak dituju. Pandangan dan cara hidup mereka ini,
sudah tentu mempengaruhi pembentukan akhlak mereka yang pincang dan bercelaru.
Satu
lagi akidah kekufuran yang berbahaya ialah munafik yang ‘pepat
di luar rencung di dalam,’ ‘telunjuk lurus kelingking berkait.’ Bahaya kekufuran ini sangat dahsyat kerana sikap
pemusuhan dan dendam mereka terhadap orang-orang yang beriman. Gambaran
mengenai akidah mereka penuh dengan gambaran kepura-puraan. Mereka mengaku
beriman, tetapi mereka sebenarnya tidak beriman. Mereka berpura-pura percaya
kepada Nabi s.a.w. yang diutus oleh Allah S.W.T. tetapi dalam hati mereka benci
dan memusuhi baginda. Mereka memandang rendah kepada ajaran Nabi s.a.w. dan
sering mempertikaikan ajaran itu. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:
“Dan di kalangan manusia ada yang berkata kami beriman dengan
Allah dan Hari akhirat pada hal mereka bukan daripada orang-orang beriman.”
(alBaqarah
: 8)
Akidah
munafikin, melahirkan sifat-sifat dan kelakuan-kelakuan keji yang mewakili
akhlak yang buruk. Untuk menyembunyikan kekufuran, mereka berdusta, memutar
belitkan kebenaran, memungkir janji dan mengkhianati amanah. Rasulullah s.a.w.
bersabda yang bermaksud:
“Tiga perkara yang sesiapa yang mempunyainya di dalam diri maka
ia adalah munafik. Apabila bercakap ia dusta, apabila berjanji tidak dikotakan
apabila diberi amanah ia khianat.”
(Riwayat
Bukhari dan Muslim)
Nilai-Nilai Mutlak Dan Relatif
Selain
daripada memaparkan konsep dan penghayatan akhlak secara konsepsi dan praktikal
dan membezakan antara akhlak orang-orang yang beriman dan orang-orang kafir
berasaskan kepada perbezaan akidah mereka. Al Quran menghuraikan pengertian
akhlak Islam yang didokong dan dihayati oleh orang-orang beriman. Akhlak Islam
dijelaskan berdasarkan kepada model insan kamil yang terdapat dalam did Rasuluilah s.a.w. yang telah merealisasikan
pengertian akhlak al Quran dalam kehidupan yang realistik. Rasulullah s.a.w.
dikatakan sebagai al Quran yang berjalan. Aishah ra.berkata ‘Adapun akhlak baginda
ialah al Quran.’ Kerana itu nilai-nilai asas yang membentuk akhlak Islam ialah
nilai-nilai mutlak. Nilai-nilai asas ini, tidak bersifat relatif atau nisbi. Nilai-nilai
asas yang membentuk akhlak Islam, tidak berubah-ubah mengikut zaman dan tempat.
la tidak hanya baik pada masa yang lalu dan tidak baik untuk masa sekarang. Apa
yang diperakukan oleh al Quran dan al Sunnah sebagai baik, maka ia adalah baik
untuk sepanjang zaman dan tempat. Apa yang dianggap tidak baik, maka ia adalah
tidak baik untuk selama-lamanya. Apa yang baik adalah halal dan yang buruk dan
tidak baik itu adalah haram. Perkara halal dan yang haram diterangkan dengan
jelas.
Nilai-nilai
yang baik dan buruk diprogramkan ke dalam hukum-hukum yang menentukan sama ada
sesuatu perkara itu boleh dilakukan atau tidak boleh dilakukan, yang mesti
dilakukan atau mesti dilakukan atau mesti ditinggalkan atau dijauhkan.
Hukum-hukum itu ialah wajib, sunat, haram dan makruh. Perkara-perkara yang
telah diprogramkan ke dalam hukum-hukum ini adalah mutlak sifatnya. Akan tetapi
perkara-perkara yang termasuk dalam perkara harus adalah relatif sifatnya.
