Erti Agama
Ad-din,
diertikan dalam bahasa kita agama, atau igama, Ad-din itu sendiri menurut
ertinya yang asli ialah menyembah, menundukkan diri, atau memuja, tetapi agama
itu telah umum dalam bahasa kita. Agama itu sendiri menurut bahasa terambil
juga dari Bahasa Arab, iaitu iqamah ertinya pendirian. Menurut kata setengah
pula, diambil dari bahasa Sansekerta, yang ertinya A = tidak, gama = benda.
Agama
ialah buah atau hasil kepercayaan dalam hati, iaitu ibadat yang terbit lantaran
telah ada iktiqad lebih dahulu, menurut dan patuh kerana iman. Tidaklah timbul
ibadat kalau tidak ada rashdiq dan tidak terbit patuh (khudu’) kalau tidak dari
taat yang terbit lantaran telah ada tashdiq (membenarkan), atau iman. Sebab
itulah kita katakan bahawa agama itu hasil, buah atau hujung dari iktikad,
tashdiq dan iman. Bertambah kuat iman, bertambah teguh agama, bertambah tinggi
keyakinan, ibadat bertambah bersih. Kalau agama seseorang tidak kuat, tidak
sungguh dia mengerjakan, tandanya imannya, iktikadnya dan keyakinannya belum
kuat pula. Kalau seseorang mengerjakan agama kerana pusaka, turunan atau
lantaran segan kepada guru, bila tempat segan, takut dan guru itu tidak ada
lagi, hilanglah agamanya itu dari dirinya.
Menurut
Taghib Al Ashfahani dalam kitabnya “Gharibul Quran”:
“Agama
itu diuntukkan bagi taat dan pahala, dipakai juga untuk menamai syariat, dan
dipakaikan pula untuk menundukan dan kepatuhan menurutkan perintah syariat.”
1. Hubungan Agama Dengan Iman.
Sebahagian
filosofi Islam berkata:
“Iman itu
meskipun bermacam-macam rupanya, namun pertaliannya dengan agama kuat sekali,
bahkan tidaklah ada agama kalau tidak ada iman, padahal iman boleh ada meskipun
agama tidak ada. Ibarat segala barang yang ada ini, meskipun rupanya
berbeza-beza dan bentuknya tidak sama, wujudnya hanya satu. Maka agama dengan
iman itu demikian juga, jauharnya satu, meskipun berbeza-beza bentuk dan
rupanya.”
Kalau
kita perhatikan hadis Nabi tentang pertanyaan Malaikat Jibril kepada Nabi
Muhammad saw, tentang erti Islam, iman dan ihsan, bagaimana Nabi berkata
setelah Jibril ghaib dari mata sahabat-sahabatnya:
“Itulah malaikat Jibril yang datang kepada kamu hendak
mengajarkan agama kamu.”
Nyatalah
bahawa jauharnya satu juga, meskipun berbeza-beza bentuk agama iman dan ihsan
itu.
2. Iman Pada Adanya Tuhan.
Kehidupan
ini membuktikan bahawa Tuhan Allah ada.
Dengan
perantaraan alat yang bernama mikroskop, teleskop dan lain alat pembesaran,
orang dapat melihat tubuh yang halus, yang dibesarkan beribu-ribu kali. Mereka
dapat meyakinkan bahawa pada tubuh yang kasar dan hidup ini ada benda yang
sangat halus, sel namanya. Orang Arab menamainya jauhar, yang sangat kecil,
lunak, tidak mempunyai warna, bentuknya serupa telur. Barang itu telah lama
sekali diperhatikan, diselidiki dengan sangat hati-hati. Alat pembesaran itu
dibuat lebih sempurna dan lebih membesarkan, kenyataan bahawa sel itu tidak
mempunyai anggota, tidak mempunyai alat, rupanya dan bentuknya sama saja, walau
yang lekat pada manusia dan binatang, atau yang lekat pada tumbuh-tumbuhan.
Sejak
dari yang ada pada hujung daun, sampai kepada yang ada dalam otak manusia. Orang
telah melihat bahawa barang halus itu sentiasa bergerak, tidak berhenti walau
sesat. Dijalarinya juga zat-zat yang tidak hidup yang ada di kelilingnya,
sehingga lama-lama barang yang tidak hidup itu menaruh kehidupan pula,
kehidupan ajaib, yang belum dapat diselami rahsianya oleh ilmu pengetahuan. Kemudian
terjadilah beberapa tali yang keras, urat-urat atau tulang. Kalau telah berupa
tulang, tidak akan jadi daging, atau sebaliknya. Mana yang menjadi daun, tidak
dapat lagi menjadi buah, mana yang teruntuk jadi bunga, tidak akan jadi urat
dan seterusnya.