Nilai-nilai
akhlak Islam, berbeza dengan nilai-nilai tamadun Barat yang semata-mata bergantung
kepada akal dalam menentukan nilai-nilai baik dan tidak baik. Kerana itu,
kebanyakan nilai-nilai dalam tamadun barat bersifat relatif. Pada hari ini ia
difikirkan sebagai baik dan di masa yang lain ia ditolak sebagai baik. Begitu
juga yang dipandang buruk pada hari ini, tidak lagi dianggap demikian pada masa
yang lain. Homoseksual dan Lesbian, dahulu dianggap haram dan tidak baik. Sebaliknya
hari ini perbuatan itu dihalalkan dan dibenarkan sebagai legal serta mendapat
hak-hak dan periindungan perundangan. Kenisbian nilai-nilai akhlak ini,
menimbulkan huru hara nilai yang mengakibatkan kepincangan akhlak.
Rasulullah
s.a.w., adalah contoh seorang hamba Allah yang bersyukur iaitu contoh berakhlak
mulia dan tinggi dalam hubungan dengan Allah S.W.T. lni berasaskan kepada
peribadahan yang dilakukannya dengan penuh ikhlas mengikut sistem peribadahan
yang ditentukan oleh Allah S.W.T. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
“Mereka tidak diperintahkan melainkan untuk beribadah kepada
Allah dengan ikhlas serta mempunyai sistem agama.”
(al-Bayyinah:
5)
Orang-orang
kafir musyrik yang beribadah kepada yang lain daripada Allah S.W.T. adalah
manusia yang tidak berakhlak dan berlaku biadab terhadap Allah S.W.T Abu Lahab,
Firaun, Namrud dan lain-lain adalah contoh manusia yang tidak berakhlak dan
biadab terhadap Allah S.W.T. Mereka takbur, bongkak dan sombong. Mereka
melakukan kemungkaran, kezaliman dan kerosakan di bumi akibat daripada
kesyirikan mereka terhadap Allah. Nilai-nilai syirik menjadikan mereka manusia
yang tidak bermoral dan makhluk perosak yang meluas seperti di kalangan
generasi baru masyarakat barat.
Model Akhlak Al Quran
Akhlak
Rasulullah s.a.w. adalah model akhlak-akhlak mulia yang dihurai dan dijelaskan
dalam al Quran. Keterangan jelas mengenai konsep akhlak mulia dalam al Quran,
bukan sahaja untuk difahami, tetapi untuk dilaksanakan. Contoh kepada
penghayatan dan kaedah penghayatan itu ialah kehidupan Rasulullah s.a.w.
Rasulullah
s.a.w. seorang mukmin yang terulung. Seorang yang telah diasuh dan dipelihara
akhlaknya oleh Allah S.W.T. untuk dipelihara akhlaknya oleh Allah S.W.T. untuk
dijadikan seorang rasul dan contoh insan kamil yang menjadi ikutan dan teladan
sepanjang zaman. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya engkau memiliki akhlak yang sungguh agung.”
(al-Qalam:
4)
Juga
firmanNya yang bermaksud:
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu
contoh ikutan yang baik.”
(al-Ahzaab;
21)
Rasulullah
s.a.w. dan para sahabat yang beriman denganNya,
adalah para hamba Allah S.W.T. yang tekun mengerjakan ibadat dan tunduk khusyuk
merendah diri kepada Allah S.W.T. takut dan mengharap kepadaNya, bertawakal
serta bersyukur kepadaNya. Wajah mereka berbekas kesan daripada sujud. Pada
waktu siang mereka menjadi pahlawan gagah membela agama Allah S.W.T. Sedangkan
pada waktu malam air mata mereka berlinang kerana insaf dan memohon keampunan
daripada Allah S.W.T. Al Quran menggambarkan pengabdian mereka kepada Allah
S.W.T. dengan firmanNya yang bermaksud:
“Nabi Muhammad s.a.w. ialah Rasul Allah dan mereka yang bersama
dengannya tegas terhadap orang kafir, dan sebaliknya bersikap kasih sayang dan
belas kasihan sesama sendiri (Umat Islam). Kamu melihat mereka rukuk dan sujud
dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan
keredhaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh)
terdapat pada muka mereka dari kesan sujud.”
(al-Fath:
29)
Rasulullah
s.a.w. paling banyak beribadah dan paling bertakwa, tanpa melupakan
tanggungjawab terhadap kewajipan manusia yang lain. Isteri baginda Aishah
hairan kerana baginda begitu tekun beribadah kepada Allah S.W.T. Pada suatu
ketika ‘Aishah bertanya, mengapa baginda begitu tekun dan kuat beribadah, pada
hal Allah S.W.T. sedia mengampuni dosa baginda yang terdahulu dan terkemudian.
Rasulullah s.a.w. menjawab, yang bermaksud:
“Tidakkah aku ingin dirinya menjadi hamba yang bersyukur.”
(Riwayat
Bukhari dan Muslim)
Bersyukur
adalah akhlak yang tinggi dan mulia dalam hubungan dengan Allah S.W.T. Bersyukur
di atas nikmat yang dikurniakan Allah S.W.T, kemuncak daripada tujuan
beribadah. Membentuk diri menjadi hamba Allah yang bersyukur, mercu kejayaan
dalam usaha membentuk insan kamil yang meredhai Allah dan diredhai Allah. Kesyukuran
itu, menambahkan lagi kesayangan Allah dan sentiasa mendapat tambahan nikmat-nikmat
Allah S.W.T. Allah S.W.T. berfirman yang
bermaksud:
“Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur, nescaya aku akan
tambahi nikmatku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabku
amatlah keras.”
(Ibrahim:
7)
Rasulullah
s.a.w. adalah contoh manusia yang bersyukur kepada Allah S.W.T. dan
kesyukurannya itu dilafazkan menerusi amalan ibadahnya kepada Allah S.W.T. lni
ditambahi pula dengan ingatan yang tidak putus-putus terhadap Allah dan
menjadikan seluruh kehidupannya dalam suasana beribadah kepada Allah S.W.T.
semata-mata.
Beribadah
dalam pengertian bersolat, berzikir, berpuasa dan amalan-amalan kerohanian yang
lain dilakukan tanpa mengurangkan tanggungjawab dalam hubungan antara sesama
manusia, seperti yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. Allah S.W.T menekankan
hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia seperti yang dinyatakanNya
dalam al Quran yang bermaksud:
“Mereka ditimpakan kehinaan di mana sahaja mereka berada kecuali
dengan adanya sebab daripada Allah dan adanya sebab daripada manusia.”
(ali’
lmran: 112)
Justeru
itu al Quran menggariskan prinsip-prinsip bagi mewujudkan sistem yang mengatur
hubungan dengan Allah S.W.T. menerusi ibadah dan takwa serta sistem yang
mengatur hubungan antara manusia dengan manusia. Sistem ini menjamin jalinan
hubungan yang berasaskan akhlak yang dapat membebaskan manusia dari kehinaan
dan dapat meningkatkan martabat mereka menuju kemuliaan dan kehormatan.
Pada
suatu ketika Rasuluilah s.a.w. mendengar perbualan beberapa orang sahabat
mengenai ibadat mereka. Seorang berkata, ia bersolat sepanjang malam. Sahabat
yang lain pula berkata ia berpuasa sepanjang hari sementara seorang lagi
berkata ia tidak berkahwin untuk menumpukan kepada ibadat. Rasulullah s.a.w.
mendengar perbualan mereka lantas berkata,
“Kamukah yang berkata demikian, demikian. Akulah orang yang
paling bertakwa dari kalangan kamu. Akan tetapi aku solat dan aku tidur, aku
berpuasa dan aku berbuka puasa malah aku mengahwini wanita-wanita.”
Tumpuan
kepada ibadah khusus dalam menguatkan hubungan dengan Allah tidak seharusnya
mengabaikan tanggungjawab dalam hubungan dengan manusia yang juga merupakan
ibadah apabila dilakukan untuk keredhaan Allah serta melaksanakan perintah dan
arahannya.
Akhlak Terhadap Sesama Islam
Al Quran dan al Sunnah yang menterjemahkan ajaran al Quran ke dalam realiti kehidupan, menggariskan akhlak-akhlak mulia dalam hubungan antara sesama orang-orang beriman, secara terperinci.