Segala
sifat yang terjadi itu berbeza-beza bentuknya, jadi daun, buah, daging, tulang,
urat dan jadi bunga, padahal asalnya cuma dari zat yang satu, serupa saja pada
asalnya, hanya satu, dan tidak pernah salah.
Setelah
segala tubuh itu dijadikannya tidaklah dia terpisah daripadanya, tetapi tubuh
itu sendiri telah menjadi beberapa bahagian, ada yang jadi daging, jadi tulang,
jadi daun dan jadi buah. Sehingga kelihatan bahawa zat yang kecil-kecil tadi
tersiar di seluruh tubuh, sehingga meskipun diambil bahagian yang terkecil dan
dibagi sampai 50 kali, namun tubuh halus itu masih ada di sana. Ahli-ahli telah
menetapkan bahawa zat halus itu mempunyai kehidupan.
Timbul
pertanyaan:
Dari
manakah zat halus itu beroleh kehidupan? Menapa dia boleh hidup dengan barang
yang di sekelilingnya? Mengapa kemudiannya zat halus itu boleh pula terbagi
menjadi beberapa bahagian yang sangat banyak? Tiap-tiap bahagian yang mendatang
kemudian itu kekuatannya sama juga dengan kekuatan zat yang pertama? Mengapa
pekerjaannya membuat daun, buah, daging dan tulang itu selalu beres?
Di
sini mulai orang menggelengkan kepala, mulai mereka tertumbuk kepada suatu yang
kuat iaitu: Kami belum tahu belum dapat diberi kepastian apakah ertinya hidup
itu, hanya dipunyai oleh suatu zat saja kerana kadang-kadang kelihatan bahawa
hidup itu hanya barang yang datang berdiam dan lekas pergi dari zat, tetapi
kadang-kadang tampak bahawa hidup itu sama terjadi dengan zat.
Di
sini setelah segala yang halus-halus itu diselidiki mulai timbul pertanyaan,
terutama oleh orang yang bukan kepalang pintar, bahawanya kejadian ajaib ini,
tentu tidak terjadi kebetulan saja, dan mesti begitu saja. Bagaimana terjadinya
dan siapa yang menjadikannya? Apa dari mana datangnya hidup itu? Apakah terjadi
dengan sendirinya? Orang yang melihat pameran memperhatikan mesin-mesin baru,
berbeza sifat-sifatnya dan berbeza kekuatannya. Satu mesin mengupas padi,
menyaring dan menjadikannya beras, dan mesin yang lain lagi menjadikannya
tepung. Mesin yang satu lagi boleh mengantih tembakau. Yang lain mencetak,
menggunting, melipat dan mengatur surat-khabar. Seketika orang tercengang dan
berkata dalam hatinya. Alangkah pintarnya manusia yang memiliki kepandaian
membuat mesin ini.
Baik!
Sekarang kalau dikatakan orang bahawa ada suatu mesin baru, hirup apinya dari
gas yang dikorek sendiri oleh mesin itu ke dalam tanah, dan air yang perlu
teralir dan badannya dijemputnya sendiri ke dalam sungai, sehingga air itu masak
lantarannya dinyalakan api, dan api itu menjadi asap, kemudian dia bergerak
sendirinya, dia sendiri pula yang pergi menjemput gandum yang sedang terlonggok
di sawah, ada pula perkakas yang akan memotong dari tangkainya lantas berputar
pula sendirinya, sehingga gandum itu tertanam dengan kekuatan mesin, terkupas
dengan kekuatan mesin, atau kertas itu tercetak dengan kekuatan mesin, tidak
dari pendapat manusia dan tidak pula ikut campur tangan manusia. Kalau ada
orang menceritakan bahawa ada mesin bernyawa begitu, bagaimanakah kata yang
mendengar.
Orang
mengatakan tukang kabar itu pendusta, tidak masuk akal dan fikiran! hanya
orang-orang yang dipengaruhi dongeng agaknya yang akan tertarikh dengan kabar
ganjil itu.
Memang
tidak ada mesin seganjil itu, tidak dicampuri akal dan fikiran, tidak dicampuri
pendapat manusia dan tangan manusia.Tidak masuk akal satu mesin terjadi sendiri
dan menciptakan diri sendiri.