Hubungan
antara sesama orang beriman itu diasaskan kepada persaudaraan. Persaudaraan
yang sentiasa digerak dan dihidupkan, diperbaiki dan diperkukuhkan. Allah
S.W.T. berfirman yang bermaksud:
“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka
damaikanlah di antara dua saudara kamu.”
(al-Hujuraat..
10)
Persaudaraan
itu diikat dengan kasih sayang dan cinta mencintai antara satu sama lain.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Perumpamaan orang-orang yang beriman itu dari segi saling
berkasih sayang dan berkasihan belas, adalah seperti jasad apabila satu anggota
mengadu sakit, membawa seluruh jasad turut berjaga malam dan demam.”
(Riwayat
Ahmad)
Perasaan
kasih-sayang terhadap sesama umat Islam adalah komponen yang membentuk iman.
Beriman kepada Allah dan RasulNya mestilah mengandungi perasaan kasih kepada
kedua-duanya. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Tidak beriman seseorang kamu sehingga Allah dan RasulNya lebih
dikasihinya daripada yang lain dari keduanya.”
(Riwayat
Ahmad)
Dalam
hubungan ini, kasih kepada orang beriman telah dikaitkan dengan kesempurnaan
iman. lni menunjukkan bagaimana pentingnya nilai kasih sayang itu dalam
kehidupan dan pergaulan sesama orang-orang beriman. Rasulullah s.a.w. bersabda
yang bermaksud:
“Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah ia mencintai
saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya.”
(Riwayat
Ahmad, At-Tirmizi dan AI-Hakim)
Nilai
kasih sayang yang disemai dalam diri para mukmin sebagai menyambut arahan Allah
dalam al Quran dan ajaran Rasulullah dalam sunnahnya. la bertujuan untuk
membina dan membentuk akhlak murni di kalangan orang-orang beriman dalam
pergaulan antara sesama mereka. Pertemuan dan perjumpaan antara sesama Islam
hendaklah dalam keadaan wajah yang berseri-seri dan manis, yang dijelmakan
dalam senyuman. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Melemparkan senyuman kepada wajah saudaramu adalah sedekah.”
(Riwayat
At-Tirmizi)
lni
diikuti dengan mengucap selamat serta memberi salam untuk memulakan hubungan
dan pertemuan. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Sebarkanlah salam di kalangan kamu.”
(Riwayat
Muslim)
Seterusnya,
Rasulullah s.a.w. menggariskan peraturan-peraturan memberi salam secara
terperinci yang boleh dirujukkan kepada kitab-kitab hadis.
Bagi
memupuk perasaan kasih sayang serta memperkukuhkan keimanan, Allah S.W.T dan
RasulNya melarang tindakan-tindakan sama ada dengan perbuatan dan perkataan
yang boleh membawa kepada terputusnya hubungan persaudaraan dan silaturrahim di
kalangan orang-orang beriman. Begitu juga perlakuan yang buruk yang menjatuhkan
martabat dan ketinggian orang-orang beriman.
Allah
S.W.T. melarang penyebaran maklumat yang berkaitan dengan keburukan yang
dilakukan daiam masyarakat. Walau bagaimanapun Islam memberi kebenaran
melakukan pendedahan keburukan yang berkaitan dengan perlakuan zalim apabila
dibuat di mahkamah semata-mata untuk menegakkan keadilan. Begitu juga saksi dan
orang yang teraniaya boleh mendedahkan kezaliman yang dilakukan oleh seseorang
untuk menegakkan keadilan. Allah S.W.T
berfirman yang bermaksud:
“Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang
dikatakan dengan berterus terang melainkan mereka yang dizalimi.”
(al-Nisaa’..
148)
Keburukan
yang dilakukan oleh seseorang mukmin hendaklah disembunyikan. Jika keburukan
itu berkaitan dengan pencabulan terhadap keadilan, ia hendaklah diadili di
mahkamah dan dihukum jika sabit kesalahan. Walau bagaimanapun berita mengenai
kesalahan dan hukuman yang dikenakan tidak boleh didedah dan disebarkan untuk
dijadikan bahan perbualan orang ramai. Rasulullah s.a.w. bersabda yang
bermaksud:
“Sesiapa yang menutup keaiban seseorang Islam Allah menutup
keaibannya di dunia dan di akhirat.”