Bagaimana
dengan barang atau binatang hidup yang kita namai sel, atom atau elektron
bernyawa yang sangat kecil itu? Yang kalau dikumpulkan barang seribu ekor belum
sampai besar hujung jarum. Para ahli dan orang-orang pintar menyelidiki dan
telah tahu bahawa dia bernyawa dan boleh memindahkan hidup kepada barang yang
tak bernyawa di sekelilingnya. Meskipun kecil, kalau ditilik dengan alat,
kelihatan sebagai hutan lebat layaknya. Sehingga manusia tercengang melihatnya.
Apakah
mengenai soal kecil ini, kita akan memutuskan saja bahawa dia terjadi sendiri,
secara tiba-tiba kerana demikian kehendak alam? Sedang mesin yang bekerja
sendiri, atau kapal belayar sendiri, mustahil? Kalau alam kuasa mengadakan
barang kecil secara tiba-tiba, mengapa tidak kuasa mengadakan barang besar?
Kenapa
kepada benda kecil itu kita mengambil misal? Sedang yang besar, yang terbentang
di hadapan mata tak jadi perhatian?
Orang
memandang basi dan lapuk kalau kita mencari misal dari binatang-binatang yang
kasar, dari manusia yang matanya selalu dapat melihat. Mata yang jernih
bercahaya, kenapa dapat melihat? Telinga, mengapa dia mendengar? Beribu,
beratus-ribu ahli-ahli menciptakan mesin baru. Kalau diselidiki hasil ciptaan
itu bukan dari fikiran sendiri, tetapi segala pendapat itu telah begitu
mestinya, mereka hanya membuka rahsianya. Suruh bikinlah suatu mata atau
telinga! Mereka dapat meniru bentuk, tetapi tak kuasa membuat khasiatnya! Semua akan menjawab, “Tak sanggup!”
3. Kami Tak Kuasa.
Tidak
hairan, kerana manusia hanya dapat mencari rahsia barang yang telah ada, tetapi
tersembunyi. Mereka tidak kuasa membuat mata yang pandai melihat dan telingan
yang pandai mendengar. Demikian juga tidak kuasa memutuskan bahawa atom dan sel
kecil-kecil itu terjadi sendirinya.
Kalau
rahsia apa sebab mata boleh melihat telah diketahui, dan diakui manusia tidak
boleh meniru kalau rahsia apa sebab telinga boleh mendengar dapat diketahui,
dan diakui oleh manusia, dan telah yakin bahawa ada yang mengatur menjadikan,
iaitu kehendak tabiat, kehendak alam dan lain-lain sebagainya. Apakah sebab
tabiat dan alam itu sendiri, langit dan bumi akan ditumbuhkan juga kepada
kejadian tiba-tiba? Kenapa kebetulan.
Segala
sesuatu terjadi tiba-tiba, dan tiba-tiba itu dijadikan oleh tiba-tiba pula,
maka timbul pertanyaan: Mengapa rentetan tiba-tiba itu beraturan? Apakah
teratur itu pun suatu tiba-tiba?
Apakah
sampai di sana hujungnya lari daripada Tuhan?
“Wahai
manusia! Diperbuat Allah beberapa misalan hendaklah kamu dengarkan. Sesungguhnya
yang kamu seru selain dari Allah itu, tidaklah kuasa membuat lalat, meskipun
mereka berbincang untuk itu. Dan kalau lalat itu sendiri merampas barang
sesuatu dari diri mereka, tidaklah dapat mereka merebutnya kembali, lemah yang
menuntut dan lemah pula yang dituntut. Tidaklah mereka dapat menaksir Allah
dengan sempurna taksiran, sesungguhnya Allah Maha Kuat dan Maha Kuasa.”
(Hajj:
73-74).
Kesimpulan:
Segala
alam ini ada yang menjadikan, kehidupan itu terjadi dengan tiba-tiba, tetapi
ada yang menjadikan. Perkataan itu bukan hanya buatan manusia. Dibikin-bikin
oleh ahli-ahli agama, seperti tuduhan sebahagian ahli falsafah, tetapi memang
sudah begitu jadinya, memang sudah kebetulan dan dijadikan oleh Yang Maha
Menjadikan tiba-tiba.
Kitab
Tasauf Moden-Prof.Dr.Hamka
Tiada ulasan:
Catat Ulasan