(Riwayat
Muslim, Ahmad dan Abu Daud)
Seterusnya
orang-orang yang beriman dilarang berperangai suka menyebarkan berita tanpa
dipastikan kebenarannya, suka mencela dan mengkritik, suka melaknat dan
mengeluarkan kata-kata buruk dari mulutnya. Rasulullah s.a.w. bersabda yang
bermaksud:
“Memadai seseorang itu berdusta apabila ia berbicara tentang apa
sahaja yang didengarnya.”
(Riwayat
Muslim)
Mengenai
budaya suka mengecam, mengerdik dan melaknat, Rasulullah s.a.w. bersabda yang
bermaksud:
“Bukanlah seorang beriman itu seorang yang suka mengecam, suka
melaknat, suka mengeluarkan kata buruk dan kesat.”
(Riwayat
Bukhari dan Ahmad)
Orang-orang
Islam dilarang menghina sesama orang-orang Islam. Sebaliknya mereka hendaklah
saling hormat-menghormati. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Cukup seseorang itu menjadi jahat dengan ia menghina saudara
muslimnya.”
(Riwayat
at Tirmizi)
Kewajipan
orang Islam terhadap saudara muslimnya yang melakukan kesilapan dan kesalahan
ialah memberikan nasihat dan menghukum dengan hukum Allah S.W.T. setelah
dibicarakan dan disabitkan kesalahannya. Rasulullah s.a.w. bersabda yang
bermaksud:
“Agama itu ialah nasihat. Ada yang berkata ‘untuk siapa ya
Rasulullah.’ Sabdanya ‘untuk Allah dan untuk RasulNya untuk pemimpin
orang-orang Islam dan orang ramai di kalangan mereka.”
(Riwayat
Bukhari)
Al Quran Sumber Akhlak Mulia
Al Quran sumber bagi hukum-hukum dan peraturan-peraturan yang menyusun tingkahlaku dan akhlak manusia. Al Quran menentukan sesuatu yang halal dan haram, apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan. Al Quran menentukan bagaimana sepatutnya kelakuan manusia. Al Quran juga menentukan perkara yang baik dan tidak baik. Justeru itu al Quran menjadi sumber yang menentukan akhlak dan nilai-nilai kehidupan ini.
Al Quran
mengharamkan yang buruk dan keji serta melarang manusia melakukannya. Al Quran melarang
manusia minum arak, memakan riba, bersikap angkuh dan sombong terhadap Allah,
satu-satu kaum menghina kaum yang lain. Al Quran melarang pencerobohan, fitnah
dan berbunuhan. Al Quran melarang menyebarkan maklumat mengenai perkara-perkara
keji.
Al Quran
mengajak manusia supaya mentauhidkan Allah S.W.T., bertakwa kepadaNya,
mempunyai sangkaan baik terhadapNya. Al Quran juga mengajak manusia berfikir,
cinta kepada kebenaran, bersedia menerima kebenaran. Malah mengajak manusia
supaya berilmu dan berbudaya ilmu.
Al Quran
juga mengajak manusia supaya berhati lembut, berjiwa mulia, sabar, tekun,
berjihad, menegakkan kebenaran dan kebaikan. Al Quran mengajak manusia supaya
bersatu padu, berkeluarga dan mengukuhkan hubungan silaturrahim.
Jelaslah
bahawa al Quran menjadi sumber nilai-nilai dan akhlak mulia. Penampilan akhlak
mulia dalam al Quran, tidak bersifat teoritikal semata-mata, tetapi secara
praktikal berdasarkan realiti dalam sejarah manusia sepanjang zaman. Al Quran
adalah sumber yang kaya dan berkesan untuk manusia memahami akhlak mulia dan
menghayatinya.
src
: http://www.islam.gov.my/e-rujukan/lihat.php?jakim=483
http://4ayesha.blogspot.com/2008/09/al-quran-pembina-akhlak-mulia.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan